Tiada yang baru diketengahkan oleh The Malaysian Insider melalui analisisnya bertajuk "Perubahan nasib pemain utama PRU13".
Selain terus mempertikaikan kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, serta memperlekehkan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN), mengejutkan ialah ia memperkecil dan mempersoalkan keupayaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sementara nasib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan menempuh masa depan yang gelap!
Kita tidak hairan sekiranya The Malaysian Insider memperlekehkan pemimpin BN kerana ia memang menyokong pembangkang tetapi dengan mengatakan Hadi sebagai pemimpin ketandusan idea, ia sama sekali mempersoalkan kewibawaan parti PAS dan haluan tidak terarah yang dibawa oleh Presiden Parti Islam Semalaysia itu.
Kata The Malaysian Insider : "Beliau (Hadi) merupakan presiden Parti Islam Semalaysia (PAS), dan setakat itu sahajalah kepentingannya.
Pengundi setia PAS mungkin percaya pemimpin mereka berpeluang menjadi perdana menteri, tetapi hakikatnya beliau tidak mempunyai karisma, idea bernas atau ciri-ciri dinamik untuk menjadi lebih daripada seorang pemimpin parti politik. Ada sebabnya kerajaan yang dipimpin Hadi di Terengganu hanya bertahan untuk satu penggal: ia ketandusan idea.
Empat bulan selepas 5 Mei, PAS kelihatan tidak bermaya dan hanyut sementara ahli progresif partinya sibuk menangkis serangan daripada golongan alim.
Malah, sudahkah PAS menjalankan post-mortem prestasi mereka bagi pilihan raya umum lalu?
Adakah Hadi mempunyai visi ekonomi untuk Malaysia, ataupun semuanya bermula dan berakhir dengan isu hudud?"
Sementara bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, The Malaysian Insider meramalkan masa depan yang gelap alibat hukuman penjara beliau.
Kata The Malaysian Insider: "Beliau akan meninggalkan arena politik untuk jangka masa lama. Tidak mungkin beliau di dalam penjara untuk empat tahun sahaja.
Mengapa? Jika berkelakuan baik, pemimpin utama PR dan musuh BN itu akan keluar penjara tepat pada masanya untuk menjadi tandingan utama pilihan raya umum seterusnya yang dijadualkan pada 2018.
Jadi hukuman penjaranya sedang dalam rayuan, dan nampaknya tokoh politik Malaysia yang paling terkenal dan tunjang yang menyatukan PR itu akan menerima hukuman yang lebih berat. 12 bulan ini merupakan masa yang sukar buat Anwar.
PR kelihatan seperti kerjasama yang longgar daripada gabungan yang kukuh, ditarik ke pelbagai arah dengan kedegilan PAS dengan agenda hudud. Walaupun sebenarnya, lama sebelum isu hudud muncul juga gabungan itu sudah melihatkan tindakan tidak teratur mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Ada pengkritik yang mengatakan ketiadaan Anwar akan mempercepatkan kejatuhan PR, dan mungkin juga melemahkan PKR.
Pandangan inilah yang paling konvensional.
Tetapi yang baiknya, mungkin jika Anwar melepaskan tongkatnya dalam parti tersebut, golongan muda DAP, PKR dan PAS akan terpaksa menjadi lebih matang dan mengambil alih kuasa."
Mengenai Najib, The Malaysian Insider menegaskan: "Penyokong paling setianya juga perlu mengaku beberapa bulan selepas 5 Mei, perdana menteri berada dalam keadaan terumbang-ambing.
Selepas memimpin BN dengan keputusan pilihan raya paling buruk dalam sejarah, dengan tekanan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemarahan orang ramai akibat peningkatan kos sara hidup, pintu keluar terbuka bagi Najib, nasib yang sama seperti Tun Abdullah Badawi selepas pilihan raya umum 2008. Pada satu tahap, penilaian prestasinya di bawah 50%, tetapi beliau masih selamat tanpa perlu berbuat apa-apa.
Lebih tepat lagi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu mencabar Najib. Jadi, beliau kekal berkuasa, tetapi jarang sekali memainkan peranan seorang perdana menteri.
Beberapa bulan akan datang akan menjadi lebih kritikal, dan tugas utamanya adalah untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup bagi berjuta rakyat Malaysia dan pada masa yang sama menunjukkan kepada pelabur, beliau komited mengurangkan defisit bajet.
Pada masa sama, beliau juga perlu mengawal kebangkitan extrimisme dan chauvinisme."
The Malaysian Insider turut mengupas mengenai pengaruh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan semakin pudar terhadap Umno dan perdana menteri.
"Walaupun masih mencetuskan tajuk utama akhbar, bekas perdana menteri itu kini dapat melihat pengaruhnya pudar.
Benar, Najib akan bertemu dengannya sekali-kala untuk berbincang dan mendengar rungutannya tentang isu BR1M hinggalah ketagihan kerajaan dalam melantik perunding, tetapi Dr Mahathir masih gagal untuk menggoncangkan Najib.
Apatah lagi Muhyiddin atau Zahid, kedua-duanya tidak berminat untuk membantu Dr Mahathir menyerang Najib.
Tanpa sokongan pemimpin utama Umno yang berminat untuk memainkan peranan sebagai pencabar dan kepercayaan atas rancangan 'waris politik'nya, serangan Dr Mahathir terhadap perdana menteri tidak berpengaruh sama seperti memiliki senjata tidak berpeluru: walaupun cantik di luaran, sebenarnya tidak berguna, " demikian kata The Malaysian Insider.
Sebaliknya lain dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein apabila The Malaysian Insider, mengatakan beliau mendapat perhatian penuh dunia semasa insiden MH370 yang mungkin atau mungkin tidak membantunya dalam pilihan raya seterusnya.
"Sedih tetapi benar; jika bukan kerana profil tinggi insiden MH370, beliau hanyalah seorang lagi anggota Kabinet.
Tidak dikenali dan tidak berpengaruh.
Golongan dalaman beliau (pembantu, perunding dan penyokong) percaya prestasinya sebagai respon kerajaan kepada pesawat MH370 yang hilang meningkatkan populariti beliau dan meletakkannya di hadapan persaingan untuk jawatan timbalan perdana menteri.
Tetapi mereka lupa bahawa beliau nyaris tidak menang kedudukan ketiga dalam naib presiden Umno dan ahli-ahlinya tidak akan mengundi berdasarkan kekerapan mereka muncul dalam CNN," tegas The Malaysian Insider.