Saturday, April 25, 2009

TUGAS BERAT HISHAMUDDIN

(Isu Sabtu)

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berdepan dengan tugas berat.
Ada dua pandangan berbeza yang ketara antara kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteriu Besar, Datuk Seri Idris Jusoh mengenai perlantikan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru.

Selain itu Kumpulan 10 yang menentang Ahmad Said sudah membuat kenyataan bahawa mereka tidak mahu berdamai.
Persoalannya siapa serang siapa dan siapa yang menawarkan perdamaian.
Amat aneh apabila dalam kes ini, yang kena serang (Ahmad Said) yang kena serang ajak berdamai dan pihak yang menyerangnya, enggan berdamai.

Presiden parti dan Perdana Menteri perlu melihat isu ini dengan serius.
Ahmad Said berjanji akan bekerjasama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, bagi mengukuhkan parti itu di negeri ini.

Sebagai Timbalan Pengerusi, beliau akan membantu Naib Presiden UMNO itu melaksanakan tugas tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pelantikan Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu diumumkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Bekas Menteri Besar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata, pelantikan Hishammuddin diyakini dapat menangani isu krisis kepercayaan terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Idris sebaliknya berkata pelantikan Naib Presiden Umno itu, juga akan dapat menyelesaikan masalah pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Selain itu, Idris yang juga Adun Jertih, berkata ia juga dapat menyelesaikan pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah dinafikan kuasa kepada Adun oleh Menteri Besar, sebelum ini.

Jelas ada perbezaan ketara dalam kedua-dua kenyataan ini di mana Ahmad Said tidak langsung menimbulkan kemelut politik dan serangan terhadap beliau, sebaliknya Idris nampaknya belum berpuas hati dengan apa yang difikirkannya patut diselesaikan hasil perubahan kepimpinan Terengganu itu.

Kepada Ahmad Said beliau menganggap Hishammuddin yang bukan asing kepada Terengganu akan membolehkan gandingan mereka ‘adalah yang terbaik’ bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Said tidak menyebut langsung soal ‘serangan terhadapnya’ yang sepatutnya beliaulah merasa tertekan dan mengharapkan Hishamuddin dapat meredakan politik Teren gganu yang masih terasa bahangnya.

Selain itu Ahmad Said berharap benar agar ahli UMNO di semua peringkat menerima keputusan itu dan memberi sokongan padu kepada pucuk pimpinan UMNO negeri yang baru untuk mengukuhkan parti.

Idris pula percaya pentadbiran parti akan jadi lebih baik dan tersusun, yang membawa makna jelas bahawa UMNO Terengganu kini dalam keadaan ‘huru hara’.

Kelab Penyokong BN Terengganu semalam menolak pelawaan Ahmad Said untuk berdamai dan kembali bekerjasama dengan ADUN yang dilabel sebagai penentangnya bagi mengembalikan semula kestabilan politik di negeri ini.

Setiausahanya, Alias Abdullah, berkata kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu pernah diucapkan ketika mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar pada Mac tahun lalu, apabila mengatakan berazam menjadi pemimpin berjiwa besar dan tidak meminggirkan wakil rakyat yang pada awalnya tidak menyokong beliau.

"Bukan saja ucapan itu tidak pernah direalisasikan, Ahmad sebaliknya sentiasa melabelkan sebahagian besar wakil rakyat BN sebagai kumpulan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh," katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas Hishamuddin terpaksa berdepan dengan cabaran bagaimana membawa Kumpulan 10 untuk duduk semeja dengan Ahmad Said.

Persoalan juga, bagaimana Hishamuddin akan ‘menguruskan isu sms ugut bunuh’ jika perkembangan seterusnya semakin membuktikan ada pengikut orang penting politik daripada Kumpulan 10 itu melakukan perbuatan berkenaan.

Ini berikutan polis sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

DR AHMAD RAMZI YANG DICARI POLIS

Tiada lagi komplikasi atau blur-blur. Terang lagi bersuluh.
Seorang pengunjung Law (LLB) Center, bertanya melalui posting saya ANTARA UBI GADUNG DAN AIR NIRA(2) semalam: “who would it be the said dr?” sementara Tom yam Pok Tek berkata: “…amat mengelirukan politik terengaganu ini,silap2 runtuh pemerintahan BN ganu”.

Bagi saya ia tidak rumit kalau diselesaikan mengikut selera orang Terengganu. Melainkan jika ada campurtangan yang tidak berkaitan, Terengganu tidak akan bergelora.

Kini ikut selera Datuk Seri Hishamuddin Husseinlah kemana beliau mahu membawa politik Terengganu, walaupun timbalannya ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sendiri.

Apapun, untuk menjawab pengunjung Law (LLB) Centre, jawapannya seperti berikut:


SMS ugut ADUN: Polis Terengganu cari bekas calon BN

Sabtu April 25, 2009

KUALA TERENGGANU: Polis sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

"Ahmad Ramzi dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga Adun itu menerima SMS ugutan berkenaan.

"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, Mohd Fauzi berkata, polis telah berusaha mencari Ahmad Ramzi di rumahnya tetapi tidak berhasil.

Ahmad Ramzi bertanding pada kerusi Parlimen kawasan Marang pada pilihan raya umum lepas tetapi tewas.

Pada 13 April lalu, ADUN Ajil, Datul Rosol Wahid, Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) menerima ugutan SMS yang mengancam keselamatan mereka yang dipercayai berhubung isu politik di Terengganu.

Sebelum ini, polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor Isnin lepas kerana disyaki menghantar SMS ugutan itu.

Mohd Fauzi berkata, perintah tahanan reman ke atas kerani itu dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.

"Polis Terengganu juga telah menghantar anggota untuk mengambil komputer di pejabat kerani itu bagi membantu siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya.
Beliau berkata, setakat ini, pihaknya belum mendapat petunjuk sama ada ADUN-ADUN di negeri itu terlibat dalam kes tersebut atau sebaliknya. BERNAMA