Thursday, June 18, 2009

LPT PULA TERGENDALA

Macam-macam hal.

Kini Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula tergendala kerana kerenah kontraktor.

Sepatutnya Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said tidak menyebut mengenai dua kontraktor yang ‘tidak berupaya’ melaksanakan Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kerana ia akan menimbulkan banyak pertanyaan.

Dua kontraktor yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu kini menarik diri.

Persoalannya, pertama kontraktor mana? Kedua, siapa bagi peluang kepada kontraktor berkenaan? Ketiga, apakah pihak yang memberikan ruang kepada kontraktor berkenaan tidak melihat latar belakang kontraktor berkenaan? Keempat, apakah kontraktor yang menarik diri itu mengalami kerugian atau membuat untung kerana menarik diri?

Yang jelas, sebarang kelewatan kepada LPT itu akan menjejaskan peluang rakyat menikmatikan lebuh raya berkenaan dan hasrat kerajaan negeri membuka Tasik Kenyir untuk pelancong secara besar-besaran akan terjejas.

Anehnya, ketika mendengar taklimat mengenai LPT baru-baru ini, pegawai Jabatan Kerja Raya yang ditugaskan untuk menyelia pakej yang membabitkan dua kontraktor berkenaan bagai ‘tidak merasa apa-apa’ dan ‘tidak mengapa’ dengan kelewatan itu.

Berikutan kegagalan kontraktor berkenaan, Fasa dua LPT yang sebelum ini dijadualkan siap pertengahan 2011, dijangka mengalami kelewatan setahun lagi.

Ahmad Said menjelaskan, kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

Beliau berkata setakat ini seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses untuk berbuat demikian.

“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu semalam.

Fasa Dua LPT yang melibatkan 11 pakej pembinaan bermula dari laluan Jabor sehingga ke Kampung Gemuroh, membabitkan kos keseluruhan RM3.7 bilion.

Ahmad berkata berikutan penarikan diri dua kontraktor itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuka tender bagi mendapatkan kontraktor baru.

Sebelum ini pembinaan lebuh raya itu sudah beberapa kali terganggu antara tiga dan empat bulan disebabkan bahan binaan yang tinggi, namun projek itu diteruskan semula setelah harga bahan itu kembali stabil.

Bila soal ini diperkatakan, aka nada pula tuding-menuding.

Itu memang tidak baik tetapi kenapa perkara ini boleh berlaku?

Tidakkan lebuh raya untuk rakyat dan kenapa tidak didahulukan rakyat dalam kerja atau kontrak seperti ini?

Benar jugalah Perdana Menteri menekankan rakyat didahulukan dan Kementerian Kerja Raya pula meletakkan slogan untuk JKR sebagai Jasa Kepada Rakyat.

Kalau tidak entahlah jasa untuk siapa dan siapa pula didahulukan!

KE MANA BERAKHIRNYA PAS?

Beranikah kita katakan “tidak ada apa berlaku dengan PAS’?

PAS OK..yang tidak OK cuma orang UMNO kerana mahu bebaik-baik dan berpakat dengan orang PAS.

Atau yang tidak OK ialah orang DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana bimbang PAS ‘berlembut’ dengan UMNO dan cita-cita menubuhkan kerajaan pembangkang akan tergencat.

Atau yang tidak OK cuma Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Husam Musa kerana menentang kerajaan perpaduan (UG).

Yang pasti, sekarang semua dah berkecamuk dalam PAS. Bukan sahaja Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Mustapa Ali diherdik, dipersenda dan diburuk-burukkan.

Lebih teruk, Nik Aziz dan sekutunya Husam turut menerima padah. Bilakah akan berakhirnya kata-mengata antara pemimpin PAS ini?

Kini ada PAS Kelantan dan PAS Terengganu. Juga ada PAS yang boleh pergi kempen ke Manek Urai dan PAS yang dilarang masuk ke Manek Urai. Yang disapproved sahaja boleh datang ke Manek Urai.

Mungkin kerana PAS tidak OK, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar satu muktamar khas diadakan bagi membincangkan cadangan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi pembentukan kerajaan perpaduan kerana ia satu isu yang besar.

"Ini perkara besar dan baru, tidak boleh buat begitu sahaja...kena bawa ke peringkat akar umbi melalui muktamar khas. Bila muktamar khas sudah bersetuju, baru kita boleh laksanakan," katanya.

"Kita tunggu presiden pulang dari luar negara. InsyaAllah, selepas diberikan penerangan, kita bersedia turun padang menjelaskan mengenai perkara itu," kata Harun, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Apa yang berlaku dalam PAS bukan sekadar desakan Mursyidul Am PAS supaya Nasharuddin melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti kerana menyokong kerajaan perpaduan, tetapi Nasharuddin menerima tekanan lebih jauh.

Ada beberapa blog proPAS, mengatakan Nasharuddin lebih ‘gembira’ tidur di katil empuk di hotel daripada melawat kawasan parlimennya – Bachok.

Malah, ada blog mengatakan Timbalan Presiden PAS itu tidak gemar turun ke kawasannya.
Ada juga yang mengatakan Nasharuddin lebih baik kosongkan sahaja kerusi yang dimenanginya.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau memang terkejut dengan kenyataan yang agak keras oleh Nik Aziz terhadap Nasharuddin.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menganggap ianya adalah satu permulaan perpecahan parti.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Salahudin Ayub pula berkata, mengikut tradisi parti, perkara sedemikian akan diputuskan pada mesyuarat parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Taib Azamuddin Md Taib pula berkata beliau yakin pemimpin peringkat tertinggi parti itu mampu menyelesaikan perkara tersebut.

Tempias kemarahan terhadap Nasharuddin juga terkena kepada Abdul Hadi apabila penulis Azizi Abdullah mengatakan “Tuan Guru Haji Hadi dilihat sekarang sebagai Presiden yang tidak mempunyai kekuatan politik tetapi hanya berilmu tinggi dalam hal agama. Maka kerana itu beliau sudah diperalat dengan golongan cerdik pandai, yang kononnya dihebuh sekarang sebagai profesional, cerdik pandai. Dengar khabar, kerana angkara ini Pas mungkin mengadakan Muktamar Khas. Bayangkan kerana karenah seorang dua ini seluruh jemaah jadi bercelaru.”

Kata Azizi lagi, kita selalu membuat ukuran dalam politik mestilah ulama maka atas nama ini ditekanlah pula mesti kena walak. Walhal berapa ramai pemimpin yang tidak ulama, tidak Islam yang melakukan kerja politiknya lebih dari ulama.

Kerana itu Azizi berpendapat, jangan salahkan ahli-ahli jika ada tuduhan kegilaan ini adalah kegilaan mahu jadi menteri tidak penuh atau menteri penuh. Apakah Pas beranggapan atau penuh yakin ( bagi yang mahukan Kerajaan Perpaduan) jika berlaku Kerajaan Perpaduan Tuan Guru Hj Hadi akan jadi Timbalan Perdana Menteri? Mustafa Ali mungkin jadi Menteri Dalam Negeri atau lain-lain jadi menteri sepenuh masa?

Ini contoh yang marah kepada Abdul Hadi, Nasharuddin dan Mustafa.

Bagaimana pula dengan yang marah kepada Nik Aziz dan Husam?

Blog Lawi Ayam (http://lawi-ayam.blogspot.com) bertanya, apakah Nik Aziz berang kerana kerajaan perpaduan atau anak didiknya – Datuk Husam Musa kalah pada pemilihan parti baru-baru ini?

Apakah Nik Aziz jenis yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa majoriti perwakilan PAS tidak dapat menerima Husam?

Kenapa tidak tanya Mohd Sayuti Omar kenapa Husam kalah. Jangan tanya penyokong atau pengampu Husam untuk tahu sebab sebenar.

Atau juga Nik Aziz merasakan pengaruhnya dalam PAS semakin mengecil?

Atau juga Nik Aziz merasakan dia sudah hilang pengaruh kerana sokongan kuat kepada kem Datuk Seri Abdul Hadi Awang + Nasharuddin + Datuk Mustapa Ali?

Kenyataan mengejut Nik Aziz itu turut menyifatkan Nasharuddin sebagai membuat sampah yang mengotorkan PAS dan menegaskan bahawa kerajaan perpaduan adalah boneka UMNO.

Ramli Abdul Halim (Kapak Jangak) berkata, macam mana seorang yang menang jawatan tanpa tentangan dan orangnya yang menang dalam pertandingan mahu dinyahkan dari parti dan kerusi Ahli Parlimen oleh orang yang hanya dapat satu pencalonan untuk menentang presiden dan calon-calon yang pronya semuanya kalah, boleh mahu jadi lebih berkuasa.

Katanya: “Teori dan undang-undang rimba mana yang mahu dipakai. Nak pongoh, nak bengken bukan tak boleh, nak tunjuk ek'oh pun bukan tak boleh tetapi biarlah pongoh, bengkeng dan ek'oh sakan hanelah kita biar profesional dan bersesuaian dengan keadaan dan ketika. Agaknya Mohamad Nizar Jamaluddin yang menampakkan ciri-ciri kurang bertamadun pun kerana menteladani tokoh dari Kelantan yang disangka 'BEGHES BELAKA' kerana lebih berpengalaman dalam membentuk kerajaan dan memulihara kemenangan tetapi hakikatnya adalah 'REBEH' dan kualitinya semakin EXPIRED.”

Bermula dengan ALLAH PUN MENCARUT, TUHAN PUN SAMSENG, SANGGUP BEKERJSAMA DENGAN SYAITAN membawa kepada isu KERAJAAN PERPADUAN, nampak ada bibit-bibit kesongsangan bagi destinasi politik Tok Guru sehingga boleh berlaku percanggahan secara terbuka antara beliau dan Presiden dan kalangan yang sealiran pemikiran politiknya, kata Ramli

“Saya tidak dapat meramalkan KUASA KERAMAT apa yang beliau ada bagi memulihkan kembali retak menunggu belah PAS gara-gara penentangan dan prejudis mengkkhizir butanya terhadap gagasan kerajaan perpaduan yang seolah-olah kerajaan perpaduan itu lebih bahaya dari peluru berpandu atau bom pintar berangkai.”

Mohd Sayuti Omar (MSO) yang selama ini dianggap rapat dengan Nik Aziz turut terkejut beruk kerana menurutnya, “...ia satu kenyataan yang kurang manis dan sungguh malang sekali yang tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang tua bertaraf separuh wali berjawatan Mursyidul Am Pas. Kenyataan begitu sangat beremosi. Cara itu ialah tidak bijaksana dan berhemah sama sekali dan 'berkadas' dengan usianya. Mengenang aksi Tok Guruku itu lakunya tidak ubah seperti tindakan seorang bapak menghalau anaknya keluar rumah kerana anaknya dikatakan nak bernikah dengan gadis yang tidak disukainya. Tindakan itu selalunya dilakukan oleh orang-orang zaman dulu yang kurang ilmu diplomasi dan rendah pula ilmu siasahnya.”

Menurut Sayuti: “ Nik Aziz nampak langsung tidak menghormati kepada perwakilan Pas yang memberi mandat kepada Nasharudin dalam muktamar lalu...Media juga melaporkan Tok Guruku itu sebagai berkata, Pas Kelantan kesal kerana beri peluang kepada Nasharudin bertanding di Bachok dan menganggap Nasharudin sebagai sampah yang menyusahkan. Kenapa begitu sekali? Apakah tidak ada tindakan lain yang lebih lunak yang boleh dilakukan Nik Aziz selain meluahkan kata-kata itu?”

Katanya lagi: “...kalau Nik Aziz panggil Nasharudin dan minta supaya dia serahkan jawatan timbalan presiden PAS kepada orang baju petak-petak merah, Nasharudin akan akur. Siapalah Nasharudin hendak menderhaka kepada Tok Guru. Tetapi kenapa Nik Aziz tidak berbuat begitu? Kenapa menyimpan marah dalam sekam? Walaupun beliau mengatakan kemarahan itu tidak ada kena mengena dengan kekalahan anak ayam didiknya itu, tetapi seluruh orang tahu. Itik ayam pun tahu apa yang berlaku.”

Sayuti member amaran, dalam posting sebelum ini saya sudah berikan ingatan, jangan sampai Pas ada dua mazhab- "Mahzab Haji Hadi" dan "Mazhab Nik Aziz". Nampaknya apa yang saya bimbangkan itu sudah nak menjadi. Benih sudah mulai nak tumbuh.

Kerana itu Sayuti mengajak ahli dan penyokong PAS supaya ramai-ramailah solat hajat minta selamatkan PAS. “Berdoa dan bermunajatlah. Sebab kalau tidak kena gaya Pas mungkin akan berpecah dua. Mungkin satu lagi parti baru serpihan dari Pas akan wujud!”

Selanjutnya Sayuti dengan beraninya menyebut: “Dan sekiranya difikirkan perlu, boleh dipertimbangkan permintaan Mursyidul Am Pas itu. Iya kalau orang sudah tidak sukakan kita, tunggu apa lagi. Sekiranya saya jadi Nasharudin saya akan serahkan surat mengosongkan kerusi parlimen Bachok kepada Nik Aziz. Sedarlah diri kita hanya menumpang belas kasihan di bumi orang. Nasharudin hanya dagang Pak Malau! Bila orang benci maka kita kena tahu bila masa kita perlu keluar dari rumah itu... semua orang memukul dan mengodam kita. Kerusi timbalan presiden mungkin tidak perlu dikosongkan kerana kerusi itu ditentukan oleh ahli Pas. Apa yang perlu diingat kuasa memilih dalam parti antara ahli biasa di cawangan Kampung Tok Naga, Kuala Terengganu sama saja dengan undi seorang Mursyidul Am Pas.”

Persoalan sekarang ialah, apakah Muktamar Khas boleh menyelesaikan ‘perang ini’? Bagaimana sekiranya ‘Mazhab Nik Aziz’ terus menyerang.

Apakah mazhab itu akan termakan umpan Azizi yang mengatakan “kerana karenah seorang dua ini seluruh jemaah jadi bercelaru” dan serangan tidak akan berhenti kerana ‘Mazhab Haji Hadi’ pun kuat juga.

Bagaimana jikaNasharuddin membuat keputusan ‘gila habis’ dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok?

Atau kalau susah sangat, serahkan juga jawatan itu kepada Husam – habis cerita!

UMNO TERENGGANU – SIAPA LAYAK?

Menarik juga sidang media Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika menjawab soalan pemberita mengenai kepimpinan UMNO Terengganu, di Tingkat 16 semalam.

Mungkin bagi pemberita yang tidak dapat menangkap apa yang tersirat di kepala Ahmad Said, mereka tidak boleh membuat sebarang berita atau analisis.

Memangpun sukar untuk membuat analisis. Pertama ia kurang mampu dilakukan pemberita masa kini dan kedua mungkin pengarang di Kuala Lumpur enggan pakai analisis kalau bukan daripada pemberita atau wartawan pengalaman.

Namun dengan kehadiran wartawan yang sudah agak lama di Terengganu pada sidang media itu umpamanya Saudara Helmi (Bernama), Aziah (Utusan Malaysia) dan Wan Ramli Wan Muhamad (Utusan Malaysia), saya mengharapkan ada sesuatu perkara yang akan ditimbulkan oleh mereka mengenai tajuk ini.

Ahmad Said hanya menjawab ‘tidak tahu’ bila Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri akan diadakan, ‘tidak tahu’ siapa akan dilantik dan ‘tidak tahu’ mengenai kemungkinan dua orang kuat yang dilantiknya, iaitu Setiausaha dan Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri akan diganti.

Jawapan itu bagi saya bukan untuk mengelak spekulasi tetapi meminta wartawan mentafsir dan membuat andaian berasaskan perkembangan semasa politik Terengganu dan nasional seluruhnya.

Selain pergolakan dalam UMNO dan ‘kuasa melantik’ kini beralih ke Kuala Lumpur dan bukan Kuala Terengganu selepas Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilantik Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, PAS Terengganu kelmarin dengan jelas sudah menyatakan matlamat perjuangan mereka.
PAS Terengganu dengan penuh yakin sudah menetapkan bahawa kepimpinan baru Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu mengajak rakyat Terengganu untuk menubuhkan KERAJAAN BARU.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib yakin dengan gandingan pimpinan baru yang mantap dari pelbagai lapangan dan bidang professional, PAS mampu menang dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.

”InsyaAllah, agenda utama selain memperkuatkan parti ialah mengambil alih (kerajaan) atau mengajak rakyat Terengganu untuk menubuhkan kerajaan,”katanya dalam sidang media khas di Pejabat PAS Terengganu semalam.

Dalam kegawatan politik yang melanda PAS Pusat ketika ini, PAS Terengganu menunjukkan kepada rakyat Terengganu, mereka mantap dan wujud perpaduan di kalangan mereka – matlamatnya KERAJAAN BARU menggantikan Kerajaan Barisan Nasional (BN).
UMNO pula bagaimana?

Yang nyata ia masih terkial-kial dan mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Negeri bagi melantik ‘petugas UMNO’ di Terengganu masih belum diumumkan.

Apakah Hishamuddin sukar membuat pilihan kerana ramai yang berwibawa atau ramai yang tidak berwibawa dan meninggalkan kumpulan yang dikira kurang mantap untuk menjamin kemenangan kepada UMNO dan BN?

Laman web dan pencacai politik mula meramalkan bahawa dua Datuk R – Setiusaha dan Bendahari Rosli Mat Hassan dan Roslan Awang Chik – akan digugurkan dan digantikan dengan muka baru.

Begitu juga dengan lantikan-lantik ahli jawatankuasa lain, termasuklah juga Datuk Zuber Embong sebagai Ketua Penerangan.

Namun ada persoalannya. Pertama, siapa yang layak; Kedua, mampukah mereka memenangkan UMNO kerana yang dilantik dijangka akan kekal sehingga pilihanraya umum akan datang dan beberapa orang daripada mereka akan menjadi calon; dan Ketiga, bagaimana mereka akan menyumbang kepada kekukuhan kepimpinan negeri yang akan memberi kesan kepada kedudukan Hishamuddin sebagai Naib Presiden UMNO dan Ahmad Said untuk jawatan UMNO di peringkat pusat.

Tetapi paling penting ialah soal pilihan raya umum akan datang.

Dalam konteks UMNO Terengganu ketika ini, jika Rosli dan Roslan atau Zuber tidak layak, siapa yang sebenarnya layak?

Ikuti Bahagian Kedua esok