Wednesday, July 6, 2016

TARIKH 11 JULAI - DON'T WORRY, TIADA APA YANG PERLU DIRISAU, DIBIMBANGI...


"Sesetengah pihak membuat tanggapan salah yang 1MDB dan pemegang saham perlu membuat pembayaran obligasi sebanyak AS$6.5 bilion pada 11 Julai 2016, sebaliknya 1MDB sudah bagi jaminan bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, semuanya akan beres. Rakyat boleh tidur lena."

Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan kes pertikaian 1MDB-IPIC, di mana International Petroleum Company (IPIC) akan  memfailkan permintaan timbang tara dengan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) kerana ia bukan sesuatu yang luar biasa.

1MDB sudah memberikan jaminan, tiada apa yang besar akan berlaku. Ini kes biasa sahaja.

No problem, don't worry!

Apabila ada jaminan 1MDB bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, semuanya akan beres. Tahulah bagaimana ia menguruskannya. Rakyat boleh tidur lena!!!

Sesetengah pihak membuat tanggapan salah yang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemegang saham perlu membuat pembayaran obligasi AS$6.5 bilion pada 11 Julai 2016.

Pada 11 Julai nanti di London,  IPIC  yang berpangkalan di Abu Dhabi akan mengemukakan kes kegagalan 1MDB dan Kementerian Kewangan menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima dalam isu  tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

Mereka membuat  permintaan timbang tara (RFA) kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London menuntut AS$6.5 bilion (RM26 bilion) dan untutan itu akan ditentukan oleh tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan Mahkamah Pertikaian Antarabangsa London (LCIA).

"RFA prihatin terhadap kegagalan 1MDB dan MOF untuk menjalankan obligasi kontrak di bawah Lembaran Terma Terikat (BTS) seperti yang dinyatakan dalam pengumuman IPIC GMTN Limited pada 10 Jun 015 (RNS Nombor 7064P)," kata IPIC dalam kenyataan kepada Bursa Saham London baru-baru ini.

IPIC menyatakan bahawa kegagalan 1MDB dan MOF dalam menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima telah menyebabkan IPIC tiada pilihan alternatif selain meneruskan tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

"Tuntutan itu akan ditentukan oleh tribunal timbang tara yang akan terdiri daripada tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan LCIA ," kata IPIC dalam kenyataan itu.

Mungkinkah kerajaan Malaysia  akan diminta membayar AS$6.5 bilion atau sebaliknya akan ditentukan nanti.

Tarikh  11 Julai 2016 itu sebenarnya hanya untuk 1MDB  memfailkan jawapannya kepada permintaan IPIC bagi timbang tara. Tiada apa yang perlu dirisaukan, jika menurut 1MDB.

Tarikh itu ialah  satu permulaan kepada timbang tara, yang merupakan satu proses persetujuan bersama bagi pihak yang mempertikaikan untuk menyelesaikan perkara-perkara secara baik, tanpa menjejaskan hubungan jangka panjang.

1MDB mempunyai tempoh sehingga 11 Julai ini untuk mengemukakan jawapan balas sama ada  bersetuju dengan proses timbang tara itu.

1MDB sudah mengatakan ia akan memfailkan jawapan segera pada atau sebelum tarikh akhir.

Pada 17 Jun lalu 1MDB mengatakan pihaknya melantik firma undang-undang antarabangsa, Weil Gotshal & Manges (Weil Gotshal) bagi mewakilinya dalam permintaan timbang tara oleh IPIC  dan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS.

Pelantikan itu sejajar dengan penerimaan RFA itu dari Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London bertarikh 13 Jun 2016.

"Weil Gotshal terkenal di seluruh dunia, firma guaman bertaraf paling tinggi dengan kepakaran, antara lainnya, dalam tindakan undang-undang antarabangsa," kata 1MDB dalam kenyataanya.

Susulan pelantikan tersebut, 1MDB akan menfailkan maklum balas yang kukuh kepada RFA, pada atau sebelum tarikh akhir 11 Julai 2016, seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

Mengulas lanjut, 1MDB berkata, dengan diwakili oleh firma Weil Gotshal, pihaknya yakin dengan kedudukan perundangannya.

Seorang peguam kanan yang dihubungi Bernama berpendapat timbang tara sebagai kaedah mencari penyelesaian yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak dan merupakan opsyen yang biasanya terdapat dalam kontrak.

"Oleh itu, tindakan tersebut bukan suatu yang luar biasa dan proses ini dikawal oleh peraturan timbang tara," katanya.

"Jika ya, kedua-dua pihak akan melantik penimbang tara yang saling diterima oleh mereka. Pada masa itulah, baru pengurusan kes bermula dengan kedua-dua pihak memfailkan kenyataan tuntutan dan pembelaan masing-masing serta bantahan," kata peguam itu.

Peguam itu menegaskan bahawa walaupun terdapat persamaan dengan proses mahkamah tetapi LCIA sebenarnya bukan mahkamah.

"Tidak ada kaitan antara LCIA dan mana-mana mahkamah," kata LCIA dengan jelas dalam soalan lazim (FAQ) yang disiarkan di laman webnya: http://www.lcia.org/Frequently_Asked_Questions.aspx

(Sila rujuk beberapa perkara terpilih dalam FAQ mengenai LCIA di bawah)


Semalam Presiden 1MDB Arul Kanda menjelaskan, 1MDB sekali lagi membuktikan pengkritiknya salah apabila, pada 29 Jun, 2016, telah membayar RM1.579 juta kupon faedah bagi sukuk RM2.4 bilion Bandar Malaysia yang matang pada 2024.

Pembayaran itu merupakan pembayaran faedah kedua yang dibuat oleh 1MDB sejak pertikaiannya dengan syarikat berpangkalan di Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pembayaran pertama pada Mei apabila 1MDB membuat pembayaran kupon berjadual berjumlah RM143.75 juta bagi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion pada 5.75 peratus yang matang pada 2039.

Kedua-dua bayaran itu menunjukkan bahawa syarikat mempunyai kecairan yang mencukupi untuk membuat bayaran faedah dan memenuhi obligasi hutang semasanya walaupun terdapat kritikan.
Pembayaran itu juga menunjukkan komitmen syarikat terhadap obligasi hutang.

"1MDB menegaskan bahawa, walau apa pun pertikaian dengan IPIC, syarikat akan terus memenuhi obligasi hutang semasa," kata

Arul menegaskan bahawa syarikat itu kekal fokus untuk menyelesaikan pertikaian dengan IPIC dan komited kepada proses dialog berterusan dan berusaha ke arah penyelesaian demi kepentingan semua pihak berkepentingan.

Beberapa perkara terpilih dalam FAQ mengenai LCIA.

S: Adakah LCIA satu badan kerajaan, atau badan yang dibiayai kerajaan?
J: LCIA tidak ada kaitan dengan, atau yang berkaitan dengan mana-mana bidang kuasa kerajaan. Ia merupakan badan swasta, bukan bertujuan mencari keuntungan, badan bebas sepenuhnya daripada mana-mana organisasi.

S: Bolehkah saya mendapatkan maklumat tentang timbang tara yang masih atau belum selesai daripada LCIA?
J: Kerahsiaan masih dianggap sebagai keutamaan asas timbang tara. Sesiapa pun yang bukan pihak kepada timbang tara, atau wakil undang-undang suatu pihak, boleh mendapatkan maklumat mengenai timbang tara yang belum selesai atau telah selesai daripada LCIA. Respons kami kepada sebarang permintaan ialah kami tidak boleh mengulas, tidak kira sama ada kami mengetahui mengenai perkara yang ditanya.

S: Adakah LCIA menyiarkan jumlah ganjaran?
J: Atas sebab kerahsiaan, berdasarkan Artikel 30 Peraturan LCIA, LCIA tidak tidak menyiarkan ganjaran.

S: Berapa lama tempoh purata timbang tara LCIA?

J: Tidak ada tempoh 'purata' dalam timbang tara. Jumlah wang yang menjadi persoalan, serta kerumitan teknikal dan undang-undang, mungkin berbeza antara satu kes dengan yang lain, begitu juga jumlah bukti, lisan dan bertulis, yang mungkin diperlukan untuk memutuskan pertikaian itu. Bagaimanapun, pada masa ini, kira-kira separuh daripada keseluruhan kes yang dirujuk kepada LCIA bermula dari permintaan bagi timbang tara hingga kepada ganjaran akhir biasanya dimuktamadkan dalam tempoh 12 bulan atau kurang, dan lebih daripada tiga suku tahun dalam 18 bulan atau kurang.