Saturday, December 31, 2011

PEMBANGKANG PAKSA YANG DI-PERTUAN AGONG PECAT JAMIL KHIR

"Wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman...Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” - Datuk Seri Jamil Khir

Ini belum jadi pemerintah rasmi!

Sudah pandai mahu paksa Yang di-Pertuan Agong memecat seorang Menteri yang kononnya tidak meminta maaf berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat.

Menurut laporan semalam, gerakan anti-rasuah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jingga 13 akan meminta Jamil Khir dipecat daripada pentadbiran negara sekiranya menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu tidak melakukan demikian.

Setiausaha Jingga 13, Saifuddin Shafi Muhammad, memberitahu wartawan bahawa selaku ketua agama negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecat menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menggunakan RM63,650 untuk membiayai kos guaman.

Namun, wang itu telah dibayar balik selepas agensi itu memperoleh RM70,000 pada Jun tahun lalu.

Pada Rabu, 28 Disember lalu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri berkenaan dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.

Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.

"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka. Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.

"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga. Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah. Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

PKR bagaimanapun terus menerus memberikan tekanan ke atas Jamil Khir, berulang kali meminta perkara itu diperjelaskan.

Semalam, PKR terus menuntut pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib memberikan penjelasan berhubung penyalahgunaan wang zakat didakwa melibatkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sambil sekali lagi meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak lagi berselindung di sebalik pegawai kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata wujud percanggahan dari segi penjelasan dan ada beberapa perkara yang masih menjadi tanda tanya.

Dakwaan penyalahgunaan wang zakat terhadap Jamil Khir Baharom didedahkan bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim awal minggu ini.

Bekas pegawai siasatan jenayah Kuala Lumpur mendakwa Jamil Khir dan dua pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guaman tahun lalu seperti yang disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Jamil Khir, Setiausaha MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa MAIWP Shamsudin Hussain dikatakan menggunakan RM63,650 dari wang zakat untuk membiayai kos guaman dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bayangkan kalau dah jadi pemerintah, Yang di-Petuan Agong, iaitu institusi tertinggi pentadbiran negara akan dibuat atau dipaksa oleh PKR sesuka hati.

“Jika beliau (Jamil Khir) tidak meminta maaf dalam 48 jam, kami akan menghantar memo kepada Agong selaku ketua agama untuk mempertahankan Islam,” katanya sebelum memfailkan satu laporan terhadap Jamil Khir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Shah Alam.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, itu menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit dalam penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.

Beliau berkata, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” kata beliau di Sepang.

Apakah penjelasan ini tidak mencukupi? Apakah PKR mahu teruskan niat hantar memo kepada Yang di-Pertuan Agong?

Memandangkan Jamil Khir tidak mintamaaf kerana tidak perlu melakukannya dan isu ini dijadikan modal pembangkang, untuk tujuan politik, Jamil Khir akan menjadi watak yang akan diperkatakan sehingga pilihan raya umum depan.