Tolonglah jangan samakan perangai dan sikap akhbar dan blog Malaysia dengan orang Qurishy zaman jahiliah.
Adalah silap jika Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat marah atau membidas laporan dalam media dan laman blog mengenai tajaan untuk beliau itu. Tidak wajar Nik Aziz mengatakan ia bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Lagipun ada sumber mengatakan penaja ini bukan sekadar menaja Nik Aziz seorang tetapi ‘secara berpasukan’.
Baguslah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat keputusan untuk tidak ke Mekah. Setidak-tidaknya beliau boleh meredakan isu penajaan pemergiannya ke Tanah Suci (kalau bolehlah) dan juga menghapuskan kekusutan pertelingkahan antara Kickdefella dan menantunya, Mohd Ariffahmi Abdul Rahman.
Yang pasti, meloponglah orang yang berangan-angan untuk memangku jawatan Menteri Besar ketika Nik Aziz ke Mekah. Apa nak buat, kita hanya merancang, Tuhan menentukan.
Bagaimanapun, dengan membatalkan pemergiannya, Nik Aziz belum bebas daripada ikatan penajaan dengan beliau.
Nik Aziz tidak pergi adalah keputusan peribadinya. Namun, beliau sudah menerima tawaran pelawaan itu dan pasti pembayaran sudah dibuat untuk pemerigian beliau dan keluarganya.
Kerana itu, rasanya SPRM masih boleh menyiasat, untuk apa dan berapa jumlahnya Nik Aziz ditaja.
Nik Aziz sendiripun sudah mengakui ada pihak membiayai perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji dan beranggapan ia tidak salah selagi tidak melanggar peraturan SPRM.
Apapun, adalah tidak wajar Nik Aziz menyamakan mereka yang mendedahkan penajaan dengan orang Quraisy dengan mengatakan, "Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia."
Bak kata rbf (http://ruangbicarafaisal.blogspot.com): Nik Aziz telah menyamakan saya selaku penulis blog dan blogger-blogger lain serta media yang melaporkan tentang tajaan beliau ke Mekah sebagai kaum Quraisy Malaysia. Ini kerana blog saya adalah salah satu blog yang awal melaporkan siapa yang menaja Nik Aziz ke Mekah.
Allahuakbar ! Maknanya Nik Aziz telah mengkafirkan saya serta kawan-kawan saya. Kerana kaum Quraisy adalah orang-orang jahiliah yang sudah tentunya kafir. Kalau Nik Aziz ini orang muda-muda seperti Mahfuz,Husam atau Salahuddin saya dah ajak dia bergocoh. Mengenangkan dia orang tua maka saya terpaksa bersabar.
Nik Aziz makin sombong nampaknya…”
Sepatutnya Nik Aziz tidak mengatakan demikian ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Kota Bharu semalam.
Berat tuduhan itu dan akhbar serta blog bukan membuat andaian tetapi penajaan itu

Dalam ceramah itu, Nik Aziz berkata, beliau tidak begitu "pelahap" (menagih) tajaan oleh seseorang untuk menunaikan ibadah haji kerana beliau mempunyai wang sendiri, tetapi menerima tawaran itu kerana mahu memenuhi niat orang yang ingin menaja pemergiannya.
"Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Mekah kali ini," katanya.
Selain itu, Nik Aziz berkata beliau menerima terlalu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya ke Mekah.
Soalan mudah ialah, jika orang seperti saya, berapa ramaikah yang sudi untuk menaja sahaja menunaikan ibadah haji?
Jika Nik Aziz boleh memberikan sebab– untuk memenuhi niat orang yang ingin menaja – sebagai alasan untuk ke Mekah, apakah orang lain yang ditaja ke luar negara atau hal-hal lain tidak boleh memberikan sebab yang serupa?
Jika Nik Aziz boleh, apa bezanya dengan orang lain? Apa istimewanya Nik Aziz? Kerana dia ‘Tok Guru’ maka halal untuknya menerima penajaan. Persoalannya kena menaja dan apa balasannya? Penajaan free atau saja-saja?
Kenyataannya bahawa beliau membatalkan hasratnya kerana ‘bosan’ dengan kerenah media, yang banyak mempersoalkan permergian beliau ke tanah suci itu yang ditaja pihak tertentu hanya berlaku selepas dipersoalkan punca wang penajaannya juga tidak kukuh.
Kalau penajaan itu wajar, bersih dan tidak ‘ada udang di sebalik batu’ teruskanlah. Kenapa takut dan ‘bosan’ dengan kritikan?
Menteri Besar itu bukan tidak tahu bahawa soal ‘penajaan’ ini akan menjadi bising kerana orang PAS juga sering bising mengenai pemimpin UMNO dan pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam isu-isu membabitkan penajaan seperti ini.
Malah, Nik Aziz sendiri pun turut terbabit untuk bising dalam beberapa perkara yang lebih kurang sama dengan kesnya, kecuali wang bukan digunakan untuk ke Mekah, tetapi ke tempat lain.
Apakah pemimpin PAS, khususnya anak didik beliau Datuk Husam Musa tidak pernah memperkatakan mengenai tajaan seorang hakim ke New Zealand?
Dengan menangguhkan pemergiannya ke tanah suci yang dijadual pada 17 Nov ini akibat media heboh mempersoalkan pemergiannya itu kerana ditaja orang tertentu, tidak bermakna bahawa dakwaan penajaan itu mempunyai kepentingan dengan kedudukannya sebagai menteri besar.
Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS sewajarnya dari awal-awal lagi tidak menerima penajaan sedemikian. Ini kerana lambat laun ia akan ‘pecah’.
Persoalannya, siapa yang membuka tembelang? Siapa yang tahu mengenai penajaan ini?
Saya diberitahu oleh seseorang mengenai penajaan ini lebih awal daripada media dan blog mendedahkannya. Ada yang mengatakan ia berjumlah lebih RM150,000 untuk ‘pasukan Nik Aziz’ ini.
Pemergian ini bukan untuk haji semata-mata tetapi sebenarnya mungkin akan berlaku sidang Mekah.
Untuk apa sidang Mekah? Kata sumber itu, sidang ini akan membincangkan peralihan kuasa. Ia bermaksud untuk membincangkan siapa akan menggantikan beliau, jika berundur.
Tetapi dengan penangguhan ini nampak gayanya, sidang Mekah itu juga perlu ditangguh dan semakin resahlah mereka yang bercita-cita untuk menggantikan Nik Aziz.
Dan untuk sementara, meloponglah siapa juga yang bercita-cita tinggi untuk menjadi Menteri Besar kerana sidang berkenaan terpaksa ditangguhkan, selain masalah baru membabitkan anak menantunya pula berbangkit.
Hai banyak sungguh cabaran kepada Nik Aziz ketika ini!