Sunday, May 1, 2016

AHMAD RAZIF - SULTAN MIZAN, NAJIB SEPAKAT SEBAGAI MENTERI BESAR


“Move on” Ahmad Razif Abdul Rahman!

Harap tiada lagi spekulasi dan andaian. Sah sudah beliau terus kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan hari ini perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan pertemuan sulit dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Semalam saya menghadap Sultan Mizan berhubung isu kedudukan menteri besar Terengganu, dan hasil kesimpulan pertemuan ini, kami mencapai kata sepakat untuk meneruskan Ahmad Raziff sebagai menteri besar.

"Saya harap selepas ini tiada lagi timbul sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau," kata Najib.

Jelasnya, tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan pentadbiran dan pembangunan berjalan lancar di Terengganu.

Najib bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai pertemuan beliau dengan Sultan Mizan pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, hari ini.

"Isu itu telah diselesaikan," kata Najib dan berharap pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kedudukan Ahmad Razif selepas semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya ditarik balik berkuatkuasa 22 April lalu.

"Maka dengan pengumuman ini, saya berharap tiada lagi sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau (Ahmad Razif), saya anggap isu kepimpinan negeri ini selesai," katanya.

Ditanya mengenai pelucutan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, Najib berkata:" itu hak sultan (Sultan Mizan), (saya) tak masuk campur, itu dalam Perlembagaan dan kuasa sultan".

Sultan Mizan sebelum ini melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa pada 22 April lalu.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada 25 April lepas.

Perdana Menteri kemudian memutuskan untuk menghadap Sultan Terengganu bagi membincangkan mengenai kedudukan Ahmad Razif sebagai menteri besar susulan kontroversi itu. 

Sebelum ini, Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.


Ahmad Razif mengatakan sebelum ini, beliau mengakui reda dan pasrah anugerah kebesaran negeri yang dikurniakan kepadanya ditarik balik.

Malahan, dengan apa yang berlaku beliau bertekad untuk terus membuktikan taat setia kepada Sultan Mizan.

Beliau juga berkata, kepentingan rakyat Terengganu akan terus menjadi keutamaan selagi masih memegang jawatan.

"Saya reda dan pasrah dengan apa yang berlaku dan amat memahami bahawa ini adalah hak mutlak Tuanku di dalam mengurniakan anugerah atau penarikan balik anugerah itu.

"Yang penting kita mesti mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sebagai rakyat, pemimpin yang taat dan setia kepada raja dan negara," katanya.

APAKAH PEKERJA KITA BERSEDIA HADAPI EKONOMI BERDASARKAN TEKNOLOGI?


Sejak tahun 1973 lagi, kerajaan telah mengiktiraf Hari Pekerja sebagai Hari Kelepasan Am, iaitu cuti umum sebagai tanda penghargaan atas kegigihan dan sumbangan warga pekerja di Malaysia.

Hari ini (1 Mei) seluruh rakyat, diri kita dan kerajaan sekali lagi menghargai golongan pekerja yang begitu banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Berikutan kenaikan untuk usia bekerja serta penyertaan lebih ramai kaum wanita dalam tenaga pekerja, tenaga pekerja di negara ini mencatat pertumbuhan sekitar 2.7 peratus setahun. Jangkaan ialah kenaikan bilangan pekerja dari 12.4 juta pada tahun 2010 kepada 14.2 juta pada tahun 2015.

Selain melihat kepada sumbangan, dengan kedudukan negara bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, apakah pengetahuan bernilai tambahan tinggi sudah digerak dan dipersiapkan untuk kegiatan ekonomi berdasarkan teknologi?

Apakah pekerja kita sudah bersiap mengalami cabaran besar berkenaan?

Untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, negara memerlukan ramai tenaga kerja mahir. Negara maju seperti Jerman memiliki 82 peratus pekerja mahir dan Singapura mempunyai 52 peratus.

Malaysia kini hanya memiliki hanya 28 peratus pekerja berkemahiran tinggi. Sasaran tahun ini adalah untuk meningkatkan jumlah pekerja mahir kepada 35 peratus.


Dengan Lebih 1.5 juta pekerjaan baru akan diwujudkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) kita mengharapkan 60 peratus pekerja mahir yang disasarkan akan dapat diwujudkan.


Amat nyata usaha ini adalah antara faktor kritikal dalam menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

Selain itu, dengan kadar pekerja berhenti kerja yang tinggi, kesulitan mengambil pekerja baru serta mengekalkan pekerja mahir dari kalangan modal insan tempatan serta keperluan mendesak untuk mengambil pekerja asing, juga menjadi cabaran kepada kerajaan dan negara..

Kita juga jangan lupa untuk memperkasakan kumpulan gred terendah dalam perkhidmatan awam dengan menyediakan kemahiran tambahan kepada golongan itu supaya gred gaji mereka dapat ditingkatkan.

Kini ada kira-kira 300,000 penjawat awam dalam kumpulan gred terendah di seluruh negara, antaranya yang terdiri daripada pembantu am rendah, pembantu operasi dan pemandu

Pada Mac lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dilaporkan berkata kerajaan akan melaksanakan kenaikan satu tangga gaji bagi 1.4 juta penjawat awam termasuk gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan berkuat kuasa 1 Julai ini.

Seperti disebut oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda, gaji minimum yang diterima kumpulan itu masih belum mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Kita ambil contoh kos sara hidup yang semakin mencabar dan keperluan rumah dengan gaji serendah RM1,200, ia pasti belum mencukupi. Jadi kumpulan terendah yang memasuki perkhidmatan awam melalui kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) harus bergerak dengan kemahiran teknikal yang diiktiraf supaya gred gaji mereka naik lebih tinggi," katanya.

Selain itu cabaran getir ialah kira-kira  dua juta pekerja asing bukan mahir telah membanjiri negara kita, tidak termasuk anggaran dua juta lagi yang bekerja di negara ini secara haram, terutamanya dalam sektor pertanian, pembinaan dan pengilangan.

Bukan sahaja peluang pekerjaan semakin tercabar di Malaysia, wang yang dihantar pulang dari Malaysia oleh pekerja asing yag sah meningkat dua kali ganda dari RM10 bilion pada tahun 2009 kepada hampir RM20 bilion pada tahunn 2015.

Lima negara teratas pada tahun 2012 ialah Bangladesh (RM3 bilion), Indonesia (RM3 bilion), Nepal (RM2 bilion), India (RM625 juta) dan Filipna (RM561 juta).

Oleh itu, pada Hari Pekerja ini marilah kita sama-sama memikirkan bagaimana pekerja tempatan boleh mengambil alih kerja pekerja asing pada masa jangka panjang.

Apapun,  kita perlu berhati-hati dengan gesaan untuk menghentikan import pekerja asing kerana Industri pengilangan dan sektor pertanian tempatan tidak akan mampu menanggung kos menggaji pekerja tempatan.

Di sebalik pergantungan besar terhadap pekerja asing berkemahiran rendah,  kita juga perlu melihat kepada keadaan struktur upah yang rendah, pekerjaan berkemahiran yang tidak mencukupi, kadar pengeluaran buruh yang rendah, undang-undang buruh yang tidak boleh diubah, kurang maklumat pasaran buruh serta pengangguran belia.

Satu cara, kita boleh meningkatkan produktiviti, mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang memerlukan kemahiran, mengurangkan jurang upah dan memperkenalkan indeks upah kebangsaan.

Juga, satu lagi langkah utama yang berkesan untuk menghadapi cabaran ini adalah untuk meningkatkan produktiviti bagi semua sektor. Ini akan memberi kesan langsung kepada kecekapan dan seterusnya membawa kepada tahap pendapatan lebih baik.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, menjelaskan, pekerja berkemahiran tinggi adalah matlamat dalam program pembangunan modal insan seperti digariskan dalam RMKe-11.

Bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pasaran buruh negara, kerajaan menetapkan supaya Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) diperkukuh dan dimartabatkan.

Bidang fokus TVET ini akan menghasilkan modal insan berkemahiran bertaraf dunia yang diperlukan Malaysia dalam fasa terakhir untuk mencapai negara maju menjelang 2020.

Selain itu, bekerja dalam persekitaran selamat dan sihat, bebas daripada kemalangan adalah hak asasi setiap pekerj.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, pula berkata dalam rundingan bagi Perjanjian Bersama Antara Majikan dan Kesatuan, aspek keselamatan dan kesihatan pekerja perlu ditekankan selain tinjauan gaji dan syarat perkhidmatan yang lebih baik.

"Mengekalkan kesihatan manusia adalah matlamat utama keselamatan sosial, mempromosi dan mewujudkan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kos kepada masyarakat," katanya.

Pemangku Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid, pula berharap semua pekerja dilindungi dan diberi hak dalam menghadapi suasana mencabar hari ini. "Pekerja juga perlu bekerja kuat dan mempunyai motivasi dalam menghadapi cabaran. Saya ingin berkongsi nasihat kepada pekerja di mana kita perlu berlapang dada, bersiap sedia dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata untuk berkembang menjadi tenaga kerja berdaya saing di peringkat global, perubahan tenaga kerja buruh yang intensif kepada berkemahiran tinggi adalah perlu. "Biarpun terdapat halangan dan cabaran yang mungkin menanti, kita mesti mengambil iktibar bahawa Malaysia masih terus menjadi sebuah ekonomi yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global,” katanya.

Hakikatnya kerajaan tidak berdiam diri. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia perlu mengubah pendekatan dan mentransformasi tenaga pekerja agar memenuhi keperluan dan memastikan negara ini kekal pada landasan yang tepat serta berdaya tahan.

Menerusi Rancangan Malaysia ke-11, kerajaan menyasar meningkatkan produktiviti kedua-dua sektor buruh dan berkemahiran tinggi, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Pekerja tahun ini iaitu "Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi,".

Najib berkata kerajaan juga akan memberi penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu yang memerlukan kelayakan TVET menjelang 2020.

Sejauh ini,  kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membela kebajikan pekerja di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 antaranya pelaksanaan dasar gaji minimum kebangsaan sejak 2013 yang memanfaatkan kira-kira 1.9 juta pekerja sektor swasta di negara ini.

Turut dilaksanakan adalah dasar umur persaraan minimum 60 tahun bagi pekerja sektor swasta dan cadangan perluasan liputan perlindungan keselamatan sosial pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji, katanya.

Siling caruman pekerja yang diinsuranskan juga ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM4,000 bagi maksud caruman dan pembayaran faedah yang memanfaatkan kira-kira 500,000 pekerja dan menjadikan liputan keseluruhan PERKESO seramai 6.5 juta pekerja.

Selamat menyambut Hari Pekerja untuk rakyat Malaysia..

Sumber - Bernama & Berita Harian