Tuesday, March 24, 2009

ISU PERHIMPUNAN AGUNG UMNO MELETUP LAGI.

Pukul 2 petang ini, Ketua Umno bahagian Muar, Datuk Kadar Sulaiman dan Datuk Mazlan Harun dari Selangor akan menemui Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk memohon supaya perhimpunan agung Umno minggu ini ditunda.

Ia perlu ditunda sehingga selesai siasatan berhubung rasuah politik berkaitan dengan pemilihan parti.

Kadar dan Mazlan dikatakan akan disokong oleh sekumpulan perwakilan Umno untuk menemui ROS.

Kadar mendakwa, 42 orang daripada perwakilan tidak layak menghadiri perhimpunan agung kali kerana muflis.

Apakah kesan pertemuan itu nanti?

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula mengesahkan bahawa Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dilarang daripada bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti Khamis ini.

Larangan tersebut dimuktamadkan Jawatankuasa Pengurusan Parti berlandaskan prinsip duluan seperti mana yang diputuskan terhadap kes-kes yang melibatkan situasi serupa dengan Mohamad Norza.

Mohamad Norza didakwa atas kesalahan rasuah di Mahkamah Majistret Temerloh, atas dua tuduhan bagi memenangi jawatan pada pemilihan UMNO peringkat pusat.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Norza boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.
Mohamad Norza mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Itu kes Norza dan bagaimana kes Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said yang disiasat SPRM dan calon Ketua Puteri UMNO, Ida Rahayu Mohd. Noor yang turut dikaitkan dengan politik wang?

Sempatkah Lembaga Disiplin bermesyuarat sebelum Khamis ini?

Dan bagi yang bersiap sedia untuk bertanding, apakah ada kesan daripada pertemuan mereka yang mahu perhimpunan agung ditangguhkan? Kita tunggu!

Mereka ini dikatakan akan meminta ROS menjelaskan bagaimana Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno, dibenarkan hadir dan mengundi dalam perhimpunan agung Umno kali ini,

Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden apabila didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno mengikut perkara 10.1 tataetika ahli umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga, iaitu ejennya terlibat dalam sogokan politik.

Ketiga-tiga ejen Mohd Ali itu juga didapati bersalah dan digantung keahlian selama tiga tahun.

Khairy juga didapati bersalah mengikut perkara yang sama, tetapi hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Menurut Malaysiakini, Kadar berkata, menurut perlembagaan parti, apabila kedua-duanya didapat bersalah, maka mereka tidak boleh hadir mesyuarat parti.

Sementara itu, Lembaga Disiplin memberi amaran akan membatalkan kemenangan calon yang memenangi sebarang jawatan dalam pemilihan Umno, Khamis ini, jika mereka kemudian terbukti terbabit dengan politik wang.

Ahli Lembaga Disiplin, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata, tindakan tegas dengan melucutkan jawatan yang dimenangi mana-mana calon akan dilakukan jika ada bukti mencukupi untuk mensabitkan mereka.

“Ketika ini adalah tempoh kritikal sebelum pemilihan. Jaga tingkah laku, berhati-hatilah khususnya dalam dua tiga hari ini kerana Lembaga Disiplin tetap memantau mereka sama ada terbabit dengan politik wang atau tidak. Jika mereka didapati bersalah, kami akan menggugurkan kemenangan dan jawatan mereka,” katanya ketika ditemui selepas tamat mesyuarat Lembaga Disiplin di sini, semalam. Mesyuarat itu dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Megat Najmuddin berkata, pasukan Pemantau Lembaga Disiplin memantau keseluruhan perjalanan pemilihan dan Perhimpunan Agung Umno yang diadakan selama lima hari bermula hari ini.

BUKIT GANTANG – MEDAN HASUT RAKYAT?

Pilihan raya kecil adalah untuk memilih atau mengganti pemimpin.

Jika ia medan untuk menghasut dan menabur fitnah, baik tidak ada pilihan raya.

Jika pilih raya kecil boleh membawa kepada perpecahan dan kebencian di kalangan rakyat kerana hasutan pemimpin, adalah wajar diambil tindakan bersesuaian mencegah kejadian itu daripada berlaku.

Amat bahaya jika perbuatan berterusan menghasut rakyat membenci Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang.

Kalaupun pembangkang sudah mengenal pasti calon mereka, iaitu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini, perbuatan sedemikian akan mengeruhkan lagi keadaan di Perak.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan calon berkenaan di padang Taman Kota Jaya, Simpang malam semalam.

Cara mempertahankan kerusi dengan mencemar dan mencemuh orang lain adalah perbuatan melampau, apalagi jika poster dan risalah sudah dipasang di kawasan Parlimen berkenaan sedangkan penamaan calon pun belum.

Kelmarin, Ketua UMNO bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin meminta pakatan pembangkang berhenti menghasut rakyat membenci Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelang pilihan raya kecil tersebut.

Katanya, pada masa ini, banyak risalah serta kain rentang menghina Sultan dan Mufti Perak dipasang sekitar kawasan Parlimen berkenaan.

Berikuatan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal dengan tindakan pakatan pembangkang yang didakwa sudah ghairah berkempen sedangkan majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang belum lagi diadakan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, sebarang bentuk kempen seperti penyebaran risalah serta kain rentang yang mempunyai kata-kata menghina dan menghasut sepatutnya tidak boleh dilakukan sebelum penamaan calon pada 29 Mac ini.

''Gantung bendera pun sebenarnya tidak boleh lagi, kalau sudah penamaan calon barulah boleh berkempen. Pada masa itu kempenlah sepuas-puasnya sehingga tengah malam 6 April ini.

''Bagi saya Majlis Perbandaran Taiping (MPT) kena ambil tindakan kerana perbuatan menggantung poster dan bendera mesti mendapat kebenaran terlebih dahulu, jadi kalau sudah ada yang pasang bendera atau poster maknanya ia dipasang secara haram," katanya.
Apakah MPT tidak peka atau sengaja membiarkan ia dilakukan?

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Panjang turut menyeru kepada pengundi agar menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai kesempatan untuk membuktikan bahawa seluruh rakyat terus menyokong pakatan pembangkang.

Katanya, niat berkenaan harus diterjemahkan melalui undi kepada PAS sebagai lambang bahawa itulah kehendak sebenar rakyat di Perak.

Dalam pada itu, Abdul Hadi pula berkata, pengundi di Bukit Gantang bukan sahaja diamanahkan untuk memilih pemimpin tetapi juga untuk menyampaikan mesej kepada Barisan Nasional (BN) bahawa mereka tetap bersama pakatan pembangkang.

Katanya, jika pada pilihan raya umum lalu pengundi telah memilih calon PAS maka sokongan berkenaan perlu diteruskan supaya pakatan pembangkang dapat memikul amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Apapun, kita akan melihat gelagat sebenar Mohamad Nizar serta PAS pada pilihan raya kecil kali ini dan bagaimana pakatan pembangkang menunjukkan ‘belang mereka’.