Wednesday, September 13, 2017

NAJIB KEPADA TRUMP - MUSUHMU MUSUHKU JUA, DUITKU DUITMU JUA...


Pada pertemuan di Cabinet Room, Rumah Putih Washington semalam, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana sama-sama mahu membantu memerangi pengganas Islam, khususnya Daesh.

Pada pertemuan itu, Najib bukan ‘minta wang’ AS tetapi menawarkan wang termasuk dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Khazanah Nasional Berhad.

Trump kelihatan begitu bangga kerana Malaysia berikrar mahu  membantu mengukuhkan ekonomi negara kuasa besar itu.

Apakah kita sebuah negara lebih kaya atau setanding dengan Uncle Sam sehingga kita mampu untuk mengukuhkan ekonomi AS?

Apa pula tukaran atau balasan yang akan diberikan AS dalam bentuk ekonomi kepada kita?

Sehingga kini, TIADA!!!

Ini kerana dalam kenyataan Trump semalam di hadapan Najib dan delegasi Malaysia semalam, di pihak Trump tidak menjanjikan apa-apa.

Malah, Najib juga mendapat pujian kerana berjanji akan membantu AS untuk menjadikan rantau sebelah Timur sebagai rantau ‘stabil’ dan akan terus menjadi rakan karib Washington.

"Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan ISIS, atau anda gelar Daesh, dan lain-lainnya untuk wujud. Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan merupakan penyokong kuat bagi pendirian itu, “ demikian kata Trump.


Dengan kata lain, Kuala Lumpur bangga kerana berjaya menangani ancaman Negara Islam (IS) melalui promosi wasatiyah dan melalui program antiradikalisasi yang di sebut Najib merekodkan kadar kejayaan 90 peratus.

Dengan kata lain juga , bagi Trump, musuhnya juga musuh Malaysia. Bagi Najib, 'musuhmu musuhku jua’.

Suatu penegasan yang pastinya menggembirakan Trump, apalagi baru kelmarin mengenakan sekatan terhadap Korea Utara kerana ujian senjata yang tanpa henti oleh Pyongyang.

Namun di sebalik itu, apakah yang menuntungkan Malaysia selain janji diplomatik dan kepuasan yang ditawarkan Najib kepada Trump?

Melalui siaran CNN semalam yang menunjukkan pertemuan dua delegasi – Malaysia dan AS -  jelas sekali Najib menunaikan janjinya seperti disebut pada wawancara dengan Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa pertemuannya dengan Presiden itu ‘bukanlah untuk meminta wang’.

Najib sebelum ini mengatakan tujuannya ke Washington bertujuan menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara penting kepada AS dan dijadikan  rakan memerangi keganasan.

Seperti kata Najib, “Kita datang bukan untuk meminta wang tetapi datang sebagai sebuah negara yang sedang berkembang pesat dan bakal berada dalam kalangan 20 negara maju.

'Kita datang untuk beritahu bahawa kita boleh dijadikan rakan untuk memerangi keganasan dengan kita mengamalkan Islam sebenar,” beliau dipetik Utusan Malaysia 12 Sep 2017sebagai berkata.

Jelas dan benar.

Najib mengotakan kata-katanya apabila beliau membuat komitmen, antaranya membuat pelaburan untuk membantu negara itu lebih maju.

Malaysia mahu membuktikan kita bermaruah dan mempunyai banyak wang untuk melabur di negara itu sebagai rakan rapat.


Trump begitu gembira bertemu Najib dan selepas mengucapkan selamat datang, menyebut Malaysia memang rakan dagangan dan pelaburan penting kepada AS, selepas Malaysia bersetuju membeli pesawat Boeing (buatan AS) berjumlah AS$10 bilion.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus. Siapa delegasi Malaysia?

Delegasi Malaysia ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Delegasi AS yang mendengar janji dan ikrar Najib dan delegasi Malaysia, selain Trump ialah Naib Presiden, Mike Pence; Setiausaha Negara, Rex Tillerson; Menteri Pertahanan James Mattis; Ketua Staf, Jeneral John Kelly; Penasihat Keselamatan Negara Leftenan, Jeneral HR McMaster dan Penasihat Kanan, Jared Kushner.

Apakah kesemua anggota delegasi Malaysia bersama Najib itu bertanggungjawab dengan kesemua pelaburan yang dicadangkan Najib dan apakah mereka juga bertanggungjawab untuk semua itu jika ada sebarang masalah?

Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB).

"Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat."

Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga tersebut akan bernilai melebihi US$10 bilion

Dengan jumlah AS$10 bilion atau RM42 bilion itu pastinya Malaysia sangat dialu-alukan untuk bersahabat dengan AS, malah kedatangan Najib ‘memang dinanti’.


Selain itu, Najib turut mengatakan, Malaysia bersedia melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di AS dengan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu.

Perdana Menteri berkata  KWSP sahaja dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion (US$1 = RM4.19) di negara tersebut.

"Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, semalam.

Hebat sekali kita di mata dunia.

Kita menawarkan wang kira-kira AS$17 bilion untuk kukuhkan ekonomi AS tetapi sejauh ini belum ada laporan komitmen Washington membantu mengukuhkan ekonomi kita.

Tidak tahulah apa bentuk pelaburan AS yang akan dijanjikan selepas ini.

Namun yang pasti sehingga saat ini, hasil lawatan  itu, bagi Najib ‘duitku, duitmu jua...’ dalam konteks hubungan AS-Malaysia.