Ada pihak menganggap isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang disebut sebagai skandal oleh pembangkang akan memberikan kesan buruk kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum nanti.
Malah ada laporan menyebut, isu itu terbukti menjadi bualan hangat dalam kalangan pengundi di kawasan pedalaman.
PKR mula memainkan isu terbabit selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 menjelaskan terdapat penyelewengan sejumlah RM250 juta dana untuk penternakan lembu kebangsaan.
Sejak itu, parti berkenaan telah membuat beberapa siri 'pendedahan berkaitan skandal' termasuk: 1. Pembelian dua kondominium mewah oleh NFC di Bangsar; 2. Membiayai percutian Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan keluarganya di luar negara; 3. Perpindahan wang yang tidak berkenaan terhadap sebuah syarikat di Singapura; 4. Pembelian Mercedes-Benz CLS350 yang berjumlah RM534,622; 5. Pembelian dua lot tanah di Putrajaya di Presint 10 bernilai RM3,363,507,dan 6. Selasa lalu, mengaitkan sejumlah RM10 juta digunakan untuk membeli kondominium mewah di Singapura untuk keluarga Shahrizat.
Jelas sekali usaha pemimpin PKR yang merancang menggunakan isu berkenaan untuk meraih undi pada pilihan raya akan datang akan menguntungkan mereka.
Walaupun pihak kerajaan dan pemimpin UMNO berusaha keras mengelakkan ‘skandal Datuk Seri Shahrizat dan keluarganya ini’ dijadikan modal pilihan raya, namun pembangkang yakin isu ini akan meningkatkan sokongan pengundi kepada mereka.
The Malaysian Insider melaporkan semalam, Pakatan Rakyat, terutamanya PKR sedang giat menjalankan kempen prapilihanraya dan menggunakan isu ini untuk kelebihan bagi mereka.
Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli berkata: “Kami sebenarnya beruntung, NFC muncul tepat pada masanya, sebelum ini kami sentiasa berusaha membuktikan contoh penyelewengan yang di lakukan Umno-Barisan Nasional.
“Tapi dengan isu ini, kami mempunyai peluang keemasan untuk meningkatkan sokongan terhadap kami, ... pada kami, kes Shahrizat ini merupakan contoh terbaik penyelewengan yang dilakukan pemimpin-pemimpin Umno .... rasuah, kronisma, dan politik wang.”
Shahrizat cuba untuk menepis dakwaan terlibat dengan skandal terbabit dengan mengatakan beliau “hanyalah isteri” kepada pengerusi projek penternakan lembu berkenaan dan menyatakan skandal berkaitan tiada kaitan dengan dirinya.
Bagi kalangan UMNO yang melihat isu ini akan membawa ‘kemusnahan kepada BN’, sudah menyatakan pendirian mereka supaya Menteri itu meletakkan jawatan.
Ketua Wanita Umno ini dituntut untuk meletak jawatan sebagai menteri termasuk partinya sendiri, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beberapa siri serangan daripada pembangkang untuk projek yang “dianugerahkan” kepada suami dan tiga anaknya yang merupakan pengarah dalam NFC.
Persoalannya, kalaupun Shahrizat tidak terlibat tetapi hanya mungkin (saya katakana mungkin) suaminya, apakah mampu BN menepis isu ini sedangkan gerakan pembangkang dalam isu ini semakin menular jauh dengan membabitkan pula bekas Menteri Pertanian yang kini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kita menunggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi berapa lama?
SPRM sudah merampas komputer dan beberapa dokumen dalam serbuan ke atas pejabat NFC Jumaat lalu dan kita mengharapkan siasatan ekspres untuk jawapan yang sejelas-jelasnya mengenai kes ini.
Persoalannya apakah siasatan dan proses mahkamah akan mampu meyakinkan rakyat untuk memberikan kelebihan kepada BN?
Persoalan juga, jika Shahrizat digantung atau meletakkan jawatan pada ketika proses siasatan dan perbincaraan di mahkamah, mampukan isu ini dibersihkan daripada menjadi tanggungan atau liabiliti pada pilihan raya umum nanti?
Dan jika ada pihak yang dihukum akibat ‘skandal NFC’ ini, apakah rakyat akan melihat BN sebuah parti yang bersih kerana berani menghukum mereka yang bersalah?
Bagaimana jika yang menerima hukuman ada kena mengena dengan Shahrizat dan suaminya?
Politik di Malaysia ketika ini lebih kepada kepercayaan dan tanggapan (persepsi).
Kebenaran bukan ukuran tetapi cakap-cakap, persepsi serta kempen-kempen yang mampu mempengaruhi rakyat dianggap lebih berkesan dan dalam isu NFC ini, mampukan BN menyediakan jawapan balas yang boleh menangkis persepsi buruk terhadap kerajaan?
Kes NFC ini dianggap skandal berprofil tinggi kerana membabitkan wang kerajaan dan lebih memburukkan kerajaan , polis menahan seorang lelaki Khamis lalu yang dikatakan cuba untuk merasuah pegawai atasan yang menyiasat kes berprofil tinggi itu dan mengesahkan ia berkaitan dengan skandal NFC.
Sewajarnya kita perlu berfikir sejenak, kenapa membiarkan rakyat tidak semena-mena marah kepada UMNO dan kerajaan sedangkan yang menyebabkan kemarahan itu hanya seorang dua.
Apakah kita sayang dan mahu membela seorang dua ini dan membiarkan rakyat, termasuk di luar bandar kini pun semakin mempersoalkan sikap kerajaan yang mementingkan orang tertentu dan kelompok tertentu dan membiarkan masyarakat ramai terkapai-kapai dengan beribu persoalan yang tidak terjawab?
Memburukkan keadaan, pemimpin UMNO bawahan pun turut bingung seperti LEMBU dan ‘menjadi BODOH MACAM LEMBU’ apabila disoal mengenai isu NFC ini.
Mana penjelasan segera dan jawapan sesuai untuk menangani persepsi yang ditimbulkan oleh pembangkang dalam isu ini?