Sunday, June 17, 2012

HAJI ATAU PILIHAN RAYA - BERPOLIMIKLAH DEMI KEBAIKAN UMAT ISLAM DI MALAYSIA...

"...sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam."
 - Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Walaupun tarikh pilihan raya tidak diketahui bila namun ada pihak teramat bimbang jika Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) diadakan pada musim haji.

Kita bersetuju dengan saranan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberikan jaminan tidak akan mengadakan pilihan raya pada musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam.

Polimik mengenai mana penting - menunaikan ibadah haji atau menangguhkannya demi membuang undi pada pilihan raya umum - rasanya adalah kali pertama di negara kita.

Pendirian PAS seperti dinyatakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Awang adalah seperti berikut: “Kepada PAS, pilihan raya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. PASport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. 

Begitulah pilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak kecuali mazhab yang sesat. Al-Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said Khamis lalu menyifatkan sikap pemimpin PAS yang bercelaru dan terkeliru kerana sanggup meletakkan kepentingan parti politik melebihi menunaikan rukun Islam kelima, iaitu menunaikan haji.

Katanya, hanya kerana ingin memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) sanggup minta tangguh untuk menunaikan Rukun Islam Kelima merupakan satu perkara sangat mengelirukan. “Apakah kita sanggup tanggung dosa orang, kerana halang mereka pergi ke Makah untuk tunai haji semata-mata kerana nak mengundi,” tanya beliau.

Ahmad Said menyatakan demikian diminta mengulas laporan beberapa akhbar dan media elektronik sebelum ini yang menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli parti itu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya supaya menangguhkan ibadah haji bagi menghadapi PRU Ke 13.

“Pemimpin PAS ini sama ada terkeliru atau apa, meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. Orang Umno pun ada juga yang pergi menunaikan haji, (malah) saya rasa orang Umno lagi ramai. Takkan kita nak tahan orang yang nak menunaikan haji pula…”

“Lagipun yang pergi menunaikan haji itu bukan semua orang PAS, malah orang UMNO lebih ramai saya rasa,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pesatuan Guru Kafa Terengganu (Perkat) di Wisma Darul Iman Khamis lalu.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria semalam menegaskan, ibadat haji yang merupakan Rukun Islam kelima wajib dilaksanakan bagi mereka yang mencukupi syarat dan ia tidak boleh ditangguhkan hanya kerana pilihan raya.

Pilihan raya bukanlah syarat ibadat haji perlu ditangguhkan kerana syarat menetapkan dalam menunaikan ibadat haji boleh ditangguhkan dan dikecualikan antaranya disebabkan sakit dan keadaan tidak aman.

Mufti Perak itu menegaskan ibadah haji wajib bagi umat Islam kerana sekiranya ditangguhkan, ditakdirkan bakal haji meninggal dunia pada waktu tersebut, kematian itu dalam keadaan seorang Yahudi atau Nasara.

 Harussani berkata, perkara itu disebutkan dalam salah satu hadis Nabi Muhammad SAW. “Ia disebutkan dalam hadis dan menunjukkan kematian dalam keadaan sedemikian cukup berat. Jika kita meninggal dunia dalam keadaan mati seorang Yahudi atau Nasara, maka kematian tersebut dalam keadaan dosa besar,” katanya.

Harussani berkata, kita tidak boleh menyatakan hukum pergi haji tidak perlu terburu- buru dan boleh ditangguhkan kerana sesiapa yang cukup syarat, maka wajib mereka menunaikan ibadat haji.

Sebaliknya Hadi berpendapat sebaliknya apabila memetik Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan(politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir".

Malah kata Hadi, Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih.

“Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong Umno di Johor, sila cari buku fatwa ini,” katanya sinis.

Menurut Hadi, PAS yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam.

 “Rasulullah SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya,”tegasnya.

 “Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan…cahaya ilmu Islam PASti bersuluh dan dipelihara ALLAH. Sesiapa yang mengkhianati ilmu Islam PASti tersungkur akhirnya,” demikian kata Hadi.

Kita tunggu polimik mengenai isu ini seterusnya dan kita berharap Hadi tidak cepat melabelkan orang lain yang juga berpendidikan agama sebagai ‘jahil’.

Tajuk ini penting buat umat Islam dan kita mengharapkan satu pendirian khusus akan dicapai nanti hasil polimik yang terbuka dan ikhlas di antara pemimpin, bukan kerana kepentingan untuk menuju Putrajaya.