Saturday, December 25, 2010

JANGAN BIARKAN PERNIAGAAN STRATEGIK JATUH KE TANGAN ORANG LAIN

Menarik rencana dalam Utusan Malaysia ini:

Wujud campur tangan politik?
Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 24 Dis. – Langkah Johor Corporation (JCorp) ingin menjual QSR Brands Bhd. dan anak syarikatnya KFC Holdings (M) Bhd. dipercayai bukan berorientasikan penyelesaian strategik sebaliknya, kerana tunduk kepada desakan ahli politik tertentu yang mempunyai kepentingan tersembunyi.

Pakar ekonomi, Dr. Hamzaid Yahya ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau percaya ada pihak tertentu berselindung di sebalik langkah menyelesaikan masalah liabiliti JCorp bagi mengaut keuntungan peribadi, dengan mendesak pengurusan baru konglomerat tersebut menjual QSR Brands dan KFC Holdings.

“Seseorang yang bijak dalam perniagaan tidak akan dan tidak mudah untuk melepaskan ‘business cash’ yang dijana oleh QSR Brands serta KFC Holdings biar pun dengan alasan ingin menyelesaikan masalah liabiliti. Inilah perniagaan yang tiada hutang selain menghasilkan keuntungan setiap hari kepada JCorp.

“Melainkan terdapat campur tangan politik dalam JCorp. Saya percaya perkara ini berlaku, kerana pihak terbabit hanya mahu duit semata-mata tanpa mengira keuntungan jangka panjang kepada syarikat berkenaan, sedangkan QSR Brands serta KFC Holdings adalah ‘permata’ yang tidak patut dilepaskan.

“Cubaan campur tangan ini wujud sejak dahulu lagi tetapi di bawah pengurusan Tan Sri Muhammad Ali Hashim (bekas Pengerusi dan Ketua Eksekutif), beliau menentang campur tangan tersebut tetapi pengurusan baru JCorp dilihat tidak mempunyai keberanian dan karismatik sepertinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan JCorp mahu melupuskan QSR Brands serta KFC Holdings yang semakin hangat didebatkan sehingga pelbagai pihak mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan bagi menjamin kepentingan orang Melayu.

Kisah mengenai JCorp mula menarik perhatian apabila menerima tiga cadangan pengambilan alih daripada pihak luar tetapi semua cadangan itu ditolak sehingga kemuncaknya, Muhammad Ali bakal disingkirkan menjelang mesyuarat agung luar biasa konglomerat itu Januari ini.

Mengulas lanjut, Hamzaid berkata, langkah JCorp mahu menjual QSR Brands serta KFC Holdings hanya penyelesaian jangka pendek dan tidak mengambil kira kepentingan strategik sedangkan, syarikat berkenaan di bawah pengurusan terdahulu sudah melebar sayap perniagaan sehingga ke India dan Myammar.

“Saya fikir kalau sudah terdesak sangat JCorp mahu menjual dan kalau itulah satu-satunya penyelesaian terbaik yang boleh difikirkan...Biarlah Khazanah Nasional (syarikat milik kerajaan) yang mengambil alih, sekurang-kurangnya kepentingan Melayu terjaga.

“Kerana saya cukup yakin, jika QSR Brands serta KFC Holdings terlepas ke tangan bukan Melayu, terlalu sukar bagi kita untuk mengambilnya semula kerana bagi mereka yang bebas daripada campur tangan politik, perniagaan ini mempunyai kepentingan strategik yang terlalu tinggi nilainya untuk dilepaskan,” katanya.

Ditanya apakah beliau percaya bahawa QSR Brands dan KFC Holdings akan dilupuskan, Hamzaid berkata, penjualan itu akan berlaku kerana tegasnya, pengurusan baru JCorp tidak mempunyai keberanian seperti mana yang ditunjukkan Muhammad Ali selama 30 tahun tokoh berkenaan mentadbir syarikat itu.

Renungkanlah....bagi yang berkepentingan, buatlah keputusan bijak!