"Mungkin kerana imej bersih dan tidak terpalit dengan skandal – Tok Pa dengan yakin berdiri di depan khalayak antarabangsa dan menjawab soalan yang diajukan...beliau antara menteri paling banyak ke luar negara."
Secara jujurnya saya tersangat ingin mempelajari ilmu bagaimana
Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) berdepan menteri, ahli perniagaan,
cendikiawan, orang politik, wartawan dan berbagai pihak lain di luar negara ketika
Malaysia dituduh negara kleptokrasi.
Ilmu ‘tebal muka’ dan menunjukkan keyakinan ini bukan ada
pada semua pemimpin.
Malah di Malaysia, dilihat ada pemimpin yang ‘enggan atau
tidak berani berdepan’ di mesyuarat dan forum penting dunia, mungkin kerana
kebimbangan akan disoal dengan berbagai soalan ‘cepu mas’.
Tok Pa sebaliknya – mungkin kerana imej bersih dan tidak
terpalit dengan skandal – berani berdiri dengan penuh yakin di depan khalayak antarabangsa dan
menjawab soalan yang diajukan.
Saya mengatakan begini kerana Tok Pa adalah kalangan beberapa menteri
paling banyak ke luar negara, malah ke sidang utama dunia, termasuk membabitkan
perjanjian perdagangan atau forum-forum perniagaan antarabangsa.
Pada ketika negara berdepan dengan siasatan antarabangsa
dalam isu 1Malaysia Development Behad, Tok Pa sebagai Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (MITI) dilihat ‘tidak pernah’ cuba ‘menguzurkan diri’
sebaliknya terus menerus cuba ‘menjual Malaysia’ ke pasaran antarabangsa.
Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib diserang teruk
oleh media antarabangsa, Tok Pa terus berdiri megah di persada dunia sebagai
orang politik paling berani berdepan dengan masyarakat perniagaan dan
pelaburan.
Bukan mudah untuk melakukan tugas ini.
Apalagi dikatakan kini, kedudukan Malaysia di kaca mata
dunia dikatakan begitu merudum.
Namun Tok Pa tidak menoleh ke belakang.
Sejak merundingkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPPA) hinggalah Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru, Donald Trump
menggugurkan gagasan itu, Tok Pa tidak menunjukkan kekecewaan kerana ‘penat
lelahnya lebih enam tahun kini terbuang ke dalam longkang’ begitu sahaja.
Malah Bloomberg mengatakan Malaysia bakal menjadi
negara keempat dalam rantau Asia Tenggara yang paling teruk terjejas
berikutan kemenangan Donald Trump semalam, menurut kajian firma erkemuka
Nomura Global Economics.
Aspek yang dijangka terjejas teruk itu ialah jumlah
eksport ke Amerika dengan Filipina bakal kehilangan sehingga 15 peratus,
Thailand (lebih 11 peratus), Indonesia (sekitar 11 peratus), Malaysia (hampir
10 peratus) dan Singapura (hampir 10 peratus).
Bagi Tok Pa, jika TPPA tidak menjadi realiti, Malaysia
akan meningkatkan perdagangan di kalangan dengan negara ASEAN dan Asia selepas
pengunduran AS daripada TPPA pada 23
Januari lepas.
Kepada Tok Pa, negara anggota ASEAN akan menjadi tumpuan
utama perdagangan Malaysia, diikuti dengan China, Korea Selatan, Jepun serta
India.
"Sepuluh negara ASEAN merupakan menjadi keutamaan
kita. China dan negara-negara Timur Laut Asia seperti Jepun, Korea Selatan
serta India juga penting.
"Setakat ini, China masih menjadi rakan dagangan
kita yang terbesar. Ini bukan perkara baharu kerana kita selalu menjalinkan
kerjasama dengan China," katanya pada 29 Januari lalu.
Sudah pasti untuk menjayakan semua ini Tok Pa perlu
menghadiri berbagai pertemuan antarabangsa di masa akan datang.
Akan berundurkah Tok Pa? Tidak mungkin kerana dia boleh
buat ‘muka tebal’ di kalangan pemimpin Asia dan ASEAN demi menjayakan misi
negara.
Malah, berkaitan dengan perdagangan, sudah pasti isu
keyakinan antarabangsa juga merudum seperti merudumnya mata wang Ringgit di
pasaran antarabangsa.
Namun semangat Tok Pa tidak merudum. Tok Pa masih tidak
letih dan tetap bertenaga.
Mungkin Perdana Menteri tidak melihat kepada kegigihan ini,
tetapi sebagai rakyat biasa, kita wajar menghargai Tok Pa yang berpaksa
‘berperang dengan krisis keyakinan negara’ dan suasana ekonomi yang semakin
mecabar, apalagi selepas Trump menjadi Presiden AS.
Malah, ketika Najib dikatakan ‘tidak selesa’ untuk hadir
ke forum antarabangsa tertentu seperti Forum Ekonomi Dunia di Davos,
Switzerland, Tok Pa hadir dan mengatakan Malaysia perlu bergerak daripada isu
1MDB.
Menurutnya Malaysia sudah
ambil banyak pengajaran dan Malaysia sekarang sedang bergerak ke depan”,
daripada dakwaan skandal melibatkan ramai tokoh, termasuk ahli politik yang
mencuri perhatian dunia.
“Pada dasarnya kita perlu bergerak ke depan dan kita
yakin isu-isu yang muncul daripada 1MDB pada suatu tahap, akan kita tinggalkan.
“Kita ada pihak berkuasa yang mencari siapa yang bertanggungjawab mewujudkan masalah ini.
“Undang-undang akan selesaikannya,” beliau dipetik sebagai berkata oleh AFP pada 18 Januari lalu.
“Kita ada pihak berkuasa yang mencari siapa yang bertanggungjawab mewujudkan masalah ini.
“Undang-undang akan selesaikannya,” beliau dipetik sebagai berkata oleh AFP pada 18 Januari lalu.
Untuk rekod, Tok Pa mengetuai delegasi Malaysia ke
mesyuarat tahunan dari 17-20 Januari itu.
Malah pada majlis makan tengah hari perniagaan di Davos
20 Januari lalu, Tok Pa membneritahu majlis itu, Malaysia akan mengkaji kemungkinan
untuk meneruskan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala dengan ahli
Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang berkaitan jika Perjanjian TPP tidak
menjadi kenyataan.
Negara juga akan memberi keutamaan dalam mengukuhkan
integrasi ekonomi dalam ASEAN dan berusaha untuk memuktamadkan Kerjasama
Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), tegas Tok Pa.
Majlis itu dihadiri pelabur antarabangsa yang berpotensi
dan sedia ada daripada pelbagai sektor dan negara anjuran bersama Khazanah
Nasional Bhd dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Tok Pa jelas tidak menghiraukan mengenai imej yang
disebut sebagai dicalarkan oleh pihak luar gara-gara isu1MDB yang dikaitkan
dengan Perdana Menteri, selain siasatan oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ)
gara-gara isu berkenaan.
Gelaran Malaysia sebagai kleptokrasi tidak dihiraukan
oleh Tok Pa kerana baginya, kehidupan ekonomi dan perdagangan negara perlu
bergerak terus.
Apa yang menarik dan semestinya menjadi hala tuju Tok Pa
di masa akan datang ialah terus ‘menebalkan mukanya’ bukan sahaja menjawab
soalan mengenai hala tuju ekonomi Malaysia, tetapi meyakinkan pelabur untuk memanfaatkan
peluang yang terdapat di rantau ASEAN yang dinamik dengan menjadikan Malaysia
sebagai pintu masuk.
Pada ketika dikatakan imej negara semakin merudum Tok Pa
tetap berkeyakinan bahawa kelebihan Malaysia termasuk dari segi kestabilan
politik, mempunyai asas ekonomi yang kukuh, dasar yang mesra perniagaan,
mempunyai infrastruktur yang baik, kedudukannya yang strategik dalam ASEAN dan
pemudahan pelaburan melalui MIDA, akan terus menjana kepercayaan dan keyakinan
pelabur asing.
Jika tidak kerana usaha kerasnya dengan beberapa pihak
lain, mungkinkah sebilangan besar syarikat asing seperti Novartis, Roche, GE
dan Standard Chartered yakin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau
mereka?
Kita bernasib baik ada menteri ‘tebal muka’ dan
berkeyakinan tinggi seperti Tok Pa.
Jika tidak, dengan negara yang dikatakan berada pada
tahap yang semakin merudum, termasuk berada di kedudukan ke-25 daripada 138
ekonomi dalam laporan daya saing global,
kita akan berdepan dengan suasana semakin teruk.
Dengan turunnya dari anak tangga ke-18 tahun lepas,
walaupun masih kekal sebagai ekonomi paling kompetitif dalam kalangan
negara membangun Asia, ia cabaran besar buat Tok Pa.
Selain itu, menurut Laporan Daya Saing Global (GCR)
2016-2017, yang diumumkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 28 September lalu, dari
segi skor, prestasi negara juga turun daripada 5.23 kepada 5.16 daripada
maksimum 7.
Tok Pa mengakui sebahagian besar punca penurunan
kedudukan Malaysia disebabkan faktor luaran di luar kawalan penggubal dasar.
Selain itu ketidaktentuan ekonomi global, pengukuhan dolar Amerika Syarikat,
kejatuhan harga komoditi serta kelembapan ekonomi China adalah di luar
jangkauan kerajaan.
Isu persepsi juga timbul dikatakan berikutan tindakan
tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang terus menyebarkan tuduhan tidak
berasas mengenai perkembangan politik dalam negara serta keadaan ekonomi negara.
Dengan sifat keyakinan tinggi Tok Pa itu, apakah semua
ini boleh beliau atasi? Ssedangkan, punca sebenar kepada hilangnya keyakinan
dan wujudnya persepsi buruk terhadap Malaysia disebut-sebut akibat faktor
‘Perdana Menteri’.
Atau apakah Tok Pa perlu membantu atasi faktor dalaman
dahulu sebelum berdepan masyarakat antarabangsa?
Berapa lamakah Tok Pa boleh bertahan dengan sifat ‘tebal
muka’ dan keyakinan tingginya?
Tidakkah akan tiba masanya Tok Pa sudah tidak mampu
mengekal atau mempertahankan dua sifatnya itu?
Atau biarpun Tok Pa mempunyai sifat-sifatnya itu, beliau
akan ditolak oleh arus perubahan yang mungkin melanda negara pada pilihan raya
umum ke-14 nanti?
Saya menyaksikan dengan dua mata saya sendiri bagaimana Tok Pa pernah ditolak di Parlimen Jeli pada 1999.
Mungkinkah
ia berulang lagi selepas hampir 20 tahun kemudian?