Saturday, June 6, 2009

HAYATI KONSEP 1MALAYSIA - TITAH TUANKU MIZAN

Jangan persenda konsep 1Malaysia.

Jika sebelum ini ada pihak yang cuba menyamakannya dengan Malaysian-Malaysia, jangan cuba lagi berbuat demikian.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah, segenap lapisan rakyat perlu menghayati konsep 1Malaysia yang telah diketengahkan sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional yang telah disemai sejak lebih 50 tahun kemerdekaan negara.
"Semua rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hal ini kerana mereka yang akan menentukan jatuh bangun, maju mundur dan jaya gagalnya sesebuah negara itu," titah baginda.
Baginda juga berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, berkongsi rahmat dan tanggungjawab terhadap tanahair yang berdaulat, kerana ia merupakan keunikan dan sumber kekuatan negara.

"Beta amat sukacita kerana rakyat telah membuktikan bahawa kepelbagaian bangsa dan etnik yang menganuti agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang berbagai juga dapat hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling menghormati," titah Baginda sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda di Istana Negara di Kuala Lumpur, hari ini.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa sukacita terhadap konsep 1Malaysia yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berprinsipkan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Bagaimanapun, titah Baginda kerajaan perlu terus memperkemas dan mempertingkat jentera pentadbiran dan pelaksanan negara, yang menjadi nadi penting pembangunan negara, agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.
Baginda juga mahu generasi muda negara ini supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

"Sesungguhnya Malaysia satusatunya negara kita, harta yang paling berharga, lambang maruah dan kehormatan bersama dan apa yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan kepada anda semua untuk meneruskan perjuangannya," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda dan Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengucapkan terima kasih kepada Najib, yang mewakili kerajaan, anggota perkhidmatan awam dan anggota keselamatan serta rakyat dalam menyembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada baginda.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa syukur kerana proses peralihan teraju kepimpinan negara pada April lepas telah berjalan dengan lancar dan sempurna.

"Kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, syabas Beta ucapkan kerana telah dilantik menjadi Perdana Menteri serta telah menunjukkan kepimpinan dan komitmen yang dinamik sepanjang pentadbiran beliau, sejak April yang lalu," titah baginda.

Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa dan kepimpinan yang telah beliau sumbangkan kepada negara ini.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong berharap agar pakejpakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.

Baginda bertitah ini amat penting khasnya dalam keadaan dunia hari ini yang berhadapan dengan tekanan ekonomi yang mencabar dan hampir tidak terduga dan oleh itu pelaksanaan pembangunan perlu disegerakan bagi kepentingan seluruh rakyat.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana kerajaan akan mengubal satu model baru ekonomi yang baginda yakin dapat mencipta kapasiti baru kepada pertumbuhan ekonomi mampan.
Baginda juga percaya bahawa kerajaan dapat menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan bagi meningkatkan lagi usaha untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan mengambil kira keperluan sosial masyarakat bagi menghasilkan ketenteraman dan kesejahteraan kepada rakyat agar tiada kaum atau golongan termasuk wanita, belia, orang tua dan yang kurang upaya daripada tercicir.

"Sesungguhnya, dasar kerajaan yang sedia ada telah berjaya mewujudkaan keseimbangan sosial di kalangan rakyat pelbagai kaum dengan strategi pembangunan ekonomi yang bijak.

"Beta berpuashati kerana golongan rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara semakin kecil jumlahnya," titah baginda.

Kerajaan telah melancarkan dua pakej rangsangan ekonomi tahun lepas yang keseluruhannya bernilai RM67 bilion.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sama ada secara tersurat atau secara tersirat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru, sebaliknya matlamat akhir konsep 1Malaysia iaitu perpaduan nasional menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad yang lalu.

Beliau berkata, jika disingkap kembali sejarah, semenjak mula para patriot memperjuang kemerderkaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi keutamaan kerana semua pihak sedar tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional dapat diterjemahkan.

"Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti," katanya dalam ucapan tahniah bagi pihak kerajaan, penjawat awam dan rakyat sempena ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Mengambil iktibar pemerintahan terdahulu, Najib berkata Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj telah mengasaskan penubuhan Parti Perikatan yang merupakan langkah konkrit sulung dalam sejarah negara bagi mencapai perpaduan di bidang politik.

"Perkara ini juga terbukti apabila masyarakat pelbagai ras di bumi tercinta ini bersatu hati, bersatu tekad dan berkongsi matlamat mereka mampu mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam.

"Perkara ini terbukti apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia tanggal 16 September 1963," katanya.

Selain itu, dalam ucapannya, Najib berkata bertitik tolak daripada kejadian 13 Mei, Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua telah memperluas konsep kerjasama antara kaum melalui penubuhan Barisan Nasional (BN) termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan penciptaan ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara.

"Usaha-usaha murni ini telah dilangsungkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Kemudiannya prakarsa-prakarsa ini telah dilonjak ke tahap baru oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad) melalui konsep Bangsa Malaysia dan Gagasan Wawasan 2020 yang selepas itu dilestarikan pula oleh Tun Abdullah (Ahmad Badawi) melalui misi Nasional," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan di bawah pemerintahan Tuanku Mizan Zainal Abidin akan kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2, Bahagian 3 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

NASHA MENANG, GAGASAN HUSAM DITOLAK

(Dikemaskini)

Husam kalah, Nasharudin Mat Isa menang Timbalan Presiden. Tahniah kepada Nasarudin.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Muktamar PAS ke-55, Datuk Mustafa Ali mengumumkan Nasharudin Mat Isa menang jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Nasharuddin berjaya mempertahankan jawatan dengan menewaskan dua pencabar –Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu - pada pemilihan jawatan sempena muktamar tahunan parti itu, di Stadium Malawati di Shah Alam pagi ini.

Nasharuddin peroleh 480 undi manakala Husam (281) dan Mohammad Sabu (261).
Dengan undi yang hampir separuh berbanding Husam, Nasaruddin mendapat mandat besar dan perwakilan PAS ternytata menolak ‘gagasan Husam’.

Kemenangan Nasarudin membolehkan PAS bergerak laju untuk melaksanakan cita-cita dan falsafah perjuangannya. Sedikit sebanyak gagasan kerajaan perpaduan akan dapat difikirkan secara mendalam dan tidaklah ditolak mentah-mentah begitu sahaja seperti oleh Husam dan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Bagi jawatan Naib Presiden, Salahudin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar menewaskan dua lagi pencabar, Mujahid Yusof Rawa dan Nik Amar Nik Abdullah.
Kini sah sudah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat gandingan baik dan masa depan politik Husam dalam PAS menjadi tanda tanya.

Bagaimana dengan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang singkat? Apakah tindakan beliau seterusnya?

Husam menegaskan kekalahan bukan bererti segala pandangan politiknya akan terhenti sebaliknya percaya rakan-rakan yang memenangi jawatan naib presiden dan ahli jawatankuasa kerja pusat akan meneruskan pandangan beliau.

Beliau menolak tanggapan mengatakan pandangan politiknya ditolak perwakilan kerana calon-calon naib presiden dan AJK PAS pusat mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.

"Saya akan tetap bersama PAS dan akan terus berjuang untuk memastikan PAS bersama Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13 atau pada bila-bila masa," tegas beliau dalam satu sidang media hari ini.

Husam juga menjelaskan, kekalahan beliau tidak akan memberikan kesan kepada pemerintahan Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan kerana PAS tidak memerintah berdasarkan individu sebaliknya kerana kekuatan parti.

Apa keadaan pun, Husam tetap tegas menolak sebarang perundingan untuk bersama Umno sebaliknya akan memastikan PAS mengantikan parti tersebut.

Jika dilihat betapa kerasnya Husam dalam isu ini, sedangkan Presiden PAS nampaknya lebih berlembut – bayangkan, jika Husam menang, PAS akan menghadapi masalah.
Presidennya kata A tetapi Husam kata B.

Yang pasti, sekiranya Husam menjadi Timbalan Presiden, Abdul Hadi akan berdepan dengan Timbalannya yang akan membantah untuk membentuk kerajaan perpaduan yang memungkinkan kepada kerjasama PAS dan UMNO.

Husam yang kalah jawatan Timbalan Presiden PAS dengan tegas mengatakan: ''Kita mahu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi (sama taraf dengan UMNO)."

Sebaliknya, beliau lebih sedia untuk mengadakan kerjasama dengan parti di bawah pakatan pembangkang kerana ia dilihat taraf semua parti adalah sama.

Dalam pada itu, Husam menjelaskan sekiranya perbincangan untuk mengadakan kerajaan perpaduan itu mahu dilaksanakan juga, adalah lebih baik ia dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ini kerana beliau mahu memastikan kerusi PAS benar-benar cukup kuat untuk mengukuhkan kedudukan parti itu dalam kerajaan.

Husam yang bertanding Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini, menolak sebarang idea penggabungan dengan Umno kerana banyak sebab. Menurutnya melalui kerjasama itu, pemimpin PAS sudah tentu tidak akan menjadi perdana menteri.

No 1: Menjadi Perdana Menteri.
(Hasrat PAS ialah menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang untuk membolehkan Presidennya menjadi Perdana Menteri. Persoalannya bila? Di mana mahu diletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim?)

Kata Husam: "Jika Umno dikalahkan kemudian dan mereka mahu bekerjasama dengan kita maka OK lah... kalau PAS di atas dan Umno di bawah itu OK, jangan Umno di atas kerana tidak akan ada perubahan... apa yang penting bagi kita adalah perubahan.”

No2: PAS di atas, UMNO di bawah baru OK.
(PAS begitu yakin dapat mengganti UMNO di peringkat pusat dan akan hanya bekerjasama apabila UMNO sudah tidak dominan lagi – tiada lagi Barisan Nasional. Selagi ada BN, UMNO sukar ditumbangkan.)

Bagi Husam, kerjasama yang dipraktikkan oleh PAS bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP melalui pakatan pembangkang tidak akan berlaku dengan UMNO. Katanya: "Saya sayang PAS, kalau PAS menjadi tambahan kepada Umno, PAS akan menjadi kuda tunggangan, PAS tidak akan mendapat lebih banyak kerusi, Umno akan terus menjadi parti dominan... jadi habislah PAS."

No3: PAS akan jadi kuda tunggangan
(Pemimpin pemuda PAS mengatakan parti itu kini menjadi kuda tunggangan pakatan pembangkang. Siapa yang menunggang siapa? Bukankah kini adanya PAS dalam pakatan menunjukkan bukan Islam menunggang orang Islam?)

Bagi Husam, melalui kerjasama dengan UMNO, PAS tidak akan menjadi parti yang dominan dalam pakatan itu, malah ia juga tidak akan mendapat kerusi lebih daripada Umno.

No4: Mendapat kerusi lebih daripada UMNO
(Mendapatkan kerusi dalam pilihan raya bukan kerana yakin akan menang sesebuah kerusi dipertandingkan tetapi juga melalui tolak ansur dan persefahaman antara parti seperti diamalkan dalam BN. Jelas pemimpin PAS tamak dalam menentukan kerusi yang mahu dipertandingkan.)

Semua yang disebutkan di atas adalam kenyataan Husam seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional, Bernama, ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Muktamar Pas ke-55 di Shah Alam, kelmarin.

Sebaliknya, Presiden PAS beliau yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara Pas dengan Umno yang beliau cadangkan sebelum ini dapat dilaksanakan di masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Katanya, hasrat itu digagaskan selepas pilihan raya umum Mac lalu dengan tujuan mencari jalan kompromi dalam pembentukan kerajaan pada ketika itu dan ia diterima secara positif bukan saja dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang malah pemimpin UMNO sendiri.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati di Shah Akam semalam, Abdul Hadi menjelaskan bahawa hasrat Pas untuk mewujudkan kerajaan perpaduan itu telah dimaklumkan kepada rakan-rakan Pas dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Mereka menerimanya dengan baik," katanya.

Abdul Hadi berkata beliau yakin cadangan itu dapat mendekatkan rakyat yang berbeza fahaman politik dan mempereratkan hubungan parti-parti politik demi kepentingan negara.
Kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja diherdik oleh Husam tetapi oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang berkata cadangan pembentukan kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat pemimpin Pakatan Rakyat dan beliau hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang diperkatakan oleh Abdul Hadi mengenai kerajaan perpaduan, tetapi terpaksa membuat komen demi kepentingan penyokong Pakatan Rakyat," katanya dalam laman blognya.

Lim mahu mendapatkan komen berhubung kenyataan Abdul Hadi mempertahankan cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan.

Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar, berkata idea kerajaan perpaduan bersama BN adalah idea politik yang terkebelakang dan tidak progresif.

"Pengalaman politik kompromi seumpamanya pernah berlaku pada 1978 antara Pas dan BN yang akhirnya tidak memperlihatkan sebarang manfaat. Justeru, idea ini sudah ditolak oleh pemimpin PKR. Cadangan bekerjasama oleh Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kerajaan BN pula khusus untuk perkara untuk kepentingan rakyat, seperti masalah ekonomi negara dan tidak mengaitkan kerajaan perpaduan," katanya.

Bagi Abdul Hadi, beliau yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara Pas dengan Umno yang beliau cadangkan sebelum ini dapat dilaksanakan di masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Abdul Hadi berkata beliau yakin cadangan itu dapat mendekatkan rakyat yang berbeza fahaman politik dan mempereratkan hubungan parti-parti politik demi kepentingan negara.

Yang pasti, ketika Abdul Hadi benar-benar yakin kerajaan perpaduan akan mendatangkan banyak keuntungan, khususnya unttuk orang Islam di negara ini, Husam berpendirian cadangan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan tidak menguntungkan parti itu.

Jelas bagi Husam bukan soal kepentingan perpaduan seluruh rakyat diutamakan tetapi di mana kedudukan beliau sendiri (bercita-cita menjadi Perdana Menteri) dan PAS terus kuat untuknya mendapatkan kuasa.

Dengan kembalinya Nasharudin, Abdul Hadi akan dapat menarik nafas lega dan usaha serta apa yang diperkatakannya di muktamar ini lebih mudah untuk dilaksanakan.

Persoalannya, biarpun kalah - Husam dan penyokongnya tidak akan berdiam diri.

Bukan Abdul Hadi sahaja yang akan kena tempias tetapi Nasarudin akan berdepan dengan tugas tinggi menggunung – menjamin pengaruh Husam tidak melonjak dan membantu Presiden melaksanakan kerajaan perpaduan yang mendapat tentangan Husam dan PKR-DAP.

MENUNGGU LAPORAN PERUNDING BEBAS

Banyak perkara boleh dikaji dan banyak juga boleh dibandingkan.
Itulah yang akan berlaku tiga hingga enam bulan lagi…apalagi ada tiga atau empat jawatankuasa dan perunding bebas akan ditubuhkan bagi mengkaji punca dan masalah sebenar menyebabkan bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh.

Kejadian ini sesungguhnya memalukan dan mencalar imej negara dan sewajarnya pihak yang bertanggungjawab dihukum setimpalnya.
Setakat ini kerugian akibat runtuhnya bumbung sepanjang kira-kira 400 meter di bahagian timur stadium itu. dikatakan kira-kira RM25 juta. Bagaimanapun, difahamkan kos membina dan mereka bentuk bumbung itu menelan kos kira-kira RM38 juta.
Suatu hal yang mungkin banyak orang tidak tahu ialah projek ini masih berada dalam tempoh jaminan selama dua tahun.

Tempoh jaminan berkuatkuasa daripada tarikh penyerahan stadium tersebut kepada kerajaan negeri iaitu pada November tahun lepas.

Yang mengejutkan dikatakan ada pihak tertentu dalam kerajaan negeri baru-baru ini mencadangkan supaya bayaran terakhir kepada kontraktor dilangsaikan segera.

Apa tujuan dan kenapa beliau beria-ia mahu disegerakan bayaran akhir itu tidak diketahui.
Bagaimanapun, oleh kerana Jabatan Kerja Raya ada memaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengenai tidak ada respon daripada kontraktor terhadap pertanyaan JKR, keputusan dibuat supaya pembayaran akhir itu ditangguhkan.

Jika tidak, selamatlah segala-galanya…
Kementerian Kerja Raya sudah menyatakan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan sebarang siasatan jika terdapat laporan daripada mana-mana pihak bahawa wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh pembinaan stadium bernilai RM292 juta itu.

Ini janji bukan untuk menyedapkan hati rakyat. Menterinya perlu melunaskan janjinya ini jika SPRM membuat penyiasatan.

Hari ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian bumbung runtuh di Stadium Selasa lepas.
Jawatankuasa bebas yang terdiri daripada 10 pakar kejuruteraan dan tanah itu dikehendaki menyerahkan laporan lengkap berhubung insiden itu dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Sepuluh anggota bebas itu adalah pakar dalam industri pembinaan iaitu dari Jabatan Kerja Raya, Lembaga Jurutera Malaysia, Institusi Jurutera Malaysia, Malaysia Structural Steel Association, Lembaga Arkitek Malaysia, Institution of Structural Engineers Malaysia, Jabatan Audit Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan Institut Pengajian Tinggi.
Tujuan penubuhan jawatankuasa ini ialah mengenal pasti puncapunca runtuhan, bukannya nak mencari siapa yang bersalah dalam hal ini.

"Dari situ, ia akan mengambil tindakan, memberi cadangan dan langkahlangkah yang perlu diambil untuk mengelak kejadian sebegitu berulang," katanya mengulas perkembangan terbaru siasatan terhadap stadium bernilai RM570 juta itu.

Jawatankuasa itu juga diarahkan supaya mengemukakan laporan bulanan kepada kementerian tersebut bagi memantau perkembangan kerja (siasatan) yang dipertanggungjawabkan, katanya.
“Selain itu, jawatankuasa ini juga perlu menyerahkan laporan ringkas bulanan kepada kementerian supaya kami dapat mengikuti perkembangannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi mendapan tanah di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Enam bulan? Lama juga tu…

Bagaimanapun Shaziman berkata, jawatankuasa itu akan mengeluarkan laporan awal kes itu dalam masa sebulan.

Shaziman berkata jawatankuasa itu terdiri daripada mereka yang mempunyai kewibawaan dalam kepakaran masing-masing dan berupaya untuk memberi pandangan dan syor-syor kaedah pembaikan stadium ini.

Jawatankuasa itu juga akan diberi kuasa melantik perunding untuk membantu siasatan mereka dengan syarat mereka perlu maklumkan kepada Kementerian Kerja Raya, konsultan mana yang dilantik.

Mengulas lanjut permintaan beberapa pihak yang mahukan kerjasama kementeriannya untuk mendapatkan maklumat lengkap dan terperinci berhubung pembinaan stadium berkenaan, Shaziman berkata, pihaknya sedia bekerjasama dan tidak akan menyembunyikan sebarang fakta diperlukan.

Kerajaan negeri Terengganu pula akan melantik sendiri juruperunding bebas bagi menyiasat dan membuat laporan mengenai kejadian ini.

Perunding bebas itu adalah daripada luar negara dan tugas membentuknya diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong.

Menteri Besar Terengganu berkata Rabu lalu ini bermakna akan ada dua jururunding bebas yang utama dan akan menilai punca kejadian itu iaitu satu daripada kerajaan pusat dan satu daripada kerajaan negeri.

Beliau berharap jururunding bebas yang dilantik itu akan membuat keputusan yang betul dan tepat kerana sebelum ini, tiada bangunan yang baru setahun siap di negara ini, runtuh.

Khabarnya pihak kontraktor juga akan mengadakan jururunding bebas mereka sendiri dan akan turut membuat kajian dan cadangan.

Jadi, apabila laporan siap kelak, rakyat akan dapat mengetahui dengan tepat punca dan apa masalah sebenar sehingga runtuhnya bumbung stadium berkenaan.

Bukan rakyat dan kerajaan negeri Terengganu sahaja malu kerana kejadian ini tetapi ia jelas menjejas dan mencemarkan maruah Tuanku Sultan Mizan yang namanya digunakan untuk stadium yang dianggap tercanggih di Pantai Timur itu.

Lebih memburukkan keadaan ada pihak mempersendakan keruntuhan stadium dengan mengatakan: “Bumbung’ apa pula yang akan runtuh untuk yang ketiganya dalam tempoh pemerintahan MB Mat Said ini selepas dua runtuhan yakni runtuhnya bumbung Dewan Besar SMK Wakaf Tapai, Marang pertengahan tahun 2008 lalu dan terbaru bumbung Stadium Gong Badak itu.”