Tuesday, May 12, 2009

POLIS – DR RAMZI TERLIBAT

(Mutakhir) Sah, Dr Ramzi terlibat. Itu kata polis menurut laporan Utusan Online dan Bernama hari ini.Kenyataan itu dibuat Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil.Bercakap kepada pemberita di Kuala Terengganu, Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata mereka mempunyai bukti untuk mempercayai Dr Ramzi terlibat dengan penghantaran SMS itu.

Menurut Bernama, polis turut merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem di rumah bekas pegawai kanan menteri besar itu di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu kira-kira 3 petang semalam.Pada 13 April lepas, tiga ADUN Umno: Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS ugutan, antaranya dilaporkan berbunyi "YB tak sayang nyawa?".

SMS itu dijadikan alasan 10 ADUN BN termasuk ketiga-tiga mereka yang menerima SMS itu enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu pada keesokan hari.Hamzah berkata, dengan penahanan Dr Ramzi, yang juga calon BN bagi parlimen Marang, polis yakin siasatan terhadap kes itu sudah 95 peratus selesai.

Beliau berkata ahli politik itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan lanjut dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam.

"Sebaik siasatan lengkap, polis akan merujuk kertas siasatan kes ini ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut," Hamzah dipetik berkata.
Itu pendapat polis. Bagi saya sehingga orang yang dituduh dibuktikan bersalah, barulah boleh mengatakan seseorang itu bersalah.Orang yang sedang disoalsiasat tidak semestinya beliau bersalah atau boleh disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, persoalan bermain di kepala, kenapa beliau tidak mahu memberikan kerjasama lebih awal dan sedia disiasat sehingga menyebabkan polis mengeluarkan waran tangkap?
Jawapan ada pada Dr Ramzi sendiri.Bukan setakat tidak mahu bekerja sama dengan polis lebih seminggu tetapi tempoh tiga hari yang diberikan kata dua oleh polis pun, ‘dilanggar’ Dr Ramzi.

Akhirnya, dia tertangkap juga. Apa ‘kekebalan’ yang ada pada orang kuat Idris ini sehingga beliau sanggup ‘engkar’ arahan polis?Persoalannya, apakah Dr Ramzi seorang sahaja terbabit atau beliau hanya menjadi wayang kulit. Kalau begitu tok dalangnya siapa?

Tengah hari tadi, Dr Ramzi dibawa ke satu destinasi tidak diketahui selepas disoalsiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira tiga jam.Ironinya juga pelbagai laporan akhbar berbeza-beza apabila The Star Online dalam laporannya pada 12.05 tengah hari tadi mengatakan Dr Ramzi secara sukarela hadir (turns himself) di Ibu Pejabat Polis Terengganu untuk membantu siasatan.

Utusan Malaysia Online pada jam 12.01 tehgah hari pada laporan awal melaporkan Dr Ramzi Zubir hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama beberapa orang rakannya.Namun yang sah, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil mengesahkan penangkapan itu berkata, polis mempunyai bukti bahawa Dr Ramzi terlibat dalam penghantaran SMS yang mengandungi ugutan bunuh itu.

Utusan Online pada 1.48 petang ini melaporkan Polis Terengganu menahan Dr. Ramzi bagi membantu siasatan kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) pada pertengahan April lalu.
Dr Ramzi ditahan pada pukul 8.30 pagi ini sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
Menurut Berita Harian Online Dr Ramzi yang baru sampai ke Terengganu pagi tadi dari Kuala Lumpur, terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, setelah polis semalam mendapatkan perintah waran tangkap terhadapnya apabila gagal hadir ke balai polis selepas tempoh tiga hari yang diberi kepadanya untuk berbuat demikian tamat jam 3 petang semalam.

Dr Ramzi yang dipercayai digari kemudian dibawa ke dua buah kereta dan kelihatan sugul.
Menurut beberapa wartawan, mereka dimaklumkan, Dr Ramzi dibawa ke destinasi yang tidak diketahui.

MUTAKHIR...DR RAMZI

Semua akhbar di Kuala Lumpur sudah tahu.
Polis sudah berjaya memberkas bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Idris Jusoh).
Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir kini ditahan polis.
Di mana beliau ditahan dan di mana beliau sedang disoalsiasat belum diketahui


PERAK - HANYA ADA DUA JALAN

Tiada jalan lain bagi Barisan Nasional (BN) selain menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa wajar perintah Perak, atau membuat usul tidak percaya kepada Menteri Besar.

Dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, penyelesaian hanya melalui dua cara berkenaan.

Mohd Nizar yang disytihar sebagai Menteri Besar Perak yang sah semalam, pagi ini memasuki Pejabat Menteri Besar di Bangunan Setiausaha Kerjaan Negeri (SUK).

Nizar yang tiba bersama ahli Exco lain pada 7.15 pagi, pada mulanya dihalang polis daripada memasuki kawasan sebelum dibenarkan berbuat demikian 15 minit kemudian.

Pada jam 7.50 pagi, Nizar meninggalkan pejabatnya untuk ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, untuk menghadiri majlis pengurniaan pingat.

Adalah baik jika BN tidak membuat rayuan kerana kalaupun ada perubahan keputusan kelak, penyelesaian kepada masalah tidak akan berlaku kerana akan memanjangkan lagi kes ini di mahkamah.

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pagi ini memfailkan permohonan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memfailkan notis rayuan terhadap perisytiharan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Permohonan difailkan oleh Tetuan Zulrafiq & Co di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan pada kira-kira jam 9.20 pagi dan dijangka didengar pagi ini.

Kita tidak mahu mahkamah jadi penentu dalam keputusan politik – serahkan kepada rakyat dan kertas undi adalah jalan sebaik-baiknya – melalui pilihan raya atau undi tidak percaya.

Jika benar pendapat mengatakan rakyat sudah sedar betapa ‘rugi dan menyesalnya mereka mengundi pembangkang’, elok sahaja diadakan pilihan raya semula di Perak. Ia hanya membabitkan Dewan Undangan Negeri.

Terang lagi bersuluh bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengisytiharkan Mohd Nizar sebagai Menteri Besar yang sah kerana tiada kekosongan jawatan berlaku dan tiada usul undi tidak percaya terhadap beliau dibuat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri.
Jadi, penyelesaian sewajarnya diasaskan mengikut kepada apa yang diputuskan oleh mahkamah berkenaan.

Tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima dengan hati terbuka keputusan itu patut dipuji dan suatu tindakan bijak.

Dr Zambry, 47, anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor, telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke11 di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 6 Februari lepas.

"Saya menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran terbuka. Saya serta rakan-rakan akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan ringkas dikeluarkan melalui Setiausaha Akhbarnya Mohd Nizam Isa.

Dr Zambry juga meminta semua penyokong Barisan Nasional (BN) dan rakyat negeri Perak supaya bertenang dengan perkembangan berkenaan.

"Kita akan kemaskan barang-barang dan mengosongkan pejabat secepat mungkin," kata Mohd Nizam.

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu Menteri Besar Perak yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) bukan penghujung jalan untuk parti itu, juga ada asasnya.

Presiden Umno itu berkata, ini kerana masih ada ruang untuk parti memikirkan langkah-langkah yang wajar dilakukan dalam menghadapi kemelut itu.

"Ini bukan penghujung jalan, masih ada jalan untuk difikirkan langkah-langkah. Saya dan rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi (MT) akan fikir dengan semasak-masaknya apa yang terbaik untuk Umno dan BN yang kita kasihi," katanya ketika berucap pada majlis Ulang tahun ke-63 Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Menyifatkan sambutan ulang tahun Umno yang sepatutnya meriah malam ini agak suram berikutan keputusan mahkmamah itu, Najib bagaimanapun gembira melihat Dewan Merdeka dipenuhi penyokong Umno dan BN termasuk mantan Presiden Umno dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Hakikatnya, jika Barisan Nasional menyerahkan semula kepada rakyat untuk menentukan siapa wajar perintah Perak, BN berada pada kedudukan lebih selesa.

BN kini mempunyai 28 kerusi DUN dan mendapat pula sokongan dua bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang bekas wakil rakyat DAP yang mengisytiharkan diri mereka anggota Bebas.

Selain itu, inilah masanya menguji kemampuan sebenar Pengerusi baru BN yang juga Presiden UMNO, selain Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kemenangan akan membuktikan kecekapan mereka dan kalau kalah, ia hanya berada di status quo lama dan tidak merugikan sesiapa.

Rakyat faham kedudukan sebenar dan terpulanglah kepada keputusan Majlis Tertinggi BN cara untuk meyakinkan rakyat kembali semula kepadanya.

Jika rakyat menolak BN sekali lagi, isyarat semakin jelas bahawa UMNO dan komponen BN seluruhnya perlu berubah.

MENCARI KEJERNIHAN POLITIK TERENGGANU

Saya tidak akan menyambung lagi bicara mengenai isu “SMS Ugut Bunuh’ selepas ini kerana ternyata yang dicari polis ialah bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Idris Jusoh).

Sebelum ini banyak pandangan sama ada melalui ulasan atau juga blog mempertikaikan andaian termasuk mempertikaikan penulisan saya apabila ada orang yang menolak andaian awal bahawa yang dicari polis ialah Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Apapun, harapan saya ialah, Dr Ramzi tidak terbabit dengan sms berkenaan selain Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Wan Ahamad Wan Muda juga dibersihkan nama.

Yang pasti, polis akan meminta kerjasama daripada Jabatan Imigresen serta Interpol bagi mengesan Dr Ramzi yang juga bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Marang pada pilihan raya umum lalu.

Difahamkan, Dr Ramzi masih berkhidmat dengan Idris di Ibu Pejabat MARA, kerana Idris ialah Pengerusi MARA.

Selain itu Dr Ramzi juga sebelum ini adalah pembantu Idris untuk kerja-kerja berkaitan pemulihan UMNO di Ibu Pejabat UMNO.

Bercakap panjang mengenai perkara ini hanya memalukan diri sendiri. Ini kerana sebagai ahli UMNO jika ada ahli UMNO lain membuat kerenah, tempiasnya juga kena ke muka sendiri.
Ironinya, Idris sendiri pun Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Bagaimanapun, seperti saya katakan semalam, kena mahu dikaitkan Dr Ramzi dengan Idris dalam perkara ini?

Sudah sah polis akan mendapatkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal tampil bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis negeri, SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata di Kuala Terengganu semalam, sehingga pukul 3 petang bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu, masih belum memberikan keterangan walaupun telah diberikan tempoh tiga hari untuk berbuat demikian.

“Sebagaimana yang dimaklumkan dalam sidang media yang lepas, kita memberikan beliau tempoh tiga hari untuk tampil sebelum waran tangkap dikeluarkan dan tempoh itu telah berakhir pada pukul 3 petang ini (semalam)” katanya.

Polis turut meminta keluarga Ramzi serta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kedudukannya, menghubungi balai polis yang berhampiran.

Bernama melaporkan, Ramzi dicari polis kerana beliau merupakan antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung SMS ugutan yang diterima tiga Adun BN iaitu Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) pada malam 13 April lepas.

Peristiwa itu membawa kemelut politik UMNO Terengganu menjadi lebih tegang apabila 10 ADUN termasuk tiga yang menerima SMS itu memboikot sidang DUN Terengganu yang diadakan pada 14 April lalu.

Ramzi merupakan orang kanan bekas Menteri Besar Terengganu, Idris Jusoh, yang kini dimaklumkan menjadi Pegawai Khas kepada Pengerusi Mara.

Idris ‘dianugerahkan’ jawatan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Malaysia (Mara) selepas gagal kembali sebagai Menteri Besar Terengganu apabila pihak istana Terengganu tidak perkenan kepada beliau.

Kini terserahlah kepada polis untuk mencari atau menangkap Dr Ramzi. Yang pasti, beliau diminta tampil untuk membantu siasatan. Dr Ramzi belum dibuktikan bersalah dan jangan cepat menghukum beliau.

Oleh kerana ‘anda belum dibuktikan bersalah’, keluar dan menyerah dirilah Dr Ramzi.
Kehilanganmu menimbulkan banyak persoalan dan orang yang paling kuat terkena tempias ialah Idris serta mereka yang menyokong bekas Menteri Besar Terengganu itu.

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘takut kerana salah, berani kerana benar’. Kerana itu beranikanlah diri anda Dr Ramzi untuk ‘membersihkan segala tohmahan terhadap anda, bos anda dan rakan anda’.

Saya doakan segala-galanya selesai dalam tempoh yang singkat agar ‘penyangak sebenar’ dapat ditangkap dan dihukum.

Hanya melaluinya, kejernihan politik Terengganu akan dapat diwujudkan semula!