Monday, March 22, 2010

DEWAN RAKYAT LEBIH PANAS MINGGU INI?

Siapa akan ‘makan cili’ di Dewan Rakyat minggu ini? Masihkah Datuk Seri Anwar Ibrahim berseorangan?

Banyak pihak meramalkan sidang Dewan Rakyat minggu ini bermula hari ini akan lebih hangat.
Kenapa? Selain rentetan isu-isu hangat yang dibangkitkan pada persidangan minggu lepas terutama pendedahan mengenai kegagalan rancangan 16 September pakatan pembangkang, PAS juga dikatakan akan menerima nasib sama seperti PKR.

Roslan Bian dari Agendadaily meramalkan tembelang PAS dalam Pakatan Pembangkang pula akan pecah selepas ini.

Menurut beliau pendedahan Ahli Parlimen bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai pelan 16 September bukan sahaja membuka tembelang dan pekong Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi tanpa ramai sedar, tembelang PAS pun turut terbongkar.

Katanya, dengar ceritanya, beberapa pemimpin tertinggi PAS yang juga ahli parlimen tidak tahu pelan menawan Putrajaya ikut pintu belakang sampai begitu serius hingga memperalatkan nama Yang Di Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera.

Juga ikut ceritanya hanya pemimpin PAS yang dikaitkan dengan kumpulan Erdogan yang pro Anwar tahu rancangan Ketua Pembangkang itu, bukan ke semua 23 ahli parlimen PAS.

Sebab itu, pada petang Rabu ketika Zahrain ‘melondehkan’ Anwar, ahli-ahli parlimen PAS tak banyak mulut – mereka diam menikus kecuali ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menjerit-jerit ketika bekas ahli parlimen PKR itu menceritakan apa sebenarnya berlaku disebalik kisah pelan 16 September.

Tetapi pada pagi Khamis, sewaktu Zahrain sambung ‘cerita panas’ itu, ahli parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad, Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) dan Dr Lo’Lo Ghazali (Titiwangsa) bangun bersama ahli parlimen PKR dan DAP cuba menidakkan pengakuan Zahrain.
Persoalannya, apakah kerana mereka sudah diminta berbuat demikian?

Kalau tak silap, mereka ini adalah antara dikaitkan dengan kumpulan Erdogan selain Dr Zulkifli (Kuala Selangor) Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang) dan Dr Hatta Ramli (Kuala Krai). Dan dua tiga kerat lagi termasuk Exco Kelantan Datuk Husam Musa.

Jika benarlah ada pemimpin tertinggi parti tidak tahu skrip 16 September yang dikarang Anwar, ini sudah kira kes berat. Barangkali yang tahu adalah mereka yang sudah dijanjikan jawatan oleh Anwar jika dapat jadi Perdana Menteri ke-6, kara Roslan.

Roslan mengemukakan pertanyaan: “Barangkali inilah yang dimaksudkan Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin fasal Fir’aun-Firaun Kecil dalam Pakatan Rakyat yang mengelilingi Anwar. Lebih menarik lagi, Mahfuz ketika diminta komennya fasal pendedahan Zahrain, tak mahu ulas kononnya beliau ‘tidak dengar’ apa yang bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu dedahkan sedangkan beliau yang beria-beria menjerit dalam Dewan pada petang Rabu.

Apapun, baik ahli parlimen PKR, DAP mahupun PAS, mereka kini sudah jadi cacing kepanasan kerana Zulkifli yang lantang bercakap dan ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng serta ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzi Samsuri belum lagi ‘buka mulut’.

Kata Roslan, eloklah kita tungggu – siapa yang kena atau lebih banyak tembelang membabitkan PAS juga akan pecah .

Menarik juga ialah Blok Bebas yang kini mempunyai tujuh anggota dijangka bersuara lagi minggu ini.

Anggota Parlimen Bebas lain ialah Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan dua wakil rakyat Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau).

Jadi, tumpuan mingggu ini tentunya kepada anggota Parlimen Bebas yang belum berpeluang berhujah, khususnya Zulkifli yang digambarkan sebagai individu amat tegas pendiriannya.

Lebih penting adalah sejauh mana masa yang diperuntukkan di Dewan Rakyat itu digunakan untuk membangkitkan masalah rakyat dan bukan sekadar untuk gimik politik sempit yang akhirnya tidak membawa ke mana-mana.

Selain itu, Bernama meramalkan, tumpuan pasti kembali kepada Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) yang membuat pendedahan rancangan 16 September ketika membahaskan usul menjunjung kasih atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sehingga menyebabkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) bertindak keluar Dewan.

Zahrain, yang keluar PKR sejak bulan lepas, mendedahkan bagaimana beliau dan rakannya dalam pakatan diperalat dan dibohongi dengan rancangan itu, antara lain, kononnya pakatan mempunyai sokongan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Anwar mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menjadi Perdana Menteri dengan sokongan wakil rakyat BN yang akan lompat parti.

Pendedahan itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk penafian oleh Angkatan Tentera manakala pergerakan Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan pembohongan itu.

Tingkah laku anggota Parlimen juga menjadi perhatian.

Rabu lepas, anggota Parlimen pakatan DAP-PKR-PAS bertindak keluar Dewan Rakyat selepas tidak dibenarkan membahas usul Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung arahan kepada ketua polis untuk memastikan jalan dan laluan ke Parlimen dibuka sepanjang masa bagi memudahkan anggota Parlimen.

Anggota Parlimen pembangkang bertegas mereka berhak membahaskan perkara itu sekalipun usul itu diluluskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dengan undian lisan, tanpa bahas.

Antara yang tidak bersetuju dengan tindakan keluar Dewan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkannya sebagai merugikan masa dan sepatutnya digunakan untuk membangkitkan masalah rakyat.

Muhyiddin berkata ia ibarat tidak mengendahkan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika merasmikan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-12, yang sekali lagi mengulangi teguran baginda supaya anggota Parlimen menjaga tutur kata dan tingkah laku sebagai wakil rakyat.

Wakil-wakil pembangkang juga dijangka membuat "serangan" terhadap kerajaan seperti minggu lepas apabila mereka mempertikaikan gagasan 1Malaysia dengan mengaitkannya dengan APCO Worldwide yang dikatakan terbabit dengan konsep "One Israel" pada 1999.

Bagaimanapun, firma perunding komunikasi antarabangsa itu pada Khamis menafikan dakwaan pembangkang selain menafikan pembabitan APCO dengan "One Israel" atau Perdana Menteri Israel Ehud Barak seperti didakwa.