Tuesday, September 15, 2009

KALUNG SELIPAR – SAMY & PERWAKILAN SAMA SAJA

Pengajaran untuk semua. Sama ada anggota parti UMNO, MCA atau MIC dan rakan parti komponen Barisan Naisonal yang lain.

Jangan celupar dan tidak beradab.

Semangat menghormati sesama rakyat dan anggota parti perlu terus dipupuk.

Jangan jadi ‘kurang ajar’ kerana ia bukan budaya Malaysia.

Setakat ini hukuman yang dikenakan kepada perwakilan yang mencerca mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan agung parti itu Ahad lepas digantung keanggotaannya.

Belum diketahui sama ada tindakan lanjut atau sebagainya tetapi yang nyata MIC sudah bertindak kepada perwakilan yang mahu menggantung selipar pada gambar Dr Mahathir.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini berkata "Saya telah memutuskan untuk menggunakan kuasa yang ada pada saya sebagai Presiden mengikut perlembagaan MIC untuk menggantung keanggotaan perwakilan itu."

Dalam satu kenyataan. Samy Vellu menjelaskan, perkara itu telah dibincangkan dengan beberapa pemimpin kanan MIC dan mereka bersetuju tindakan itu amat perlu buat masa ini.

Katanya Jawatankuasa Disiplin akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat parti berhubung tindakan yang akan diambil terhadap perwakilan itu.

Samy Vellu tidak mendedahkan identiti perwakilan terbabit.

Tindakan perwakilan yang dianggap ‘kurang ajar’ itu sebenarnya bertentangan dengan semangat BN dan budaya semua kaum di Malaysia.

Apapun, tindakan MIC kepada yang mencadangkan meletakkan "kalungan selipar" pada gambar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka meredakan sedikit kemarahan orang Melayu, khususnya UMNO.

Ramai melihatnya sebagai perbuatan biadap dan tidak menghormati pemimpin tetapi bagi saya kadangkala kerana disebabkan satu dua pandangan yang pelik atau ‘gila’ dalam parti, ia boleh mengeruhkan hubungan antara komponen BN.

Pada ketika BN sedang diuji dengan pelbagai masalah apabila MCA dilanda krisis dan UMNO berdepan dengan ujian getir pilihan raya kecil, seharusnya parti komponen BN meletakkan kepentingan perpaduan sebagai perkara paling penting.

Namun gelagat dan tindakan ‘gila’ setengah ahli parti komponen seperti MIC ini akan menyebabkan orang Melayu dalam UMNO sendiri geram dengan parti komponen lain.

Orang Melayu mulai rasa bahawa sikap bertolak ansur dan menghormati antara satu sama lain kini semakin terhakis.

Sikap kurang ajar bangsa lain terhadap orang Melayu digambarkan melalui cadangan gila sedemikian.

Ini belum lagi kata-kata nista daripada pemimpin kaum bukan Melayu terhadap institusi raja dan agama Islam.

Apapun, dalam isu MIC ini, jelas bukan sekadar perwakilan sahaja nampak “kurang sopan”.
Presiden MIC sendiri mengatakan orang menolak BN bukan dirinya.

Apa yang dapat dikatakan ialah dalam MIC itu sama sahaja antara Presiden dan perwakilan, sama-sama mengambarkan tidak hormat kepada BN, pakatan yang didokong mereka.

Yang penting kini ialah pucuk kepimpinan MIC perlu menjadikan iktibar daripada kekalahan teruk pada pilihan raya umum lepas dengan membaiki perpecahan dalamannya.

Ia perlu berusaha keras memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadapnya – sekurang-kurangnya menyamai rekod kemenangannya pada pilihan raya umum 2004.