Thursday, December 18, 2008

WAN SOHOR BANI LEMAN?

Penceramah agama yang sering muncul di tv dan suaranya berkumandang di radio itu?

Soalnya bersediakah UMNO menggugurkan beberapa nama lain seperti Datuk Wan Ahmad Farid dan Mohd Zuber Embong yang dikatakan cukup layak bertanding?

Nama Wan Sohor Bani Leman tiba-tiba naik melonjak dan Umno disebut sedang giat memujuk beliau agar menjadi calon.

Sumber di Kuala Terengganu berkata, pensyarah di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur itu bagaimanapun bimbang akan kehilangan gajinya lebih RM8,000 sebulan, sekiranya kalah.

Sejauh ini belum diketahui apakah beliau bersetuju atau sebaliknya.

Lagipun, sekiranya menang sekali pun, tidak semestinya beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri menggantikan Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Gara-gara nama Ustaz Bani Leman disebut-sebut, maka banyaklah mengemukakan pendapat serta ulasan melalui laman berkenaan, misalnya cucuhangtuah mengatakan, “Insyallah Ust Wan tak akan jadi calon UMNO....amin..... Apa2 pun jangan nanti Ustaz menyesal macam arwah Dato' Razali yang menyatakan ketidakselesaan beliau dalam UMNO yang penuh dengan budaya Rasuah......... Bahkan ada dikalangan ahli keluarga Dato Razali sangat2 redha dengan kematian Dato Razali kerana takut terlajur jauh didalam UMNO…”

Persoalannya benarkan ada ahli keluarga Datuk Razali bersikap demikian?

Jika tidak ia hanya sebagai fitnah dan dengan mengaitkan orang yang sudah meninggalkan kita, adalah perbuatan tidak baik dan melampau.

Ada yang lain berpendapat: “Ulamak yang sokong UMNO hanya dijadi kuda tunggangan saja. Sebab tu Taib Azamudin bekas imam Besar Masjid Negara tidak masuk UMNO. Dia tak mau jadi lembu dicucuk hidung..”

ibnhjmuda pula berkata ‘U WS bani leman dikenali dgn mempunyai fikrah islam yg betul..rasa2nya dia tk terliur utk mnjd ahli umno pun,apalagi nk jd calun BN.

Sementara yang lain pula iaitu putera_purnama03, berpendapat, “ Org UMNO ada ulamak ke? setahu aku...kalu org tu kuat mana agama dia..hebat mana dia....popular mana dia..kalu bertanding atas tiket UMNO...tak layak bergelar ulamak. Betul tak?”

Seorang lagi turut memberikan pandangan ialah dokrokchetong yang mengatakan tidak mungkin kerana “sebab masa PRU12 br2 ni ustaz ni selamba jer g cek daftar pemilih kat markas dewan pemuda wangsa maju”.

Betul atau tidak hanya Wan Sohor boleh mengesahkannya.

Banyak pihak menganggap, Wan Sohor adalah calon yang baik walaupun ‘fresh’ dan pertandingan dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini adalah pengalaman pertama baginya.

Sebuah laman yang menyokong pembangkang bimbang dengan kehadiran Wan Sohor dalam UMNO sehingga mengeluarkan kata-kata berikut: “…sama-samalah kita berdoa agar pujukan Umno itu gagal dan Ustaz Wan Sohor tidak terliur dengan janji-janji Umno. Dan kita sebagai pendokong jemaah Islam mestilah berusaha bersungguh-sungguh dalam memenangkan calon kita tidak kira dari mana mereka berasal.”

Laman itu semalam berkata, sekiranya UMNO berjaya memujuk beliau, maka UMNO telah mendapat sedikit suntikan semangat sebelum hari penamaan calon kerana nama Wan Sohor memang tersohor diseluruh Malaysia. UMNO memang sangat-sangat memerlukan calon seperti ini bagi memulihkan imej mereka yang terpalit itu.

Lebih jauh, laman itu meramalkan, jika ini benar-benar berlaku, diatas kertas, kemungkinan kerusi P36 itu akan kekal ditangan Umno. Kerana selain daripada Wan Sohor seorang anak Terengganu, beliau juga mempunyai imej seorang ulamak. Imej sebegini adalah satu kredit yang besar bagi parti yang bertanding dalam pilihanraya di tempat-tempat seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Jawapan kepada kebimbangan itu, laman berkenaan berkata: “Tidak kira siapa calon Umno, kita tentang habis-habisan, dan tidak kira siapa calon PAS, kita sokong habis-habisan.”

Hakikatnya, jika benar UMNO mengubah strategi dalam pemilihan calon mereka untuk pilihanraya kecil Kuala Terengganu, bermakna UMN O Terengganu khususnya membuat langkah berani dengan tidak memilih calon daripada kalangan saf pimpinan Umno Terengganu, lebih-lebih lagi UMNO Kuala Terengganu.

Yang penting pada ketika ini, siapa juga calon BN - UMNO, MCA dan rakan BN lain perlu bersatu hati untuk menjamin kemenangan.

Walaupun BN tidak seriak PAS yang sudah mendabik dada kononnya sudah memiliki Kuala Terengganu, namun yang perlu disemat di hati ialah kemenangan ini sangat penting untuk BN Terengganu dan Pusat.

Soal penting ialah mencari seseorang yang mampu berkhidmat cemerlang seperti Allahyarham Datuk Razali Ismail dan langkah kerajaan pusat menyerahkan pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu mungkin meringankan beban Menteri Besar Datuk Ahmad Said untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen berkenaan.

Perkhidmatan cemerlang Allahyarham Razali sendiri ketika mewakili kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak boleh dinafikan.

Beliau terkenal dalam kalangan pengundi Kuala Terengganu sebagai pemimpin yang rapat dengan rakyat dan amat disenangi oleh mereka.

Beliau merupakan pemimpin yang tidak memilih kasih dan sanggup membantu rakyat tidak kira apa jua fahaman politik mereka terutama dalam bidang pendidikan.

Sebagai anggota parlimen, Razali turut mempunyai misi besar untuk menjadikan Kuala Terengganu setaraf dengan pusat pentadbiran negeri lain melalui projek pembangunan Bukit Besar yang melibatkan pembinaan 25 pejabat kerajaan bagi mewujudkan satu kawasan pentadbiran berpusat.

Memang diakui bukan mudah bagi BN mempertahankan kerusi itu tetapi dua kelebihan itu boleh membantu Ahmad dan jentera BN dalam misi itu untuk menghadapi PAS yang juga sukar untuk menawan kerusi berkenaan.

"Kita akui mungkin berhadapan pertandingan sengit tapi kita akan tetap pertahankannya," kata Ahmad Said, 51, yang dilantik sebagai menteri besar pada 31 Mac lepas.

Ahmad, yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri pada 14 Jun lepas bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, pastinya mahu membuktikan kepada rakyat Terengganu dan pucuk pimpinan Umno bahawa kepimpinan beliau diterima rakyat negeri itu.

Apapun, pentadbiran Ahmad Said juga mendapat sokongan daripada pihak istana apabila Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang juga Sultan Terengganu, mengilhamkan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu yang akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.

APA CERITA NI?

Siapa sebarkan cerita ini?

Hanya kerana tidak terpilih semula sebagai Senator, Ketua Puteri UMNO Terengganu merajuk dan memboikot pilihan raya kecil Kuala Terengganu?

Yang tidak sedap didengar ialah, anggota Puteri UMNO Terengganu tawar hati untuk bekerja kerana ‘bos’ mereka tidak lagi menjadi Senator.

Semuanya ini timbul gara-gara Ketua Pergerakan Puteri Umno negeri, Senator Nordiana Shafie yang dilantik sebagai senator mulai 2004 tamat pada 22 Disember ini dan perkhidmatannya tidak disambung selepas persidangan DUN kelmarin melantik Ketua Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu, Fatimah Hamad.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, Nordiana bertanding di DUN Batu Burok menentang calon Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, tetapi tewas dengan majoriti 1,163 undi.

Puteri UMNO memainkan peranan penting peringkat bawahan dan penghubung penting generasi muda dengan BN dan UMNO kerana pengundi muda menjadi ‘nadi penting’ sokongan memenangkan calon BN pada setiap pilihan raya.

Persoalannya, ialah apakah mesti jawatan Senator disambung dan keduanya apakah kerana Ketua Puteri UMNO, seseorang mesti ada pangkat dalam kerajaan atau politik?

Kalau beginilah pemikiran orang muda dalam UMNO, memanglah UMNO akan lingkup kerana ‘bermain politik mengharapkan jawatan’.

Kita dapat lihat sendiri bagaimana Ketua-Ketua Puteri negeri lain ramai yang tidak berjawatan penting, sekadar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sahaja.

Cuma yang melegakan ialah semalam Nordiana berkata jawatankuasa puteri di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bahagian Kuala Terengganu – Bandar, Ladang, Wakaf Mempelam dan sudahpun menubuhkan jawatankuasa kerja dan mengatur strategi bagi membantu Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan 17 Januari depan.

Katanya, Jawatankuasa Puteri bahagian juga akan menganjurkan kursus pengendalian teknologi maklumat bagi meningkatkan kemahiran mereka untuk mengendalikan komputer sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pembuangan undi nanti.

"Walaupun saya masih berada dalam pantang selepas melahirkan anak kedua, tetapi mesyuarat jawatankuasa kerja Puteri dan pengagihan tugas sudahpun dilakukan sejak minggu lalu," katanya menurut laporan Berita Harian semalam.

Nordiana berkata, walaupun sedih dan kecewa dengan dakwaan dan tuduhan itu serta masih dalan keadaan pantang, tetapi dia akan turun padang untuk membantu BN mengekalkan kerusi pada pilihan raya kecil nanti.

Beliau menyangkal dakwaan pihak tidak bertanggungjawab dan menolak sama sekali dakwaan bahawa jawatankuasa puteri termasuk ketua di peringkat cawangan dalam bahagian Kuala Terengganu akan memboikot pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau juga menafikan sekerasnya satu perjumpaan sulit dianjurkan beberapa ketua puteri cawangan yang bertujuan memboikot pilihan raya kecil sebagai bantahan.

Nordiana mengatakan Ketua Puteri Umno bahagian Kuala Terengganu sangat kecewa dengan tuduhan itu.

"Puteri juga akan membuka bilik gerakan di kawasan strategik minggu depan, tetapi kita merahsiakan sementara tempatnya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dan apabila Nordiana sendiri sudah memberikan jaminan, adalah tugas Puteri UMNO Terengganu, khususnya Puteri UMNO Kuala Terengganu ‘membersihkan semua dakwaan berkenaan’.

Caranya bukan sekadar kenyataan-kenyataan berkaitan penafian tetapi bekerja keras memenangkan calon BN.

Itulah sahaja caranya untuk menamatkan dakwaan dan menyangkal segala tohmahan oleh pihak bertanggungjawab.

Segala kerja dan sumbangan yang baik sudah pasti akan dinilai oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.

Selain itu, apa juga habuan untuk sesiapa juga dalam UMNO bukan Puteri UMNO yang wajar tentukan tetapi ia bergantung kepada pucuk pimpinan parti negeri dan pusat.

Bagi saya, bagus juga Puteri UMNO cepat sedar mengenai ‘jarum perpecahan’ yang cuba ditanam oleh pihak-pihak tertentu kerana perbuatan sabotaj parti tidak menguntungkan sesiapa.

Belajarlah - apabila tiada lagi kuasa, usahkan jawatan, diri sendiri sebagai pemimpin pun tidak akan dihormati.

Sebelum ini penyokong berebut-rebut untuk membuka pintu kereta kita tetapi apabila kita tiada lagi kuasa, bukan sahaja tiada penyokong tetapi mungkin juga tiada lagi kereta!