Sunday, March 22, 2009

BERUBAH KE ARAH MANA?

(Sembang Ahad)

Naib Presiden Umno yang dikatakan mudah untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO dan bakal Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata
UMNO hanya mempunyai masa empat tahun untuk berubah.

Hakikatnya, UMNO tidak memerlukan masa sepanjang itu. Ia perlu berubah segera. Malah matlamat menjamin tiadanya perlakukan politik wang untuk membeli undi pada pemilihan kali ini adalah perubahan.

Persoalannya, siapa sebenarnya layak untuk bercakap mengenai perubahan?

Sudah pasti untuk memperkatakannya ialah semua ahli UMNO dan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO adalah penunjuk contoh.

Tetapi bagaimana bekas-bekas Presiden UMNO yang masih ada? Apakah mereka sudah tidak layak memperkatakan mengenai perkara ini?

Dengan mengatakan UMNO sudah sampai ke penghujung jalannya dan ia mesti segera berubah untuk mengembalikan pengaruhnya seperti dulu, tidak mencukupi.

Muhyiddin mengatakan semua pihak mesti komited menjayakan usaha memulihkan kembali imej parti termasuk sedia menerima perubahan. Ini amat benar.

Ikan mula busuk di kepala dan untuk menjamin keseluruhan badan ikan tidak busuk, kepala perlu dibersihkan.

Dalam konteks sekarang, sudah pastilah yang akan memegang amanah ialah Datuk Seri Mohd Najib Razak dan bakal timbalannya!

Memang UMNO akan diadili semula oleh rakyat pada pilihanraya umum ke-13 tetapi perubahan segera amat diperlukan.

Muhyiddin, yang akan bertanding kerusi timbalan presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan, mengakui bahawa tugas itu bukan mudah, namun Umno harus bersedia melakukannya walaupun terpaksa berdepan dengan tentangan pihak tertentu.

Muhyiddin bercakap seolah-olah beliau kini benar-benar sedang berada dalam pasukan yang akan melakukan pembaharuan dan perubahan.
Apakah cadangan Muhyiddin?

1. Balik ke 'sekolah politik' iaitu kursus (bagi) semua pemimpin Umno, fahami asas perjuangan Umno supaya kita dilihat telah balik ke pangkal jalan, jangan ada lagi nilai-nilai negatif. Nilai negatif yang mesti dibuang daripada dalam diri ahli antaranya sikap mengutamakan diri sendiri agar persepsi mereka mengenai ahli dan parti dapat diperbetulkan. Usaha itu boleh dijayakan melalui penganjuran kursus dan program latihan besar-besaran bagi melatih semula semua peringkat dalam pelajaran politik. (Komen saya: Ia bukan melalui kursus tetapi kesedaran dan keinginan diri sendiri untuk tidak utamakan diri).

2. Elak utamakan diri. Muhyiddin berkata beliau melihat dalam tempoh 10 hingga 20 tahun ni, kita agak lari, banyak orang lihat kita ini self-serving (utamakan diri), apa yang ada... mesti Umno dulu, ada kontrak... Umno dulu, kalau ada projek... Umno dulu. "Sejarah Umno (semasa) Datuk Onn Jaafar dulu tak macam itu. Ada sesuatu dia bagi yang rakyat dulu. Kita ini sebagai pejuang tak apa , kita hidup papa, yang luar mesti hidup selesa.”Sekarang ini tidak (seperti dulu), kita mesti pentingkan kita dulu, yang ketua bahagian mesti jaga ketua cawangan, mesti jadi ahli dulu, padahal ahli-ahli yang di bawah itu untuk bela nasib orang Melayu di luar," katanya. (Komen saya: Majoriti yang mempertahankan UMNO adalah ahli bukan semata-mata pemimpin kerana merekalah pekerja parti dan pengundi. Pemimpin hanya pengarah dan pemerhati)

3. Usaha dan jasa UMNO mesti dirasai oleh masyarakat Melayu khususnya dalam tahun ketiga dan pada tahun keempat dari pemilihan Umno tahun ini supaya bersedia untuk berhadapan dengan rakyat pada pilihanraya umum depan. Muhyiddin berkata Umno tidak harus hanya menjadi parti untuk ahli-ahlinya sahaja, sebaliknya juga parti yang memberi khidmat kepada semua orang Melayu serta rakyat Malaysia. Tambahnya, sikap lama yang mengutamakan ahli untuk pemberian bantuan tertentu misalnya mesti diperbetulkan kerana semua kaum mesti dibantu. (Komen saya: Rakyat bukan kontraktor, perniaga atau yang dapat habuan parti dan kerajaan semata-mata. Rakyat adalah mereka yang menyumbang bakti tanpa meminta balasan bukan seperti sesetengah pemimpin dan pekerja UMNO)

4. Meminta ahli Umno menyelesaikan masalah kaum lain. Bukan lagi seperti dulu iaitu masalah orang Melayu diselesaikan oleh Umno, masalah orang Cina diselesaikan oleh MCA dan masalah India diselesaikan oleh MIC, tambahnya. (Komen saya: Berbakti biar berpada, jangan sampai maruah dan kepentingan Melayu pun dicabar. UMNO perlu pertahankan maruah dan kepentingan Melayu bukan sekadar menyalak tetapi melalui tindakan)

5. "Sekarang saya pusing... bayangkan kalau Pemuda Umno buat gotong-royong di kawasan Cina dan India, begitu juga sebaliknya, apa persepsi masyarakat? Mula-mula orang kata mengada-ngada, kalau dibuat selalu, bukan mengada, atau kita dilihat sebagai membantu bukan saja puak-puak kita, tapi membantu semua."Ini bentuk format gerak kerja yang kita nak buat, sebab rakyat menilai kita daripada segi apa yang kita buat untuk mereka. Ini adalah kandungan pembaharuan dan perubahan. (Komen saya: UMNO jangan lagi menganggap Malaysia milik orang Melayu semata-mata. Dengan bekerjasama dan membantu kaum lain, kita dihormati. Keamanan dan penerimaan bukan-Melayu kepada UMNO akan memperkuatkan UMNO).

6. "Kena ada muafakat antara pimpinan dan ahli tentang apa agenda kita dan dalam proses itu mesti dijelaskan kalau tak buat begini, ini kesannya risiko bagi kita."Yang paling bahaya kita hilang kuasa. Jadi kita kena beritahu inilah pilihan kita. Untuk pilihan ini, kamu mesti bersedia untuk berkorban, ubah gaya (lama) yang tidak secocok dengan gaya baru," katanya. "Kamu nak terus kuasa dan berubah atau kamu nak hilang kuasa? Tidak ada pilihan. Umno dan BN tidak banyak pilihan," katanya. (Komen saya: Yang akan hilangkan kuasa bukan ahli tetapi pemimpin. Yang menjadi Menteri, Timbalan Menteri, Yang Berhormat dsbnya daripada UMNO bukan untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni tetapi untuk memperjuangkan kepentingan Melayu. Contoh tidak baik mereka ini, khususnya Menteri, Timbalan Menteri, pemimpin masyarakat, YB dan sebagainya yang boleh menyebabkan UMNO hilang kuasa)

7. Pergerakan Pemuda dan Puteri dapat memainkan peranan penting untuk menggerakkan parti ke arah yang lebih positif, terutamanya kerana pada masa ini golongan muda mewakili 50 hingga 60 peratus daripada pengundi. Adalah penting kedua-dua pergerakan itu dibarisi oleh pemimpin yang bukan saja bersemangat, tetapi berpengalaman, rasional, mempunyai ketokohan, pandai menilai situasi dan politik semasa, tahu cara-cara menyumbang kepada kepimpinan sekarang, memikirkan semangat kerjasama, perpaduan dan mesti faham kehendak rakyat. (Komen saya: Dulu Pemuda UMNO adalah kumpulan pendesak dan bentang UMNO tetapi hari ini ramai pemimpinnya melihat kepada kontrak kerajaan, menjadi kaya dan menunjuk-nunjuk. Puteri UMNO sebelum ini adalah pekerja parti menarik orang muda memasuki UMNO. Hari ini Puteri UMNO ramai yang menunjuk lagak yang mementingkan perniagaan, fesyen dan glamour).

8. Lihat kepada dividen politik, bukan kelebihan tapi dividen. "Kita biar belanja RM1, tapi dividennya RM10. Kita tidak boleh macam dulu, seronok, syok-syok sendiri, lepas itu akhirnya harap orang itu akan sokong kita."Sekarang kita buat sesuatu nilai dulu, apa impak kalau ini yang aku buat kesannya kepada kita, kesan kepada masyarakat," katanya. (Komen saya: Sekarang kalau belanja kecil tak canggih. Buat banner, poster besar atau bunting banyak-banyak, pasang di mana sahaja. Ini boleh buat duit. Uniform kerana kain mahal, nanti tiada kelas. Sedozen uniform kain linen baru ok, kalau kain biasa tidak ada standard. Jamuan mesti di hotel mahal dan kereta pemimpin mesti mahal-mahal baru nampak gah. Buat program mesti untung, termasuk ketika pilihan raya, simpan duit untuk sendiri atau untuk bertanding jawatan parti. Biar kalah pilihan raya asal dapat jawatan penting!)

9. Saya ingin menambah, soal penting ialah pemimpin UMNO tidak mengamal rasuah – pilih kroni, tabur duit untuk mendapat jawatan, pentingkan keluarga sendiri serta memaksa orang lain mengambil pemimpin atau orang-orang tertentu untuk kepentingannya. Rasanya ini paling bahaya yang boleh ranapkan UMNO dan kalahnya UMNO dalam pilihan raya.

Mungkin orang lain ada pandangan sendiri. Saya hanya ahli UMNO biasa!