Showing posts with label Agong. Show all posts
Showing posts with label Agong. Show all posts

Saturday, December 17, 2016

‘PENDERHAKA, PENGKHIANAT SEPERTI DR MAHATHIR TIDAK WAJAR DILAYAN...


Bekas menteri kanan kerajaan, Tan Sri Rafidah Aziz baru-baru ini menyatakan rasa tidak percaya bahawa jemputan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan oleh Yang Dipertuan Agong ke-15 yang sudah berlalu dengan gilang gemilang itu dibatalkan.

Bukan beliau sahaja terkejut, apa lagi Dr Mahathir adalah penerima anugerahkan Darjah Tertinggi Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi pastinya juga di kalangan rakyat.

Atas alasan penerima anugerah itu sahaja Rafidah dikatakan berhak dijemput, apalagi sebagai bekas Perdana Menteri yang masih hidup.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, pembatalan undangan kepada Dr Mahathir ke istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Istana Negara, Selasa lalu bukan atas arahan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Dr Ahmad Zahid menjelaskan, beliau telah membuat semakan terhadap pembatalan undangan kepada bekas perdana menteri itu dan mendapati urusan tersebut adalah di bawah kuasa Istana Negara.

Malah, katanya kalau ada yang tidak berpuashati (mengenai perkara itu), sila menghadap (Yang di-Pertuan Agong) untuk mendapatkan penjelasan dan jangan salahkan orang lain.

Elok jika tidak dibahaskan mengenai surat daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kepada Dr Mahathir yang membatalkan undangan ke istiadat tersebut yang tersebar di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan di Istana Negara sudah  berlansung pada 13 Disember di Istana Negara. Ia berjalan lancar. Yang dirancang sudah berlangsung dengan baik. Alhamdulilah.

Jika dibahas atau dipersoalkan, akan nanti  timbul syak wasangka  atau perasaan curiga bahawa Dr Mahathir menggunakan inidividu atau pertubuhan tertentu untuk ‘menyerang balas’ terhadap individu atau sesiapa sahaja dalam isu jemputan kehadirannya pada majlis itu.

Jangan pula terjadi seperti serangan media asing terhadap Perdana Menteri dan kerajaan yang menganggap Malaysia sebagai negara kleptokrasi,  yang akhirnya Dr Mahathir dan kumpulannya dipersalahkan terus-terusan.

Dr Mahathir dijadikan sasaran tanpa melihat sebab sebenar kepada punca dan sebab sebenar Malaysia diserang bertalu-talu oleh mereka.

Berucap pada anugerah Muammar Gaddafi di Tripoli 2005 (Gambar Hambali Abdul Latiff)
Yang pasti, tiada jemputan untuk Dr Mahathir tidak sedikit pun menjejas atau menyebabkan cacat-celanya majlis gilang-gemilang itu. Juga tidak ada yang kesipuan di hari tersebut.

Dr Mahathir sendiri sudah menyatakan pendiriannya. Dia terbuka dan menerima ketentuan Illahi.

Institusi Diraja adalah hak Raja-Raja Melayu. Jika Penyimpan Mohor Besar bertindak sedemikian, kena patuhlah. Tiada soal jawab lagi.

Sudah dijelaskan dalam surat dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 5 Disember 2016 bahawa  Dr Mahathir telah dimaklumkan bahawa jemputan kepada beliau telah ditarik balik untuk mengelak "kesipuan", kerana tempat duduk tidak disediakan untuknya.

Tuan punya diri sudah patuh dengan pemakluman itu dan dalam masyarakat Melayu. titah amat difahami sebagai ‘perintah’.

Masyarakat Melayu yang sebelum ini diajar dan bagi yang pernah mengambil mata pelajaran sastera ketika di Tingkatan Enam untuk peperiksaan HSC dan STPM, khususnya pada tahun 1960-an dan 1970-an,  disyaratkan membaca Hikayat Hang Tuah.

Rasa cinta dan taat kepada Raja sudah diasuh begitu lama, iaitu sejak zaman remaja agar tidak menderhana kepada Raja dan negara.

Dengan kata lain kepatuhan kepada titah hendaklah dibuat atau diikuti seperti kepatuhan Hang Tuah apabila dijatuhkan hukuman bunuh. Pahlawan Melayu terbilang itu mematuhinya.

Hang Tuah bukan sekadar mengelak ‘kesipuan’ untuk dirinya jika dia memohon hukumannya dipertimbangkan tetapi juga demi menjaga air mula beberapa pegawai tinggi istana yang menjadi ‘penyangak’.

Bacalah Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu untuk ketahui siapa ‘penyangak itu’.

Malah, selepas ada pihak yang terpaksa mengalami ‘kesipuan’, mungkin termasuk Sultan Melaka sendiri, apabila diminta membunuh Jebat, Hang Tuah rela dan redha untuk bertindak kerana kehendak Raja walaupun hakikatnya Hang Jebat adalah orang yang sangat disayanginya.

Hang Tuah tidak sekali-kali menderhaka kepada Rajanya.

Dengan kata lain, Hang Tuah turut menjaga maruah Sultan Melaka agar tidak mengalami ‘kesipuan’ besar akibat tindakannya sendiri kerana menjatuhkan hukuman terhadap pahlawan berjasa itu.

Apa yang berlaku kepada Dr Mahathir tempoh hari amat kecil dan kerdil berbanding dengan apa yang dialami oleh Hang Tuah dalam isu ‘kepatuhan’ ini.

Juga jadikanlah kepatuhan seperti yang berlaku kepada Ahmad Razif Abdul Rahman yang ditarik pingat kebesarannya pada April lalu.

Kini pingat itu dikembalikan. Jangan persoalkan kenapa dan mengapa pingat itu ditarik balik dan kemudian dikembalikan semula oleh Istana Terengganu.

Yang penting, Ahmad Razif kini bergelar ‘Datuk Seri’ semula kerana kesabaran dan kepatuhannya.

Soal banyak ‘kesipuan’ sudah berlaku akibat peristiwa Ahmad Razif itu suatu perkara lain.

Dalam konteks jemputan terhadap Dr Mahathir dan soal  ‘kesipuan’ juga jangan dipersoalkan.

Hak untuk menjemput ke majlis seseorang, adalah hak penganjur majlis.

Soalnya kita siapa untuk mempersoalkannya?

Apa lagi kita hanya rakyat biasa.

Dr Mahathir adalah rakyat biasa, lagipun sudah tua. Sebelum ini pun beliau dihina dengan berbagai rupa dengan berbagai gelaran – Mahazalim, MahaFiraun, Hitler dan sebagainya.

Baru-baru ini pula digelar ‘penderhaka’ dan ‘pendurjana’. Dan sebagai rakyat yang menderhana, beliau memang tidak layak untuk ke majlis Raja-Raja.

Beliau bukan sekadar itu. Mahazalim dan Maha Firaun itu lebih kesat dan ‘jahat’ daripada penderhaka.

Yang menderhana selalunya dibunuh atau dibuang jauh ke luar negara.

Yang menderhaka kepada British seperti Ngah Ibrahim pernah dikenakan tindakan buang negeri.

Pembesar Melayu yang menjadi penentang campur tangan British dalam pentdbiran negeri Perak itu dituduh bersubahat membunuh Residen British di Perak, dan bersama-sama bapa mentuanya pada tahun 1895.

Sultan Abdullah di Batak Rabit, Sungai Perak pada Jun 1874
Pembesar Melayu itu bersama-sama bapa mentuanya Laksamana Mohamad Amin dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles. Itulah hukuman untuk seorang penderhana!

Bukan Ngah Ibrahim sahaja malah Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II ibni Almarhum Sultan Ja'afar Safiuddin Mu'adzam Shah  atau Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Raja Abdullah) turut dikenakan tindakan yang sama.

Sultan Perak ke 26 itu dilantik oleh British selepas menandatangani Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Bagaimanapun pada 1875, baginda dituduh terlibat dalam pembunuhan J.W.W.Birch dan dibuang negeri ke Seychelles pada 21 Julai 1876.

Dr Mahathir ini bernasib baik kerana masih bebas ke sana ke mari.

Beliau tidak dibuang negeri atau negara. Sekadar tidak dijemput ke majlis di Istana Negara. ‘No hal-lah’.

Juga Dr Mahathir tidak usah timbulkan isu siapa yang berpalit menyebabkan undangan untuk beliau ditarik balik.

Penjelasan oleh Dr Ahmad Zahid semalam itu sudah menceritakan segala-galanya.

Kenyataan Rafidah dalam Facebooknya bahawa: “Walhal kehadiran sesiapa yang berpalit dan bersalut skandal, rasuah, salah urus tadbir, dsb adalah sebenarnya membawa "kesipuan", "Tidak begitu?" hanyalah perasaan geram dan simpati bekas Ketua Wanita UMNO itu semata-mata.

Tidak usah bersimpati. Memang wajarpun pengkhianat, penderhaka dan pendurjana disekat dan dilarang daripada menghadiri majlis rasmi.


Dr Mahathir yang berpengalaman dalam politik kesekian lamanya,  pastinya boleh menenangkan dirinya sendiri.

Sekadar jemputan sebegini apa ada dengannya. Beliau boleh patuh untuk menguruskannya.

Isu lebih besar di persada dunia seperti berdepan pemimpin Serbia di Sidang Negara-Negara Berkecuali di Jakarta dalam isu Bosnia pun beliau tidak ada masalah untuk menetapkan pendiriannya.

Begitu juga dalam isu lain sama ada perjuangan membantu Afrika Selatan untuk mencapai kemerdekaan, Namibia, isu Palestin dan sebagainya, beliau dapat tangani dengan baik.

Malah, usahanya menjamin sistem ekonomi Islam untuk menyaingi ekonomi bebas termasuk menubuhkan Bank Islam, insurans Islam, pasaran Islam dan kerjasama lebih kukuh di kalangan negara Islam pun beliau boleh lakukannya.

Lagipun, bagi pemimpin berusia lebih 90 tahun seperti Dr Mahathir, kehadiran ke majlis angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong bukan sesuatu yang baru baginya.

Jangan ganggu Dr Mahathir.

Biarkan beliau berehat dan sekadar satu undangan dalam negara beliau terlepas,  bukan masalah besar baginya.

Maruah dan kedudukannya tidak tercalar sedikit pun. Bukan ditarik balik darjah kebesaran Tun seperti yang berlaku kepada Ahmad Razif apabila pingat Datuk dan Datuk Seri ditarik balik.

Dr Mahathir akan terus disanjung di persada antarabangsa dan akan terus mendapat undangan dari luar negara.

Bukankah ini juga bentuk sumbangan untuk menjulang nama Malaysia di arena antarabangsa, kalaupun dalam negara sendiri, akan ada usaha berterusan untuk melenyapkan jasa dan legasinya?

Malah, gelaran-gelaran termasuk penderhaka dan pendurjana untuknya bukan manjadi sesuatu yang akan menjadi penghalang untuknya menyumbang bakti.

Lagipun gelaran itu bukan berikan oleh seluruh orang Melayu dan Islam di negara ini.

Sebaliknya gelaran-gelaran itu ‘dianugerahkan’ oleh pemimpin UMNO, iaitu parti yang pernah dipimpin sementara kebanyakan pemimpinnya kini pun pernah diasuh dan diletakkan di kedudukan mereka sekarang melalui kepimpinan beliau selama lebih dua dekad.

Saturday, December 31, 2011

PEMBANGKANG PAKSA YANG DI-PERTUAN AGONG PECAT JAMIL KHIR

"Wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman...Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” - Datuk Seri Jamil Khir

Ini belum jadi pemerintah rasmi!

Sudah pandai mahu paksa Yang di-Pertuan Agong memecat seorang Menteri yang kononnya tidak meminta maaf berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat.

Menurut laporan semalam, gerakan anti-rasuah Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jingga 13 akan meminta Jamil Khir dipecat daripada pentadbiran negara sekiranya menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam itu tidak melakukan demikian.

Setiausaha Jingga 13, Saifuddin Shafi Muhammad, memberitahu wartawan bahawa selaku ketua agama negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memecat menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang menggunakan RM63,650 untuk membiayai kos guaman.

Namun, wang itu telah dibayar balik selepas agensi itu memperoleh RM70,000 pada Jun tahun lalu.

Pada Rabu, 28 Disember lalu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan pihaknya menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri berkenaan dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.

Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.

"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan.

Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka. Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.

"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga. Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah. Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

PKR bagaimanapun terus menerus memberikan tekanan ke atas Jamil Khir, berulang kali meminta perkara itu diperjelaskan.

Semalam, PKR terus menuntut pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib memberikan penjelasan berhubung penyalahgunaan wang zakat didakwa melibatkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sambil sekali lagi meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak lagi berselindung di sebalik pegawai kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata wujud percanggahan dari segi penjelasan dan ada beberapa perkara yang masih menjadi tanda tanya.

Dakwaan penyalahgunaan wang zakat terhadap Jamil Khir Baharom didedahkan bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim awal minggu ini.

Bekas pegawai siasatan jenayah Kuala Lumpur mendakwa Jamil Khir dan dua pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guaman tahun lalu seperti yang disahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Jamil Khir, Setiausaha MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwa MAIWP Shamsudin Hussain dikatakan menggunakan RM63,650 dari wang zakat untuk membiayai kos guaman dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bayangkan kalau dah jadi pemerintah, Yang di-Petuan Agong, iaitu institusi tertinggi pentadbiran negara akan dibuat atau dipaksa oleh PKR sesuka hati.

“Jika beliau (Jamil Khir) tidak meminta maaf dalam 48 jam, kami akan menghantar memo kepada Agong selaku ketua agama untuk mempertahankan Islam,” katanya sebelum memfailkan satu laporan terhadap Jamil Khir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Shah Alam.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, itu menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit dalam penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.

Beliau berkata, wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes melibatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit inilah,” kata beliau di Sepang.

Apakah penjelasan ini tidak mencukupi? Apakah PKR mahu teruskan niat hantar memo kepada Yang di-Pertuan Agong?

Memandangkan Jamil Khir tidak mintamaaf kerana tidak perlu melakukannya dan isu ini dijadikan modal pembangkang, untuk tujuan politik, Jamil Khir akan menjadi watak yang akan diperkatakan sehingga pilihan raya umum depan.

Saturday, August 21, 2010

KHUTBAH DOAKAN GUAN ENG - ANWAR TUDUH UMNO BOHONG, EXCO NAFI...

Pada 13 Ogos 2010, dalam doa khutbah solat Jumaat di Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, nama Yang di-Pertuan Agong telah digantikan dengan nama Lim Guan Eng.

Tak apalah kalau tidak percaya. Tiada siapa boleh paksa untuk ketika ini.

Lebih baik siasat daripada terus membuat kenyataan bagaikan mahu 'menegakkan benang basah’.

Kenapa mengatakan khatib yang membaca khutbah sebagai ‘tidak waras’ dan 'tidak mungkin ada berlaku’.

Pastinya untuk ketika ini tiada siapa yang akan mengaku.

Sebaliknya ada penduduk tempatan yang mengesahkan kejadian itu. Malah tv3 dalam beritanya malam kelmarin dan tengah hari semalam turut menyiarkan kenyataan jemaah yang menunaikan solat jumaat di masjid berkenaan.

tv3 menyiarkan kenyataan oleh dua orang penduduk.

Shuib Saad menegaskan: “Selepas khutbah kedua... tiba-tiba khatib ni dia tiba-tiba doakan kesejahteraan Lim Guan Eng dan rakan-rakannya supaya memimpin negeri ini dengan baik...jadi yang anehnya Pak Cik pun terkejut kenapa tak mention Yang di-Pertuan Agong, kenapa tak sebut TYT, Gabenor....”

Rakannya pula, Razali Ismail berkata: “Nama Agong tak sebut, nama Yang di-Petuan Negeri tak sebut..yang tu saya rasa sangat-sangat kecewa sebagai orang tua..sembahyang Jumaat kalau khutbah dia mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang..."

Dan laporan Utusan Malaysia hari ini mendedahkan dua ahli kariah dari dua buah masjid berbeza di Pulau Pinang mengesahkan berlaku penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat seperti yang didedahkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri semalam.

Mereka ialah Pengerusi Kariah Masjid Jamek Padang Menora di sini, Hamir Mahmud dan ahli kariah Masjid Jamek Jelutong, Abu Kassin Ismail.

Hamir mengakui nama Guan Eng ada disebut oleh seorang khatib jemputan, Zakaria Ahmad ketika membacakan doa kedua khutbah solat Jumaat pada 25 Jun lalu. Beliau turut mengesahkan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak disebut dalam doa khutbah pada hari tersebut walaupun lazimnya ia merupakan doa yang diberikan kepada Seri Paduka selaku ketua agama Islam di Pulau Pinang.

Sementara itu, Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelutong memberitahu, perkara sama turut berlaku di masjid di kawasannya kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.

Menurutnya, khatib ketika itu hanya menyebut nama Guan Eng dalam doanya dan bukan Tuanku Mizan atau Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.

Mahu mencari dosakah mereka pada bulan Ramadan ini kerana berbohong?

Yang pasti, mereka ini tidak akan berani atau sewenang-wenangnya menuduh khutbah menggugurkan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang pada doa khutbah kedua yang dibacakan di masjid di mana mereka mendirikan solat Jumaat.

Pertamanya, ia tuduhan berat kepada pembaca khutbah dan keduanya tidak munasabah mereka mahu mempersendakan nama Yang di-Pertuan Agong begitu sahaja.

Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sudah meminta polis dan Majlis Agama Islam Negeri menyiasat dakwaan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong digantikan kepada nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata siasatan wajar dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan fakta sebenar kerana perkara itu mempunyai implikasi besar.

"Saya mahukan perkara itu dikaji, diteliti dan jika benar kejadian itu berlaku, maka tindakan tertentu oleh pihak tertentu mesti diambil," katanya \selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan di Putrajaya semalam.

Di sebalik itu, tiba-tiba sahaja Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melenting dan menyifatkan isu khutbah Jumaat itu dalam konteks politik, bukan agama. Kenapa?

Mahu mempertahankan kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang ?

Anwar mengatakan pendedahan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (yang pernah menjadi Setiausaha Politiknya sekitar 1990-an) sebagai fitnah terbaru yang dimainkan oleh Umno untuk menyemarakkan api kebencian di negara ini.

Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang semalam membantah penggunaan nama Lim dalam bacaan doa khutbah Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa buah masjid di negeri itu baru-baru ini.

Pengerusi badan itu Ahmad Zahid berkata penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Kata Anwar: "Tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bahawa nama Yang di-Pertuan Agong telah digantikan dengan nama ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah terbukti merupakan satu pembohongan semata," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga ketua umum PKR berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.

Bagi Anwar ia tidak lebih daripada satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak," katanya sambil menambah pimpinan Umno berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang.

Katanya, ia juga menunjukkan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami nurani rakyat Malaysia keseluruhannya yang mahukan sebuah negara yang kekal aman dan sejahtera.

Sementara Exco Hal-Ehwal Agama negeri, Abdul Malik Abul Kassim (gambar kiri) berkata siasatan awal mendapati ianya tidak berlaku kerana teks khutbah Jumaat, yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam negeri, tidak menggunakan nama Lim.

Berikutan itu, Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya bahawa nama Ketua Menteri Lim Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat yang dibaca di beberapa masjid di negeri itu.

Katanya, hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat.

Abdul Malik berkata, beliau telah membuat siasatan awal dan mendapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri.

Abdul Malik menjelaskan"Dan kalau mereka tidak baca teks sekalipun, saya percaya hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan ganti nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah," katanya lagi.

Tambahnya, dakwaan itu juga tidak menyebut dengan jelas masjid yang terbabit, sebaliknya hanya menamakan kawasan Permatang Pauh, Jelutong dan Tasek Gelugor.

Abdul Malik juga berkata, sekiranya Ahmad Zahid mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut, beliau hendaklah membuat laporan supaya dakwaan tersebut dapat disiasat.

"Kalau dia ada maklumat, sepatutnya dia buat laporan kepada kerajaan negeri, atau kepada polis atau kepada pejabat mufti, bukannya pergi beri kenyataan kepada media," katanya lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah jawatankuasa masjid menggunakan isu tersebut untuk mensabotaj kerajaan negeri.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berpendapat, perbuatan menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong hendaklah dihentikan segera kerana ia bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang negara.

Katanya, sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, ia amat memalukan kerana jelas menjatuhkan maruah Islam yang mempunyai hukum dan peraturan tersendiri.

Katanya, khutbah Jumaat adalah satu ibadat yang diwajibkan kepada setiap umat Islam dan ia tidak boleh disamakan dengan sesuatu majlis yang dimana aturcaranya boleh diubahsuai sesuka hati dan tidak berlandaskan hukum.

"Justeru, tidak wajarlah di dalam doa khutbah kedua solat Jumaat dimasukkan doa untuk mereka yang bukan Islam kerana ia tidak pernah dilakukan walaupun di zaman Nabi," katanya semalam.

Pergerakan Pemuda UMNO pula mendesak agar satu siasatan segera dibuat mengenai amalan penggantian nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya perkara tersebut benar-benar terjadi, maka amalan itu bukan sahaja menghina institusi raja selaku ketua agama bahkan kesucian masjid dengan penggunaan mimbar bagi mengagungkan Lim selaku Ketua Menteri.

"Kejadian-kejadian pelik lagi dangkal kerana pembacaan doa khutbah solat Jumaat sememangnya dikhususkan kepada Ketua Agama Islam Persekutuan atau Ketua Agama Islam Negeri, yakni Yang Dipertuan Agong dan Sultan dan bukannya untuk kuasa eksekutif pentadbiran negeri iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak kira sama ada beliau itu muslim atau tidak," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Saturday, March 20, 2010

MP PEMBANGKANG BODOH & MUDAH DIKELENTONG?

Timbalan Perdana Menteri meminta pihak berkuasa menyiasat kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru mengenai rancangan 16 September 2008 Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia dakwaan serius membabitkan nama baik Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata siasatan lanjut itu bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil jika terbukti kenyataan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim itu terbukti berasas.

"Bila perkara itu disebut di Parlimen, pastinya Zahrain mempunyai bukti jelas dan nyata. Bagi kita ia sesuatu yang serius dan tidak boleh dipandang ringan apabila dia mengheret nama baik Raja serta ATM. Kita tidak mahu tergesa-gesa, tetapi terserah kepada pihak pihak berkuasa untuk menilai kenyataan Zahrain dan menyiasat dengan lebih lanjut kenyataan itu dan jika terbukti berasas, maka tindakan mengikut undang-undang mesti diambil," katanya semalam.

Itu kata Timbalan Perdana Menteri. Mungkin ramai lagi yang turut terpegun dan menerima bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh Zahrain ini.

Tetapi saya pula melihat daripada sudut lain. Ia berkaitan sama ada Ahli Parlimen kita percaya atau sebaliknya dengan cakap si Zahrain ini.

Persoalannya ialah - bodoh dan dungu sangatkah wakil rakyat pakatan pembangkang hingga boleh diperdaya dan mempercayai apa yang dikelentongkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Saya tidak termakan dengan kata-kata yang kononnya wakil rakyat PKR diperalatkan dan dibohongi bagi mempercayai bahawa wakil rakyat BN yang akan lompat parti, lebih daripada mencukupi bagi membentuk kerajaan baru.

Ini kerana kalaulah benar wakil rakyat pembangkang termakan dengan umpan Anwar untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan "16 September", ternyata bebal dan bodohlah wakil rakyat berkenaan.

Juga mudahlah untuk mereka ditipu dan dikelentong oleh Anwar sepanjang masa.

Zahrain sendiri menunjukkan beliau tidak mudah dikelentong. Tetapi kenapa Zahrain lambat membuat keputusan untuk menyanggah Anwar. Ini yang menjadi persoalan.

Kalau Zahrain tidak termasuk MP yang ‘bodoh dan dungu’, kenapa tunggu lama untuk mendedahkannya?

Sementara jika wakil rakyat pembangkang sudah tahu kelentong Anwar, kenapa masih berharap kepada beliau?

Kegagalannya dalam perancangan 16 September sepatutnya tidak melayakkan beliau menjadi Ketua Pembangkang?

Apakah wakil rakyat pembangkang ini jenis sama –sama bermimpi di siang hari dengan Anwar? Apakah semua mempercayai cara ‘katak’ itu sesuai untuk membentuk sebuah kerajaan yang akan memerintah Malaysia?

Akan lebih terserlah kebodohan dan dungunya wakil rakyat pakatan pembangkang ialah jika mereka turut mempercayai tiga perkara berikut:

1. Kononnya Yang di-Pertuan Agong sedang menunggu di Istana Negara untuk memberi perkenan kepada pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan, dan

2. Kononnya panglima angkatan tentera juga menyokong perancangan pembangkang itu yang kemudiannya menjadikan Dewan lebih gamat; dan

3. Paling lucu dan bagai menghina Yang di-Pertuan Agong kononnya YB Permatang Pauh direstui sebagai perdana menteri keenam.

Apapun, mungkin kerana terlalu taksub dengan Anwar, wakil rakyat pembangkang – termasuk dari PAS – pun turut percaya projek itu akan Berjaya.

Walaupun ada kesangsian pada pendedahan oleh Mohd Zahrain melalui ucapan sulungnya sebagai wakil rakyat Bebas di Parlimen kelmarin, setidak-tidaknya, orang terasa pedas kerana makan cili jadi bingung dan terpaksa meninggalkan Dewan.

Malah, Mohd Zahrain telah menyebabkan suasana Persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh.

Pendedahan itu menggambarkan betapa tingginya cita-cita Anwar mahu menjadi Perdana Menteri dan mampu pula menjadikan penyokongnya sama ada dari PKR, DAP atau PAS yakin terhadapnya secara ‘membabi buta’.

Selain itu saya tertarik dengan pendedahan Zahrain mengenai kepincangan dalam perjuangan pakatan pembangkang yang menurutnya, menjadi perjuangan peribadi Anwar. Ini kerana menurut Zahrain, Anwar adalah "raksaksa pelbagai wajah" ekoran pendiriannya yang sentiasa berubah-ubah dalam memperjuangkan orang Melayu dan kepentingan agama Islam.

Mengejutkan kerana raksasa itu selepas kena serang bertalu-talu, Anwar meminta dirinya tidak dikaitkan dengan perkara itu.

Zahrain menjelaskan antara sebab beliau hilang kepercayaan kepada kepimpinan Anwar ialah apabila PKR terlampau memperhambakan diri kepada DAP sedangkan ketua pembangkang itu pernah memberitahunya yang PKR tidak akan tunduk kepada parti itu.

Beliau juga menganggap Anwar sebagai manusia yang memakai pelbagai topeng bagi menunjukkan beliau adalah juara memperjuangkan Islam dan keadilan.

Anwar mampu memperdayakan ahlinya supaya melupai bahawa ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau pernah menggelar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai ulama terompah dan menyokong pemecatan bekas Mufti Selangor, Allahyarham Datuk Ishak Baharom.

“Watak yang sama ini juga menyokong pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara pada 1998 yang membawa kepada keruntuhan sistem kehakiman negara. Alangkah ironisnya roda keadilan berputar apabila beliau kini mendendangkan lagu beliau dizalimi.

“Inilah juga orang yang menghancurkan institusi Raja Melayu dan hari ini kononnya mahu mempertahankan Raja Melayu,” katanya.

Kalau mengikut cakap Zahrain itu, Anwar dalam mencapai cita-citanya untuk mengejar impian ke Putrajaya sanggup melakukan apa saja. Baginya: “Cita-cita ke Putrajaya itu akan menjadi mimpi ngeri kepada Anwar.”

Sudah pasti Anwar menafikan semua pendedahan dibuat Zahrain bahawa beliau merancang gerakan 16 September bagi menjatuhkan kerajaan BN.

Anwar berkata, dakwaan Zahrain bahawa beliau sudah bertemu dengan tentera dan mendapat sokongan ahli Parlimen BN bagi membentuk kerajaan baru menggantikan kerajaan sedia ada adalah tidak berasas.

“Dia (Zahrain) cakap saya jumpa tentera... kenapa beliau tidak beritahu tentera mana. Beliau kata saya suruh ahli Parlimen (pembangkang) tunggu dalam dewan untuk menumbangkan kerajaan BN, cakap seperti itu adalah cakap orang Umno,” katanya.

Jika sudah sama dengan orang UMNO, apa ditunggu lagi oleh Zahrain? Masuk sajalah UMNO!
Sebagai raksasa, Anwar tidak seharusnya boleh panas cuping telinga hingga meninggalkanDewan.

Jadi kalau ahli parlimen BN tumpang sekaki dengan berteriak "pengecut" dan "berani, tunggu", mendesak supaya Anwar tidak keluar Dewan, ia bukan sesuatu yang melampau.

Yang sebenarnya melampau ialah orang yang suka kelentong – termasuklah mengaitkan Yang diPertuan Agong dan ATM bagi memenuhi cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Nasib baiklah ada Yang Berhormat seperti Zahrain yang tidak bodoh dan dungu untuk mempercayai apa yang pernah dikatakan oleh Anwar.

Jika tidak akan berterusanlah Zahrain bermimpi untuk sama-sama dengan Anwar ke Putrajaya!

Sunday, August 2, 2009

JANGAN PIJAK INSTITUSI YANG DIPERTUAN AGONG

(Sembang Ahad)

Pakatan pembangkang kononnya meletakkan rakyat sebagai yang diutamakan. “Go to hell” dengan UMNO.

Pedulikan Barisan Nasional (BN). 1Malaysia hanya gimik.

Menggerakan 100,000 rakyat supaya turut membantah lebih penting. Rakyat harus diyakinkan bahawa ISA itu kejam. Destinasinya Istana Negara.

Persoalannya, bukankah Istana Negara itu lambang institusi Yang DiPertuan Agong? Siapa memilih Yang DiPertuan Agong? Bukankah Sultan-Sultan (Melayu)?

Siapa mengatakan ISA kejam?. Bukan saya kata tetapi Pembangkang dan GMI. Kenyataan Pengerusi Sekretariat Himpunan MANSUH,Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI, Syed Ibrahim Syed Noh pada 22 Jun 2009 lepas jelas menganggap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai zalim.

Kerana itu diadakan seruan dan bantahan terhadap ISA semalam. Rakyat tidak bodoh. Polis anggarkan 5,000 orang sahaja yang menurut seruan gila itu.

Cara baik dan bersopan boleh dilakukan. Memohon perkenan Yang DiPertuan Agong tidak penting. Persetankan!

Bagi mereka, “apa Yang DiPertuan Agong boleh buat” kalau melalui cara aman dan bersopan.
Mereka merasakan Yang DiPertuan Agong perlu ‘diajar’ supaya menerima cara kekerasan, tidak bersopan dan kurang ajar.

Bagi mereka, mengamalkan cara berhemah dan bersopan dengan memohon perkenan menghadap dan menyerahkan memorandum atau cadangan meminda atau menghapuskan ISA sudah tidak ada ‘glamour’ lagi.

Cara membantah dengan berhimpun secara haram lebih mulia dan berkesan.

Kata mereka, baik dibuat perhimpunan haram terlebih dahulu. Berucap membakar semangat rakyat menentang kerajaan, kemudian berarak ke Istana Negara.

Cara ini lebih baik. Rakyat boleh ditunjukkan dengan semangat bantahan. Dunia boleh merakamkan peristiwa itu kononnya 10,000 rakyat daripada 20 juta rakyat turun padang menentang ISA.

Muka-muka mereka akan terpampang di kaca televisyen, laman web, blogspot atau juga facebook bahawa merekalah juara – walaupun sebenarnya juara tidak sopan dan beradab menyuarakan bantahan kepada kerajaan melalui istitusi Yang DiPertuan Agong.

Persoalannya, apakah Yang DiPertuan Agong wajar diperlakukan demikian?

Apakah Yang DiPertuan Agong boleh ‘diredah’ begitu sahaja?

Siapa mengajar cara kurang ajar ini?

Siapa mengajar orang Melayu dengan budaya perhimpunan haram dan kemudian ke istana?Anwar, Hadi atau Kit Siang?

Siapa dalang-dalang itu. Siasat GMI, siasat Siapa Suaram? Suaram ialah pertubuhan NGO dan Pengarah Eksekutif Suaram ialah Yap Swee Seng. Yang lain ialah Dr. Kua Kia Soong (bekas Ahli Parliamen); Fan Yew Teng (bekas Ahli Parlimen); Sivarasa Rasiah ( Ahli Parlimen); Julian Jayaseelan; Charles Hector; Lee Siew Hwa; Irene Fernandez (Tenaganita dan Caram Asia); Bruno Gentil Pereira; Dr Syed Husin Ali (Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat) ; Tian Chua (Ahli Parlimen); S. Arutchelvan (Setiausaha Parti Sosialis Malaysia); Elizabeth Wong (ADUN); Cynthia Gabriel (aktivis); Premesh Chandran (Malaysiakini) ; Irene Xavier (Sahabat Wanita) dan Dr. Nasir Hashim (Presiden Parti Sosialis Malaysia dan ADUN).

Bezakan dengan perhimpunan orang Melayu menentang penjajahan. Mereka direstui istana dan kemudian baru berarak ke istana.

Apakah GMI ini direstui istana. Apakah GMI yang didalangi pembangkang dengan kehadiran pemimpinnya – Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang – direstui istana?

Hari ini Anwar kata Memorandum 10 Deklarasi ISA akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

Beliau berkata, halangan yang dilakukan polis di beberapa lokasi di sekitar ibu negara menyebabkan GMI dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) gagal menyerahkan memorandum itu ke Istana Negara.

Pelik dan aneh, selepas membuat kerja gila yang mencabar kerajaan dan Yang DiPertuan Agong, baru menyatakan akan menghantarnya dengan cara lebih sopan.

Memang muka tidak malu. Inikah sikap dan perangai pemimpin pembangkang? Hadi tidak boleh nasihatkah mereka ini? Carilah cara yang lebih Islamik!

Institusi raja jangan dipermainkan sewenang-wenangnya. Kalaupun mahu menetang kerjaan, jangan babitkan istana.

Jangan cuba bermain api dengan memijak-mijak institusi ini kerana kelak, jika berkuasa, institusi ini juga harus dijunjung.

Ingatlah, ia perlindung agama Islam, orang Melayu dan kerajaan yang ada. Tanpa restu dan sokongannya, semuanya akan luput dan rebah.

Lagipun bukan semua rakyat sukakan cara haram ini.

Pengusaha pengangkutan awam menyelar tindakan kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram itu kerana menyusahkan orang ramai.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli), Datuk Aslah Abdullah, berkata kemerosotan jumlah penumpang sejak kelmarin dan semalam berbanding hari biasa menyebabkan ramai pengusaha teksi mengeluh kerugian.

“Kawasan paling teruk terjejas ialah yang terletak berdekatan perhimpunan haram iaitu di Jalan Ipoh dan sekitar Masjid India. Ini memberikan kesan buruk kepada pengusaha bas dan teksi, lebih-lebih lagi kawasan berkenaan sebelum ini diakui lubuk rezeki,” katanya semalam.

Persatuan pengusaha bas juga mengakui tindakan orang ramai menjauhkan diri daripada kawasan tengah bandar bagi mengelak terperangkap dengan kejadian tidak diingini akibat perhimpunan haram menjadi penyebab bilangan penumpang berkurangan.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali, berkata kebanyakan pengguna bas mengelak daripada menaiki bas ke kawasan bandar.

Sementara itu, kira-kira 5,000 pengguna sistem transit aliran ringan (LRT) terkandas selepas dua stesen utama Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya di tengah-tengah ibu negara, ditutup hampir empat jam bermula jam 1.55 petang semalam.

Kedua-dua stesen itu ditutup atas faktor keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini di stesen berkenaan akibat demonstrasi kumpulan yang membantah dan menyokong ISA.

Pengurus Besar Komunikasi RapidKL, Ebi Azly Abdullah berkata, kedua-dua stesen itu dibuka semula jam 6.20 petang.

Peniaga dan premis perniagaan juga merasai kesannya.

Peniaga di sekitar Jalan Masjid India marah dengan tindakan pihak yang menganjur perhimpunan haram di sekitar ibu negara kerana tindakan itu menjejaskan perniagaan mereka.

Yang nyata, kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan melalui demonstrasi jalanan kerana ia dilakukan hanya untuk tujuan politik dan kepentingan peribadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini dapat dilihat melalui laungan yang dibuat ketika demonstrasi di ibu negara hari ini yang langsung tidak ada kaitan dengan ISA itu.

Langkah awal polis mengadakan sekatan di setiap pintu masuk ke ibu negara berjaya menghalang perhimpunan membantah itu.

Tahniah kepada polis kerana tindakannya 'membendung' kemasukan penyokong menggagalkan cubaan kumpulan tersebut untuk berkumpul dan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

Walaupun 100,000 penyokong disasarkan menyertai perhimpunan haram itu, hanya lebih 5,000 orang menghadirinya, kata polis.

Wednesday, October 15, 2008

HORMATI SEJARAH KESULTANAN - SERI PADUKA

Apabila ada kekusutan mengenai asal usul orang Melayu, selalunya sejarah kesultanan Melayu hendaklah dirujuk.
Dalam konteks perbahasan mengenai apakah orang Melayu berasal dari wilayah ini juga boleh dirujukkan kepada sejarah kesultanan Melayu
Ikuti titah Yang di-Pertuan Agong di Kuala Terengganu dalam perutusan buku cenderamata sempena Majlis Pelancaran Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu 1708-2008 di Taman Tamadun Islam (TTI).

KUALA TERENGGANU (14 Okt. 2008) - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat agar memahami dan menghormati sejarah kesultanan serta mengambil pengajaran daripadanya supaya warisannya terpelihara.

Seri Paduka bertitah, seperti yang dibuktikan dalam sejarah, institusi raja dan rakyat adalah erat laksana isi dengan kuku dan perlu dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.
Tuanku Mizan bersyukur dan melahirkan penghargaan tinggi di atas taat setia yang ditunjukkan oleh rakyat kepada institusi raja selama ini.

''Raja menaungi dan melindungi rakyat, manakala rakyat mendukung raja," titah Seri Paduka dalam perutusan buku cenderamata sempena Majlis Pelancaran Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu 1708-2008 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong.

Seri Paduka percaya paduan antara kedua-dua pihak iaitu rakyat dan raja akan dapat membangunkan negeri Terengganu menjadi sebiji mutiara yang indah dan cemerlang di Pantai Timur.

Mengenai sambutan tersebut, Tuanku Mizan yakin ia adalah rakaman sejarah yang penting dan amat besar ertinya.

Titah Seri Paduka, ia membuktikan bahawa Kesultanan Terengganu adalah sebuah kesultanan yang utuh dan berdaulat selama 300 tahun dengan 16 orang sultan yang memerintah sehingga ke hari ini.

''Sebagai seorang sultan generasi baru, beta berasa bersyukur dan amat gembira dapat bersama rakyat meneruskan sejarah kesultanan yang cemerlang ini," titah Seri Paduka.

Sempena majlis itu, Tuanku Mizan berkenan melancarkan buku 'Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu, 1708-2008' terbitan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) hasil tulisan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Nik Anwar Nik Mahmud dan Dr. Anwar Omar Din.

Buku mengandungi 16 bab itu bertujuan memulihara dan mengembangkan sejarah serta warisan Terengganu bermula daripada Sultan Terengganu pertama, Sultan Zainal Abidin 1 dan pelbagai aspek lain agar ia dapat diketengahkan untuk pengetahuan masyarakat dalam negeri dan antarabangsa.

Selain pelancaran buku tersebut, satu pameran mengenai sejarah kesultanan Terengganu turut diadakan di Muzium Negeri selain persidangan yang dianjurkan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan YDSM sempena sambutan berkenaan.