Gambar dipetik daripada Sinar Online |
“Apakah
Laporan Ketua Audit Negara itu sama sekali tidak benar dan bohong belaka? Jika
tidak benar dan bohong semata-mata, campak sahaja ke dalam bakul sampah laporan ‘tidak berguna’
itu. Kenapa pula ia dibiarkan ‘berhantu’ dan menimbulkan kontroversi yang
berpanjangan?”
Apakah ‘rahsia’ di sebalik Sarawak Report yang
menyebabkan beberapa pemimpin pembangkang kini mengasak Perdana Menteri, Datuk
Seri Mohd Najib Razak bertalu-talu?
Apakah benar laporan Ketua Audit Negara merugikan dan
akan mendatangkan masalah kepada Najib?
Siasatan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB telah
diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA). Kandungan
laporan itu bagaimanapun, didakwa dibocorkan oleh laman pendedah maklumat
Sarawak Report.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Ariffin dalam satu kenyataannya sebelum ini memaklumkan bahawa Laporan Akhir pengauditan 1MDB oleh Ketua Audit Negara kepada PAC Parlimen Malaysia diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Sesiapa pun tidak boleh secara bebas melaporkan
kandungannya kerana sekatan undang-undang.
Persoalannya siapa yang pernah melihat laporan itu? Hanya
anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sahaja?
Bagaimana dengan anggota Kabinet dan pemimpin parti komponen
Barisan Nasional (BN), khsuusnya UMNO? Apa reaksi mereka?
Jika anggota Kabinet tidak melihat laporan Ketua Audit
Negara, bagaimana boleh antara mereka mengatakan Sarawak Report mahu erdaya
rakyat tentang laporan audit 1MDB'?
Apa asas ketakutan kerajaan dan apa pula asas kepada
kenyataan menteri bahawa laman pendedah maklumat, itu cuba
memperdayakan orang ramai mengenai laporan siasatan Ketua Audit Negara ke atas
1MDB?
Persoalannya, jika terus mengklasifikasikan laporan Ketua
Audit Negara, makin ramai akan tertanya-tanya apa rahsia sebenar di sebalik
laporan itu?
Kita bimbang semakin laporan itu menjadi ‘hantu yang
ditakuti’ oleh pemimpin tertinggi kerajaan, akan semakin ‘berhantu’ pula
Sarawak Report.
Semalam pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang mengemukan
soalan, “Adakah laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB masih dirahsiakan
kerana ia akan membawa kejatuhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?”
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin
Shah Raja Ahmad pula mengatakan amat aneh sikap kerajaan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak.
Menurutnya, kerajaan Malaysia mengatakan Sarawak Report
telah memfitnahnya, tetapi apabila pengasas Sarawak Report, Clare
Rewcastle-Brown dari dahulu lagi menggesa kerajaan menyaman mereka, kerajaan
tidak berbuat demikian.
Persoalan pokok ialah kenapa sampai begitu sekali ‘berhantunya’
laporan Ketua Audit Negara itu? Apa kandungannya?
Juga apa persoalan besar yang cuba dirahsiakan kerajaan
sehingga Kit Siang berani mengemukakan pertanyaan berikut ini? “Persoalan Najib
dan semua menteri kabinet perlu menjawab sama ada pengumuman terbuka laporan
Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan menyaksikan Najib tidak lagi mampu kekal
sebagai perdana menteri dan Presiden UMNO?”
Persoalan juga kenapa hanya angota PAC dan kalangan tertentu
sahaja yang diberikan previlage
mengenai laporan Ketua Audit Negara?
Rakyat tidak punya hak untuk mengetahui dan menilainya? Kenapa
sekat hak rakyat untuk mengetahui keadaan sebenar dalam 1MDB?
Syarikat 1MDB itu hak siapa dan menggunakan duit siapa
untuk berniaga? Jika untung atau rugi siapa yang akan mendapat faedah atau
menanggung bebannya?
Apakah ia hak peribadi Perdana Menteri, kerajaan Barisan
Nasional (BN) atau lembaga pengarah syarikat berkenaan semata-mata dan bukan
hak rakyat ramai negara ini?
Juga apakah Laporan Ketua Audit Negara itu sama sekali
tidak benar dan bohong belaka?
Jika tidak benar dan bohong semata-mata, campak sahaja ke dalam bakul sampah laporan ‘tidak berguna
itu. Kenapa pula ia dibiarkan ‘berhantu’ dan menimbulkan kontroversi yang
berpanjangan?
Tidakkah rakyat kini mula mencurigai kerajaan dengan
menjadikan laporan Ketua Audit Negara itu sebagai ‘hantu’ yang perlu dijauhi?
Apakah tidak benar soalan yang dikemukakan oleh Kit Siang
bahawa wujud sebab musabah tertentu yang menyebabkan kenapa ‘Najib sedang
bertungkus lumus merahsia dan menyekat bermati-matian laporan Ketua Audit
Negara mengenai 1MDB?"
Lim juga menyoal sama ada laporan Ketua Audit Negara
mengenai 1MDB telah dikemukakan kepada jemaah menteri atau anggota kabinet.
Selagi rakyat masih menaruh kepercayaan kepada kerajaan BN,
sayangilah rakyat dan jangan hampakan kepercayaan mereka.
Tidak payahlah cuba mengalihkan persoalan dengan mengatakan penemuan
audit hanya satu komponen daripada laporan akhir mengenai 1MDB, yang telah
dilakukan oleh PAC.
Juga tidak perlu untuk meminta polis segera menyiasat
bagaimana Sarawak Report - laman web yang berpangkalan di London - itu
memperoleh sebahagian daripada kandungan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.
Untuk membuktikan berlakunya ketirisan dokumen rahsia di
bawah Akta Rahsia Rasmi agar tidak
berleluasa kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara?
Juga untuk dikenal pasti sumber ketirisan tersebut
speerti individu yang terlibat dan organisasi yang bersekongkol membocorkan maklumat berkenaan?
Untuk mengambil tindakan bagi melindungi integriti dan
kedaulatan negara?
Semakin dinyatakan sedemikian, semakin ‘berhantulah’
laporan berkenaan, sedangkan ada menteri mengatakan ia hanya sebahagian kecil
laporan oleh PAC sahaja. Apa sangat pentingnya jika didedahkan pun!
Malah, tidak adil menganggap rakyat yang tidak tahu
apa-apa mengenai laporan itu disifatkan boleh terpedaya jika membaca atau
terbaca laporan Sarawak Report berkenaan yang disifatkan ‘secara nakal
memperdayakan orang ramai.’
Tolonglah, jangan anggap rakyat bodoh!
Jangan anggap rakyat buta dan tidak tahu mencari dan
menilai maklumat.
Daripada mereka mendapat maklumat yang sudah
diputarbelitkan, misalnya oleh Sarawak report atau media asing, adalah lebih baik
memberi atau mendedahkan mereka dengan maklumat yang ‘raw’ untuk mereka
menilai.
Sama ada laporan Ketua Audit Negara itu bukannya laporan
muktamad mengenai 1MDB atau juga hanyalah salah satu komponen yang membentuk
laporan PAC, biarlah rakyat menilainya.
Bodohkan sangatkah rakyat Malaysia untuk menilai sama ada laporan
Ketua Audit Negara itu lengkap atau sebaliknya?
Kenapa takut untuk berdepan dengan rakyat dalam isu ini jika
kerajaan di pihak yang benar?
Kerajaan mempunyai banyak jentera untuk menjelas dan
menjernihkan suasana.
Jika ada yang cuba memanipulasikan laporan Ketua Audit
Negara untuk kepentingan mereka, kerajaan mampu menangkisnya secara ‘point
counter point’.
Kerajaan ada pelbagai saluran penerangan dan media untuk
memperkatakan yang benar. Membiarkan ia menjadi khabar angin, spekulasi dan
kontroversi akan menyulitkan kerja-kerja penerangan selepas ia sudah disebarkan
dengan ‘rempah-ratus fakta-fakta tambahan yang tidak benar’.
Lebih dibimbangi, dengan menjadikan laporan itu sebagai
‘lembaga yang berhantu’, akan menjadikan suasana tidak tenteram dan lebih menimbulkan
banyak persoalan.
Sarawak Report pasti tidak akan berdiam diri dan akan
menyebarkan maklumat yang mereka ada.
Mereka mempertahankan diri dan akan menyebarkan Laporan
Ketua Audit Negara itu sebanyak dan seluas yang boleh untuk ‘mengaibkan
pemimpin dan negara’ dengan pelbagai cara secara berpanjangan.
Mampukah kerajaan menyekatnya? Sekadar menyekat laman web
atau laman sosial tidak akan membawa kesan kerana banyak cara penyebaran
maklumat lain boleh digunakan.
Dengan terus menjadikan Laporan Ketua Audit Negara
sebagai bahan larangan, apakah kerajaan BN mahu dianggap sebagai sebuah
kerajaan yang tidak mengamalkan ketelusan dan keterbukaan?
Kerajaan sebeginikah yang dimahukan oleh rakyat?
Ahli Parlimen Gua Musang, veteran UMNO Tengku Razaleig Hamzah - penyokong Perdana Menteri - pernah mengingatkan pada 23 April lalu bahawa Najib sendiri memberi jaminan tidak ada yang hendak disembunyikan disebalik skandal melibatkan syarikat kewangan yang diterajuinya itu.
“Dalam membuat keputusan tersebut, Perdana Menteri memberi gambaran bahawa tidak apa yang hendak diselindungkan dan sesiapa yang didapati bersalah terpaksalah menghadapi tindakan undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, Tengku Razaleigh memaklumkan berdasarkan Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.
Ini bermakna ahli-ahli Dewan Rakyat yang mewakili para
pengundi, iaitu orang ramai, hendaklah dimaklumkan mengenai isi kandungan
laporan tersebut. Dengan kata lain orang ramai dan pengundiberhak untuk mengetahui isi kandungan laporan tersebut.
,
Bukankah pemimpin sering melaungkan rakyat akan mendapat
akses maklumat dan penerangan yang sewajarnya dalam perkara penting melibatkan
kepentingan negara dan kerajaan?
Jika berterusan laporan itu menjadi hantu dan
‘dihantukan’, rakyat akan mencari jalan sendiri untuk mendapatkan maklumat yang
mereka kehendaki.
Pada ketika itu sudah sukar untuk mengawal tanggapan dan
persepsi mereka selain usaha damage control juga
tidak lagi berkesan.
Ke mana sebenarnya haluan pemimpin dan pemerintah,
khususnya BN, serta negara kita ketika ini?