Saturday, October 24, 2009

Nik Aziz atau PAS yang “Ghok-Ghak”?

(Isu Sabtu)

Siapa sebenarnya yang ghok-ghak (kacau)? Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau PAS?

Nik Aziz nampaknya menyerang Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan juga Datuk Dr Hassan Ali. Sebelum ini dia ‘menyerang’ Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa.

Jelas kini dalam PAS, kepimpinan utama parti adalah satu pasukan dan Nik Aziz bersendirian.
Kalau ada yang menyokongnya pun mungkin bekas Naib Presiden yang kalah seperti Datuk Husam Musa serta pemimpin PAS yang sudah dikitarsemula lagi seperti Datuk Mahfuz Omar dan Mohamad Sabu.

Bagi Nik Aziz, Hassan atau Mustafa tidak habis-habis dengan hendak bekerjasama PAS dengan UMNO ke arah kerajaan Perpaduan.

“Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan, kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni? “Tidak boleh jadi ni, kita “ghok-ghak” (kacau) begini, orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khas, senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana... kita nak kekal yang mana dan buang yang mana," katanya.

Nik Aziz begitu yakin hanya Muktamar Agung Khas saja yang dapat menyelesaikan masalah dalaman parti itu.

PAS kini menghadapi krisis besar selepas berlakunya pertelingkahan ketika isu kerajaan perpaduan digembar-gemburkan sebelum muktamar PAS lalu.

Semalam Mursyidul Am PAS itu, mahu parti berkenaan mengadakan Muktamar Agung Khas bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu, termasuk menukarkan pemimpin utamanya.

Beliau berkata, muktamar itu perlu diadakan bagi memberi peluang kepada perwakilan membuat keputusan yang akan menentukan haluan parti.

Amat jelas penyelesaian bagi Nik Aziz adalah menukar pemimpin.

Apakah pemilihan yang lepas tidak sah?

Jawapannya ialah Nik Aziz, yang sepatutnya tidak berpihak, seakan-akan mempersoalkan keputusan pemilihan parti apabila berkata: “Dalam muktamar khas yang dicadangkan itu, Nik Aziz menekankan keperluan kepada proses pemilihan yang ringkas, telus, dan melindungi kerahsiaan undi.”

Kenapa pula Nik Aziz yang ‘sour grapes’ sedangkan yang kalah Husam Musa?

Apakah Nik Aziz bermain politik untuk menjamin orangnya menang semula dengan menimbulkan isu kerajaan perpaduan ini?

Yang jelas, pemuda PAS dan Dewan Ulamanya selari dengan presiden dan timbalannya dalam isu kerajaan perpaduan ini.

Yang menentang keras hanyalah kumpulan yang ‘pro-Anwar’ dan mengharapkan Penasihat PKR itu menjadi Perdana Menteri.

Melalui blog peribadinya, www.blogtokguru.com, beliau menyatakan pendapat peribadinya (sama ada beliau sendiri tulis atau pembantunya tidak penting) : “Isu kita ialah dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang (Presiden MIC) Datuk Seri Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain, maka pelik apa kalau kita panggil mesyuarat parti tergempar.”

Malah Menteri Besar Kelantan itu turut mengaitkan UMNO yang mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membuat pindaan perlembagaan dan MCA mengadakan Perhimpunan Agung Luar Biasa sehingga ahlinya membuat keputusan untuk menyingkir dua pemimpin utama mereka.

Beliau berkata, kepemimpinan PAS perlu mendapat mandat baru bagi persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang. “Bila mesyuarat agung tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah, kita pakat-pakat belalah,” katanya.

Ada dua tiga persoalan di sini. Pertama, sah sudah jika berpakat dengan Melayu dan UMNO, Nik Aziz tidak mahu.

Kedua, dia rela menggoncang PAS untuk menjamin ‘anak didiknya’ mendapat tempat dalam parti, selain rela mengorbankan PAS untuk menjamin Anwar menduduki takhta Perdana Menteri.

Ketiga, Nik Aziz melihat DAP dan PKR lebih mulia daripada UMNO hanya kerana fobianya apabila PAS ditendang keluar oleh BN selepas berada dalam kerajaan campuran beberapa ketika.

Soalan lain ialah kenapakah Nik Aziz begitu tertarik dengan analisis pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Aziz Bari, yang memperkatakan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini?

Antara penyebabkan kekalahan menurut Prof Aziz ialah kekecohan di Selangor dan mencadangkan PAS mengambil langkah drastik seperti memecat Hassan.

Selain itu profesor undang-undang terkenal itu juga mengkritik Abdul Hadi yang tidak membuat sebarang kenyataan terhadap isu membabitkan Hassan.

Bagus juga Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, tidak memulangkan paku buah keras atau membelasah balik Nik Aziz apabila sekadar berkata kenyataan Nik Aziz itu adalah pandangan peribadi.

Nasharuddin boleh ‘kurang ajar’ pada ketika pemimpin PAS lain melihat perpaduan Melayu-Islam penting dan hanya Nik Aziz tidak berpendapat sedemikian. Namun beliau tidak sedemikian.

Bagi Nasharuddin, dengan lembut beliau menolak pandangan Nik Aziz itu dengan mengatakan ia tidak boleh membawa kepada perubahan dasar dalam parti kerana parti adalah milik parti yang bermuktamar setiap tahun.

Dengan kenyataannya bahawa perkara itu akan dibawa dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama secepat mungkin dan mendapatkan penjelasan daripada Nik Aziz sendiri mengenai apa maksud beliau yang sebenar, yang tertekan kini Nik Aziz.

Bagi Hadi, Mustapa, Nasharuddin dan Dr Hassan, mereka boleh mendengar sendiri rungutan peribadi Nik Aziz dan PAS sewajarnya tidak perlu mengadakan mesyuarat luar biasa kalau hanya sekadar untuk memuaskan hati orang di sekeliling Nik Aziz.

Lagipun, PAS hanya kalah sekali di Bagan Pinang. Bagaimana dengan di Manek Urai, Kuala Terengganu di pilihan raya kecil di Perak, apakah sumbangan pemimpin PAS di situ terlalu kecil?

MARI RAMAI2 SOKONG 12 PENDUDUK SEKSYEN 23

Saya sudah sokong dan membantu. Anda bila lagi?

Bantuan untuk 12 Penduduk Seksyen 23

Jangan hanya cakap, betul-betul bantu penduduk Seksyen 23 Shah Alam

Semasa penduduk Seksyen 23 Shah Alam mahu berdemonstrasi menentang pembohongan kerajaan Selangor terhadap mereka, begitu ramai individu dan pertubuhan yang datang memberi semangat dan menjanjikan sokongan. Ada yang tidak malu dan tidak segan mengaku telefon saja dirinya dia akan dapatkan bantuan dari pejabatnya.

Apabila mereka di caj di mahkamah, mereka yang berjanji tidak pun mengangkat talipon. Masa mahu meletakkan duit untuk baik kepada mahkamah, difahami peguam yang membantu yang menghulurkan wang.

Kebanyakkan mereka yang memahamai isu demonstrasi yang berkaitan dengan isu kuil Seksyen 23 faham bahawa kepala lembu itu tidak ditujukan kepada orang Hindu yang pasti agak sensitif kerana lembu dianggap binatang suci oleh mereka.

Sungguh menghairankan apabila ada antara penduduk yang berdemonstrasi dicaj di bawah Akta hasutan yang berat. Ianya seolah-olah ada pihak yang melakukan tindakan hanya berdasarkan sentimen semasa dan bukan berasaskan rasional.

Agak mengecewakan sekali kerana penduduk telah menerangkan kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri tetapi mereka tetap dipaksa hadapi proses pengadilan. Bukan masaalah menang atau kalah, kerana mudah mereka lepas jika diberi perkhidmatan guaman yang efektif.

Padahal banyak isu-isu yang melibatkan Akta Hasutan yang lebih jelas dan makan bertahun-tahun dibiar tidak didakwa. Bukankah penguatkuasaan undang-undang sepatuitnya mengambil prosesnya sendiri tanpa campurtangan dan tekanan dari pihak lain.

Penduduk Seksyen 23 perlu diberi pembelaan orang ramai kerana mereka bangun menentang kerajaan negeri yang tidak menjalankan peruntukan ugama Islam yang seperti dalam semangat perlembagaan dan gagal mengimbangi kepentingan semua pihak dalam keputusan mereka.

Wakil-wakil rakyat mereka berbohong dan memutarbelit fakta kepada rakyat. Apabila terjebak, mereka membuat pelbagai tuduhan liar hingga menuduh pihak yang tidak terlibat sebagai dalang.

Maka mereka perlu dibantu dan jadikan insiden ini sebagai satu ikatan kerjasama untuk menjaga kepentingan ummah yang nampaknya terhakis oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang mengaku pejuang Islam konon. Mana tahu, kawasan perumahan anda boleh dipaksa sesuka hati oleh kerajaan negeri nanti.

Sesiapa yang berminat membantu mereka, sila sumbang seperti butiran dalam gambar sebelah. Bagi yang boleh membantu menghebahkan, sila letakkan gambar di blog dan portal anda.

Sumber: MyKMU & Unspinner

PROF AZIZ BARI BAGAIKAN ‘MUSUH MELEMAHKAN ISLAM’

Dalam UMNO, pemimpin UMNO Kelantan melenting kerana kritikan daripada pemimpin UMNO Terengganu pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Ia gara-gara kekalahan berterusan UMNO di Kelantan.

Dalam PAS pula, pemimpin PAS Kelantan khususnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkritik kepimpinan PAS Terengganu yang menyebabkan kedua-dua pihak kini dikatakan bermasam muka.

Ia gara-gara tulisan Prof Abdul Aziz Bari mengenai kesan kekalahan PAS pada pilihan raya Bagan Pnang. PAS Kelantan menyetujui pendapat Prof Aziz sementara PAS Terengganu menyifatkan ia sebagai “agenda musuh yang mahu melemahkan Islam’.

PAS Terengganu meminta semua pihak supaya berhati-hati (hazar) agar tidak terperangkap dengan agenda musuh melemahkan Islam apabila merujuk kepada tulisan Prof Aziz, Pensyarah Undang-Undang UIAM, Gombak di dalam ruangan Perspektif Sinar Harian Isnin 19 Oktober 2009 di bawah tajuk “Pengajaran dari Bagan Pinang: Pas kena ambil langkah drastik lakukan reformasi kepimpinan” .

Institut Kajian Polisi PAS Negeri Terengganu (IKPNT ) menganggap tulisan Aziz Bari sebagai tidak seimbang dan hujah-hujah yang digunakan tidak bertepatan.

Bagi PAS Terengganu, Prof Aziz sewajarnya membicarakan kepincangan dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, bukan membicarakan perubahan kepimpinan yang mesti dilakukan oleh PAS secara drastik.

Persoalannya, apakah kepimpinan PAS patut bertukar secara drastik selepas kekalahan di Bagan Pinang?

Pada hal sebelum ini PAS berjaya mengekalkan kemenangan dalam PRK Bukit Gantang, Manik Urai, Pengkalan Pasir dan merampas kerusi BN di Parlimen Kuala Terengganu.

Prof Aziz juga dianggap berhujah secara tidak professional, selain mengharapkan beliau meneliti dengan tepat keputusan-keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat di dalam isu-isu yang berkaitan dengan kritikan beliau.

Beliau juga dikatakan membuat satu persepsi yang tidak adil terhadap kepimpinan PAS dengan membahagikan kepada dua blok: pro-UMNO dan tidak pro-UMNO. Kata PAS Terengganu, sepatutnya tidak timbul lagi kerana telah diberikan penjelasan mengenainya oleh pemimpin-pemimpin PAS.

Ikuti kenyataan penuh IKPNT:

KENYATAAN IKPNT TERHADAP TULISAN PROFESOR DR AZIZ BARI

Institut Kajian Polisi PAS Negeri Terengganu (IKPNT ) tertarik untuk memberi respon terhadap satu penulisan Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Pensyarah Undang-Undang UIAM, Gombak di dalam ruangan Perspektif Sinar Harian Isnin 19 Oktober 2009 di bawah tajuk “Pengajaran dari Bagan Pinang: Pas kena ambil langkah drastik lakukan reformasi kepimpinan”
IKPNT mendapati bahawa penulisan tersebut tidak seimbang dan hujah-hujah yang digunakan tidak bertepatan, memandangkan beliau pada asalnya menyebut “sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting dari sudut perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya”.

Sepatutnya beliau banyak membicarakan kepincangan dalam PRK tersebut dari sudut undang-undang yang penuh dengan keganasan dan penipuan yang dilindungi oleh undang-undang. Pandangan terhadap keraguan proses undi pos, salahguna jentera kerajaan, ketelusan SPR dan rasuah patut diberikan pandangan dan penjelasan oleh beliau sebagai seorang ahli undang-undang.


Tetapi, sebaliknya, beliau telah membicarakan perubahan kepimpinan yang mesti dilakukan oleh PAS secara drastik. Apakah kepimpinan PAS patut bertukar secara drastik selepas kekalahan di Bagan Pinang? Sedangkan Pas berjaya mengekalkan kemenangan dalam PRK Bukit Gantang, Manik Urai, Pengkalan Pasir dan merampas kerusi BN di Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam semua PRK tersebut, kepimpinan PAS adalah kepimpinan yang sama dengan PRK N.31 Bagan Pinang. Umum juga mengetahui penyertaan Pas di Bagan Pinang disedari sukar untuk dimenangi atau sebagai “underdog” sebagaimana dikatakan oleh Pengarah PRK N.31 Bagan Pinang, YB Salahudin Ayub.
Prof. Dr Aziz Bari telah berhujah secara tidak professional. Perlu difahami bahawa kepimpinan PAS adalah sebuah kepimpinan berjemaah, dan bukan hanya kepimpinan individu seperti yang disebut oleh beliau.

Kepimpinan PAS adalah Kepimpinan Ulamak yang memikul tanggungjawab daripada amanah Allah S.W.T dan RasulNya, Muhammad S.A.W.
Pemimpin-pemimpin PAS bertindak berdasarkan keputusan-keputusan yang diambil di pelbagai peringkat selaras dengan prinsip Syura yang dipakainya. Prof. Dr Aziz Bari hanya melihat PAS sebuah parti politik.

Sedangkan PAS adalah sebuah gerakan Islam yang bertanggungjawab dalam menguruskan semua polisi dan kegiatannya di bawah dasar kepimpinannya secara berjemaah.
IKPNT mengharapkan Prof. Dr Aziz Bari meneliti dengan tepat keputusan-keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat di dalam isu-isu yang berkaitan dengan kritikan beliau. Janganlah hanya menjeling kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu dan mengatakan bahawa ini betul dan ini tidak betul sedangkan beliau sendiri tidak mendapat penjelasan rasmi daripada pihak yang berautoriti dalam PAS.

Inilah yang sepatutnya beliau lakukan sebagai seorang yang arif dalam bidang undang-undang.
Kenapa beliau telah membuat satu persepsi yang tidak adil terhadap kepimpinan PAS dengan membahagikan kepada dua blok: pro-UMNO dan tidak pro-UMNO? Isu ini sepatutnya tidak timbul lagi kerana telah diberikan penjelasan mengenainya oleh pemimpin-pemimpin PAS.

Adalah lebih bijaksana sekiranya komentar yang dibuat berlandaskan etika profesionalisme serta kefahaman yang benar terhadap PAS sebagai sebuah gerakan Islam.
Pemimpin-pemimpin PAS daripada dulu sehingga sekarang telah berjaya membuat perubahan politik dalam Negara, bahkan telah terbukti di kalangan pemimpin-pemimpin utamanya memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam memartabatkan Islam dan membela umat sejagat.

Kenapa Prof. Dr Aziz Bari membuat penghakiman yang begitu mudah terhadap kepimpinan PAS?
IKPNT percaya kepimpinan PAS bersikap terbuka untuk menerima teguran. Walaupun begitu, kita sepatutnya berhati-hati (hazar) agar tidak terperangkap dengan agenda musuh melemahkan Islam.

Selasa, 20 Oktober 2009.

Kuala Terengganu.

‘BAYI AIRASIA’ BERSAMA IBU TERBANG PERCUMA SEPANJANG HAYAT

Sebuah kapal terbang AirAsia yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuching terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan pada hari Rabu lalu apabila salah seorang daripada penumpangnya menunjukkan tanda-tanda sakit hendak bersalin.

Tetapi, penumpang tersebut, Liew Siaw Hsia melahirkan seorang bayi lelaki sebelum kapal terbang itu sempat mendarat dengan bantuan seorang doktor yang turut berada dalam kapal terbang dengan dibantu oleh beberapa orang pramugari.

"Bayi lelaki serta ibunya yang berumur 31 tahun itu boleh terbang secara percuma untuk sepanjang hayat mereka," menurut Pengarah Operasi AirAsia Moses Devanayagam selepas menziarahi mereka di hospital hari ini.

"Bayi itu dilahirkan pada ketinggian 2000 kaki di udara ketika kapal terbang AK 6506 berada di sekitar Kuala Lumpur," tambahnya lagi.

Dua beranak itu dikejarkan ke hospital yang berhampiran sejurus mendarat.

"Untuk meraikan peristiwa yang bersejarah ini, kami memutuskan untuk menghadiahkan mereka penerbangan percuma untuk seumur hidup," jelas Moses lagi.