Thursday, June 27, 2013

KUALA BESUT KUBU UMNO, N1 TETAP PENYELAMAT BN TERENGGANU

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) Terengganu kini mempunyai hanya kelebihan satu kerusi sahaja.

Nasib BN Terengganu akan ditentukan apabila pilihan raya kecil bagi DUN Kuala Besut akan diadakan berikutan kematian penyandang Dr A.Rahman Mokhtar, akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari mulai hari ini.



Yang Dipertua DUN Terengganu hari ini menyerahkan surat pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu.

Yang Dipertua DUN Mohd Zubir Embong menyerahkan surat itu kepada Pengarah SPR negeri Fakhrul Razi Ab Wahab di pejabat beliau di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada 10 pagi ini.

Fakhrul Razi berkata beliau akan menyerahkan surat itu kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini. Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut boleh diadakan selewat-lewatnya pada 27 Ogos depan.

Pada ketika pembangkang begitu bersemangat untuk bertanding berdasarkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, SPR negeri menyatakan pihaknya sudah bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut (N1).

Fakhrul Razi berkata, kesemua petugas SPR negeri yang baru sahaja selesai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu bersedia memikul tanggungjawab mengendalikan PRK itu pada bila-bila masa berdasarkan arahan yang dikeluarkan SPR.

“SPR negeri bersedia menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta tidak tmbul kesulitan kerana kita baru sahaja menjalankan PRU13 yang lalu. Semua petugas-petugas dan pegawai pengurus pilihan raya (RO) sudah mendapat latihan dan taklimat yang cukup. Mungkin hanya perlu `refreshment’ lagi sebelum diadakan PRK. Selain itu, kerjasama amat baik dari kerajaan negeri dan jabatan-jabatan yang terlibat amat memuaskan serta bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh SPR nanti,” katanya selepas menerima surat makluman kekosongan kerusi DUN Kuala Besut itu.

Semalam Anwar seperti tidak sabar-sabar mengatakan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut bakal menyaksikan saingan sengit.

"Ini satu pilihan raya kecil yang sangat kritikal, kerana majoriti yang diperolehi oleh Umno di situ (kerusi Kuala Besut) agak membanggakan. Namun mereka (Umno) hanya mendapat kelebihan dua kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, tidak sampai satu jam berita kematian Dr Rahman tersebar.

Anwar turut melahirkan keyakinan pilihan raya kecil yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tersebut merupakan peluang terbaik kepada dan Pakatan Rakyat merampas kembali kerusi berkenaan.

"Saya percaya PAS juga akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya.


Berikutan kematian Dr A.Rahman akibat kanser paru-paru kelmarin, pilihan raya kecil pertama bakal diadakan selepas pilihan raya umum diadakan pada 5 Mei lepas.

Kawasan itu akan menjadi tumpuan sekiranya pilihan raya kecil diadakan memandangkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Terengganu dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi PAS manakala satu lagi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Dr Rahman maraih 8,809 undi manakala Napisah Ismail (PAS) mendapt 6,375 untuk memenangi majoriti 2,434. Terdapat 144 undi rosak dengan kawasan pilihan raya itu mempunyai 17,713 pengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil itu diadakan pada Ramadan.

"Apa pun, SPR akan bermesyuarat untuk menentukannya (tarikh penamaan calon dan pengundian)," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan dan penyampaian sijil pilihan raya umum negara ke-13 negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan malam semalam.

Ada pihak mengatakaan BN kini berada dalam kedudukan tidak menentu kerana kegagalan untuk mengekalkan kerusi itu akan menyebabkan satu keputusan dan keadaan yang tergantung.

Sekiranya berlaku, DUN mungkin perlu dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang baru.

Yang nyata sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, DUN Kuala Besut adalah kubu kuat Umno. Namun, UMNO Terengganu tidak akan mengambil perkara itu sebagai perkara yang mudah.

Kerana itu, menurut Ketua Penerangan Umno Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, BN akan melakukan semua yang terdaya untuk mengelakkan DUN digantung. "Keadaan Dewan Undangan Negeri yang tergantung akan menjadi satu tragedi.

Kita mesti melakukan semua yang kita boleh untuk memastikan kemenangan yang meyakinkan," katanya semalam.

BN Terengganu akan memastikan calon yang dipilih untuk pilihan raya kecil itu adalah yang sama berkaliber seperti Dr Rahman.

Ada pihak mengatakan pertempuran pilihan raya kecil untuk Kuala Besut akan menjadi pertandingan hidup atau mati bagi BN.

Ini kerana pakatan pembangkang, sememangnya mahu merebut peluang untuk memerintah kerajaan. kedudukan DUN yang tergantung akan mengakibatkan krisis kerana parti yang satu lagi boleh mendakwa mereka mempunyai mandat untuk mentadbir negeri. apa yang pasti PR meletakkan satu perjuangan yang baik dan BN perlu bersedia dengan lebih baik untuk mempertahankan kerusi itu.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sekiranya keputusan pilihan raya tidak memihak kepada BN, Terengganu akan ditinggalkan dengan DUN yang tergantung, dengan gabungan pakatan pembangkang yang masing-masing mempunyai 16 kerusi negeri.

Jika ini berlaku, Sultan boleh memberi peluang kepada BN yang merupakan pemerintah pada masa ini untuk membentuk kerajaan dengan mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri.

"Jika mereka gagal, Sultan akan memberi peluang yang sama kepada pakatan pembangkang. Jika kedua-duanya gagal, Dewan Undangan Negeri perlu dibubarkan dan pusingan pilihan raya yang baru perlu diadakan bagi negeri ini.

Kerana itulah menurut Prof Datuk Dr Mohamed, Prof Dr Mohamed yang merupakan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) berkata pilihan raya Kuala Besut adalah sangat penting kerana ia akan menentukan nasib Terengganu.