Sunday, August 14, 2016

KEPADA PENYOKONG 4M, KAMU JANGAN MUSNAHKAN UMNO...


Bukan  yang sokong Mukhriz sahaja perlu keluar UMNO, yang sokong Muhyiddin mahupun Dr Mahathir juga perlu keluar UMNO dengan segera.

Juga, yang bersimpati dengan Shafie Afdal  cepat-cepat  lakukan perkara yang sama.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan,  keahlian anggota UMNO Kedah akan gugur serta-merta sekiranya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perkara tersebut berlandaskan perlembagaan UMNO yang anggota parti itu tidak boleh mempunyai dua keahlian parti yang berbeza. 

Namun sejauh ini UMNO tidak boleh bertindak atau melakukan pengguguran secara automatik dan ia tidak akan berlaku kerana parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu belum terdaftar secara rasmi.

Ahmad Bashah....program pemutihan
Malah, sejauh ini tiada ahli parti itu yang didaftarkan secara rasmi sehingga parti berkenaan diluluskan pendaftarannya. 

Ahmad Bashah berkata UMNO Kedah akan melakukan  program pemutihan bagi mengesan sekiranya terdapat anggota parti itu mempunyai dua keahlian selain Umno.

UMNO Negeri lain bagaimana?

Malah, Menteri Besar Kedah itu berkata anggota UMNO yang mempunyai jawatan dalam parti itu tidak kira di peringkat cawangan dan bahagian juga akan dipecat daripada jawatan yang disandang mereka jika didapati melakukan kesalahan itu. 

Jika mereka ada jawatan lain seperti Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) mereka juga akan dilucutkan jawatan berkuat kuasa serta merta.

Hebat penegasan ini. 

Selepas pembersihan ini, agaknya ada berapa ahli UMNO? Masih kekal lebih tiga juta?

Jadi kepada yang ada hati dengan BERSATU atau berhasrat tinggalkan UMNO, buatlah pendirian supaya KAMU semua jangan dicop  sebagai gunting dalam lipatan dan lebih teruk ‘DURI DALAM DAGING’.

Johari...tidak mahu ada ejen parti lain
Rasanya itu adalah langkah terbaik bagi UMNO, jika mengikut pendapat Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Johari sekadar menyebut Mukhriz tetapi jika hati sudah berubah dan yang berminat dengan parti baru – BERSATU – adalah lebih baik berundur secara sukarela daripada UMNO.

Soalnya, apakah UMNO juga akan memecat mereka yang diketahui menyokong dan bersimpati dengan perjuangan empat tokoh yang dikenali dengan 4M  –  Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

Johari menganggap mereka yang menyokong  salah satu ‘M’ itu akan menjadi perosak parti kerana akan menyalurkan pelbagai maklumat sulit berkaitan UMNO.

Mungkin kerana berucap di Kubang Pasu dan di Kedah, beliau hanya menyebut Mukhriz tetapi yang 3M lagi itu juga ada pengikut mereka.

Johari berkata, UMNO tidak mahu mereka terbabit menjadi ejen kepada parti lain yang akan merosak dan memporak-perandakan keharmonian sesama anggota dan kepimpinan parti.

Walau apapun, krisis yang berlaku dalam parti itu tidak mematahkan semangat perjuangan anggota parti yang ditunjangi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

"Kita mesti patuh kepada pemimpin yang dilantik... sama seperti kita mempertahankan Tun Mahathir suatu ketika dahulu ketika UMNO dilanda krisis besar sehingga beliau (Tun M) menjadi perdana menteri selama 30 tahun," katanya.

Anggota UMNO boleh melupakan pemimpin yang lepas (Mukhriz) serta yang lain dan memberi fokus dalam mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Menteri itu mengingatkan, anggota UMNO yang masih berpihak dan menyokong Mukhriz  boleh keluar daripada parti itu kerana hanya merosakkan perpaduan dalam parti, ibarat gunting dalam lipatan.

Adalah tidak wajar mereka kekal dalam UMNO kerana  hanya menyebabkan pecah belah dalam kalangan anggota lain yang taat pada perjuangan parti.

"Sebelum ini ramai yang keluar UMNO apabila menyokong kepimpinan UMNO yang keluar parti dengan menubuhkan parti baru seperti Semangat 46 dan PKR tetapi akhirnya mereka kembali kepada UMNO.

Bukankah mereka ini pernah menjadi pengkhianat dan gunting dalam lipatan?

Kenapa pula mereka diterima malah diberikan jawatan penting dalam kerajaan dan parti?

Apakah kerana mereka sudah insaf atau demi kepentingan pemimpin tertentu?

Muliakah mereka ini berbanding ahli UMNO yang selama ini setia dan kini diminta berundur dari UMNO dan jika degil, mereka akan dipecat?

"UMNO merupakan sebuah parti yang kukuh dan sebagai anggota UMNO kita akan pertahankan kepimpinan kita yang bersilih ganti bagi memastikan parti yang memperjuangkan bangsa Melayu terus utuh pada masa depan," kata Johari.

Beliau menyatakannya  selepas perasmian mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO bahagian Kubang Pasu di Jitra semalam.

Memandangkan  UMNO tidak menghalang anggotanya keluar parti disebabkan rasa simpati terhadap Mukhriz dengan menyokong parti baru yang ditubuhkan Dr Mahathir,  adalah elok ramai-ramai berbuat demikian.

Tanpa mereka pun UMNO akan tetap teguh.

Buang dan halau mereka beramai-ramai kerana sekiranya anggota parti yang menyokong 4M dihalang daripada keluar parti,  mereka ini akan merosakkan UMNO.

Mereka akan membusukkan UMNO memandangkan mereka adalah ‘duri dalam daging’.

Ingatkah atau pernahkah anda membaca novel novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad?

Bahaya duri dalam daging ini umpamanya kisah Lahuma yang  terpijak duri nibung dan melarat kesakitan itu ke seluruh tubuhnya lalu dia meninggal dunia.

Apakah UMNO mahu menjadi Jeha sebagai ibu tunggal menggalas tanggungjawab membesarkan ‘anak-anak’ di samping mengusahakan sawah padi demi mencari sesuap nasi setiap hari.

Kita tidak mahu UMNO menjadi Jeha yang dilanda kurang siuman dek terlalu tertekan dan mula merayau-rayau keliling kampung sehinggalah pada suatu hari dia ke rumah Tok Penghulu dengan berkelakuan tidak sopan, yang menyebabkan dia dikurung di rumahnya di dalam sebuah kurungan,  sebelum dihantar ke rumah sakit jiwa di Tanjung Rambutan oleh Tok Penghulu agar dia kembali sembuh.

Kepada yang masih dalam UMNO dan pada ketika yang sama menyokong perjuangan 4M, keluarlah cepat-cepat dari UMNO supaya parti itu ‘tidak sasau’ seperti Jeha.

Juga, dengan tinggalkan UMNO, KAMU tidak dicop sebagai perosak dan pemusnah UMNO.

Malah dengan keluarnya KAMU, duri sudah dicabut daripada daging dan mudah untuk UMNO diubati.

Lagipun, kalaupun UMNO nak musnah, biarlah orang lain yang musnahkannya, bukan kerana KAMU yang selama ini sayang dan memuja UMNO!!!