Sunday, May 24, 2009

TOK PA YAKIN UMNO MELANTUN SEMULA

(Sembang Ahad)

Tahniah ‘Abang Pi” dan Dali.

Juga tahniah kepada Mohd Yassin Mohd Saad, Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO yang baru menggantikan Idris Mohamood.

Anda semua yang mendapat kepercayaan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang baru perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keyakinan bahawa UMNO Kelantan akan melantun semula.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed semalam melantik Datuk Hanafi Mamat dan Dali Hussin yang merupakan muka baru ke jawatan penting dalam Badan Perhubungan Umno Kelantan.
Mustapa, yang mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Umno negeri di Bangunan Umno berkata, pelantikan itu diyakini mampu memberi imej baru kepada Umno negeri dan berharap parti itu akan diterima semula oleh rakyat Kelantan.

Usaha Mustapa membawa imej baru diharapkan mampu untuk mengubah persepsi rakyat Kelantan seperti dibuktikan oleh beliau pada pilihan raya umum 2004 lalu.

Walaupun PAS dapat membentuk kerajaan negeri setelah menang tipis pada pilihan raya umum ke-10 Mac 2004 iaitu 24 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, ia kemudian berubah menjadi 23 sahaja apabila BN menang pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada November 2005.

Dengan kedudukan 22-23, UMNO Kelantan cuba membina imejnya melalui Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Perhubungan tetapi gagal diakibatkan banyak faktor – yang nyata terhakisnya keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional secara menyeluruh di seluruh negara.
Kini UMNO ada enam kerusi sahaja dan imej serta persepsi buruk terhadap UMNO dan BN perlu dipulihkan segera.

Mereka ialah Datuk Alwi Che Ahmad (Kok Lanas), Datuk Noor Zahidi Omar (Tumpat), Abdul Aziz Derashid (Kuala Balah), Datuk Nozula Mat Diah (Paloh), Mohd Adham Kechik (Bukit Bunga) dan Mat Yusof Abdul Ghani (Nenggiri).

Mampukah Mustapa, BN dan UMNO diterima semula?

Hakikatnya, pada pilihan raya umum ke 12 lalu, pemimpin UMNO Kelantan, khususnya calon Menteri Besar BN, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang kali terus mendapat kepercayaan menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan, mengharapkan kemenangan BN berharap membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008 dengan hasrat bukan sahaja memudahkan pentadbiran melaksanakan pembangunan.

Kemenangan juga akan membolehkan kerajaan Pusat memperkenalkan geran tahunan sebanyak RM400 juta yang diperuntukkan kepada kerajaan Kelantan sekarang akan ditambah kepada RM1 bilion sekiranya.

Dr Awang yang ketika itu juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata tujuan kerajaan pusat itu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan di negeri ini berikutan kegagalan PAS berbuat begitu dalam tempoh 18 tahun memerintah Kelantan.

Dengan kegagalan UMNO mempertahankan pencapaiannya pada 2004, Mustapa perlu melakukan ‘segala-galanya sekali lagi’.
Dengan sokongan orang kepercayaannya kali ini – termasuk Idris sebagai pegawai khasnya di Pejabat UMNO Kelantan, Mustapa berharap UMNO bangkit kembali.
Jelas mereka yang dipilih bukan pemimpin sembarangan.

Hanafi ialah Ketua Umno Bahagian Pasir Mas dilantik sebagai Bendahari Umno manakala Dali, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri.
Dali juga bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri. Kedua-dua mereka adalah calon BN yang kalah pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Hanafi gagal mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Pasir sementara Dali kalah di DUN Panchor.

Hanafi menggantikan Datuk Noor Zahidi Omar yang kini dilantik sebagai Setiausaha Umno Kelantan manakala Dali menggantikan Datuk Md Alwi Che Ahmad yang kini Setiausaha Barisan Nasional negeri.

Noor Zahidi pula adalah Adun Pengkalan Kubor yang juga Ketua Umno Bahagian Tumpat manakala Md Alwi ialah Adun Kok Lanas dan ketua pembangkang di DUN Kelantan.
Sebelum ini jawatan Setiausaha Umno Kelantan dipegang Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman.