Monday, May 4, 2009

DR ZAMBRY, BN GUNA BOMOH?

Nak cakap pun susah, tak nak cakap pun susah.

Memalu dan mencemarkan Islam. Membimbangkan, jika belasah teruk, ‘Cina-Islam’ akan terasa!

Kenapa pula Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Barisan Nasional (BN) dituduh menggunakan ‘bomoh’?

Apakah ini taktik PAS untuk menyatakan yang ia bersih dan Dr Zambry dan BN mengamalkan taktik kotor dan melanggar ajaran Islam?

Apa peranan ulamak dan pemimpin kanan parti PAS mendisiplinkan wakil rakyatnya supaya mengelakkan kenyataan yang boleh menyebabkan terjejasnya maruah Islam?

Amat tidak wajar ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim mengatakan Menteri Besar Perak itu membenarkan bangunan Dewan Undangan Negeri dimasuki oleh 'bomoh' untuk menjampi kerusi Speaker DUN.

Memburukkan keadaan beliau mengheret dengan mendesak Mufti Perak supaya mengeluarkan fatwa berhubung perkara berkenaan.

Berikutan itu, dilaporkan Dr Zambry berkata beliau telah membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di balai polis Kampung Rapat, Ipoh.

Sewajarnya wakil rakyat Titi Serong yang beragama Islam tidak menuduh seorang lagi ‘sahabat Islamnya’ melakukan perkara syirik yang dimurkai Allah.

Kerana itu wajar sekali Dr Zambry menyifatkan tindakan itu berniat jahat dan cuba menanam serta mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap beliau dan BN dalam keadaan di mana DUN akan bersidang Khamis ini.

"Penipuan ini tidak boleh dibiarkan. Saya telah banyak bersabar termasuk dengan ceramah-ceramah yang dijalankan mereka yang melemparkan fitnah dan tuduhan tidak berasas tetapi kenyataan media pagi tadi satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap ADUN tersebut yang turut mengheret Mufti Perak yang sebelum ini dihina oleh pembangkang dalam entri berkenaan.

Memang wajar kalau Menteri Besar Perak itu membuat laporan polis dan berniat mengambil tindakan undang-undang terhadap Khalil Idham Lim yang didakwa membuat tuduhan melampau kepada beliau dan BN.

Dr Zambry berkata tuduhan melampau dan keterlaluan itu turut disiarkan dalam laman blog milik Khalil Idham di idhamlim.blogspot.com, lapor Bernama.
Beliau menulis dalam blognya itu dengan tajuk 'Saya ada bukti bomoh ke DUN Perak' dengan mengatakan:

“Seorang wakil rakyat PAS – yang mendakwa menteri besar BN membawa masuk bomoh ke DUN sebelum persidangan penting, Khamis ini – berkata beliau mempunyai “bukti” berhubung dakwaannya itu.

ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim menambah, beliau bersedia memberikan keterangan berhubung kenyataannya itu yang diadukan kepada polis oleh Datuk Zambry Abd Kadir semalam.

"Mustahil saya tidak bersedia memberikan keterangan. Saya keluarkan fakta, takkan saya hendak lari daripada memberikan keterangan.

"Kita ada bukti yang diberitahu (oleh) sumber tertentu. Maka saya buat kenyataan (kepada media)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bagi Dr Zamri, tindakanitu menjijikkan, memualkan dan tidak mempunyai prinsip agama dengan membuat tuduhan keterlaluan dan melampau.

Kata Dr Zambry, "Saya tidak boleh bertolak ansur dan tindakan ini sangat tidak bertanggungjawab kerana dia (Khalil Idham) juga merupakan seseorang yang memegang 'Yang Berhormat' ditambah lagi 'orang agama' yang sepatutnya tahu hukum-hakam agama," kata Zambry.

Persoalannya, apakah Khalil Idham sanggup melakukan apa sahaja, termasuk agama untuk memburukkan pemimpin lawan?

Jika inilah caranya, maka Islam sudah diperguna dan lebih buruk menjatuhkan maruah Islam dan penganutnya hanya kerana memenuhi agenda politik.

Rakyat biasa – Islam dan bukan Islam – sewajarnya menolak orang politik seperti ini, termasuk parti yang diwakilinya kerana orang yang sanggup mempermainkan agamanya sudah pasti sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan kedudukan politiknya.