Sunday, October 9, 2011

BAJET 2012 NAJIB BOLEH MENANG PILIHANRAYA?

Kalau lihat fatamorgana janji memang Pakatan Rakyat beri lebih matfaat tapi dari segi realistik bajet yang berpijak kepada kemampuan negara, keikhlasan pemimpin dan kalau kita teliti bajet yang diumumkan Najib memang menguntungkan rakyat. - Pensyarah UKM, Prof Dr Samsul Adabi Mamat

Barisan Nasional (BN) boleh menang pilihan raya! Itulah kata laporan The Malaysian Insider semalam.

Menurut laporan akhbar elektronik itu, rata-rata pemerhati politik menyifatkan pentadbiran Najib melalui pengumuman Bajet 2012 akan mempengaruhi sokongan rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Malah mereka juga mengatakan sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat ia akan memberikan kesan positif kepada kerajaan BN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun menyifatkan bajet yang diumumkan kerajaan kelmarin sebagai tidak realistik kerana tidak dapat menangani defisit belanjawan yang semakin bertambah, namun mengakui ia menggembirakan rakyat.

Menurut Anwar, beliau tidak menolak bahawa pengumuman oleh perdana menteri kelmarin akan menggembirakan rakyat, namun ianya perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab.

Penganalisis berkata, walaupun Pakatan Rakyat menawarkan lebih banyak faedah melalui Bajet 2012 kepada rakyat, namun pemerhati politik berpendapat belanjawan diumumkan Putrajaya kelmarin lebih realistik. - Pensyarah UKM, Prof Dr Samsul Adabi Mamat

Ia menguntungkan setiap lapisan masyarakat dengan berpijak kepada kemampuan negara.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Samsul Adabi Mamat berkata Bajet 2012 sudah tentu akan mempengaruhi pola mengundi kerana bajet yang diumumkan memberikan tumpuan kepada keseluruhan lapisan masyarakat.

Contohnya kalau kita kata semua kakitangan awam boleh mengundi, mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000, golongan beliau, pesara dan bekas anggota tentera atau polis yang boleh mengundi sudah tentu ia akan beri kesan yang besar kepada BN.

Pembentangan Najib lebih realistik dan Najib umumkan perkara-perkara yang mampu diberikan kerajaan kepada rakyat dengan tidak menjanjikan bulan dan bintang tapi berdasarkan kemampuan kerajaan dan apa yang penting bajet kerajaan realistik dan masih berpijak di bumi yang nyata.

Ini kerana kalau nak kata untuk pancing sokongan rakyat sudah tentu bajet yang diumumkan akan jadi lebih luar biasa tapi saya tidak nafikan ia sebahagian semangat pilihan raya tapi masih realistik.

Kalau lihat fatamorgana janji memang Pakatan Rakyat beri lebih matfaat tapi dari segi realistik bajet yang berpijak kepada kemampuan negara, keikhlasan pemimpin dan kalau kita teliti bajet yang diumumkan Najib memang menguntungkan rakyat.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata pembentangan Bajet 2012 yang memberikan tumpuan kepada rakyat menunjukkan ekonomi negara berada dalam kedudukan stabil.

Memandangkan ini bajet terakhir sebelum pilihan raya umum, elemen bantuan kewangan mencerminkan keprihatinan kerajaan dan pada masa sama memancing rakyat... bajet ini juga menunjukkan ekonomi negara masih stabil dan saya lihat ia satu ruang yang baik yang mana kerajaan mahu pastikan ekonomi terus stabil dan meneruskan pemberian bantuan untuk meringangkan beban rakyat,” katanya.

Apapun, Azizuddin menegaskan ia bukan penentu kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13, namun “tempias positif” akan diterima parti pemerintah itu.

Pengarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Prof Madya Shaharuddin Baharuddin turut berkata walaupun bajet yang diumumkan memberi faedah kepada rakyat, namun ia bukan penentu BN akan terus menerajui negara pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau menganggapnya sebagai bajet tentang pilihan raya umum kerana semua dapat habuan masing-masing, kalau kita lihat kakitangan awam dapat bonus, pesara, warga emas, pemandu teksi juga dapat.

Apapun, katanya sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan dalam tempoh terdekat BN akan menerima kesan yang positif.

“Kalau buat dalam tempoh terdekat ia akan beri impak yang besar kepada BN kerana keseluruhan rakyat mendapat faedah hasil bajet kali ini,” tegasnya.