Monday, October 18, 2010

BATU SAPI – UJI PERSEFAHAMAN PARTI KOMPONEN BN

Walaupun ia hanya pilihan raya kecil dan keputusan tidak akan menyaksikan perubahaan dalam kerajaan negeri tetapi SAPP berhasrat menggoncang BN ...kemenangan kepada SAPP penting bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri. - Yong Teck Lee

Jangan hanya melihat pentingnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan tetapi juga lihat betapa signifikannya pilihan raya kecil Parlimen P 185 – Kawasan Batu Sapi di Sabah.

Selain Sabah yang jelas juga adalah simpanan Tetap BN, pilihan raya kecil ini menjadi platform penting menguji kerjasama dan persefahaman komponen parti Barisan Nasional (BN).

Kenapa saya katakan demikian?

Pertama, kerusi ini majoritinya adalah pengundi Bumiputera sebanyak 62.4 peratus dan daripadanya 62.1 peratus adalah Bumiputera Islam.

Sementara di kalangan pengundi Cina pula seramai 37.2 peratus daripada keseluruhan 26,004 pengundi di kawasan parlimen berkenaan.

Apa yang jelas, dalam kawasan itu orang Cina terbahagi kepada penyokong tiga parti iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS yang mewakili Barisan Nasional serta partim pecahan BN, Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan Datuk Yong Teck Lee (gambar kiri) .

Walaupun ia hanya pilihan raya kecil dan keputusan tidak akan menyaksikan perubahaan dalam kerajaan negeri tetapi SAPP berhasrat menggoncang BN yang boleh menyebabkan ahlinya hilang sokongan kepada BN.

Ini ujian getit bagi parti itu setelah berkerat arang dengan BN dan mengisytiharkan mereka sebagai parti pembangkang pada 2008.

Mengulangi hasrat parti itu untuk merampas kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang, Yong berkata kemenangan kepada SAPP penting bagi menyakinkan rakyat Sabah bahawa mereka mampu menguruskan pentadbiran negeri sendiri.

Kerana itu adalah penting bagi Sapp memenangi kerusi yang mempunyai majoriti penduduk bumiputera seperti Batu Sapi.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari PBS yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu. Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi. Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

Sehingga ini calon belum dipastikan tetapi semalam PBS berkata BN besar kemungkinan akan mengekalkan calon keturunan Cina untuk bertanding bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi itu.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata penyandang kerusi tersebut mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah yang juga bendahari agung PBS, merupakan seorang keturunan Cina dan calon yang mereka cadangkan semestinya dari kaum itu.

PBS semalam mengadakan mesyuarat majlis tertinggi PBS dan menurut Pairin, setakat ini 10 calon telah disenaraikan.

Apapun, senarai tersebut akan disenarai pendekkan sebelum mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga pengarah operasi pilihan raya kecil itu.

Musa, yang juga Ketua Menteri Sabah, dijangka mempengerusikan mesyuarat bersama parti komponen BN hari ini bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.

Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata walaupun PBS mencadangkan nama calon namum pemilihan muktamad calon terletak di tangan pucuk kepimpinan BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Selasa depan ( 26 Oktober) sebagai hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 4 November.

Di pihak Parti Maju Sabah, pihaknya semalam mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya kecil itu dan ia diumumkan oleh presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Malah, Yong juga disebut-sebut sebagai kemungkin calon mewakili parti itu walaupun belum disahkan. Ditanya sama ada beliau bersedia mencalonkan diri sendiri pada pilihan raya 4 November ini Yong berkata parti belum membuat keputusan. "Calon adalah paling utama dalam mana-mana pilihan raya, tetapi ada masa yang sesuai untuk semua perkara.

"Hari ini (kita umumkan) untuk bertanding. Calon kita akan diumumkan kemungkinan pada 23 November di Sandakan, bila kita rasmikan pejabat baru di kawasan Karamunting dan Batu Sapi" katanya.

Semalam Yong mengelak menjawab peluang SAPP sebaliknya mendakwa UMNO yang sepatutnya gusar kerana batu Sapi adalah kubu kuat mereka. Katanya: "Apa peluang kita? Batu Sapi adalah kerusi tradisi SAPP (bila ia bertanding) untuk BN."

Di sebalik itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Peter Pang En Yin menggesa parti komponen BN terutama supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

BN perlu menang besar kerana dalam keadaan sekarang, bukan sahaja komponen perlu bersatu dan menjamin kemenangan, pemimpin LDP perlu menunjukkan kematangan dan komitmen kepada perjuangan BN dengan memberi sokongan padu kepada Musa yang mengetuai kempen pilihan raya di Batu Sapi.

"Kita mesti meletak ke tepi sebarang perbezaan pendapat. Ini merupakan detik amat penting ke arah memastikan kemenangan besar BN," katanya yang dilantik sebagai pengarah operasi jawatankuasa kempen pilihan raya Karamunting.

Beliau berkata jawatankuasa kempen akan berkempen habis-habisan dalam memastikan BN mengekalkan kerusi Batu Sapi.

Amat jelas komponen BN perlu bersetuju dan bekerjasama dalam setiap perkara termasuk penentuan calon dan kerja-kerja berkempen dan menenangi hati rakyat di kawasan itu.

Pilihan raya kecil ini adalah ujian bagi BN Sabah dan kepimpinan Musa yang sejauh ini dilihat teguh dan mampu menerajui Sabah untuk terus cemerlang!