Abah atau Datuk Zainal Abidin Zin - bekas guru dan menjadi pemimpin politik yang naik bukan melalui helikopter tidak berbuat sedemikian.

Apabila Bekas Timbalan Menteri Pertahanmenafikan beliau terbabit dalam cubaan memujuk wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat menyertai Barisan Nasional (BN), saya percaya seratus peratus.
Lagipun Abah berkata beliau bersetuju membawa Fauzi menemui Najib “semata-mata kerana mahu membantu seseorang yang memerlukan bantuan.”
Abah mengakui membawa Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ipoh Barat, Fauzi Muda menemui Datuk Seri Najib Razak pada Mac tahun lalu tetapi ia bagi membolehkan pemimpin PKR itu memberitahu masalah peribadinya kepada Timbalan Perdana Menteri.
Fauzi sebaliknya membuat akuan bersumpah di Mahkamah Sesyen semalam, mendakwa pernah dijanjikan RM50 juta oleh seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) hampir setahun lalu.
Beliau mendakwa akan memperoleh ganjaran itu sekiranya berjaya menarik sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti pembangkang di Perak menyertai BN.
Tawaran itu, dakwa Fauzi, dikemukakan kepadanya pada satu pertemuan pada 11 Mac 2008.
"Walaupun pertemuan itu berlaku hampir setahun lalu, saya terpaksa membuat akuan bersumpah hari ini kerana mengesyaki kehilangan dua ADUN dari PKR ketika ini ada kaitan dengan pemimpin itu,'' katanya pada sidang akhbar.
Mengenai pertemuan itu, Fauzi berkata, pada tarikh tersebut, dia telah diajak rakannya, Sulaiman Osman ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan.
Bagaimanapun katanya, apabila sampai di Plaza Tol Jalan Duta, tiga lelaki sedang menunggu mereka dan telah membawanya ke satu tempat di mana beliau dijanjikan RM50 juta itu.
Menurut Fauzi: “Pada 11 Mac 2008, saya dibawa oleh kenalan saya, Sulaiman ke Kuala Lumpur untuk urusan perniagaan, tetapi tiba di Tol Jalan Duta, saya dibawa berjumpa tiga lelaki dan salah seorang daripadanya ialah Datuk Zainal Abidin Zin, bekas Timbalan Menteri Pertahanan kepada Najib dulu.
"Di situ, beliau memberitahu tujuan sebenar saya dibawa ialah untuk berbincang dengan Najib atas urusan politik. Saya terus dibawa ke Putrajaya, di kediaman Najib.

Fauzi berkata, beliau memaklumkan pertemuan itu kepada kepemimpinan PKR dalam satu mesyuarat parti tahun lalu.
Katanya, Najib juga berjanji akan melambat-lambatkan pelantikan Menteri Besar Perak sementara menunggu Adun berkenaan melompat parti.
Beliau berkata, usaha memujuk terus dilakukan selepas Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Mohd Jailu menghadapi tuduhan rasuah.
"Selepas exco Pakatan Rakyat menghadapi tuduhan rasuah, usaha ini terus dilakukan. Ejen beliau berjumpa saya meminta terus berusaha, cuba dekati dan cuba meyakinkan atau merayu dua rakan saya ini supaya 'crossover' (menyeberang ke PN).
"Kalau saya berjaya, mereka berjanji ‘amountnya’ (jumlah wang) RM5 juta setiap Exco. Jawatan Exco tetap diberi dan kes yang sedang mereka hadapi akan pasti digugurkan," katanya.
Abah hari ini menegaskan, beliau tidak mengenali Fauzi sebelum itu tapi bersetuju membenarkannya mengikuti beliau dalam pertemuan dengan Najib itu kerana pemimpin PKR itu mengenali seorang kawannya bernama Suleiman Mansor.
“Kami menemui Datuk Seri Najib di kediamannya. Ada sekitar 10 orang tetapi sepanjang perbincangan itu, tidak timbul soal tawaran kepada wakil rakyat di Perak supaya menyertai Barisan Nasional,” katanya pada satu sidang akhbar.
Abah membuat kenyataan itu bagi merujuk kepada dakwaan Fauzi kononnya dia (Fauzi) ditawarkan RM50 juta untuk membawa masuk sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada PKR untuk menyertai BN.
Sementara itu, satu laporan polis dibuat hari ini terhadap Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Ipoh Barat itu kerana didakwa memfitnah Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya Timbalan Perdana Menteri menawarkan RM50 juta kepada mana-mana ahli dewan undangan negeri (Adun) daripada Pakatan Rakyat di Perak supaya menyertai Barisan Nasional.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh, berkata kenyataan Fauzi yang membuat akuan bersumpah bahawa Najib membuat tawaran berkenaan, adalah berunsur fitnah yang menimbulkan rasa resah, gelisah dan tidak puas hati masyarakat.
"Kenyataan Fauzi memberi gambaran bahawa pemimpin tertinggi negara adalah tidak bermoral dan korup dan ini boleh memimbulkan suasana tegang di kalangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu, lapor Bernama.
Jelas sekali, banyak pihak dalam PKR berusaha menjatuhkan imej Najib dan cara Fauzi melakukan ini sewajarnya ditangani dengan bijak.
Jika ia fitnah, Najib wajar mengambil tindakan untuk membersihkan namanya.
Najib tidak boleh membiarkan pihak lawan terus-terusan memfitnahnya. Jangan fitnah bertukar menjadi keyakinan kepada rakyat.
Banteras segera!