Monday, January 19, 2009

TIADA PESTA, TIADA SOKONGAN KEPADA UMNO?

Khairy Jamaluddin kata kekalahan BN bukan faktor calon semata-mata. PAS kata faktor calon kelebihan PAS.

PAS percaya kejayaannya memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu kelamrin banyak dibantu faktor kelebihan calonnya Mohd Abdul Wahid Endut yang lebih berpengalaman memenangi hati rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata PAS belajar daripada kesilapan lepas, lantas memilih Mohd Abdul Wahid, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam, yang dianggap bebas daripada segala isu.

"Ini merupakan mesej yang jelas daripada rakyat yang mahukan perubahan dan PAS telah mempelajari daripada kesilapan lampau," katanya.

Khairy pula berpandangan berikut: “Kita kena muhasabah diri, kaji semula kempen, pendekatan kita daripada iklim politik tanah air sendiri sampailah kepada isu-isu tempatan, kita boleh gunakan pengalaman ini untuk kebaikan parti.

"Kita kena terima semua pandangan dan selepas ini kita kena baiki diri untuk hadapi pilihan raya akan datang," kata Khairy.

Beliau berkata semua pihak dalam Umno dan BN perlu berhenti menuding jari mencari kesalahan pihak lain dan sebaliknya perlu sama-sama memikul tanggungjawab itu seperti perumpamaan "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing".

"Dalam Umno dan Barisan Nasional, berat mesti dipikul bersama dan ringan mesti dijinjing bersama juga, dalam hal ini banyak faktor menyumbang kepada keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

"Kalau dikatakan ini (faktor calon) adalah faktor yang sebabkan kekalahan BN, saya rasa itu (rumusan) terlalu mudah...kalau memang itulah faktornya, senanglah kerja kita," katanya di Kuantan.

Baguslah kalau begitu kerana dalam konteks Pemuda UMNO sendiri, mereka perlu menjawab dua soalan berikut.

Pertama, ketika pemimpin Pemuda UMNO dari luar Terengganu dalam perjalanan pulang, golongan muda yang menyokong PAS berarak mengelilingi bandar Kuala Terengganu.

Saya anggarkan ada lebih 4,000 motosikal. Kalau didarab dengan dua bermakna 8, 000 orang – benar pendapat mengatakan tidak semestinya pengundi – sementara kereta dan lori lebih 500 buah. Didarab dengan empat bermakna 2,000 pemuda.

Saya akui bukan semua daripada mereka pengundi pada pilihan raya kecil Sabtu lalu. Tetapi saya yakin mereka akan menjadi pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Apakah rancangan untuk menarik pemuda dekat dengan UMNO? Apa pula pengumuman Putera UMNO untuk menarik golongan muda selepas ini!

Kedua, pada malam terakhir, iaitu malam Jumaat, satu pentarama diadakan di Stadium Sultan Nasiruddin Shah.

Tidak diketahui anjuran siapa tetapi kononnya ia untuk mengumpulkan pengundi muda di Kuala Terengganu.

Yang pasti ia dikhususnya untuk ‘orang muda’. Yang tua datang ialah beberapa pemimpin UMNO Terengganu dan tetamu terhormat ialah Timbalan Presiden UMNO.

Pada ketika pemuda dan muslimat PAS sedang memperkukuhkan ‘pondok panas’ dan sesetengahnya sembahyang hajat, pemuda dan pemudi (Puteri UMNO) kita sedang ‘berpesta’ dalam stadium mendengar lagu merdu daripada penyanyi popular yang sesetengahnya dari Terengganu sendiri.

Untuk makluman pelayar dan pembaca, ia acara tertutup. Tidak dibenarkan press masuk. Ekslusif katanya. Untuk apa?

Ada khabar mengatakan Najib diberi jaminan akan ada 10,000 pemuda di stadium berkenaan tetapi yang hadir hanya kira-kira 3,500 orang.

Malah ada kalangan pemuda yang datang pun ramai yang jadi ‘bingung’ sambil tertanya-tanya untuk apa pesta itu pada ketika saat begitu kritikal. Tetapi kerana mereka dikurung, tiada apa boleh dilakukan, lagipun ia program parti!

Pada ketika pesta berlangsung, klik jam semakin menghampiri 12 tengah malam dan kempen tidak dibenarkan lagi selepas detik itu.

Pada ketika pesta tamat kira-kira 10.45 malam, pemuda dan puteri terpaksa menempuh jalan yang sesak dan sesampai ke ‘kawasan masing-masing’ pada detik 12 malam semakin hampir.
Tiada apa boleh dilakukan ketika itu. Sedangkan orang muda PAS melakukan ‘pusingan akhir kempen’ ketika Pemuda dan Puteri UMNO berpesta.

Pernahkah kita belajar daripada Perang Uhud? Tentera Islam ramai yang terbunuh akibat terlena kerana harta dan mereka mula mengejar ‘kekayaan’ dan tidak sedar musuh datang mengepung kerana asyik mengambil harta rampasan.

Di Bukit Uhud, 50 tentera Islam yang terdiri daripada pasukan memanah telah diperintahkan untuk mengadakan kubu pertahanan di atas bukit. Mereka diperintahkan agar tidak meninggalkan bukit itu sama ada kalah atau menang sehingga diberitahu kelak.

Pertempuran awal mmenyaksikan kegoyahan tentera Quraisy. Tentera musyrik mula berundur dan tentera Muslim mula nampak kejayaan mereka dan ketika itu, tentera yang bertahan di atas bukit mula meninggalkan tempat itu untuk memungut harta yang tertinggal dan menguasai medan kemenangan.

Sebaik mereka meninggalkan bukit tersebut, Khalid al-Walid bersama tentera berkudanya serta beberapa pimpinan perang untuk mula menyerang dari belakang iaitu menerusi bukit tersebut.
Serangan tersebut memecah-belahkan tentera Muslim dan melemahkan pertahanan mereka.

Ketika itulah muncul pelbagai dakwaan dan propaganda yang turut mengatakan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) telah terkorban. Nabi bersama-sama Abu Bakr as-Siddiq, Umar ibni al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib sebenarnya selamat.

Di Stadium Sultan Nasiruddin Shah malam itu, kejadian hampir sama berlaku. Mungkin kerana yakin akan menang dan mahu menang selesa, pemuda dan pemudi UMNO ‘dipaksa’ datang berpesta.

Apakah pengundi muda tidak boleh dipujuk kalau tidak ada pesta? Apakah pengundi muda mengharapkan konsert baru mereka datang ke majlis UMNO dan BN?

Apakah pemuda mesti diumpan dengan konsert serta habuan baru mereka mengundi BN?
Sampai bila pemimpin muda UMNO mesti berfikiran begini. Siapakah yang masih ada dalam UMNO berfikiran sebegini? Betulkah strategi sebegini?

Bagi saya, pada saat genting seperti ini, ada juga bentuk pesta tidak sesuai.

Pesta dan nyanyi-nyanyian boleh dibuat sepuas-puasnya selepas hari membuang undi.

Jikapun kalah, sekurang-kurangnya pesta itu boleh menghilangkan kedukaan!