Saturday, June 4, 2016

PAS & PKR – CINTA SEPARUH JALAN, TERPAKSA BERALIH ARAH?


”PKR perlu pilih mahu bersama PAS atau Pakatan Harapan (PH)?”

Dah gila talak ke apa? 

Sudah terang lagi bersuluh, PKR tidak mahu bersama PAS lagi. Jangan nak bernostalgia lagi!

Kehadiran Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail ke dua pengumuman calon Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar,  membuktikan segala-galanya.

Sebaliknya pemimpin PAS, terutamanya kalangan pemuda dan muslimat masih lagi bertanyakan PKR sama ada memilih ‘aku atau dia”? Macam drama tv pulak pemimpin PAS sekarang ini.

Pada 14 September tahun lalu, Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) pada melahirkan rasa terkilan dengan tindakan PKR menerima keahlian wakil rakyatnya yang menyertai parti itu dan menganggapnya sebagai tidak menghormati hubungan sesama rakan dalam Pakatan Rakyat.


Ketuanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata tindakan PKR itu jelas bertentangan dengan dasar dipegang PAS dalam PR yang tidak akan menerima keahlian parti rakan sesama pakatan.

Pada 11 September,  anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib memgumumkan mereka keluar daripada PAS dan menyertai PKR.


Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pad Rabu lalu menyatakan bahawa PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada PKR akan memilih parti itu, mahupun untuk membantu gerak kerja PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

PAS menurutnya, tidak memaksa rakan komponen dalam pakatan  itu untuk membantu mereka di kedua-dua kawasan PRK tersebut.

Kelmarin (2 Jun) dilaporkan, Presidennya, Datuk SeriAbdul Hadi Awang berkata  PAS  tidak akan merajuk sekiranya PKR membantu AMANAH kerana  PAS  adalah parti yang berpengalaman dalam dunia politik negara malah sudah melalui saat jatuh bangun sendiri, lagipun itu adalah pilihan raya parlimen dan bukannya negeri.

“Kita tidak akan merajuk jika PKR bantu Amanah kerana Pas adalah parti yang tahan lasak dan tidak manja,”katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-62, di Pusat Tarbiyah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan.

Malah Hadi tidak menyentuh soal tahaluf siyasi dengan PKR dalam sesi Amanat Presiden, pada malam sebelum bermulanya muktamar berkenaan. "Itu (tahaluf siyasi dengan PKR) tidak disebut. Itu belum ada," katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut tamat.

Ketiadaan nama besar dari PKR pada perasmian muktamar kali ini turut dikatakan menjelaskan lagi bahawa  hubungan parti Islam itu dengan sekutunya, PKR hanya menunggu  belah secara rasmi selepas Pakatan Rakyat terkubur.

PKR menghantar satu-satunya wakil rakyat mereka di Kelantan, iaitu ADUN Guchil, Mohamad Roslan Puteh menghadiri majlis perasmian Muktamar PAS itu.

Hadi pernah dilaporkan sebagai berkata, hubungan PAS dengan PKR masih baik dan berjalan seperti biasa walaupun wujud beberapa kemelut antara kedua-dua parti itu sejak kebelakangan ini.

Sedikit melegakan PAS dan tidak merasa keseorangan pada muktamar kali ini ialah apabila Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang mewakili Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) hadir pada perasmian muktamar PAS tahun ini.

Malah, kehadiran IKATAN itu adalah penampilan sulungnya selepas bergabung dengan parti Islam itu menerusi pembentukan blok pembangkang kedua pada 16 Mac lalu.

Ternyata kegagalan mengadakan rundingan berhubung peletakan calon di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar menguatkan lagi dakwaan hubungan {KR dan PAS akan berkubur.

Dewan Pemuda PAS kelmarin memberi kata dua kepada sekutunya, PKR untuk menyuarakan pendirian sama ada masih mahu bersama parti Islam itu atau membawa diri bersama Pakatan Harapan (PH).


Menurut Wakil Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadli Shaari , PKR tidak boleh terus menjalin kerjasama dengan kedua-dua pihak, apatah lagi DAP dan AMANAH dalam PH yang merupakan musuh politik parti Islam itu.

Dewan Pemuda PAS mengajak semua untuk menilai hubungan PAS dan PKR, namun biarpun ramai dalam PKR yang sayangkan PAS, ‘mana mungkin cinta ini dapat bertahan’ sekiranya DAP dan PKR masih duduk bersama bahkah menjalinkan hubungan mesra dengan parti satu lagi (AMANAH).

Kelmarin Dewan Muslimat PAS turut menyuarakan nada yang sama apabila menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, terutama pada pilihan raya umum akan datang.

Dewan itu  mendakwa PKR telah mengkhianati parti itu apabila menjalinkan kerjasama dengan AMANAH dan melemparkan pelbagai tuduhan, fitnah serta dakwaan yang tidak berasas terhadap mereka.

Dewan Muslimat PAS juga mahu semua kerusi dalam pilihan raya ditandingi oleh PAS tanpa bekerjasama dengan parti-parti lain.

Usul itu dikemukakan oleh Dewan Muslimat Kedah dan diterima tanpa bahas.


Naib Ketua De­­wan Muslimat merangkap Pe­nge­rusi Jawatankuasa Penapis Usul Muk­tamar itu, Salamiah Mohd. Noor berkata, bermula dengan Langkah Kajang sehinggalah konspirasi menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pandangan dan pendirian PAS tidak dihormati selain kesucian pembangkang sedia ada dicemari dengan perancangan tertentu di luar pengetahuan parti itu.

“Walaupun ada segelintir pe­mimpin PKR yang menghormati pendirian dan pandangan PAS, rentetan isu sebelum ini memperlihatkan PKR lebih selesa mengambil keputusan tanpa berbincang atau mengambil kira rakan tahalufnya berhubung hal-hal berkaitan,” katanya.

Mungkin sebagai strategi menyejukkan ‘kehangatan pemuda dan muslimat’ Hadi menegaskan parti itu akan meneliti usul memutuskan hubungan dengan PKR sebelum keputusan muktamad dibuat.

Namun agak mengejutkan juga, pada ketika ada pemimpin muda dan muslimat PAS melemparkan kata-kata agak kesat kepada pemimpin PKR, pemimpin tertinggi PAS masih mahu ‘menanam tebu di tepi bibir’.

Semalam,  Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS masih mahu meneruskan tahaluf siyasi bersama PKR walaupun Dewan Muslimat parti itu meluluskan usul supaya hubungan itu dikaji semula.

Menurutnya, usul Dewan Muslimat itu bukan bertujuan untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi, sebaliknya ia lebih kepada mengkaji penambahbaikan kerjasama antara kedua pihak.

"Ia bukan ke arah memutuskan. Bagi kita, ia ke arah penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas berakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali pula menyifatkan usul itu lebih kepada pandangan Dewan Muslimat dan bukan keputusan PAS Pusat.

"Itu pandangan dari perwakilan Muslimat, kita akan tengok (usul). Kita beri kepada (Majlis) Syura untuk melihat pro dan kontranya. Banyak perkara yang mereka (Dewan Muslimat) masih tak tahu. Mungkin ada pihak yang tak puas hati, tapi ini hanya minor (kecil), bukan masalah besar," katanya.

Dalam konteks ‘cinta dengan PKR’ ini, PAS akan membawa usul ‎penilaian semula kepada Majlis Syura Ulama untuk dikaji dan dinilai.

Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata usul tahaluf siyasi tersebut meminta supaya Majlis Syura Ulama membuat penilaian kembali terhadap kedudukan kerjasama antara PAS dan PKR.

Usul adalah daripada PAS kawasan Pontian, Balik Pulau, Kuala Kedah dan Muslimat PAS Malaysia yang mahukan tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dinilai semua atas beberapa perkara berbangkit termasuk apakah masih ada keuntungan kepada Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau sebaliknya.

Menyampaikan taklimat usul pada muktamar itu beliau yang juga pengerusi jawatankuasa usul bagi muktamar itu berkata, usul tersebut juga meminta jika masih ada keuntungan (boleh) diteruskan dan jika tiada Majlis Syura Ulama berhak membuat apa saja keputusan.

Jika ada keuntungan kepada PAS?


Kalaupun marah atau sudah pudar ‘berkasih sayang’ PAS perlu ingat bahawa ia mempunyai wakil dalam Kerajaan Selangor yang diterajui oleh PKR dan DAP.

Jangan terlalu hilang pertimbangan hingga marahkan nyamuk, bakar kelambu kerana yang berada dalam dilema ialah Ahli Dewan Undangan Negeri PAS di Selangor serta penyokong mereka.

PAS tidak boleh main wayang dengan menghentam PKR di muktamar tetapi di Selangor terpaksa menelan atau menjilat ludah sendiri.

Mana politik ‘matang dan sederhana’ yang diuar-uarkan oleh PAS jika terus memainkan politik menikam belakang di samping bermuka-muka apabila sesuatu keadaan itu dilihat berpihak atau memberikan keuntungan kepada pihaknya.

Terjemahkan ‘Islam’ dan setiakawan itu dalam hubungan PAS dengan parti pembangkang lain terutamanya PKR untuk PAS dihormati dan disegani.


Jika tidak, bukan ‘cinta PAS’ sahaja yang akan beralih arah, PKR juga tidak mampu mempertahankan cintanya kepada PAS kerana ‘cemburu melampau’, mementingkan diri selain enggan bertolak-ansur dengan meletakkan kepentingan dirinya melebihi segala-galanya!