Thursday, August 2, 2012

BERJAYAKAH LAJIM 'KATAK POLITIK PALING BESAR' BERSAMA PEMBANGKANG?


Ini adalah rencana saya dalam Utusan Malaysia 30 Julai 2012 muka surat 12 dengan tajuk "Berjayakah Lajim bersama SRF?" 

Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF PENULIS ialah perunding media.

Jika lompatan kedua ini berjaya membawa perubahan kepada senario politik Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin, 57, akan mencipta sejarah politik yang wajar direkodkan sebagai 'Katak Politik Paling Besar' bukan sahaja di Sabah tetapi juga negara ini.

Sehingga ketika ini pun 'lompatan katak' Lajim lebih besar sumbangannya kepada UMNO berbanding lompatan Datuk Ibrahim Ali serta beberapa yang lain untuk survival politik dan perjuangan mereka, termasuk beberapa menteri yang pernah 'melompat katak' dalam Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini.

Jadi, siapa yang mengenali Lajim tidak akan terkejut dengan keputusan politiknya dan dia sedang berusaha memecahkan rekodnya sendiri. Dalam berpolitik, jelas Lajim lebih berterus-terang.

Bagaikan suatu amaran awal, pada satu temu bual dengan Utusan Malaysia yang disiarkan pada 22 Januari 2010, Lajim berkata: "Rakyat Sabah boleh menukar pemikiran mereka dalam tempoh 24 jam untuk sokong sesebuah parti. Contohnya USNO kalah pada 1975 pun disebabkan ramai ahli USNO masuk parti Berjaya. Dan Berjaya tewas pada 1985 pun disebabkan ahli Berjaya masuk PBS. Itulah uniknya rakyat Sabah, kalau nak tukar baju, dia nekad tukar."

Ini kerana Lajim yang sebelum ini pernah 'melompat' dari Parti Bersatu Sabah (PBS) ke UMNO pada 1994, adalah antara penyumbang penting kepada bertapaknya UMNO di Sabah.

Lajim bukan sembarangan dalam karier politiknya kerana antara jawatan penting beliau ketika dalam kerajaan PBS ialah Setiausaha Politik Di Jabatan Ketua Menteri 1985 hingga 1986, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri dari 17 Mei1986 hingga 10 Januari 1994, selain Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah antara Feb 1994 dan 12 Mac 1994. Beliau juga ialah Menteri Pertanian dan Perikanan antara 24 Mac1994 dan 20 November 1995, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (1995 hingga 1999) selain Timbalan Ketua Menteri Merangkap Menteri Pertanian dan Industri Pemakanan Sabah antara 2002 dan 2003. Sementara 2003 hingga 2004, Lajim adalah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Di Jabatan Ketua Menteri dan selepas itu sebagai Ketua Merinyu Projek Negeri Sabah.

Sejarah melakarkan Lajim membuat lompatan katak paling besar dan begitu berjasa kepada UMNO pada tahun 1994 apabila menjadi katak pertama yang melompat ke UMNO yang kemudian menumbangkan kerajaan negeri yang dibentuk oleh Parti Bersatu Sabah yang menang dengan majoriti dua kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah ketika itu.

Kerana lompatan Lajimlah jalan terbuka untuk beberapa pemimpin mendapat tempat penting dalam kerajaan Sabah dan Persekutuan. Tan Sri Sankaran Dandai, Datuk Seri Osu Sukam, Datuk Seri Musa Aman, Datuk Seri Shafie Afdal serta Datuk Seri Hanifah Aman tidak boleh menafikan betapa 'lorong' yang dibuka oleh lompatan penting Lajim itu mendatangkan peluang politik dan kedudukan dalam parti untuk mereka. Sumbangan Lajim yang dikaitkan dengan usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu dikatakan menjadi 'dalang' kepada usaha menumbangkan PBS mempunyai sesuatu yang tersirat hingga kini khususnya hubungan Lajim dan Anwar.

Dikatakan bahawa ada janji untuk Lajim menjadi Ketua Menteri Sabah jika 'lompatan katak' yang kemudian diikuti oleh beberapa pemimpin PBS yang lain ke dalam UMNO. Namun selepas hampir 20 tahun, jawatan Ketua Menteri Sabah tidak pun terhidu oleh Lajim apabila ia bertukar ganti daripada Sakaran Dandai kepada Osu Sukam dan kini Musa Aman.

Amat jelas, sepanjang karier politiknya, jawatan paling tinggi yang dipegang Lajim ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah. Namun, di sebalik itu, ada beberapa perkara lain yang Lajim sahaja yang tahu punca beliau mahu meninggalkan UMNO dan menganggap jawatan Timbalan Menteri tidaklah 'sehebat' Ketua Menteri yang diidamkannya.

Sebenarnya banyak lagi lagi perkara lain yang terbuku di hatinya. Ada mempertikaikan apa yang diperkatakan Lajim kepada Najib sehingga beliau sanggup menimbulkan suatu keadaan yang dilihat menggugat Barisan Nasional (BN) Sabah dengan kata-kata bahawa Lajim mahu memastikan Najib menyingkirkan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Memanglah jika benar ada tuntutan Lajim, Najib wajar mendengar tetapi tidak semestinya mengikut kehendak Lajim. Dan bagi Lajim, beliau sudah berpuas hati kerana menyatakan apa yang tersirat di hatinya. Namun, berdasarkan track recordnya, pengalaman dan keberaniannya sebelum ini membuatkan Lajim sekali lagi berani membuat keputusan dan tindakan politiknya dengan menggunakan 'lompatan katak' dalam tindakan dan keputusan politiknya.

Kali ini Lajim melakukan tiga langkah untuk lompatannya yang mungkin terakhir dalam karier politiknya.

Langkah pertama ialah mengumumkan tidak akan pertahankan kerusi Ketua Bahagian dan peletakan jawatan ketua cawangan UMNO, sementara langkah kedua ialah perletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Kelmarin pada lompatan kecil keduanya, Lajim mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta. Lajim yang masih Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan tindakannya yang diputuskan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukanlah sesuatu yang mengejutkan, jika mengikut politik ala-Sabah.

Sementara lompatan ketiga yang menjadi 'lompatan besar' yang akan dibuat olehLajim selepas ini memerlukan kita 'tunggu dan lihat," yang berkemungkian akan menjadi sesuatu yang menarik menjelang PRU-13.

Jika sebelum ini Lajim membuat 'lompatan katak' selepas pilihan raya tetapi kini beliau tidak sabar lagi untuk melakukan lompatan ketiganya yang beliau yakin akan mencipta sesuatu yang baik untuk 'dirinya dan rakyat Sabah'.

Di sebalik kata-kata dan anggapan bahawa Lajim bagaikan 'gunting dalam lipatan' atau 'biawak hidup' dalam UMNO dan BN serta pelbagai lagi, Lajim sedang mengatur langkah untuk bergerak lebh jauh. Ketua Perhubungan PKR Sabah Ahmad Tamrin Jaini mengesahkan bahawa ketua pembangkang Anwar Ibrahim dijemput untuk menghadiri pelancaran satu pergerakan politik baru oleh dua orang Ahli Parlimen BN Lajim Ukin (Beaufort) dan Datuk Seri Wilfred Bumburing (Tuaran). Pergerakan tersebut dikenali dengan nama Angkatan Perubahan Sabah (Sabah Reform Front - SRF).

Pada Majlis Berbuka Puasa Sabtu lalu, Lajim mengisytiharkan gerakan 'Pakatan Perubahan Sabah' di kediamannya di Likas Jaya. Cuma persoalan yang bermain di fikirkan kita ialah apakah lompatan Lajim kali ini cukup panjang?

Apakah dia yakin tidak akan terjatuh dan lemas dalam keputusan dan masa depan politiknya?

Apakah lompatan ketiga ini membawa tuah seperti lompatan dari PBS ke UMNO pada 1994 dan sanggup menerima risiko kemungkinan tenggelam terus dalam karier politiknya. Lajim nampaknya sangat terpengaruh dengan pujukan pemimpin pembangkang khususnya Anwar mungkin yakin mampu mengulangi usaha menawan Putrajaya sebelum ini. Lajim jangan lupa bahawa BN, khususnya yang memerintah Sabah sudah membuktikan ia mampu membawa perubahan sebagai mana diakuinya sendiri dalam Utusan Malaysia 22 Januari 2010.

Amat jelas warna-warni politik Sabah untuk seketika akan tertumpu kepada keputusan Lajim, Perdana Menteri dan Majlis Tertinggi UMNO yang akan menentukan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri dan dalam parti. Pada ketika yang sama, walaupun pemimpin UMNO Sabah nampak tenang, namun sebarang pengumuman dan lompatan besar Lajim kali ini akan turut memberikan kesan kepada kedudukan Sabah sebagai deposit kekal BN.

Sama ada kesannya seperti yang berlaku pada 1994 atau sebaliknya kita perlu tunggu seketika. Pengajaran ialah dalam politik walaupun sebesar mana janji pemimpin untuk berkorban dan mengabdi kepada parti, apabila kepentingan peribadi dan harga diri tercabar atau mula tidak didengari, selalunya jalan yang tersedia ialah mengundur diri atau membuat lompatan katak besar seperti yang akan dilakukan Lajim dalam sehari dua ini.