Tuesday, May 12, 2009

PERAK - HANYA ADA DUA JALAN

Tiada jalan lain bagi Barisan Nasional (BN) selain menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa wajar perintah Perak, atau membuat usul tidak percaya kepada Menteri Besar.

Dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, penyelesaian hanya melalui dua cara berkenaan.

Mohd Nizar yang disytihar sebagai Menteri Besar Perak yang sah semalam, pagi ini memasuki Pejabat Menteri Besar di Bangunan Setiausaha Kerjaan Negeri (SUK).

Nizar yang tiba bersama ahli Exco lain pada 7.15 pagi, pada mulanya dihalang polis daripada memasuki kawasan sebelum dibenarkan berbuat demikian 15 minit kemudian.

Pada jam 7.50 pagi, Nizar meninggalkan pejabatnya untuk ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, untuk menghadiri majlis pengurniaan pingat.

Adalah baik jika BN tidak membuat rayuan kerana kalaupun ada perubahan keputusan kelak, penyelesaian kepada masalah tidak akan berlaku kerana akan memanjangkan lagi kes ini di mahkamah.

Bagaimanapun, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pagi ini memfailkan permohonan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memfailkan notis rayuan terhadap perisytiharan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Permohonan difailkan oleh Tetuan Zulrafiq & Co di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan pada kira-kira jam 9.20 pagi dan dijangka didengar pagi ini.

Kita tidak mahu mahkamah jadi penentu dalam keputusan politik – serahkan kepada rakyat dan kertas undi adalah jalan sebaik-baiknya – melalui pilihan raya atau undi tidak percaya.

Jika benar pendapat mengatakan rakyat sudah sedar betapa ‘rugi dan menyesalnya mereka mengundi pembangkang’, elok sahaja diadakan pilihan raya semula di Perak. Ia hanya membabitkan Dewan Undangan Negeri.

Terang lagi bersuluh bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengisytiharkan Mohd Nizar sebagai Menteri Besar yang sah kerana tiada kekosongan jawatan berlaku dan tiada usul undi tidak percaya terhadap beliau dibuat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri.
Jadi, penyelesaian sewajarnya diasaskan mengikut kepada apa yang diputuskan oleh mahkamah berkenaan.

Tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima dengan hati terbuka keputusan itu patut dipuji dan suatu tindakan bijak.

Dr Zambry, 47, anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor, telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke11 di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 6 Februari lepas.

"Saya menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran terbuka. Saya serta rakan-rakan akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan ringkas dikeluarkan melalui Setiausaha Akhbarnya Mohd Nizam Isa.

Dr Zambry juga meminta semua penyokong Barisan Nasional (BN) dan rakyat negeri Perak supaya bertenang dengan perkembangan berkenaan.

"Kita akan kemaskan barang-barang dan mengosongkan pejabat secepat mungkin," kata Mohd Nizam.

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu Menteri Besar Perak yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) bukan penghujung jalan untuk parti itu, juga ada asasnya.

Presiden Umno itu berkata, ini kerana masih ada ruang untuk parti memikirkan langkah-langkah yang wajar dilakukan dalam menghadapi kemelut itu.

"Ini bukan penghujung jalan, masih ada jalan untuk difikirkan langkah-langkah. Saya dan rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi (MT) akan fikir dengan semasak-masaknya apa yang terbaik untuk Umno dan BN yang kita kasihi," katanya ketika berucap pada majlis Ulang tahun ke-63 Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Menyifatkan sambutan ulang tahun Umno yang sepatutnya meriah malam ini agak suram berikutan keputusan mahkmamah itu, Najib bagaimanapun gembira melihat Dewan Merdeka dipenuhi penyokong Umno dan BN termasuk mantan Presiden Umno dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Hakikatnya, jika Barisan Nasional menyerahkan semula kepada rakyat untuk menentukan siapa wajar perintah Perak, BN berada pada kedudukan lebih selesa.

BN kini mempunyai 28 kerusi DUN dan mendapat pula sokongan dua bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang bekas wakil rakyat DAP yang mengisytiharkan diri mereka anggota Bebas.

Selain itu, inilah masanya menguji kemampuan sebenar Pengerusi baru BN yang juga Presiden UMNO, selain Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kemenangan akan membuktikan kecekapan mereka dan kalau kalah, ia hanya berada di status quo lama dan tidak merugikan sesiapa.

Rakyat faham kedudukan sebenar dan terpulanglah kepada keputusan Majlis Tertinggi BN cara untuk meyakinkan rakyat kembali semula kepadanya.

Jika rakyat menolak BN sekali lagi, isyarat semakin jelas bahawa UMNO dan komponen BN seluruhnya perlu berubah.

No comments:

Post a Comment