Saturday, June 3, 2017

‘RM9.5 JUTA UNTUK SHAFIE’ – RAKYAT DENGAR, PANDANG SAHAJA?

Pendedahan ‘RM9.5 Juta Untuk Shafie’ - JIKA BENAR  - jelas perbuatan tidak bertanggungjawab  yang akan menggugat dan mengancam sistem politik dan pentadbiran negara.
Ini  kerana wang yang didakwa disalurkan kepada peguam kanan Tan Sri Shafee Abdullah sebelum kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan wang peribadi, sebaliknya wang kerajaan.

Pendedahan oleh Sarawak Report mengaitkan Perdana Menteri mengenai perkara ini pastinya amat mengejutkan semua pihak.

Wang yang digunakan itu adalah wang SRC International (SRC) yang dipinjam daripada dana awam Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang didakwa oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat sebagai wang yang telah diseleweng.

Bukti bertulis yang didedahkan Peguam Negara pada 27 Januari 2016 bahawa perdana menteri telah menerima wang daripada SRC adalah kes prima facie wujudnya salah laku jenayah pecah amanah oleh perdana menteri.

Perdana Menteri hingga saat ini tidak menafikan menerima wang tersebut, malahan tidak pula membayar balik kepada KWAP walaupun telah dibuktikan ianya wang KWAP.

Yang nyata kini, tiada seorang pun pemimpin UMNO yang berani memberikan reaksi – selain Datuk Seri Mohd Nazri Aziz - membela Najib memandangkan  bayaran jutaan ringgit itu menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap kerajaan dan  UMNO sendiri.

Nazri yang juga  bekas menteri undang-undang pun 'lari daripada jawapan sebenar' sekadar mengatakan tidak tahu bayaran sebenar kepada Shafie.

Apa sebenarnya kesan daripada pendedahan Sarawak Report ini?

Pertama ialah kemungkinan sistem politik dan kehakiman di negara ini yang dilihat terpalit dengan rasuah ‘di siang hari’;

Kedua, ia membabitkan integriti pihak pendakwaan;

Ketiga, kebebasan badan kehakiman menjadi tanda tanya kerana Shafee adalah peguam yang dilantik Peguam Negara terdahulu; dan

Keempat, jika tiada tindakan, imej dan maruah Malaysia akan terjejas teruk dan kini sistem keadilan dan kehakiman kita pula akan diseret sebagai satu lagi kebubrukan negara, selain isu kleptokrasi.

Isu yang sebegini serius harus disiasat pihak polis dengan sedalam-dalamnya kerana Shafee mempunyai percanggahan kepentingan dalam kes tersebut.

Paling penting, pembayaran sebanyak RM9.5 juta kepada Shafie ini menimbulkan spekulasi negatif kerana dibimbangi boleh mencemar ketelusan dan keadilan keputusan rayuan tersebut.

Di pihak rakyat pula, ada yang terkejut tetapi langsung tidak tahu dan tidak mampu kaitkan kes ini dengan kebejatan Najib.

Di kalangan rakyat yang lain pula, mereka tahu tetapi kepada siapa mahu diaju dan ditunjukkan kemarahan mereka;

Ada sebilangan rakyat yang bertindak membuat laporan polis dan tuntutan siasatan dijalankan.

Sementara pemimpin yang sudah kenyang dengan dedak Najib akan terus membisu seribu bahasa.

Mereka mungkin takut atau berperasaan ‘lantaklah,  biar Najib yang jawab’ kerana ini kes politik peribadi beliau.


Kita bangga apabil Ketua ARMADA Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Abdul Rahman seawal pagi semalam tampil  membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

Tindakannya itu mendahului parti pembangkang lain, termasuk PKR yang bekas Ketua Umumnya menjadi antara individu penting dalam kes ini.

Syed Saddiq  dengan bernainya menamakan Shafee Abdullah sebagai peguam yang menerima dana daripada Najib.

Risiko ini tinggi namun bagi Syed Saddiq, "Semua orang tahu bahawa Shafee adalah orang kepercayaan Najib dan hadir di rumahnya, ketika mesyuarat dengan Saiful berlangsung, tetapi bayaran lumayan kepada peguam itu adalah konflik kepentingan.

"Saya menyeru orang ramai supaya tampil bersama saya dan membuat laporan polis mengenai isu ini. Kita harus bersama-sama dan berjuang untuk membersihkan badan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Saddiq berkata walaupun kerajaan mempunyai kuasa untuk melantik seorang pendakwa raya luaran, namun bayaran hendaklah dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan bukan perdana menteri.

Yang pasti,  seperti kata timbalan ketua pemuda AMANAH, Faiz Fadzil,  pendedahan ini memberikan impak negatif terhadap profesion peguam kerana peguam perlu bertindak secara integriti dan digniti sepertimana yang termaktub dalam Legal Profession (Practice and Etiquette) Rules 1978.

Menariknya hari ini, Majlis Peguam juga mahu polis menyiasat tanpa rasa takut dan pilih kasih dakwaan Sarawak Report mengenai seorang peguam terkemuka menerima RM9.5 juta daripada Perdana Menteri.

Presidennya, George Varughese menegaskan walaupun masih terlalu awal bagi Majlis Peguam untuk merujuk peguam itu kepada Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara, majlis itu perlu mengumpul bukti yang cukup untuk membuktikan Shafie melakukan salah laku profesional.


Varughese berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Syed Saddiq semalam yang menyebut beliau membuat laporan itu demi mengelak sebarang persepsi negatif terhadap sistem kehakiman Malaysia.

Selain dakwaan terbaru ini Najib sudah berhadapan dengan kecaman ekoran laporan The Wall Street Journal pada 2 Julai 2015 mendakwa RM2.6 bilion disalurkan ke dalam akaun bank peribadi beliau pada Mac 2013.

Bagaimanapun Najib menafikan sebarang salah laku sambil mendakwa wang itu adalah sumbangan kerabat diraja Arab Saudi untuk membiayai kempen pilihan raya umum UMNO pada tahun 2013.

Dengan kedudukan ini selain  adanya laporan oleh Syed Saddiq itu,  polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara perlu mengambil langkah segera agar siasatan dapat dijalankan di bawah pelbagai undang-undang jenayah.

Ini  termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 terhadap semua individu atau organisasi yang telah dibayar oleh Perdana Menteri daripada wang SRC ini.

Adalah penting siasatan dibuat bagi memberitahu rakyat bahawa pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab undang-undang dan sosial untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Malah hasil siasatan juga akan memberitahu rakyat apakah tuduhan Sarawak Report itu sengaja mahu mencemar imej Shafie, Perana Menteri dan institusi kehakiman negara ini?

Benar apa yang disebut oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, P Ramkarpal Singh bahawa Kementerian Kewangan boleh mendedahkan bayaran sebenar kepada Shafie .

Dengan kenyataan Kementerian Kewangan, ia akan meredakan spekulasi, selain menafikan laporan yang dibuat oleh Sarawak Report.

Lagipun sebelum ini Parlimen diberitahu Shafie hanya dibayar RM1,000 untuk berkhidmat di pihak kerajaan yang menyebabkan Anwar dipenjarakan.

Harapkan Perdana Menteri membuka mulut mengenai isu dakwaan salah laku dalam skandal penyelewengan berskala mega ini?

Ia sama sekali tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Ia kerana akan mendedah atau membuka pekong mengenai dirinya yang sudah hilang sifat akauntabiliti dalam diri beliau sendiri.

Tuduhan ini juga menggambarkan bahawa Malaysia akan terus berdepan dengan berbagai krisis kredibiliti, integriti dan maruah seorang Perdana Menteri bernama Najib Razak.


Selagi Najib berada di kerusinya, akan banyak lagilah maruah negara akan tercalar!