Sunday, July 10, 2016

KENAPA RAKYAT DINAFIKAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA MENGENAI 1MDB?

Gambar dipetik daripada Sinar Online
“Apakah Laporan Ketua Audit Negara itu sama sekali tidak benar dan bohong belaka? Jika tidak benar dan bohong semata-mata, campak sahaja  ke dalam bakul sampah laporan ‘tidak berguna’ itu. Kenapa pula ia dibiarkan ‘berhantu’ dan menimbulkan kontroversi yang berpanjangan?”

Apakah ‘rahsia’ di sebalik Sarawak Report yang menyebabkan beberapa pemimpin pembangkang kini mengasak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bertalu-talu?

Apakah benar laporan Ketua Audit Negara merugikan dan akan mendatangkan masalah kepada Najib?

Siasatan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB telah diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA). Kandungan laporan itu bagaimanapun, didakwa dibocorkan oleh laman pendedah maklumat Sarawak Report.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Ariffin dalam satu kenyataannya sebelum ini memaklumkan bahawa Laporan Akhir pengauditan 1MDB oleh Ketua Audit Negara kepada PAC Parlimen Malaysia diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sesiapa pun tidak boleh secara bebas melaporkan kandungannya kerana sekatan undang-undang.


Persoalannya siapa yang pernah melihat laporan itu? Hanya anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sahaja?

Bagaimana dengan anggota Kabinet dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN), khsuusnya UMNO? Apa reaksi mereka?

Jika anggota Kabinet tidak melihat laporan Ketua Audit Negara, bagaimana boleh antara mereka mengatakan Sarawak Report mahu erdaya rakyat tentang laporan audit 1MDB'?

Apa asas ketakutan kerajaan dan apa pula asas kepada kenyataan menteri  bahawa laman pendedah maklumat, itu  cuba memperdayakan orang ramai mengenai laporan siasatan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB?

Persoalannya, jika terus mengklasifikasikan laporan Ketua Audit Negara, makin ramai akan tertanya-tanya apa rahsia sebenar di sebalik laporan itu?

Kita bimbang semakin laporan itu menjadi ‘hantu yang ditakuti’ oleh pemimpin tertinggi kerajaan, akan semakin ‘berhantu’ pula Sarawak Report.

Semalam pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang mengemukan soalan, “Adakah laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB masih dirahsiakan kerana ia akan membawa kejatuhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?”

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pula mengatakan amat aneh sikap kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Menurutnya, kerajaan Malaysia mengatakan Sarawak Report telah memfitnahnya, tetapi apabila pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dari dahulu lagi menggesa kerajaan menyaman mereka, kerajaan tidak berbuat demikian.

Persoalan pokok ialah kenapa sampai begitu sekali ‘berhantunya’ laporan Ketua Audit Negara itu? Apa kandungannya?

Juga apa persoalan besar yang cuba dirahsiakan kerajaan sehingga Kit Siang berani mengemukakan pertanyaan berikut ini? “Persoalan Najib dan semua menteri kabinet perlu menjawab sama ada pengumuman terbuka laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB akan menyaksikan Najib tidak lagi mampu kekal sebagai perdana menteri dan Presiden UMNO?”

Persoalan juga kenapa hanya angota PAC dan kalangan tertentu sahaja yang diberikan previlage mengenai laporan Ketua Audit Negara?

Rakyat tidak punya hak untuk mengetahui dan menilainya? Kenapa sekat hak rakyat untuk mengetahui keadaan sebenar dalam 1MDB?

Syarikat 1MDB itu hak siapa dan menggunakan duit siapa untuk berniaga? Jika untung atau rugi siapa yang akan mendapat faedah atau menanggung bebannya?

Apakah ia hak peribadi Perdana Menteri, kerajaan Barisan Nasional (BN) atau lembaga pengarah syarikat berkenaan semata-mata dan bukan hak rakyat ramai negara ini?

Juga apakah Laporan Ketua Audit Negara itu sama sekali tidak benar dan bohong belaka?

Jika tidak benar dan bohong semata-mata, campak sahaja  ke dalam bakul sampah laporan ‘tidak berguna itu. Kenapa pula ia dibiarkan ‘berhantu’ dan menimbulkan kontroversi yang berpanjangan?

Tidakkah rakyat kini mula mencurigai kerajaan dengan menjadikan laporan Ketua Audit Negara itu sebagai ‘hantu’ yang perlu dijauhi?
  

Apakah tidak benar soalan yang dikemukakan oleh Kit Siang bahawa wujud sebab musabah tertentu yang menyebabkan kenapa ‘Najib sedang bertungkus lumus merahsia dan menyekat bermati-matian laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB?"

Lim juga menyoal sama ada laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB telah dikemukakan kepada jemaah menteri atau anggota kabinet.

Selagi rakyat masih menaruh kepercayaan kepada kerajaan BN, sayangilah rakyat dan jangan hampakan kepercayaan mereka.

Tidak payahlah cuba mengalihkan persoalan dengan mengatakan penemuan audit hanya satu komponen daripada laporan akhir mengenai 1MDB, yang telah dilakukan oleh PAC.

Juga tidak perlu untuk meminta polis segera menyiasat bagaimana Sarawak Report - laman web yang berpangkalan di London - itu memperoleh sebahagian daripada kandungan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

Untuk membuktikan berlakunya ketirisan dokumen rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi agar  tidak berleluasa kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara?

Juga untuk dikenal pasti sumber ketirisan tersebut speerti individu yang terlibat dan organisasi yang bersekongkol membocorkan  maklumat berkenaan?

Untuk mengambil tindakan bagi melindungi integriti dan kedaulatan negara?

Semakin dinyatakan sedemikian, semakin ‘berhantulah’ laporan berkenaan, sedangkan ada menteri mengatakan ia hanya sebahagian kecil laporan oleh PAC sahaja. Apa sangat pentingnya jika didedahkan pun!

Malah, tidak adil menganggap rakyat yang tidak tahu apa-apa mengenai laporan itu disifatkan boleh terpedaya jika membaca atau terbaca laporan Sarawak Report berkenaan yang disifatkan ‘secara nakal memperdayakan orang ramai.’

Tolonglah, jangan anggap rakyat bodoh!

Jangan anggap rakyat buta dan tidak tahu mencari dan menilai maklumat.

Daripada mereka mendapat maklumat yang sudah diputarbelitkan, misalnya oleh Sarawak report atau media asing, adalah lebih baik memberi atau mendedahkan mereka dengan maklumat yang ‘raw’ untuk mereka menilai.

Sama ada laporan Ketua Audit Negara itu bukannya laporan muktamad mengenai 1MDB atau juga hanyalah salah satu komponen yang membentuk laporan PAC, biarlah rakyat menilainya.

Bodohkan sangatkah rakyat Malaysia untuk menilai sama ada laporan Ketua Audit Negara itu lengkap atau sebaliknya?

Kenapa takut untuk berdepan dengan rakyat dalam isu ini jika kerajaan di pihak yang benar?

Kerajaan mempunyai banyak jentera untuk menjelas dan menjernihkan suasana.

Jika ada yang cuba memanipulasikan laporan Ketua Audit Negara untuk kepentingan mereka, kerajaan mampu menangkisnya secara ‘point counter point’.

Kerajaan ada pelbagai saluran penerangan dan media untuk memperkatakan yang benar. Membiarkan ia menjadi khabar angin, spekulasi dan kontroversi akan menyulitkan kerja-kerja penerangan selepas ia sudah disebarkan dengan ‘rempah-ratus fakta-fakta tambahan yang tidak benar’.

Lebih dibimbangi, dengan menjadikan laporan itu sebagai ‘lembaga yang berhantu’, akan menjadikan suasana tidak tenteram dan lebih menimbulkan banyak persoalan.

Sarawak Report pasti tidak akan berdiam diri dan akan menyebarkan maklumat yang mereka ada.

Mereka mempertahankan diri dan akan menyebarkan Laporan Ketua Audit Negara itu sebanyak dan seluas yang boleh untuk ‘mengaibkan pemimpin dan negara’ dengan pelbagai cara secara berpanjangan.

Mampukah kerajaan menyekatnya? Sekadar menyekat laman web atau laman sosial tidak akan membawa kesan kerana banyak cara penyebaran maklumat lain boleh digunakan.

Dengan terus menjadikan Laporan Ketua Audit Negara sebagai bahan larangan, apakah kerajaan BN mahu dianggap sebagai sebuah kerajaan yang tidak mengamalkan ketelusan dan keterbukaan?

Kerajaan sebeginikah yang dimahukan oleh rakyat?


Ahli Parlimen Gua Musang, veteran UMNO Tengku Razaleig Hamzah - penyokong Perdana Menteri - pernah mengingatkan pada 23 April lalu bahawa Najib sendiri memberi jaminan tidak ada yang hendak disembunyikan disebalik skandal melibatkan syarikat kewangan yang diterajuinya itu.

“Dalam membuat keputusan tersebut, Perdana Menteri memberi gambaran bahawa tidak apa yang hendak diselindungkan dan sesiapa yang didapati bersalah terpaksalah menghadapi tindakan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh memaklumkan berdasarkan Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

Ini bermakna ahli-ahli Dewan Rakyat yang mewakili para pengundi, iaitu orang ramai, hendaklah dimaklumkan mengenai isi kandungan laporan tersebut. Dengan kata lain orang ramai dan pengundiberhak untuk mengetahui isi kandungan laporan tersebut.
Bukankah pemimpin sering melaungkan rakyat akan mendapat akses maklumat dan penerangan yang sewajarnya dalam perkara penting melibatkan kepentingan negara dan kerajaan?

Jika berterusan laporan itu menjadi hantu dan ‘dihantukan’, rakyat akan mencari jalan sendiri untuk mendapatkan maklumat yang mereka kehendaki.

Pada ketika itu sudah sukar untuk mengawal tanggapan dan persepsi mereka selain usaha damage control juga tidak lagi berkesan.

Ke mana sebenarnya haluan pemimpin dan pemerintah, khususnya BN, serta negara kita ketika ini?

No comments:

Post a Comment