Thursday, April 16, 2009

ADA TANGAN GHAIB DALAM KRISIS TERENGGANU?

Kuala Lumpur dan Putrajaya kini khabar angin bertiup kencang kononnya ada pemimpin tertingi UMNO Pusat ‘terbabit’ dengan usaha menjatuhkan Ahmad Said.

Beberapa sms, panggilan dan e-mail yang saya terima mengatakan ada sedikit perbezaan pendekatan antara Perdana Menteri dan orang ini dalam menangani krisis di Terengganu.

Pemimpin berkenaan dikatakan merestui kumpulan 10 untuk menjalankan apa juga strategi untuk menjamin Terengganu mendapat pemimpin baru.

Malah pemimpin berkenaan dikatakan kurang senang dengan Ahmad Said yang dilihat kurang menyokongnya ketika pemilihan parti baru-baru ini.

Hari ini, dua pemimpin Terengganu - pagi dan tengah hari ini – dilaporkan menemui Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kemelut politik di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said tiba di pejabat Perdana Menteri pada pukul 12 tengah hari ini dipercayai akan mengadakan pertemuan dengan
Terdahulu pada pukul 10 pagi ini, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dilihat berada di lobi pejabat Perdana Menteri.

Tidak diketahui sama ada beliau dipanggil atau memang mahu menemui Perdana Menteri bagi tujuan sama.

Kelmarin, 10 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah mendakwa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan yang mengancam nyawa mereka.

Bagaimanapun mereka kembali menghadiri sidang DUN semalam.

Bagi Ahmad Said, inilah kali pertama beliau menemui Perdana Menteri mengenai kemelut berkenaan, sedangkan bagi Idris, beliau dikatakan sudah menemui Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Laporan Malaysiakini 14 April lalu menyebut, krisis yang sedang berlaku di Terengganu diketahui lebih awal oleh pucuk pimpinan tertinggi negara kerana dua rombongan ADUN Barisan Nasional (BN) telah menemui mereka berdua sejak seminggu lalu.

Bekas pemimpin kanan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid bersama rombongannya menemui Datuk Seri Najib Razak pada 8 April, sehari sebelum perdana menteri mengumumkan barisan kabinet pertamanya.

Pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi timbalan perdana menteri, Seri Satria di Putrajaya.

Najib waktu itu belum berpindah ke Seri Perdana.

Manakala satu lagi rombongan ADUN negeri itu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu.

Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu, Alias Abdullah memberitahu Malaysiakini Perdana Menteri ingin tahu sebab majoriti ADUN tidak senang kepada Ahmad Said.

Alias yang juga wakil Alor Limbat menambah, mereka dipanggil oleh Muhyiddin kerana beliau sendiri juga ingin mengetahui gambaran sebenar politik Terengganu.

Tambahnya, timbalan perdana menteri juga diarahkan oleh perdana menteri untuk mengumpul maklumat lanjut tentang perkara ini.

"(Dalam pertemuan itu,) kita telah menyuarakan rasa kurang puas hati mengenai pelantikan ketua Wanita Umno bahagian Dungun, Zainon Abu Bakar sebagai senator yang mewakili Terengganu," katanya.

"Kerana kita mahu senator yang mewakili Terengganu mestilah (seseorang) yang membawa suara Terengganu," katanya.

Diminta mengulas lanjut sikap rakan-rakannya dalam Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu, Alias berkata majoriti sudah hilang keyakinan kepada Ahmad untuk memimpin negeri tersebut.

Beliau menambah, ADUN Kijal tidak mempunyai kebolehan untuk membawa kemajuan Terengganu.

"Jika beliau terus menjadi menteri besar, rakyat dan negeri ini akan menjadi mangsa. Untuk itu kita berharap pucuk pimpinan tinggi negara menyelesaikan isu ini segera untuk kepentingan rakyat," katanya.

Apa yang boleh diharapkan ialah Perdana Menteri mengatasi sebaik-baiknya kerana ‘rambut jangan putus dan tepung tidak bertaburan’.

AHMAD SAID DITOLAK KERANA ‘CAP AYAM’?

Tidak ada sebarang tuduhan pun bahawa bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh mendalangi tindakan 10 wakil rakyat Barisan Nasional memulaukan sidang DUN semalam, kata setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Terengganu.

Juga tidak ada tuduhan pun yang Idris tahu mengenai rancangan tersebut yang dibuat sebelum persidangan dewan bermula jam 9.30 pagi.

Idris menganggap orang lain paranoid apabila sering melihatnya sebagai dalang tetapi persoalan juga timbul apakah Idris dan kumpulannya belum boleh ‘menerima hakikat’ dan sering menganggap orang lain ‘bodoh’ atau ‘cap ayam’ daripada kumpulannya?
Juga terserlah ialah kumpulan 10 ini mahu Menteri Besar diganti.

Siapa sebenarnya bertanggungjawab atau boleh menggantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar?

Perdana Menteri, istana atau rakyat?

Semakin ramai yang bercakap daripada kumpulan yang memulaukan Dewan Undangan Negeri (DUN), semakin banyak rahsia yang terserlah daripada gerakan itu.

Sepuluh ADUN itu termasuk Idris tidak hadir di dalam dewan kelamrin dengan alasan nyawa tiga orang daripada mereka terancam susulan mesej SMS yang mengugut mereka jika meneruskan sesuatu tindakan yang tidak dinyatakan.

Mesej itu - yang didakwa daripada seorang pegawai kanan kerajaan negeri - sebagai reaksi terhadap ura-ura untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar di sidang DUN kelmarin.

ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah menafikan Idris terlibat, malah katanya, kalau tidak ada Idris, “kami pun boleh buat juga, seolah-olah kami tiada kewibawaan," katanya menangkis tanggapan bekas menteri besar itu dalang di sebalik tindakan menggemparkan itu.

Panafian itu ok tetapi apabila beliau ‘merendahkan Ahmad Said’ dengan mengatakan wakil rakyat sekarang ‘cap ayam’, itulah nawaitu sebenar kumpulan ini.

Dengan nada seakan marah, Alias mengulas kepada Malaysiakini: “Adakah anda ingat kami wakil rakyat cap ayam, macam menteri besar (sekarang)?"

Perkataan ‘cap ayam’ banyak digunakan di Terengganu untuk menggambarkan keadaan ataupun identity ‘low class”.

Jelas bagi kumpulan yang memulaukan sidang itu, Datuk Ahmad Said, Menteri Besar sekarang adalah ‘cap ayam’.

Hmmmm....kesian bagi yang melantik Ahmad Said, mereka juga mungkin ‘cap ayam’ kerana hanya ‘cap ayam’ sahaja tahu mengenai ‘cap ayam’. Siapa yang melantik Ahmad Said menjadi Menteri Besar ya?

Amat jelas, setidak-tidaknya Alias bukan ‘cap ayam’ kerana tahu di mana Idris berada dengan mengatakan ketua bahagian Besut itu pada sebelah pagi dalam perjalanan dari rumahnya di Besut, kira-kira dua jam berkereta ke Wisma Darul Iman yang menempatkan dewan tersebut.

Walaupun sebelum ini tidak ada kenyataan jelas bahawa gerakan ini bagi menunjukkan usaha menolak Menteri Besar atau mahu menggantikannya, semalam bekas setiausaha badan perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid terus terang meminta pemimpin tertinggi UMNO perlu bertindak menggantikan ADUN Kijal dengan segera.

Rosol berkata beliau sudah mengemukakan laporan kepada Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pihak Istana Terengganu berhubung perkara itu.

Beliau juga berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang menghantar SMS ugutan itu kerana ia dianggap serius.

"Cuma saya berasa pelik kerana yang menghantar SMS ini adalah pegawai kanan kerajaan negeri kepada wakil rakyat kerajaan.

"Perkara ini tidak pernah berlaku dan polis belum mengambil tindakan terhadap beliau," Rosol dipetik berkata.

Rosol mengakui kumpulan 10 ADUN itu memang menolak kepemimpinan Ahmad sebagai menteri besar.

Beliau yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN negeri berkata, 'Kita ada maruah'"Inilah pendirian 10 ADUN BN. Kita minta beliau (Ahmad) berundur," katanya.

Kenyataan Rosol itu dengan sendirinya membuktikan bahawa gerakan untuk menyingkirkan Ahmad Said tetap wujud dan semua pihak pasti menunggu reaksi pemimpin tertinggi UMNO mengenai perkara ini.

Persoalannya, apakah mereka akan bertindak mengikut saranan kumpulan 10 ini?
Pertama, apa pula reaksi dan pendirian sebenar 10 Exco Kerajaan Negeri serta tiga wakil rakyat BN lain? PAS hanya mempunyai lapan wakil rakyat di DUN berkenaan? Jika ada separuh daripada 24 wakil BN menyokong Ahmad Said, ini membuktikan beliau tetap ada pengaruh, walaupun hanya ‘cap ayam’.

Kedua, apakah pemimpin tertinggi UMNO sedia membuat satu precedent bahawa tuntutan untuk memecat atau mengguggurkan pemimpin negeri boleh diterima? Jika dipersetujui apakah dapat dijamin tidak akan berlaku perkara yang sama di Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Pahang dan Perlis?

Ketiga, apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya di Terengganu yang kemungkinan akan jatuh ke tangan PAS?

Keempat, di sebalik meminta Ahmad Said dikenakan tindakan, apakah pengurusan tertinggi juga bersedia mengambil tindakan tegas terhadap 10 wakil rakyat berkenaan kerana ia membabitkan disiplin parti UMNO dengan tidak melantik semula mereka sebagai calon pada pilihan raya ke 13?

Akhirnya, benarkah Ahmad Said takut bayang-bayang sendiri seperti dakwaan Idris?
Semalam bekas menteri besar Terengganu itu menggesa penggantinya Ahmad Said tidak paranoid sehingga terfikir ada usaha menjatuhkannya melalui usul undi tidak percaya.

"Cuma, saya ingin beritahu, jangan ada pihak yang paranoid... takut bayang-bayang sendiri. Kalau tiada (usul undi tidak percaya), tiadalah," Kata Idris.

Ahmad yang sejauh ini mengamalkan ‘politik rendah hati’ dan sedaya upaya menghampiri rakyat mengatakan beliau tidak pernah takut, kerana “...dulu pun saya pernah (berdepan) dengan perkara (seumpama ini semasa pelantikannya sebagai menteri besar)."

Malah mengulas kehadiran 10 ADUN berkenaan pada sidang DUN, Ahmad Said mengucapkan "Terima kasih, baguslah. Kalau orang lain boleh mari (datang), tak kan mereka tidak boleh mari. Saya tidak berasa hati (dengan mereka)," katanya.

Beliau meminta kesemua ADUN berkenaan "perlu bersikap positif dan mengutamakan parti serta rakyat" .

Yang anehnya ada suara daripada kumpulan ini yang mengatakan kemungkinan bekerjasama dengan PAS bagi ‘menjatuhkan Ahmad Said’.

Hakikatnya, tidak perlu bekerjasama dengan PAS pun, kalau ada pilihan raya untuk memilih kerajaan Terengganu hari ini, UMNO dan BN akan berputih mata!

Bukan Ahmad Said sahaja akan ‘jalan’ tetapi juga kemungkin besar Terengganu akan lingkup dan kumpulan 10 juga akan berputih mata!