Saturday, September 25, 2010

DR M RASIS, JEJAS KESTABILAN NEGARA?

"Saya sependapat dengan Dr Mahathir bahawa sebagai penduduk majoriti di negara ini orang Melayu harus beranggapan bahawa kuasa itu tidak seharusnya hilang dari tangan mereka. Jadi, kalau anggapan itu sudah tidak lagi dipakai, maka orang Melayu sendiri akan menerima padahnya dan mereka harus menerima di masa akan datang mungkin jawatan Perdana Menteri bukan lagi milik orang Melayu." - Dr Rais Yatim

Benarkah Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga terkenal kerana bukunya The Malay Dilemma - seorang yang rasis dan tidak bertanggungjawab?

Hakikatnya, itulah yang disebut mengenai bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan mempunyai otak perkauman dan wajar jika diajak berdebat.

Yang mengatakan Dr Mahathir perkauman ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin yang terus meroyan mahu menjadi Menteri Besar dan yang ajak berdebat ialah pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berpangkat ‘cucu’ dibandingkan dengan Dr Mahathir.

Saya mengatakan cucu kerana bukan sahaja dalam konteks usia tetapi pada suatu ketika (antara 1980an dan 1990an) Anwar Ibrahim dan keluarga cukup rapat dengan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sudah pasti ‘cucu’ berkenaan - ahli parlimen Lembah Pantai, Nuzul Izzah Anwar (anak Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga menjadi kenalan rapat Dr Mahathir dan keluargapada suatu ketika.

Namun kini kerana masa sudah berubah, kepentingan dan perjuangan juga berubah - Nurul Izzah sanggup mengajak Dr Mahathir berdebat dan baginya, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan adalah sebahagian daripada usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

“Selain penggunaan isu perkauman, UMNO juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa.

Sementara Nizar yang disingkirkan, mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman dan kenyataannya bersifat rasis dan hasutan.

Bagaimanapun, kita boleh merujuk apa pula kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengenai perkara ini.

Kata Rais semalam, ingatan Dr Mahathir bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara sekiranya pembangkang berjaya memerintah negara adalah benar.

Ia berasaskan fakta politik, rekod pemerintahan dan Perlembagaan, kata Dr Rais.

Katanya, politik ialah bilangan iaitu siapa yang mempunyai majoriti akan diharap untuk menerajui pimpinan dan kerajaan manakala realiti yang tidak boleh dinafikan ialah sesebuah negara itu diperintah mengikut rekod serta tuntutan Perlembagaan.

"Apa yang dizahirkan oleh Tun Dr Mahathir bahawa sekiranya pihak-pihak pembangkang yang berselera tajam sekarang memerintah orang Melayu akan hilang kuasa adalah satu kebenaran.

"Kenyataan itu saya nilaikan sebagai satu ingatan yang sangat tajam dan setiap orang yang bernama orang Melayu harus berfikir dan sekiranya tidak (berfikir) janganlah nanti disalahkan orang lain," katanya mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir itu pada sidang media di Wisma Angkasapuri semalam.

Dr Rais berkata, atas faktor tersebut beliau sependapat dengan Dr Mahathir bahawa sebagai penduduk majoriti di negara ini orang Melayu harus beranggapan bahawa kuasa itu tidak seharusnya hilang dari tangan mereka.

"Jadi, kalau anggapan itu sudah tidak lagi dipakai, maka orang Melayu sendiri akan menerima padahnya dan mereka harus menerima di masa akan datang mungkin jawatan Perdana Menteri bukan lagi milik orang Melayu.

"Mungkin apa yang dirasai oleh Raja-Raja Melayu dan diterima oleh orang-orang Melayu juga tidak lagi berada di tahap yang ada sekarang," katanya.

Berhubung tindakan pembangkang yang merasakan semua kenyataan kerajaan yang berkaitan dengan hak-hak orang Melayu sebagai berlawanan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan, Dr Rais berkata, ia merupakan satu pandangan yang sempit dan tidak berlandaskan Perlembagaan.

Beliau berkata, pandangan pembangkang berkenaan Perlembagaan biasanya sempit dan hanya berkaitan dengan hak dan orang Melayu sahaja.

"Landasan Perlembagaan ialah Perkara 153 wujud di situ sebagai keistimewaan orang Melayu dan juga "the legitimate interest of the others communities" (kepentingan kaum-kaum lain mengikut undang-undang)...tapi orang tak ingat perkataan itu di bawah Perlembagaan, mereka ingat tentang orang Melayu sahaja.

"Sebenarnya perkataan atau ungkapan and the legitimate interest of the other communities adalah sebahagian daripada Perkara 153. Jadi, dengan perkataan itu bermakna hak majoriti orang Melayu di bawah 153 sudah ada dan kita tidak mengubahnya (Perlembagaan)," katanya.

Dr Rais berkata, gagasan 1Malaysia bukan mengubah perlembagaan sebaliknya hanya mengubah sikap masyarakat supaya menerima Perlembagaan negara seterusnya menerima 1Malaysia berasaskan perlembagaan tersebut.

Katanya, perkara mengenai kontrak sosial iaitu kuasa-kuasa raja, bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa, hak-hak komuniti yang lain dan juga perkara berkaitan dengan agama, pilihan agama dan hak berpendidikan telah diterima umum sejak sekian lama.

"Jadi, kita jangan silap, perlembagaan itu harus dilihat semula, bukannya berdasarkan apa yang ditokok tambah.

Kalau ada pihak-pihak yang masih memutar belitkan kenyataan itu terserah kepada mereka dan saya tidak gentar untuk menyatakan bahawa hak kita di bawah Perlembagaan jangan diusik dan kita perlu terus bina Malaysia atas realiti yang ada," katanya.