Tuesday, November 10, 2015

ANTARA HUSAM DAN HADI – SIAPA YANG BERBOHONG & BER’KLU-KLEK’?

 “Sebagai umat Islam semua pemimpin PAS tahu bahawa berbohong amat ditolak oleh Islam. Hakikat bahawa Presiden PAS mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis Menteri Besar Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan.”
– Datuk Husam Musa

Banyak yang merasakan tindakan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam‎ Musa membuat kritikan terbuka terhadap Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ‘tidak wajar’.

Isu paling panas ialah kononnya Hadi mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan UMNO  bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Ramai yang bagi pendapat, kritikan Husam itu dibimbangi memberi kesan kepada parti.

Sebaliknya, Husam mendakwa, Presiden PAS sendiri mengaku apabila ditanya ramai-ramai.

"Dia mengakui mengajak dua atau tiga ADUN PKR untuk menyertai PAS bagi membentuk kerajaan negeri Selangor bersama UMNO. Presiden akui jika mereka mempunyai jumlah mencukupi mereka akan membentuk kerajaan bersama UMNO di Selangor.

“Kalau presiden kata tidak, sila nafi. Kalau presiden tanya, kenapa beritahu, saya tanya balik, kenapa buat?  Husam berkata demikian dalam satu ceramah di Pasar Kedai Mulong, Pasir Mas baru-baru ini.

Ketua Penerangan Pas Pahang, Nazri Ahmad bertanya: “Apa muslihat Husam sebenarnya?”

Menurutnya, isu di Selangor itu telah pun selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi kerana sewaktu ia sedang hangat diperkatakan, Presiden Pas sendiri telah memberikan penjelasan berkaitannya bagi menjernihkan segala kekeruhan yang timbul.

“Saya memang hairan dengan tindakan Husam yang membuat pendedahan sedemikian sedangkan isu melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor itu telah pun selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

“Berdasarkan penjelasan Tok Guru Presiden pula, beliau bukan tawar untuk bentuk kerajaan dengan cara bergabung dengan UMNO sebaliknya ia disebut secara umum iaitu tawaran kepada sesiapa yang mahu bersama dengan Pas pada ketika itu,” katanya.

Nazri yang juga merupakan Yang Dipertua PAS  Kawasan Rompin itu turut mempersoalkan tindakan Husam yang seolah-olah bertujuan menimbulkan keraguan di kalangan ahli dan kepimpinan Pas pasca muktamar kepada presiden parti.

“Jika ada apa-apa berkaitan parti dan kalau ia benar, maka gunakanlah saluran dalaman parti yang ada untuk melakukan teguran kepada pihak berkenaan. Tidak perlu saya mengajar cara menggunakan saluran itu kerana Husam merupakan orang lama,” katanya.

Sehingga kini nampaknya, Husam tidak berganjak daripada pertanyaannya ‘kenapa buat?’.

Malah, reaksi Husam kepada mereka yang menyerangnya ialah pertanyaan kepada  Hadi - ‘Ya atau Tidak?’


Beliau menggesa kepimpinan parti itu memberi jawapan "ya" atau "tidak" kepada dakwaannya sebelum ini. Itu sahaja. Bagi Husam, apa yang penting adalah menjawab dan memberi kepastian, bukannya lari daripada isu berkenaan.

ADUN Salor itu berkata demikian selepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kenyataan Husam adalah "tidak betul" kerana tidak ada keperluan untuk PAS bekerjasama dengan UMNO di Selangor.

Husam berkata, sebagai umat Islam semua pemimpin PAS tahu bahawa berbohong amat ditolak oleh Islam.

“Hakikat bahawa Presiden PAS mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis Menteri Besar Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan.

“Antara 'ya' dan 'tidak' sahaja yang diperlukan. Adakah 'ya' atau 'tidak' Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan?” 

Bagi Husam,  peduli apa dengan kritikan orang lain. Dia bertanya kepada Presiden parti?

Ramai mengatakan Husam berubah sejak tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan Kelantan dan dalam parti.

Tetapi mungkin (diulangi mungkin) bagi Husam, kalau ‘dah mandi, biar semua basah’. Jangan dia seorang sahaja yang basah.

Persoalannya ‘berbekaskah’ PAS dengan kritikan Husam?

PAS selama ini mengatakan ia tidak akan menghadapi apa-apa kesan, termasuk tindakan bebeberapa bekas pemimpin PAS yang menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tak kanlah dengan seorang seperti Husam PAS boleh tergugat.

Malah, PAS sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO, itu ditegaskan beberapa pemimpin PAS sejauh ini.

Jika demikian kenapa nak takut dengan kritikan Husam. Ahli PAS kan bijak-bijak untuk menilai.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata  PAS tidak terkesan dengan dakwaan itu kerana perihal ini pernah terjadi sejak tahun 1999 lagi.

"Buktinya yang paling kukuhnya apakah PAS bergabung dengan UMNO sekarang ? itu yang paling kukuh dakwaan satu bab buktinya, sampai sekarang contohnya tahun 1999 Ustaz Ahmad Awang buat dakwaan itu, ketika krisis di Perak pun ada dakwaan, selepas  itu DAP buat tuduhan sebelum muktamar, dan kini tuduhan di Selangor pula, tetapi realitinya sampai sekarang ini PAS masih tidak bergabung dengan UMNO, jadi bagi saya itulah bukti yang paling kukuh.

"Bukti apakah tuduhan itu berlaku atau tidak, maknanya kalau kita lihat realitinya PAS masih tidak bergabung dengan UMNO dan masih lawan UMNO tiap-tiap  hari jadi itulah bukti bahawa apa yang dituduh tidak betul," katanya.

Semalam Tuan Ibrahim berkata  tuduhan yang mengatakan bahawa PAS akan menjalinkan kerjasama politik bersama UMNO adalah tuduhan yang tidak berasas dan sama sekali.

Tidak berpijak di bumi yang nyata, tegasnya.

Bukti jelas menangkis dakwaan itu adalah, sehingga kini tuduhan-tuduhan itu tidak dapat dibuktikan. Malah, PAS masih 'berperang' dengan UMNO sehingga kini.

"Saya fikir mereka yang buat tuduhan-tuduhan itu yang mengaitkan PAS akan bersama UMNO ini sampai sekarang tiada bukti. Ia tidak berlaku sebagaimana yang diwar-warkan penuduh."

Menurut Tuan Ibrahim, apa yang penting bagi ahli PAS ialah lihat kepada realiti. “Realitinya PAS tetap berlawan dengan UMNO dan tidak timbul PAS hendak bersama UMNO sepertimana yang didakwa,’ katanya.

"Jadi kita fikir pelik di antara orang buat tuduhan dengan orang yang kena tuduh yang tuduh kononnya presiden hendak bergabung dengan UMNO tetapi berapa kali ucapan presiden nafi perkara itu, jadi kalau hendak percaya kepada orang yang dituduh dan kita menolak kenyataan sebenar daripada presiden jadi tidak betul sepatutnya kita menerima kenyataan yang dituduh itu, presiden sendiri telah beberapa kali buat penafian," katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula berkata Husam sepatutnya‎ menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan.
   
"Tidak kena mengkritik atau menyerang parti dan presiden secara terbuka. ‎Kita selalu sebut kita ada saluran. Tok Guru (Allahyarham Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pernah sebut parti umpama rumah tangga dan kita tidak boleh bercakap isu rumah tangga‎ di kedai kopi," katanya.

Persoalannya, jika tidak ‘berkesan’ kenapa begitu ramai yang cuba ‘menangkis serangan Husam?’

Apakah tindakan Husam ini akan membawa padah kepada dirinya?

Atau Husam memang mahu menyerang dari dalam, bersikap berani dan bukan seperti rakan-rakannya yang meninggalkan PAS untuk berjuang di luar melalui AMANAH.

Juga apakah dengan kritikan sebegini, Husam mengajar pemimpin atasan PAS supaya jangan membuat kenyataan yang boleh menjejaskan parti di sebalik menuduh beliau pula yang mendatangkan masalah kepada parti.

Apakah kritikan-kritikan Husam akan menjadikan pemimpin PAS akan berhati-hati atau menganggap Husam sebagai pengacau dan menjadikan kritikan beliau sebagai sebab untuk mengenakan tindakan drastik terhadapnya?

Ini kerana tindakan Husam bukan kepada sembarangan pemimpin, tetapi Presiden partinya.

Walaupun cuba dipertahankan oleh beberapa pemimpin dalam PAS tetapi hakikatnya dalam beberapa perkara,  Hadi dilihat sebagai seorang yang bersifat banyak ‘klu-klek’nya.

Malah, dalam isu ini, jika Hadi sendiri terus berdiam diri, soalan yang dikemukakan Husam akan menjadi pertanyaan yang tidak terjawab untuk waktu yang lama.

Persoalannya apakah Hadi akan membiarkan dakwaan Husam bahawa "sebagai umat Islam semua pemimpin PAS tahu bahawa berbohong amat ditolak oleh Islam," terus 'menghantui PAS' untuk tempoh yang lama.