Monday, January 17, 2011

APABILA BLOGGER PROPEMBANGKANG MULA GOYAH…

Beberapa blogger proembangkang semalam menyeru di kalangan mereka supaya menggembleng tenaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13.

Ada kalangan mereka yang menyebut: “Tidak ada satu perkara yang paling diharapkan daripada dunia blogger Pakatan Rakyat melainkan untuk melihat BN dan Umno disungkurkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang dan PRU 13 akan datang.” Malah mereka mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dengan kejayaan kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Majlis Mesra Menteri Besar Kelantan Bersama Blogger Pakatan yang diadakan di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Lantas terfikir oleh saya bahawa rupa-rupanya selepas lebih 10 tahun ‘bermaharajalela’ di alam siber, blogger propembangkang kini melihat ada suatu kekuatan istimewa di kalangan blogger prokerajaan, proUMNO serta juga kumpulan yang berjuang untuk menyatakan keadaan sebenar atau yang tidak berpihak tetapi mahu menegakkan KEBENARAN!

Dengan kata lain, bukan kita mendabik dada mengatakan blogger prokerajaan, proUMNO dan Barisan Nasional kini kuat dan bermaruah tetapi blogger propembangkang yang memberikan pengiktirafan tentang sumbangan dan kekuatan kita.

Saya masih ingat apabila sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO, laman web dan blog tumbuh bagaikan cendawan di musim hujan – rata-rata menyerang Presiden UMNO ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad serta saf kepimpinan kerajaan.

Malah, sekitar 1999 dan 2003, amat sukar mencari laman web yang proUMNO, prokerajaan atau juga proMahathir. Yang ada ialah blog yang menghentam terutamanya Dr Mahathir dengan kata-kata nista seperti Mahazalim, Mahafiraun dan segala yang buruk, seolah-olah sumbangan Dr Mahathir memajukan negara ini tidak diiktiraf langsung.

Saya juga masih ingat bagaimana sukarnya untuk meyakinkan kepimpinan UMNO di Ibu Pejabat UMNO ketika itu untuk menjadikan wadah alam siber sebagai satu daripada cara penting ‘memerangi’ pembangkang.

Bagi mereka – alat bercetak, CD, ceramah dan sesi penerangan secara bersemuka dianggap cara paling relevan.

Saya berpengalaman bekerja sebagai penyelidik dan editor akhbar UMNO di Ibu Pejabat UMNO selama kira-kira empat tahun antara 1999 dan 2003 di Ibu Pejabat UMNO dan pastinya bos terdekat saya ialah Ketua Penerangan ketika itu – Tan Sri Yusof Noor dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Apabila meminta peruntukan bagi tujuan berperang di alam siber, pihak pengurusan Ibu Pejabat Pejabat UMNO akan ‘melengah-lengahkan’ peruntukan sedemikian berbanding dengan mengeluarkan buku, risalah atau CD.

Ramai ‘orang besar’ UMNO sama ada di Ibu Pejabat UMNO, negeri dan bahagian buta IT. Dengan kata lain ‘nak buka’ komputer pun tidak tahu. Mereka bukan tidak minat membaca tetapi itulah hakikatnya – membaca selepas ada orang lain sudah ‘membuka komputer’ untuk mereka.

Bagi mereka membaca artikel, nota dan sebagainya sudah dianggap ‘kedepan’ ketika itu (kata orang putih, at that particular time).

Begitulah juga dengan UMNO Online yang sering dianggap terkebelakang berbanding laman web yang dikendalikan pembangkang.

Saya turut menyertai arus memiliki laman web dengan menggendalikan islamOne untuk kira-kira tiga tahun dengan berita dan rencana mengenai politik dan Islam di dalam dan luar negara. Namun kerana membabitkan kos, akhbarnya saya tidak mampu untuk menanggungnya seorang diri.

Ketika itu tidak ada pihak yang mahu membantu, sama ada individu UMNO atau kerajaan. Tidak seperti sekarang, ada blogger yang mendapat upah untuk menulis dan tidak kurang juga yang mampu hidup mewah kerana blognya dilayari berjuta penjenguk.

Malah perkembangan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini di kalangan blogger prokerajaan, proUMNO dan yang mahu berkata BENAR mengejutkan pembangkang kerana dalam pilihan raya – sama ada pilihan raya umum (2004 dan 2008) serta siri pilihan raya kecil, peperangan siber di kalangan penyokong kerajaan, UMNO dan Barisan Nasional (BN), menjadi begitu terserlah dan boleh disifatkan seimbang.

Tetapi lebih menonjol, pada pilihan raya Galas yang lalu, saya perhatikan peranan blogger prokerajaan dan UMNO semakin menyerlah dan menjadi alat penting membantu BN menang.

Isu-isu yang dimainkan berkesan sambil maklumat yang disebarkan ‘up to date’ dan sesetengahnya mendahului blogger pembangkang.

Satu contoh jelas ialah UMNO Online kini begitu menarik dan sertanding laman web dan blog yang sebelum ini dianggap terkedepan. Tahniah kepada Ibu Pejabat UMNO yang dipimpin Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang berpengalaman lebih 10 tahun mentadbir pejabat parti terbesar di negara ini.

Sebaliknya, semacam ada suatu keluhan di kalangan blogger propembangkang apabila ada laporan melalui Harakahdaily semalam yang mengatakan blogger pakatan pembangkang semacam tidak digembleng tenaga mereka secara terancang dan bersepadu untuk menghadapi gelombang blogger Umno yang nampak terancang dan dirancang.

Seorang blogger propembangkang menyebut baginya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menganggap ‘sentuhan kerajaan negeri Kelantan dalam pertemuan malam tadi sangat bernilai bagi seorang blogger dan mereka bukan mahukan sanjungan, pujian dan upah.’

Berikutan masa berjalan dengan cepat sekali, beliau menyarankan perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan negeri yang lain di bawah Pakatan Rakyat seperti Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang mestilah melakukan program seumpama dilakukan Kelantan malam kelmarin.

Saya berharap sangat dengan kesedaran pada peringkat kerajaan, Ibu Pejabat UMNO serta Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri yang semakin baik, media siber dan ‘yang sewaktu’ dengannya diberikan keutamaan.

Di kalangan pemimpin UMNO sendiri, khususnya di kalangan Menteri Besar dan mereka yang memegang tampuk kuasa sama ada di negeri, daerah, bahagian dan juga mukim, jadikan ‘alat perang siber’ ini sebagai senjata penting.

Selain dapat ‘berperang secara terus’ dengan musuh politik mereka, media baru adalah alat paling berkesan mendekati, memujuk dan mempengaruhi orang muda yang juga pengundi muda.

Biarlah pembangkang mengatakan mereka mendahului kerajaan atau UMNO dalam konteks sokongan pengundi muda, yang penting penerangan, maklumat dan keterbukaan kerajaan serta parti perlu ditonjolkan.

Percayalah, orang muda bijak menilai peluang dan maklumat yang disajikan. Fitnah dan perbuatan memburuk-burukan pemimpin kerajaan, UMNO dan BN tidak akan kekal lama.
Akhirnya akan terserlah juga kebenaran. Dan kebenaran inilah sebenarnya kunci kepada sokongan rakyat dalam setiap pilihan raya.

Ternyata kerana kebenaran disebar dengan berkesan melalui media baru pembangkang kini merasa terancam dan kerana itulah ada seruan agar mereka perlu digemblengkan.

Bagi blogger, penggendali laman web atau pemilik FB, twitter dan sebagainya, teruskah dengan kerja murni kita kerana kita bukan sahaja melawan fitnah tetapi menegakkan KEBENARAN demi mempertahankan negara yang sedang bergerak ke arah sebuah negara maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi.

Jadikan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak agar kita berubah dan melakukan transformasi pada diri dan profesyen kita sebagai cabaran untuk kita menegakkan KEBENARAN dan memerangi serta menghapuskan fitnah dan cerca yang boleh menyumbang ke arah masyarakat Malaysia yang porak-peranda!