Monday, March 19, 2012

ISU YAHUDI - HADI TERGELINCIR DARIPADA LANDASAN ISLAM SEBENAR...

"Orang Yahudi pada zaman dahulu memiliki akhlak baik dan sanggup bekerjasama dengan pemimpin dan umat Islam berbanding sekarang...Apa dapat kita saksikan kini orang Yahudi membina penempatan haram selepas menghalau penduduk Palestin dari tanah air sendiri dengan bantuan Zionis. Bekerjasama dengan Yahudi bererti menyokong Zionis,” - Prof Dr Mahmood Zuhdi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memang sah pakar spin agama Islam untuk kepentingan pihak tertentu dan semakin pecahbelahlah umat Islam di negara ini.

Kenyataan terbarunya mengenai urusan perniagaan boleh dilakukan dengan Yahudi sangat tidak kena dengan suasana semasa dan dibimbangi akan memecah belah umat Islam.

Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Prof Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, tindakan Hadi membuat perbandingan antara Yahudi sekarang dengan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah SAW adalah tidak tepat.

Pandangan Hadi itu semata-mata bermotifkan politik dan untuk kepentingan pakatan pembangkang semata-mata.

Mahmood Zuhdi menganggap Hadi kini tergelincir dari landasan Islam sebenar dan seolah-olah menggadaikan perjuangan Islam.

Beliau hairan bagaimana Hadi yang selama ini tegas sanggup tunduk dan sokong musuh Islam, katanya.

Berikutan itu Hadi perlu memperjelaskan perkara sebenar dan tidak gentar kenyataan pemimpin tertentu yang menyokong Yahudi atau Zionis.

Sebagai ulama, Hadi perlu bercakap benar walaupun ia pahit dan tidak gentar sokongan politik untuk pilihan raya akan datang semata-mata demi perjuangan agama.

Pandangan Hadi hari ini disokong Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila mengatakan “Di dalam hadis ….jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga. Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi? Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam.”

Menurut Nik Aziz, adapun yang ditentang oleh Pas ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin.

Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

Mejadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel.

Selanjutnya Nik Aziz berkata: “Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel,”

Mahmood Zuhdi semalam berhujah, orang Yahudi pada zaman dahulu memiliki akhlak baik dan sanggup bekerjasama dengan pemimpin dan umat Islam berbanding sekarang.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata, Ahli Parlimen Marang itu mengeluarkan kenyataan sekadar menyedapkan mulut dan mengambil hati pemimpin tertentu.

“Apa dapat kita saksikan kini orang Yahudi membina penempatan haram selepas menghalau penduduk Palestin dari tanah air sendiri dengan bantuan Zionis. Bekerjasama dengan Yahudi bererti menyokong Zionis,” tegas Mahmood Zuhdi.

Apapun, kita lihatlah bagaimana selepas ini bijak pandai Islam berhujah dalam konteks kepentingan politik dan  kepentingan kuasa mengenai Yahudi dan berdagang dengan  negara berkenaan.

Yang diharapkan, di celah-celah pendapat yang memening dan bercelaru itu ada hujah yang benar-benar berlandaskan kepentingan Islam semasa.

TRANSFORMASI NAJIB, KEGAGALAN PEMBANGKANG, KELEBIHAN BUAT BN

 “Pembangkang memang celaru, tengok banyak janji tak tunai, rakyat kena tipu, jangan kena tipu lagi, sekali cukup. Ini semangat yang saya lihat insya-Allah gelombang ini akan bawa kemenangan kepada BN nanti…asalkan BN menang, negara berjaya, rakyat Malaysia makmur dan negara maju jadi kenyataan, transformasi dapat dilaksanakan, baru dapat buat transformasi besar,"Mohd Najib Razak

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan keyakinannya dengan keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk merampas negeri-negeri yang ketika ini dikuasai pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja lagi.

Najib membuat kenyataan itu berdasarkan kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan yang semakin bertambah baik. Rakyat juga dikatakan menerima dasar kerajaan ketika ini yang memberi tumpuan kepada usaha mentransformasikan negara.


Persoalannya apakah Najib berupaya mengulangi kecemerlangan BN pada 1995 dan 2004?

Apakah pengundi Melayu kekal mengundi Barisan Nasional (BN)? Apakah pengundi baru seramai kira-kira dua juta akan memberi kelebihan kepada BN?

Juga apakah pihak berkecuali akan menghukum pembangkang kerana gagal menunaikan janji-janjinya pada pilihan raya umum ke 12 lalu?

Sesetengah pihak membuat andaian bahawa apabila Barisan Nasional (BN) hilang lebih satu per tiga kerusi kawasan Parlimen pada PRU 2008, ia mungkin hilang kawalan ke atas kerajaan persekutuan pada pilihan raya kali ini.

Namun apabila berlaku pertukaran kepimpinan dan pelbagai program diperkenalkan di bawah gagasan 1Malaysia dan Program Transformasi Negara oleh kerajaan BN, kebanyakan penganalisis politik yakin peluang BN kekal menerajui kerajaan persekutuan adalah tinggi, malah akan menang lebih banyak kerusi kali ini.

Apapapun, ia bergantung kepada siapa kita bercakap. Kalau kita bercakap kepada penyokong kedua-dua pihak, sudah tentu masing-masing akan bercakap bagi pihak masing-masing. "Namun apa yang perlu diambil kira ialah pihak yang berkecuali dan undi mereka yang penting," kata seorang penganalisis politik dari Pulau Pinang.

Pihak berkecuali ini termasuk kira-kira dua juta pengundi baru dan muda yang akan mengundi buat pertama kali yang sokongan mereka akan menjadi penentu siapa yang menerajui Putrajaya.

Strategis dan Anggota Parlimen DAP bagi kawasan Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata sama ada BN boleh mengekalkan kuasa kerajaan persekutuan bergantung kepada faktor "middle ground" kerana beliau percaya boleh berlaku 10 peratus peralihan undi sama ada kepada BN atau pakatan pembangkang. "Middle ground yang perlu diambil kira. Setiap pilihan raya berbeza melibatkan personaliti baru, sentimen yang berbeza dan perubahan tema. Keputusan pilihan raya lalu hanya boleh dijadikan rujukan," katanya.

Liew berkata peralihan undi 10 peratus adalah besar yang tidak selalu berlaku tetapi tidak mustahil. BN memperoleh 65 peratus undi pada PRU 1995, 57 peratus pada 1999, 64 peratus pada 2004 dan 51 peratus pada 2008 dan antara pilihan raya 1995 dan 1999, undinya menurun lapan peratus dan antara 2004 dan 2008, ia jatuh 13 peratus, katanya. "Pakatan pembangkang menang 83 dari 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya 2008. Dari 139 kerusi BN, 55 dari Sabah, Sarawak dan Labuan sementara di Semenanjung, ia memiliki 85 kerusi berbanding pakatan pembangkang sebanyak 81," katanya dan menambah 51 peratus undi pakatan pembangkang diperoleh di Semenanjung. Pada pilihan raya lepas, 54 dari 83 kerusi pakatan pembangkang diperoleh dengan majoriti kurang dari 10 peratus atau kerusi marginal.

Tetapi dalam pilihan raya akan datang, sekiranya terdapat 10 peratus peralihan undi yang memihak BN, pakatan pembangkang hanya akan tinggal 29 kerusi. Sebaliknya 56 dari 139 kerusi BN dimenangi dengan majoriti kurang daripada 10 peratus pada 2008, dan peralihan 10 peratus undi yang memihak pakatan pembangkang akan menjejaskan pemerintahan BN.

"Daripada 56 kerusi marginal BN, 14 ialah dari Sabah dan Sarawak sementara 11 lagi dari Semenanjung dengan kurang daripada 70 peratus adalah undi Melayu. Dari 54 kerusi marginal pakatan pembangkang, 34 adalah dari Semenanjung," katanya dan menambah kerusi marginal dari kedua-dua BN dan pakatan pembangkang berjumlah 110 kerusi, dengan 112 kerusi diperlukan untuk memenangi majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Namun BN tidak terlalu bimbang dengan lebihan yang kecil. Ia memenangi 66 hingga 90 peratus kerusi Parlimen sejak 1959 dengan hanya 49.3 peratus ke 65.2 peratus undi. BN tidak pernah menang lebih daripada dua per tiga (66.67 peratus) undi popular. 

Paling hampir ia menang lebih dua per tiga undi popular ialah pada 1995 (65.2 peratus) apabila ia menang 84.38 peratus kerusi Parlimen. Pilihan raya terbaik bagi BN ialah pada 2004 apabila ia menang 90 peratus kerusi tetapi dengan hanya 63.9 peratus undi, namun masih kurang daripada dua per tiga. Tahun 1995 merupakan tahun terbaik bagi BN dalam pungutan jumlah undi (65.2 peratus), tetapi ia hanya menang 84.38 peratus kerusi. Ini bermakna undi lebih tidak bermaksud memperoleh lebih banyak kerusi dan sebaliknya. Najib, yang juga Pengerusi UMNO Selangor, turut menyuarakan keyakinan bahawa negeri Selangor sendiri akan kembali ke pangkuan BN, selepas pembangkang gagal menunaikan banyak janji di negeri itu.

Amat jelas Najib bekerja keras dan mahu membuktikan sebagai ‘bos UMNO Selangor’ beliau tidak mahu ‘kecewa’ seperti Tun Dr Mahathir Mohamad di Kelantan. ( Dr Mahathir sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan gagal menawan Kelantan beberapa kali, termasuk pada 1995 walaupun BN menang cemerlang). Najib seboleh-bolehnya mahu memastikan kemenangan BN kerana menurutnya hanya kerajaan BN sahaja yang mampu membawa pembangunan dan pembaharuan berterusan mengikut kehendak dan aspirasi rakyat.

"Asalkan BN menang, negara berjaya, rakyat Malaysia makmur dan negara maju jadi kenyataan, transformasi dapat dilaksanakan, baru dapat buat transformasi besar," katanya di hadapan lebih 20,000 orang yang hadir pada perhimpunan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Putra Perdana Puchong, semalam.

Datuk Seri Najib Razak disambut meriah oleh orang ramai ketika menghadiri majlis sambutan 30 tahun Pusat Sri Murugan di Petaling Jaya, 18 Mac, 2012.
Ketua Publisiti BN Selangor, Datuk Yap Pian Hon berkata malah jika lebih ramai orang keluar mengundi pada pilihan raya kali ini dan pakatan pembangkang memperoleh lebih banyak undi, tiada jaminan ia boleh membentuk kerajaan persekutan. "Ia bergantung di mana anda mengundi. Jika anda mengundi di kawasan bandar yang majoritinya sudah tentu pengundi Cina, maka pembangkang mungkin mendapat banyak undi, tetapi tidak kerusi," katanya. 

Yap berkata pada PRU 2008, 82 kerusi Parlimen yang pakatan pembangkang menang terbahagi hampir sama antara pengundi Melayu dan bukan Melayu walaupun ia mendapat hampir 90 peratus undi kaum India, 70 peratus undi Cina dan 50 peratus undi Melayu. Namun, beliau berkata kini undi kaum India berpecah 50:50 antara B Ndan pakatan pembangkang sementara dijangkakan akan berlaku peningkatan kecil undi kaum Cina kepada pembangkang kepada 80 peratus daripada 70 peratus sebelum ini.

Sebarang pertambahan undi kaum Cina kepada pakatan pembangkang mungkin diimbangi dengan penurunan undi kaum India kepada pembangkang. "Faktor penentu masih undi kaum Melayu. Lebih 60 peratus pengundi di negara ini ialah pengundi Melayu. Sebarang pertambahan undi Melayu kepada BN boleh mengimbangi penurunan undi bukan Melayu.

Pada pilihan raya lalu, BN mendapat kira-kira 50 peratus undi Melayu," katanya.

Bagi membentuk kerajaan persekutuan, pakatan pembangkang perlu menang sekurang-kurangnya 94 daripada 165 kerusi di Semenanjung dan 18 daripada 57 kerusi di Sabah, Sarawak dan Labuan (31 di Sarawak, 25 di Sabah dan satu di Labuan) yang mungkin membawa kepada majoriti mudah 112 kerusi. "Bagi menambah kepada 94 kerusi, ia perlu menang semua kerusi yang ia menang sebelum ini, termasuk yang diduduki oleh pihak yang keluar parti.

Ini tidak termasuk menang tambahan 12 kerusi di Semenanjung dan 18 lagi di Sabah dan Sarawak," katanya dan menambah beliau tidak melihat kemampuan pakatan pembangkang membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.

Pakatan pembangkang menang 83 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu tetapi kini tinggal 76 ekoran tindakan wakil rakyatnya keluar parti. Perdana Menteri berkata beliau serta barisan kepimpinan BN berkerja keras siang dan malam untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat di seluruh negara sekali gus memastikan kemenangan BN. 

"BN cukup yakin. Pembangkang memang celaru, tengok banyak janji tak tunai, rakyat kena tipu, jangan kena tipu lagi, sekali cukup. Ini semangat yang saya lihat insya-Allah gelombang ini akan bawa kemenangan kepada BN nanti," katanya.

Pemerhati politik bersetuju peluang pakatan pembangkang menang sekurang-kurangnya 18 kerusi di Sabah dan Sarawak masih samar-samar ekoran dibelenggu masalah seperti jentera pilihan raya, logistik, pemimpin tempatan dan sokongan pengundi luar bandar.

Pengundi di Sabah dan Sarawak turut menyokong parti tempatan seperti parti komponen BN berbanding pakatan pembangkang yang merupakan parti Semenanjung.

Penganalisis politik Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berpendapat jumlah kerusi yang paling banyak yang boleh pakatan pembangkang menang di Sarawak ialah antara tujuh hingga 10 kerusi. Kerusi-kerusi itu termasuk empat kawasan kelabu Parlimen yang diperuntukkan kepada SPDP (Mas Gading, Seratok, Baram dan Bintulu) dan kemungkinan mengekalkan Bandar Kuching dan Sibu serta menang di Stampin, Sarikei, Lanang dan Miri.

Di Sabah, pakatan pembangkang diramalkan boleh menawan hanya lima kerusi Parlimen terutama yang majoriti pengundi Cina seperti Kudat, Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan. "Sokongan menyeluruh kepada BN di Sabah dan Sarawak ialah 55 peratus, pakatan pembangkang 30 peratus dengan undi terapung kira-kira 15 peratus," tambahnya.

Amat jelas ketika ini, BN masih menguasai keadaan. Banyak pihak dalam pembangkang walaupun begitu positif untuk menang merasakan dalam tempoh tiga tahun lalu melalui kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak agak sukar untuk mengubah kedudukan BN.

Benar seperti kata Liew bahawa pada PRU ke-13, apa saja boleh berlaku tetapi ia tidak semestinya akan memberikan kelebihan kepada pembangkang semata-mata. Selain bergantung kepada magis berkempen yang boleh menyeimbangi keadaan, keadaan beberapa hari sebelum hari mengundi akan turut mempengaruhi sokongan rakyat. DAP sendii tidak pasti boleh menawan Pulau Pinang pada PRU 2008 sehinggalah beberapa hari sebelum hari mengundi.

Begitu juga di Perak dan Kedah pada pilihan raya umum 2008 lalu, tidak siapa dapat bayangkan kedua-dua negeri itu boleh jatuh ke tangan pembangkang.

Kelantan pula hampir tewas pada 2008 dan apakah kali ini akan beulang?

Selangor yang menghadapi pelbagai desakan rakyat dan serangan BN yang begitu bertubi-tubi juga tidak mustahil kembali kepada BN.

Biarpun pembangkang begitu yakin ‘anak muda’ akan berpihak kepada mereka namun pihak yang berkecuali akan melihat untng rugi dalam memilih parti yang akan memerintah.

Malah dengan dua juta pengundi baru dan muda yang akan mengundi buat kali pertama, pastinya sokongan mereka akan disandarkan kepada parti mana yang boleh membela mereka.

Malah Liew sendiri menegaskan, faktor "middle ground" yang akan menentukan 10 peratus peralihan undi sama ada kepada BN atau pakatan pembangkang tetap penting. Dengan BN meletakkan harapan kepada transformasi dan calon boleh menang, faktor personaliti baru, sentimen yang berbeza dan perubahan tema seperti yang melanda Selangor dan Kelantan, segala-galanya akan memberikan kelebihan kepada BN.

Sumber - Bernama