Wednesday, May 13, 2009

IDRIS JUSOH, AHMAD SAID BERSEMUKA?

TIDAK FAHAM. Apa makna bersemuka?

Bersemuka membawa tanggapan negatif seolah-olah wujud pertelingkahan besar.

Bersemuka maknanya dua pihak duduk semeja untuk mengatasi kekusutan.
Sementara kekusutan adalah disebabkan pertelingkahan dua pihak.
Di Terengganu kekusutan bukan diakibatkan oleh kedua-dua pihak.

Kekusutan disebabkan oleh satu pihak ‘menyerang’ satu pihak yang lain. Pihak yang kena serang itu tidak pun respons kepada serangan oleh pihak yang tidak berpuashati terhadapnya.

Contohnya dalam isu pemulauan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) gara-gara wujudnya ‘sms ugut bunuh’ yang membawa kepada kenyataan meminta Datuk Ahmad Said meletakkan jawatan.

Kita boleh memikirkan semula tindakan berkenaan:

1. Apakah wajar DUN Barisan Nasional (BN) memulaukan sidang DUN Kerajaan BN sendiri walaupun polis memberikan jaminan keselamatan di DUN berkenaan;

2. Kenapa berlindung di hotel, iaitu kawasan lebih terbuka berbanding DUN yang dikawal ketat. Apakah ada ‘pembunuh’ dalam DUN berkenaan?

3. Kenapa pada sidang DUN kali ini, tiada soalan daripada ADUN BN yang seolah-olah sudah dirancang awal untuk tidak hadir persidangan berkenaan (saya ulangi, seolah-olah); dan

4. Sehingga diarah oleh Perdana Menteri, baru ADUN yang memulaukan persidangan hadir pada hari ketiga – tidakkah perbuatan memboikot sidang DUN itu sebagai satu perbuatan sabotaj kepada kerajaan BN dan UMNO?; dan,

5. Gara-gara memboikot, perbahasan terhadap ucapan perasmian Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud tidak lakukan oleh mereka yang memboikot - apa tujuan tidak membahaskan ucapan berkenaan?

Tidak tahulah, mungkin benar sesetengah orang menuduh saya tidak faham politik Terengganu!
Jadi apabila tersiar berita seperti dilaporkan oleh Berita Harian Online hari ini bahawa Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta ketua bahagian Umno akan bersemuka bagi mengakhiri kemelut politik di negeri ini, timbul tanda tanya.

Tidakkah, Pengerusi Perhubungan UMNO itu memulakan langkah pertamanya berasaskan premis yang salah?

Menurut laporan, pertemuan itu sedang diatur oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengumumkan inisiatif itu, hari ini.

Pertemuan itu bakal menyusul sehari dua lagi dan Idris serta Ahmad sudah menyatakan persetujuan masing-masing untuk bertemu.

Apa yang cuba diusahakan Hishamuddin ialah mengajak semua pihak dalam UMNO duduk semeja.

Hakikatnya ada dua perkara yang perlu difahami.
Pertama ialah penentangan sekumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak berpuashati dengan Ahmad Said. Mereka ini adalah ‘askar yang dipilih Idris untuk bertanding dalam pilihan raya ke 12’; dan
Kedua ialah Ketua-Ketua Bahagian UMNO yang majoritinya menyokong Ahmad Said walaupun mungkin Bahagian Besut yang kuat menentang kepemimpinan Ahmad Said dalam konteks UMNO.


Jika tidak, jentera UMNO Terengganu pasti sudah ‘membuat bising’ seperti yang dilakukan oleh ADUN. Malah, di kalangan ADUN, hanya dua sahaja yang menjadi Ketua Bahagian, iaitu Bahagian Besut dan Marang.

Kedatangan Hishamuddin ke Terengganu wajar dilihat sebagai untuk tujuan ‘mereda atau menyejukkan’ bukannya untuk menghukum atau mencari kesalahan pihak-pihak yang terbabit dalam kemelut.

Walaupun apa juga perkataan dikeluarkan sama ada – undi tidak percaya, ugutan atau juga paranoid – soal pokok ialah, kepimpinan Ahmad Said tidak disenangi banyak pihak sejak beliau dilantik.

Walaupun pihak-pihak yang menentangnya seakan ‘merestui’ perlantikannya tetapi perkara asas perlu diteliti semula.

1. Ahmad Said dilantik bukan melalui persetujuan asal Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO tetapi selepas ‘terpaksa’;

2. Majoriti ADUN Barisan Nasional Terengganu ‘terpaksa menerima Ahmad Said’ selepas Datuk Seri Idris Jusoh ditolak; dan

3. Ahmad Said mendapat kepercayaan istana dan walaupun ADUN BN menerimanya, ia bagaikan ‘izin dalam paksa’.

Berpaksikan kedudukan ini Hishammuddin yang juga menteri dalam negeri perlu adil kepada kedua-dua pihak, jangan hanya melihat faktor ‘kenapa dan mengapa Ahmad Said ditentang atau disingkirkan’.

Amat tidak adil membandingkan tempoh pentadbiran Ahmad Said dan Idris kerana Ahmad Said baru mengambil alih setahun dalam kedudukan kewangan yang terhad sementara Idris mempunyai tempoh hampir 10 tahun.

Sebabnya? Idris menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO antara 1999-2004 di mana boleh dikatakan beliau ‘berkuasa dalam banyak perkara’ walaupun Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah Pengerusinya.

Dengan peruntukan perbelanjaan melalui wang ehsan yang ‘mewah ketika itu’ dan kemudian menjadi Menteri Besar 2004 hingga 2008, Idris ditatang ‘bagai minyak yang penuh’.

Sedangkan Ahmad Said perlu membentangkan Bajet Tahunan yang terhad dan terpaksa meminta wang royalti yang sehingga kini dikatakan Kerajaan Pusat masih ‘teragak-agak menyerahkannya’, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib sudah berjanji untuk menyerahkannya.

Tidak mengapa dengan kekurangan wang tetapi pentadbiran Ahmad Said sudahpun merangka pelan lima tahun 2009-2014 untuk Terengganu dengan meletakkan kepentingan membasmi kemiskinan, meningkatkan mutu pendidikan, menyemarakan aktiviti pelancongan serta projek-projek infratruktur yang kesannya terus kepada rakyat.

Ahmad tidak mahu mengulangi melaksanakan projek yang menjadi kemarahan rakyat kerana Terengganu adalah antara kubu BN dan jika kubu BN goyah, kuasa pusat juga goyah.
Tidak ada gunanya pemimpin di Pusat berbangga dengan kedudukan tinggi dalam UMNO tetapi kuasa BN semakin mengecil.

Hishamuddin memang perlu melaporkan hasil pertemuan yang dirangkakan ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pertimbangan sewajarnya.

Selepas mengadakan perjumpaan dengan bekas menteri besar, Idris Jusoh dan menteri besar sekarang, Ahmad Said berhubung isu tersebut, Hishamuddin mungkin sudah boleh mencium kelemahan di Terengganu dan punca pertelingkahan.

Selain itu Hishammuddin juga mengesahkan bahawa beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung isu tersebut dan pastinya tahu ‘ arah dan angin’ yang wajar beliau halakan.

Kita hanya mengharapkan agar selaku pengerusi Umno Terengganu, Hishamuddin dapat memikirkan kaedah yang sesuai untuk mengatasi konflik politik di Terengganu.

Bak kata Hishamuddin: "Saya percaya, jika mereka sayangkan Umno Terengganu, mereka juga harus sama-sama berbincang dengan ikhlas” dan itulah juga diharapkan daripada pemimpin Pusat.

Mereka jangan berat sebelah hanya kerana mempunyai ‘orang-orang sekeliling’ mereka yang kadang kalanya memberi dan memaklumkan maklumat yang mempunyai kepentingan tertentu.

Betul kata Hishamuddin mengenai desakan dari kalangan ADUN BN Terengganu yang mahu menteri besar ditukar, apabila berkata:

"Saya tidak berhak untuk menukar menteri besar, tetapi saya hendak dengar dahulu apakah masalah yang dihadapi dalam politik Terengganu, “ kata Hishamudddin.

Sejauh ini sah atau sebaliknya berita ini, Tuanku Mizan dikatakan memberi jaminan Ahmad Said akan terus menjadi menteri besar Terengganu.

DR AHMAD RAMZI BEBAS DENGAN JAMINAN POLIS

Setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi dibebaskan pada jam 9.25 pagi tadi dengan jaminan polis selepas ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu semalam.

Dr Ramzi ditahan bagi membantu siasatan kes penghantaran SMS ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu, bulan lepas telah dibebaskan pada pukul 9.30 pagi tadi.

Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi semalam di sebuah hotel apartment sebelum di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan.

Sebelum Ahmad Ramzi ditahan, polis terlebih dahulu menggeledah rumahnya di Kampung Kubang Parit di sini petang semalam selepas beliau gagal tampil sehingga pukul 3 petang dan merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem.

Dengan tangkapan Ahmad Ramzi itu, polis percaya siasatan kes berkenaan kini sudah 95 peratus selesai.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil pada sidang akhbar semalam memberitahu, Ahmad Ramzi ditahan selepas beliau gagal tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Difahamkan, sebaik sahaja siasatan lengkap, polis akan merujuk kertas siasatan kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut, termasuk kemungkinan mendakwanya di mahkamah.

Menurut Utusan Malaysia hari ini, kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah, dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah.

Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian lain.

Ditanya kenapa siasatan kes itu memakan masa hampir sebulan, Hamzah berkata, kes itu adalah rumit, bersifat kompleks dan teknikal.