Friday, October 18, 2013

PEMILIHAN SENGIT - TIGA BAHAGIAN UMNO TERENGGANU DAPAT KETUA BARU?

Yang pasti UMNO Bahagian Kuala Terengganu akan mendapat ketua baru esok.

Sementara diramalkan di UMNO Bahagian Dungun dan Marang akan ada perubahan. Itu ramalan semata-mata.

Sementara di UMNO Bahagian Dungun, djangkakan persaingan sengit akan berlaku dan keputusan di luar jangkaan mungkin berlaku.

Pemilihan kali ini menarik kerana selain tujuh Bahagian UMNO menghadapi pertandingan, cakap-cakap kononnya ada penajaan oleh pihak tertentu selain ada individu ‘bukan orang politik’ masuk campur turut menghangatkan spekulasi.

Pada 13 Oktober lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu Datuk Muda Mamat (kanan) tidak menyebut bahawa pertandingan bagi Ketua UMNO Bahagian Dungun, Kemaman dan Setiu akan ada persaingan sengit esok.

 Beliau hanya menyebut secara khusus mesyuarat perwakilan dan pemilihan Umno 2013 bagi jawatankuasa Bahagian Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu yang akan berlangsung esok dijangka lebih sengit berbanding pemilihan tiga sayap parti Sabtu lalu.

Muda menyebut, pertandingan di keempat-empat bahagian itu agak 'panas' kerana calon yang bertanding semuanya mempunyai penyokong kuat masing-masing.

Kerana itu, peluang mereka juga agak seimbang kerana keistimewaan tersendiri.

Hanya UMNO Bahagian Besut nampaknya ‘tenang’ apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad (kiri) menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Umno Bahagian Besut setelah pencabarnya, Adun Jerteh Muhamad Pehimi Yusof menarik diri.

Ini bermakna tujuh lagi bahagian iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman akan menyaksikan pertemuan satu lawan satu hingga empat penjuru bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian. Kuala Nerus dan Marang dikatakan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru, Dungun (tiga penjuru) manakala Hulu Terengganu pertandingan satu lawan satu.

Tengku Putera
Untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian di Hulu Terengganu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari menentang Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Ini bermakna Tengku Putera yang menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu selama 18 tahun sejak 1995 buat kali pertama menghadapi cabaran.

Bagi UMNO Bahagian Kuala Nerus, penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri akan berdepan pertandingan empat penjuru, termasuk Datuk Ahmad Razif Abd Rahman yang juga ADUN Seberang Takir. Ahmad Razif yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menawarkan diri bertanding jawatan itu berdasarkan kedudukannya sebagai satu-satunya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen Kuala Nerus yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-13, Mei lalu.
Ahmad Razif

Ahmad Razif juga memegang jawatan EXCO kerajaan negeri. Calon lain yang akan merebut jawatan itu ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus Datuk Abdul Rahin Mohd Said dan ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu, Mohd Shapian Ali.

Marang juga dijangka sengit apabila Ketua Bahagian Datuk Yahya Khatib Mohamad yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri bakal ditentang anak saudaranya sendiri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri A Latiff Awang. Selain dua calon berkenan, turut bertanding ialah bekas exco Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan Zainal Alang Abdul Rahman.
Din Adam

Hakikatnya, kita jangan ambil mudah pertandingan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Dungun kerana bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Din Adam kini tampil dua kali berturut-turut mencabar Datuk Dr. Rosli Mat Hassan selaku penyandang Ketua UMNO Bahagian Dungun bagi merebut jawatan berkenaan.

Di Setiu, bekas EXCO kerajaan negeri dan veteran UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Ghazali Abdul Rahman menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding mencabar Ketua Bahagian UMNO Datuk Mohd Jidin Shafie.

Bagi UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Yang Dipertua DUN, Mohd Zubir Embong yang sebelum ini meuar-uarkan akan bertanding jawatan itu akhirnya membatalkan hasrat berkenaan.

Sekali gus ia menyaksikan pertembungan dua penjuru iaitu antara Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Ir Mohd Johari Awang.

Mohd Jidin Shafie
Kerusi Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu kosong berikutan keputusan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tidak mempertahankan jawatan.

Selain persaingan sengit di kalangan calon, beberapa isu berkaitan pemilihan kali ini turut diperkatakan termasuklah kononnya sesetengah calon bagi merebut jawatan ketua bahagian ditaja oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said, yang kemungkinan berlakunya perpecahan dalam Umno Terengganu.

Ahmad Said dikatakan menaja calon tertentu untuk menjamin Ketua Bahagian UMNO di negeri ini memberikan sokongan kepada beliau.

Kerana itu pada 25 September lalu, Ahmad Said menafikan dakwaan sambil menegaskan dakwaan itu berupa cubaan untuk mempengaruhi anggota parti dalam membuat keputusan pada pemilihan peringkat bahagian dan sayap Umno negeri esok.

"Itu spekulasi...saya sendiri didatangi orang tertentu kononnya mereka datang jumpa saya nak minta restu bertanding. Bagi saya, itu terpulanglah pada mereka. Lepas itu saya dapat cerita mereka bertanding sebab MB suruh, payahlah macam ni! Kita nak ambil sikap berdiam pun salah, cakap banyak pun salah. Orang nak ambil kesempatan bermacam caranya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri pada hari berkenaan.

Ahmad Said yang akan mempertahankan jawatannya turut dicabar bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman Mat Dalam Awang.

Jadi siapa pula menaja Mat Dalam?

Berkaitan dengan isu ‘tajaan’ ini, ada pihak turut dijadikan sasaran kecaman kerana dituduh mencampuri urusan pemilihan kepimpinan UMNO di negeri ini.

Beberapa tuduhan terhadap individu berkaitan dipaparkan melalui beberapa kain rentang di beberapa lokasi di negeri ini dan kemudiannya disebarkan melalui Facebook.

Individu yang diseret dalam isu ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd.,Datuk Wan Ahamad Wan Muda.

Berikutan itu, pada 30 September lalu, Wan Ahamad yang seketika berdiam diri akhirnya tampil dengan menyifatkan tuduhan tidak berasas mengenai persaingan bagi jawatan-jawatan Ketua UMNO bahagian dengan menjadikannya sebagai sasaran itu, sungguh mengecewakan.

Tuduhan berunsur fitnah dan hasutan itu dianggap boleh menyebabkan masyarakat memandang serong sekali gus menjejaskan kewibawaannya sebagai peneraju syarikat pegangan utama pelaburan negeri itu dan menjatuhkan maruahnya serta keluarga.


Sebagai tindakan membersihkan namanya, beliau membuat laporan polis pada 25 September lalu dan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Bagi Wan Ahamad, pertandingan dan proses menawarkan diri dalam parti adalah hak individu selaras dengan amalan demokrasi dan tidak kena-mengena atas arahan atau permintaan dan peruntukan yang disalurkan.

Berdasarkan kepada beberapa perkembangan pemilihan sayap Sabtu lalu, beberapa calon yang dikatakan ‘rapat’ dengan Ahmad Said umpamanya Asfalinda Anuar yang kalah bagi pertandingan jawatan Ketua Puteri Bahagian Kemaman turut menjadi bualan.

Malah, kekalahan Nordiana Shafie untuk Ketua Wanita bagi Bahagian UMNO Kuala Terengganu turut dikaitkan dengan Ahmad Said.

Apapun hasilnya, kita tunggu proses pemilihan jawatankuasa dijangka bermula sekitar pukul 10.30 pagi esok.

Keputusan rasmi dijangka mula diumum  pukul 11 malam di bahagian masing-masing.