Sunday, September 27, 2009

ISU SELCAT – PAS DI PERSIMPANGAN?

(Sembang Ahad)

"Kita perlu mengambil pengajaran daripada tindakan Khir Toyo yang membawa penyapu dan menghadiahkan kepada pegawai kanan kerajaan (pada November 2007, lima bulan sebelum pilihan raya umum)... membawa kepada kerajaan negeri dijatuhkan, dibenci kakitangan kerajaan negeri,"

Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi semalam. Ia sebagai peringatan dan iktibar bagaimana kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim agar jangan mengulangi kesilapan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan dua tahun lalu. Ketika itu Dr. Khir merupakan Menteri Besar Selangor.

Kejadian itu berlaku pada 12 November 2007, pada ketika kerajaan negeri pimpinan Dr. Khir menyampaikan hadiah penyapu kepada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama penyapu itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor.

Nasruddin memberikan amaran kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan pakatan pembangkang bahawa kerajaan negeri "boleh tumbang seandainya kakitangan awam terus diaibkan dan mereka mula membenci pemerintah".

Kenyataan itu dirujuk kepada tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat) yang kini menjadi isu membabitkan PAS selepas isu arak yang turut menggoncang kerajaan pakatan berkenaan.

Siasatan Selcat secara terbuka mendapat bantahan banyak pihak yang mencadangkan supaya ia dilakukan secara tertutup demi menjaga imej pegawai kerajaan.

Dan individu utama yang dirujuk dan diperkatakan ialah Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang membuat kritikan terbuka terhadap Selcat.

Cadangan Dr Hasan itu turut disokong Suhakam yang meminta supaya jawatankuasa itu mematuhi prosedur dan bertindak adil serta memahami bahawa peranannya tidak sama seperti mahkamah biasa. Namun cadangan Dr Hasan itu mencetuskan pertelingkahan antaranya dengan pemimpin pakatan pembangkang Selangor yang tidak berpuas hati dengan tindakannya yang dikatakan sering dilihat bertentangan dengan dasar kerajaan negeri.

Selcat dilihat ditubuhkan kerajaan Selangor untuk menutup segala kelemahan dan kepincangan Pakatan Rakyat yang kurang dua tahun memerintah negeri itu tetapi sudah menerima pelbagai aduan termasuk salah guna kuasa.

Dr Hasan yang menegaskan pendapatnya dilihat melahirkan sokongan kepada pihak yang mengkritik Selcat termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN).
Keadaan ini dilihat sebagai membuka ruang untuk kritikan terhadap kepimpinan kerajaan pakatan pembangkang, khususnya Menteri Besar Selangor.

Berikutan itu pemimpin pakatan pembangkang termasuk pemimpin PAS sendiri merasakan Dr Hasan tidak wajar menyatakan pandangan sedemikian kerana Selcat adalah inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat selepas memenangi pilihan raya umum 2008.

Banyak pihak menggesa agar Pesuruhjaya PAS Selangor itu keluar pakatan pembangkang negeri itu dan dikenakan tindakan disiplin ekoran pendirian beliau mempertikaikan secara terbuka perjalanan Selcat.

Di pihak PAS, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpendapat, Dr Hasan harus berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang memperlihatkan PAS seolah-olah hanya mengambil berat mengenai isu mengharamkan alkohol dan judi.

Mohamad Khir Toyo menyerahkan penyapu kepada wakil Majlis Daerah Hulu Selangor pada majlis anugerah Bulan Kualiti 2007 di Shah Alam.

Malah, PAS Selangor sendiri dikatakan mahu mengenakan tindakan disiplin terhadap Dr Hassan walaupun Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata pertemuan antara Hasan dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini, tidak menyentuh soal tindakan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Apapun, terpulang kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengambil tindakan berikutan kritikan terbuka Dr Hasan itu, termasuk membuat rombakan terhadap Selcat.

Menurut laporan media, Badan Perhubungan PAS Selangor yang disertai 62 anggotanya, akan mengadakan mesyuarat tergemparnya hari ini bagi menentukan hala tuju parti itu di negeri berkenaan. Mesyuarat yang diramal ‘panas’ kerana anggotanya dijangka membidas Pesuruhjaya PAS negeri itu, selain Setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman.

Perkembangan itu berlaku ketika PAS, selepas setahun setengah menjadi sebahagian Kerajaan Selangor, kini berada di persimpangan menentukan kedudukan dan peranannya di negeri itu.

Di satu pihak, ada mengutarakan PAS negeri itu melaksanakan pendirian Islam yang tidak bertolak ansur manakala di pihak lain memilih pendekatan sederhana dalam kerjasama dengan rakan dalam pakatan pembangkang.

Banyak pihak dalam PAS beranggapan, walaupun Datuk Hasan memberikan pandangan yang berbeza, beliau jangan sampai dipancung atau ditendang dari PAS.

Mereka berpendapat perbezaan pandangan seperti itu akan mewujudkan satu kaedah pemantauan pengurusan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Seharusnya “kita dengar dulu penjelasan daripada Datuk Hasan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman," kata Roslan.

"Apa yang ditegur oleh Datuk Hasan ada kewajarannya," kata beliau.

Amat jelas bahawa pakatan pembangkang kini berada di persimpangan dengan adanya pandangan berbeza daripada PAS.

Dalam konteks Selcat ini, Umno Selangor menyokong cadangan Pesuruhjaya Pas negeri itu, yang mahu supaya proses pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor, dilakukan secara tertutup demi menjaga imej dan maruah pegawai kerajaan.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar, tindakan Selcat yang membuat pendengaran awam secara terbuka dianggap amat tidak adil kerana peranannya tidak sama seperti mahkamah yang mempunyai pendakwa dan hakim yang boleh menjatuhkan hukuman kepada tertuduh jika didapati bersalah. Beliau turut mempertikaikan tugas Selcat yang didakwanya cuba untuk mengambil alih peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) demi kepentingan politik kerajaan pakatan pembangkang.

“Selcat bukannya mahkamah yang mempunyai cukup kuasa...penyiasatan yang dibuka kepada awam hanya akan memalukan pegawai sedangkan mereka belum terbukti bersalah. Tidak adil Selcat panggil pegawai kerajaan atau pihak yang berkenaan kemudian SPRM nak siasat lagi...macam kerja dua kali, seolah Selcat nak ambil tugas SPRM yang sepatutnya buat penjelasan kalau ada penyelewengan kuasa dan juga rasuah. Jika mahu buat penyiasatan biarlah secara senyap dan mungkin bila sudah cukup bukti baru dibuat secara terbuka,” katanya semalam.

Persoalan ialah kenapakah dengan kedudukan berapa keputusan kepimpinan pakatan pembangkang yang terang-terangan bertentangan dengan prinsip PAS, pemimpin PAS tetap bertahan kerajaan Selangor?

Sanggupkah PAS terus-terusan dilihat hanya penumpang yang kedudukannya seperti melukut di tepi gantang?

Apakah PAS tidak bimbang ia akan kehilangan sokongan selepas kerajaan Selangor kini lebih dilihat mementingkan perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip perjuangan PAS?