Friday, July 29, 2016

SKIM PENCEN DIHAPUSKAN, APAKAH SEKTOR AWAM TETAP MENJADI PILIHAN?


"Skim pencen sekarang menyebabkan kerajaan menanggung liabiliti sehingga RM300 bilion malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. pernah mengakui ianya sukar dikekalkan untuk jangka panjang."

Jika tiada skim pencen, apakah perkhidmatan awam masih menjadi tarikan utama kepada pencari pekerjaan di negera ini?

Juga memandangkan sektor awam yang menjadi tarikan kepada kebanyak pekerja Melayu dan Bumiputera,  apakah ia akan menjadi lebih terbuka?

Kerajaan sudah membayangkan, mungkin dalam tempoh lima tahun lagi skim pencen akan menjadi skim caruman wajib.

Dalam konteks skim pencen sekarang menyebabkan kerajaan menanggung liabiliti sehingga RM300 bilion malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah mengakui ianya sukar dikekalkan untuk jangka panjang.

Apa yang dapat dilihat,  menerusi skim ‘sumbangan wajib’ kerajaan dapat mengurangkan bebanan bagi liabiliti pencen yang semakin bertambah.

Ali Hamsa...25,000 penjawat awam baru setahun
Dalam konteks pertambahan penjawat awam pula, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata Mac lalu, pengambilan 25,000 penjawat awam baharu setiap tahun bagi menggantikan mereka yang bersara diteruskan.

Ia selaras dengan polisi kerajaan untuk mengekalkan jumlah 1.61 juta penjawat awam bagi disesuaikan dengan bilangan 30 juta penduduk ketika ini.

"Setiap tahun 25,000 penjawat awam menamatkan perkhidmatan kerana bersara dan mereka ini perlu diganti dengan jumlah yang sama melalui pengambilan baharu daripada luar," katanya.

Bagaimanapun, pekeliling dikeluarkan Perbendaharaan Malaysia pada Mac itu, bertajuk 'Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan', antara lain menyebut mengenai membekukan pengambilan perjawatan baharu, memperketat bayaran elaun lebih masa dan pemotongan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus berkuat kuasa awal bulan berkenaan.

Ali menjelaskan pengambilan baharu yang tidak dibenarkan ialah apabila wujud keperluan menubuhkan agensi baharu.

Cadangan 'sumbangan wajib' seolah-olah “Katakan Bye Bye Kepada Skim Pencen” menyebabkan perbicangan hangat di kalangan penjawat awam termasuklah badan yang mewakili mereka, Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS.

Perbincangan muncul berikutan kenyataan mengejutkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Wan Kamaruzaman Wan Ahmad kelmarin bahawa penjawat awam mungkin perlu membayar sendiri tabung persaraan mereka.

Dengan kata lain, ia sama seperti pekerja swasta menyalurkan pendapatan mereka kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berikutan itu, , CUEPACS membidas cadangan supaya penjawat awam sendiri membuat sumbangan ke dalam tabung persaraan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

KWAP bertanggungjawab menguruskan dana bagi mencapai pulangan melalui pelaburan dalam membantu kerajaan membiayai pencen penjawat awam.

Skim tersebut menjamin pembayaran pencen sepanjang hayat berupa setengah daripada gaji terakhir penjawat awam yang bersara pada usia 60.

Sejak November 2015, KWAP mengambil alih tugas pembayaran pencen kepada 700,000 pesara kerajaan.

Kesal dengan KWAP
Presiden Cuepacs Azih Muda pada Selasa (26 Julai 2010) berkata KWAP baru sahaja mengambil alih pengurusan wang pencen dan CEO berkenaan sudah mula bercakap seperti itu.

Beliau kesal dengan kenyataan Wan Kamaruzaman itu dan menganggap tidak perlu membuat keputusan bagi pihak kerajaan.

Ini kerana hak penjawat awam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau tidak ada kuasa memutuskan sama ada kerajaan perlu mengubah skim persaraan atau tidak,” kata Azih.

CUEPACS jangan cepat melenting kerana difahamkan dalam perbincangan Bajet 2017, Perdana Menteri turut dimaklumkan bahawa skim pencen sekarang tidak mampu untuk diteruskan untuk tempoh yang panjang selepas ini.

Ini membawa gambaran bahawa kerajaan mungkin mencadangkan skim alternative.

Apakah skim alternatif itu?

"Apa yang kami ketahui ialah (kerajaan) mungkin akan membuat satu keputusan bahawa skim (semasa) tidak boleh bertahan, kami mungkin berpindah kepada skim seperti EPF.

Katakan dalam tempoh lima tahun akan datang penjawat awam baru akan menyertai skim caruman sendiri dan kami (KWAP( akan menguruskan kedua-dua skim iaitu pencen seperti sekarang dan skim caruman, itulah yang saya nampak akan berlaku.

Ini kerana sudah jelas (skim sekarang) sukar untuk bertahan.

 

Dalam kenyataan disiarkan akhbar The Sun edisi Ahad lalu (24 Julai 2016) Wan Kamaruzaman dilaporkan berkata skim pencen semasa penjawat awam yang dipanggil ‘manfaat pasti’ agak sukar untuk dikekalkan.

Berikutan itu,  skim alternatif yang ada ialah skim jenis KWSP yang digelar ‘sumbangan pasti’.

Menerusi skim sekarang penjawat awam tidak perlu membuat caruman sendiri sebaliknya ia dibayar oleh majikan termasuk badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ini membolehkan penjawat awam mendapat separuh daripada gaji terakhir untuk seumur hidup setelah bersara pada usia 60 tahun, dan terus disumbangkan kepada pasangan selepas mereka meninggal dunia.

KWAP yang beroperasi di Cyberjaya, mengendalikan operasi pencen penjawat awam setelah kesemua jabatan pencen awam yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diserap di bawahnya sejak November 2015.


Selain itu pengubahsuaian yang dibuat ke atas Akta Dana Persaraan 2007 awal tahun lepas turut menyaksikan KWAP mengambil alih operasi pembayaran pencen bulanan kepada 700,000 pesara kerajaan.