Kini bukan seorang tetapi semakin ramai yang mahu Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap rakyat negara ini yang menyentuh kedaulatan atau menghina institusi Raja-raja.
Tindakan itu wajar diambil berlandaskan undang-undang dan kesaksamaan bagi menjamin kedaulatan, institusi Raja-raja dan perpaduan rakyat berbilang kaum tidak terjejas.

Hari ini, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata: “Jika dibiarkan tanpa tindakan, ia tidak menjamin tiada pihak akan mengambil kesempatan mengulangi perbuatan yang sama.”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni dan Budaya di Sungai Petani, Kedah.
Beliau mengulas pelbagai pertubuhan termasuk parti politik di seluruh negara membuat aduan polis berhubung tindakan pengerusi DAP Karpal Singh yang didakwa menghina Sultan Perak Sultan Azlan Shah berkaitan isu peralihan kerajaan di negeri itu.
"Sultan yang ada sekarang bukan sahaja Sultan kepada bangsa Melayu malah Sultan atau Raja kepada bangsa lain yang menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu institusi Raja hendaklah dijaga dan dipupuk sebaik mungkin,” tegasnya.
Berkaitan mengenakan tindakan, saya terbaca sebuah tulisan dalam
www.gegernya.blogspot.com yang sangat menarik untuk turut dipaparkan di sini. Ikuti tulisan berikut:
JANGAN SAMPAI KEPALA KENA PIJAK (
www.gegernya.blogspot.com, 15 Februari 2009)
Penulis merasakan ada benarnya pendapat AWANG SELAMAT dalam Mingguan Malaysia hari ini mengatakan kenapa pihak berwajib takut bertindak. Persoalan yang ditimbulkan ialah mengenai penghinaan terhadap Raja, khususnya Sultan Azlan Shah.
Kita pun tidak faham dengan kerajaan sekarang. Apa yang mahu dijaganya? Telah banyak pandangan daripada banyak pihak yang mahukan tindakan diambil tersmasuk di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibuang daerah dan didakwa atas tuduhan khianat kepada raja.
Penulis seperti juga Awang - amat bimbang kerana ia seumpama membuka laluan menjadikan Malaysia negara republik sebagaimana yang dicita-citakan oleh parti dan pihak-pihak tertentu. Janganlah terlalu memberikan muka, nanti kepala kita sekali dipijaknya.Kenapa takut bertindak? (Mingguan Malaysia, 15 Feb 2009)
Gelombang kemarahan rakyat terhadap pihak-pihak yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Sah dalam isu peralihan kerajaan negeri itu, adalah mesej yang cukup jelas.
Banyak demonstrasi di seluruh negara diadakan bagi mempertahankan raja. Awang percaya para pemimpin pembangkang khususnya tiga watak utama dalam kemelut tersebut iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah faham mesej yang disampaikan oleh rakyat.
Belum terlambat bagi mereka semua memohon maaf kepada Sultan Perak. Begitu juga kepada perusuh di hadapan istana dan kenderaan raja. Seandainya ada yang ingkar dan terus berdegil, inilah masa untuk bertindak. Tidak guna lagi kita bercakap banyak dan hanya memberi peringatan.
Jika pihak berkuasa membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja (sebagaimana kes kenyataan Karpal yang didakwa menghina Sultan Perak pada tahun lalu), ia juga secara tidak langsung adalah penghinaan kepada raja. Sebagai negara raja berperlembagaan, tiada sesiapa boleh dibenarkan menghina dan memperlekehkan raja.
Jika kita berlembut, ia akan membawa isyarat yang salah dan mendorong banyak pihak melakukan perkara lebih dahsyat ke atas institusi raja negara ini pada masa depan. Pada hari ini pun, sudah banyak reaksi liar dan memburukkan raja berlegar menerusi internet akibat daripada tindakan secara terbuka mencabar Sultan Azlan.
Nizar sanggup menderhaka, Anwar berdasarkan kenyataannya mahu Nizar terus menjadi MB walaupun tidak lagi sah (berlawanan dengan titah raja) dan Karpal terus mempersoalkan Sultan Perak selain mahu menyaman baginda. Awang setuju dengan pandangan banyak pihak yang mahukan tindakan diambil. Antaranya melucutkan kewarganegaraan, dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibuang daerah dan didakwa atas tuduhan khianat kepada raja. Dalam kita perlu bijaksana melaksanakan hukuman, kita juga tidak boleh kelihatan takut dan teragak-agak. Susah sangatkah mahu melucutkan kewarganegaraan?
Seperkara lagi, apa guna ada ISA, jika orang yang menghina raja, tidak boleh ditahan? Anehnya, ada kes yang ditafsir ramai tiada kewajaran dikenakan ISA, diambil pula tindakan. Banyak pengajaran daripada isu ini tetapi apakah kita semua mengambil pengajaran? Sudah tentu juga banyak persoalan yang timbul antaranya mengapa hanya orang Melayu tampil berdemonstrasi menyokong raja sedangkan baginda juga menaungi rakyat semua kaum sebagaimana terbukti dengan penganugerahan darjah kebesaran saban tahun.
Awang bimbang jika kita tidak berani bertindak, ia seumpama membuka laluan menjadikan Malaysia negara republik sebagaimana yang dicita-citakan oleh parti dan pihak-pihak tertentu. Jangan tunggu sampai nasi menjadi bubur.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Bukan Mohd Shafie sahaja menyokong tindakan tegas tetapi nPengerusi badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menyokong saranan Shafie supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap golongan tersebut.
"Kerajaan boleh mencontohi Thailand yang mengenakan tindakan tegas kepada pihak yang menghina Raja mereka dan tindakan itu boleh dilaksanakan melalui apa jua saluran yang ada," katanya.
Mohd Shafie berkata dalam konteks ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang, Malaysia mampu menangkis pelbagai krisis ekonomi dan sosial melalui perpaduan rakyat yang dinaungi institusi Raja berperlembagaan.
"Masalah segelintir rakyat yang ingin memenuhi agenda politik semata-mata membuatkan mereka tidak dapat melihat gambaran lebih luas dari kepentingan negara sehingga sanggup mengetepikan undang-undang dan perlembagaan walaupun cukup arif mengenainya," tambahnya.
Beliau menganggap golongan yang menghina institusi Raja dikuasai pandangan politik yang mengatasi kebijaksanaan, kewarasan dan kematangan dalam bidang undang-undang serta budaya.
"Kita seharusnya melihat kesan dan perasaan kaum lain apabila agama dan budaya mereka disentuh. Jadi kita kena berfikir sebelum bertindak kerana akibatnya boleh menjejaskan negara jika tidak dibendung," tegas Mohd Shafie.