Tuesday, December 9, 2008

PAS PERLU KEMBALI KE PANGKAL JALAN

Yang mana satu penting bagi PAS, menegakkan Islam atau berpakat dengan bukan Islam demi kuasa politik?

Inilah dilema PAS ketika ini. Pada ketika sebahagian pemimpinnya merasakan sokongan kepada PAS mula terhakis kerana beberapa dasarnya yang membelakangkan hukum Islam, ada sebahagian lagi yang merasakan tanpa sokongan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, PAS sukar untuk memerintah.

Kerana sokongan politik, mereka berpendapat, berlembut sedikit tidak mengapa asalkan dapat membentuk kerajaan.

Saya sendiri pun tidak faham dengan sikap beberapa pemimpin PAS ketika ini. Jika bapa saya masih hidup, dia pun akan tertanya-tanya ke mana haluan PAS sebenarnya.

Sebagai penyokong kuat PAS sejak ditubuhkan, Allahyarham bapa saya tidak pernah mahu berlembut atau berkompromi apabila membabitkan soal-soal dasar asas PAS, kecuali sekali, iaitu pembentukan kerajaan campuran pada 1974.

Itupun menurutnya ‘berat’ untuk menerima keputusan sedemikian tetapi kerana kepentingan “Melayu yang automatiknya Islam”, sebagai penyokong, beliau menerima keputusan dengan berat hati.

Saya masih ingat, bagaimana kuatnya semangat Islam dan Melayunya yang menyebabkan beliau merasakan usaha Allahyarham Tun Razak Hussein mewujudkan Barisan Nasional (BN) perlu disokong semua pemimpin Melayu ketika itu.

Tetapi selepas itu, tiada kompromi lagi. Menurutnya, tanpa sokongan bukan Islam dan bukan Melayu pun, Tuhan Maha Kuasa menganugerahkan kemenangan Terengganu kepada PAS pada 1959 (seketika) dan 40 tahun kemudian, pada 1999.

Kelantan sendiri bertahan di bawah PAS bukannya kerana faktor orang bukan Melayu atau bukan Islam. Yang menjadi pendokong PAS sejak 1959 ialah orang Melayu Islam di Kelantan.

Bagaimanapun Allahyarham bapa saya begitu kecewa - apabila dianugerahkan kuasa - pemimpin PAS menganggap ia bukan sebagai ‘anugerah dan amanah Allah’ tetapi dalam konteks politik semata-mata.

Jadi apabila berlakunya ‘perkahwinan politik’ antara PAS dan sekutu lain dalam Pakatan Rakyat – Parti Keadilan Rakyat dan DAP, saya awal-awal lagi berpendapat ia perkahwianan yang tidak akan kekal dan akan berlaku pertelingkahan sepanjang masa.

Antara ‘suami dan isteri’ tidak akan mungkin ada persefahaman dan pertelingkahan antara mereka bukan ‘ribut dalam secawan kopi’ tetapi rebut yang akan membawa bencana.

Kini semakin terserlah seperti yang berlaku di Selangor.

Pertelingkahan yang berlaku bukan sengaja-sengaja diperkarakan oleh BN atau UMNO sebaliknya daripada mulut pemimpin PAS sendiri.

Sejak dari awal PAS tidak akan mungkin dapat menjadi pentadbir yang baik jika dia terpaksa tunduk kepada desakan PKR dan DAP.

Bukan sahaja dari segi ideologinya berbeza tetapi budaya dan kemampuan pemimpin PAS sendiri menjadi tanda tanya.

Berbeza dengan Kelantan, PAS bertanding di Selangor bukan kerana mahu membentuk kerajaan sebaliknya hanya mahu menjamin BN tidak menjadi sebuah kerajaan yang kuat.

Cara lain menjelaskan kedudukan PAS ialah, mulanya mahu menjadi pembangkang tetapi dengan kuasa Allah, mereka menjadi sebahagian kerajaan negeri Selangor.

Dan seperti ditegaskan oleh Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hassan Mohamad Ali, PAS akhirnya mengakui sukar mentadbir Selangor disebabkan kerana perbezaan ideologi politik dengan PKR dan DAP.

Juga walaupun PAS berusaha berselindung kononnya tidak mementingkan perjuangan ‘demi Melayu’, Hassan sendiri mengakui tidak dapat melaksanakan aspirasi orang Melayu di negeri itu.

Kini PAS Selangor menegaskan ia tidak akan tunduk kepada tekanan-tekanan yang berlaku terutamanya mengenai Islam yang menjadi matlamat Pas.

Pas juga tidak akan bertolak ansur dengan hal-hal yang haram seperti pelacuran dana akan bertegas dengan hal itu.

Ada mengatakan cara Dr Hassan mengeluarkan kenyataan itu sebagai tidak bijaksana kerana ia tidak memberi kebaikan kepada Pas dan Pakatan Rakyat.

Bangkai gajah sudah tidak dapat ditutup lagi kerana ia bukan sahaja persepsi tetapi kenyataannya ialah PAS kini memang tidak 'ngam' dengan Pakatan Rakyat. Sama ada engagement dengan Umno tidak penting lagi tetapi PAS sendiri perlu menunjukkan kepada pengundinya bahawa PAS tidak boleh bertolak ansur dalam soal-soal yang membabitkan haram dan halal.

Blogger Mohd Sayuti Omar (MSO) mengemukakan pandangannya mengenai sikap Dr Hassan apabila berkata: “Berterus terang itu baik tetapi dalam politik ia natijahnya bukan begitu. Di sini fatanah Hassan sebagai politician nampaknya tidak ada.”

Sudah pasti apabila Dr Hassan meluahkan rasa hatinya berasaskan kegagalan melaksakan “Islam’ di Selangor, PAS sudah membuka pekong di dada dan menggambarkan wujudnya keadaan yang dalam PAS sendiri pun tidak sepakat.

Sebelum ini berlaku pemecatan dua pegawai tinggi PAS Selangor – Khalid Samad dan Saari Sungip – dan kini dengan pendedahan Dr Hassan menjadikan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan tidak stabil.
Sesiapa pun boleh menafikannya tetapi kenyataannya, memang PAS, DAP dan PKR tidak boleh duduk semeja.

Lagipun, pemimpin PAS Selangor tidak ada pengalaman memerintah dan ‘pengalaman pertama’ sudah pasti banyak kekurangannya.

Jika memerintah Selangor pun sukar, bagaimana PAS akan menjadi rakan PKR dan DAP dalam Kerajaan Persekutuan, jika diizinkan Allah melalui ‘pelan peralihan Anwar Ibrahim?

Melalui pelan ini, PAS hanya sebagai sebahagian, bukan peneraju dan pasti sekali, jika PKR yang menerajui Pakatan Rakyat, banyak perkara akan menyebabkan PAS tidak berpuas hati.

Memang benar Dr Hassan perlu ingat apa-apa keputusan atau tindakan yang hendak diambil oleh PAS Selangor mesti mendapat restu daripada Pas Pusat. Tetapi salahkah Dr Hassan jika dia bersedia untuk melanggar keputusan PAS Pusat yang nampaknya ‘mementingkan kuasa politik’ sedangkan PAS Selangor merasakan mereka tidak boleh berkompromi apabila membabitkan kepentingan Islam?

Nasi sudah menjadi bubur dan kenyataan serta pendirian Dr Hassan secara terbuka walaupun perlu dihormati sudah memburukkan suasana dan hubungan beliau dengan pemimpin PKR dan DAP selain pemimpin tertentu dalam PAS.

Persoalannya, jika sudah faham dengan ideologi DAP dan dasar ‘memuashati semua pihak’ PKR, eloklah PAS berjalan sendiri atau mengintai semula rakan Islam yang hampir dilupakannya – UMNO untuk kembali ke pangkal jalan.

PEMIMPIN UMNO SEMAKIN GILA

Bukan semua bersikap begini. Tetapi inilah antara pemimpin yang akan meranapkan dan menyebabkan UMNO menyembah bumi.

Sebelum ini ada anggota dan pemimpin mereka berkata “beri duit tak tentu menang, tak beri duit pasti kalah”.

Kini, ada kalangan mereka berkata, ”... duit I dah ada, I nak you.”

Perkara ini didedahkan oleh POLITICA melalui http://politica-net.blogspot.com yang menyebut mengenai kemungkaran terbaru membabitkan UMNO. Katanya: “Sesudah bergelumang dengan politik wang buat kesekian lamanya, kini ada segelintir pemimpin UMNO mengamalkan politik seks. Mereka minta habuan seks daripada anggota Puteri UMNO yang perlukan pertolongan berkempen bagi jawatan di peringkat nasional.”

Sungguh memalukan.

Apakah ini tanda-tanda bahawa UMNO kini dipenghujung hayatnya?

Baca posting berikut:

POLITIK SEKS DALAM UMNO?

(http://politica-net.blogspot.com - 6 Disember, 2008)

Orang kata, UMNO dah nak karam. Dah nak kojol. Dah nak gol. Dah nak bungkus. Itu kata orang. Betul tidaknya, belum pasti lagi. Tapi riak-riak perlambangannya sudah terpampang di depan mata.

Di bawah ini contoh kemungkaran terbaru membabitkan UMNO. Sesudah bergelumang dengan politik wang buat kesekian lamanya, kini ada segelintir pemimpin UMNO mengamalkan politik seks. Mereka minta habuan seks daripada anggota Puteri UMNO yang perlukan pertolongan berkempen bagi jawatan di peringkat nasional.

Hakikat ini didedahkan oleh Sritribuana dalam komennya kepada posting di blog ini pada Rabu, 19 November 2008, bertajuk Kita Nak Tubuhkan Parti Politik Baru?

Sritribuana mengirimkan komennya pada jam 11.36 malam, 5 Disember 2008, seperti berikut:

Dalam musim pemilihan, ada pemimpin UMNO yang hebat-hebat. Apabila para Putri UMNO minta pertolongan dan bantuan berkempen untuk jawatan peringkat nasional, ada pemimpin yang menjawab: “tak kan tolong aje. You boleh bagi apa kat I?” Dengan ikhlas, para Putri akan jawab, tidak ada duit. “Duit I dah ada..” Apa yang mereka mintak dari remaja-remaja yang baru nak berjinak-jinak dengan UMNO, kalau tidak tubuh badan para remaja berkenaan? Ajak bercuti. Jangan ajak kawan. Ini bukan sketsa dogeng di zaman moden. Ada kebenarannya. Tidakkah para Putri itu dari kalangan bangsanya sendiri? Sebab itulah kebanyakkan para Putri UMNO, lebih-lebih lagi yang terpelajar, apabila menghadiri seminar, perjumpaan di mana para pemimpin UMNO yang berapi-api berucap tentang bangsanya, mereka merasa jijik. - Sritribuana

Saya yakin komen di atas datangnya dari lubok kalbu Sritribuana sendiri. Ia adalah kisah benar yang sebenar-benarnya. Ia bukannya “sketsa dogeng di zaman moden.” Tetapi realiti kebobrokan UMNO yang hampir karam dengan kemungkaran, jenayah dan maksiat.

Saya cadangkan Sritribuana adukan kes rasuah seks ini kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO. Itu pun kalau mereka percaya. Kalau tak, berilah perincian yang lebih mendalam kepada blog ini supaya boleh didedahkan seluas-luasnya.

Begitulah UMNO ketika ini. Politik wang menjadi-jadi. Kemungkaran kian meluas. Presidennya dikatakan asyik main politik ikut telunjuk menantu serta dalangnya. Bahtera perjuangan yang dah nak karam dibiarkan tanpa usaha membaikinya. Warga UMNO yang kian meluat ke mana akhirnya kesetiaan mereka?

KUALA TERENGGANU – SERAMPANG DUA MATA

(Bahagian Keempat)

Duduk-duduk bersembang dengan beberapa rakan dan kenalan baru di coffee house Hotel Primula, Kuala Terengganu semalam, menyegarkan.

Walaupun mulanya agak mengantuk kerana sedikit penat selepas memandu di dalam hujan yang kadangkala menjadi lebat sepanjang perjalanan dari Jabi ke Kuala Terengganu, petang semalam, tetapi apabila berbual mengenai politik, mata serta merta menjadi ‘terang’.

Dan perbualan kami sudah pasti tertumpu kepada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Antara rakan yang duduk semeja dengan saya semalam ialah Hamid Salleh, stringer ‘setia’ Berita Harian yang baru lepas hampir dua minggu membuat laporan mengenai pertandingan Monsoon Cup di Terengganu dan ADUN Nenggiri (kawasan Parlimen Gua Musang) YB Mohd. Yusof Ab. Ghani yang kebetulan berada di Kuala Terengganu kerana berhari raya di rumah keluarga isterinya.

Tetapi perbualan semalam tidak pun menyentuh pertandingan Monsoon Cup. Tiada siapa pun nampaknya berminat mengenai siapa menang atau bagaimana kejohanan itu berlangsung kali ini berbanding tahun lalu.

Yang menjadi tajuk utama perbualan ialah ‘pertembungan’ di Kuala Terengganu pada 16 Januari depan dan bagaimana pilihan raya ini akan digunakan oleh pelobi calon pemilihan UMNO.

Jadi tajuk siapa calon, bolehkah UMNO/Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa dan sebagainya, yang sepatutnya menjadi tajuk hangat kurang menyerlah, sebalikinya isu kedatangan ‘pembantu luar’ yang berkempen untuk BN, khususnya daripada UMNO, yang mempunyai serampang dua mata menjadi tumpuan.

Apakah dimaksudkan dengan ‘serampang dua mata’?

Kita semua mungkin masih ingat bagaimana pilihan raya kecil Kuala Berang dijadikan ‘medan kempen’ untuk jawatan tertinggi UMNO pada 2004.

BN dan UMNO ketika itu agak kuat, apa lagi Gelombang Biru sedang melanda Terengganu tetapi kali ini, suasananya sangat berbeza.

Mungkin merasakan ketika itu UMNO kuat, ketika kempen pilihan raya begitu rancak dijalankan pada pilihan raya kecil berkenaan, agen-agen calon Majlis Tertinggi (MT) UMNO menggunakan peluang mendekati rakyat dan pemimpin UMNO peringkat Bahagian yang datang di Hulu Terengganu untuk ‘menjaja nama calon-calon yang mereka sokong’ agar mengundi mereka pada pemilihan MT pada pemilihan tahun itu.

Bukan setakat itu sahaja, ada agen-agen yang hanya menjenguk sahaja Kuala Berang dan selebihnya ‘melancong seluruh negeri Terengganu’ sambil menjaja nama calon mereka.

Kebimbangan mengenai perkara ini bukan di Kuala Terengganu sahaja, malah di Kuala Lumpur pun sama.

Ketika berbual-bual dengan beberapa rakan, termasuk perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung UMNO Mac nanti, mereka turut bimbang kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini akan menjadi medan ‘kempen’ bagi memenangkan calon MT, bukannya calon pilihan raya.

Kali ini, perkara yang sama mungkin berulang pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu antara 6 dan 17 Januari depan.

Kerana itu Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini, selain dijangka akan menumpukan kepada strategi dan persiapan awal pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari ini, soal ‘kempen MT’ ini akan turut diperkatakan.

Dengan kata lain, BN perlu meletakkan strategi tertentu untuk memastikan petugas yang datang untuk berkempen pilihan raya hanya memberi tumpuan kepada kempen pilihan raya kecil.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata petugas akan dijamin supaya tidak terbabit atau juga mengambil kesempatan meraih sokongan untuk pemilihan parti.

Katanya: "Antara agendanya ialah tentang strategi apa yang patut dilakukan dan bagaimana untuk mendapat majoriti lebih baik daripada 628 undi pada pilihan raya umum lalu."
Mengenai calon, Tengku Adnan berkata calon yang bakal dipilih, akan diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa segera selepas meneliti beberapa kriteria tertentu yang diguna pakai selama ini.

Bimbang dengan perbuatan ‘berkempen untuk calon MT’, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberikan ingatan agar calon yang bertanding bagi pemilihan Umno pada Mac ini tidak menyalahgunakan kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu untuk kepentingan peribadi, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memenangkan BN.

Calon jawatan UMNO juga perlu mengelak daripada membangkitkan sentimen peribadi yang boleh mengalihkan tumpuan ketika kempen pilihan raya kecil berkenaan kerana ia boleh menggugat perpaduan ahli sekaligus berisiko membawa kekalahan kepada Umno dan BN.

Muhyiddin turut melihat akan wujudnya kecenderungan berlaku perkara itu memandangkan pilihan raya kecil berkenaan yang hampir dengan pemilihan Umno.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini juga membincangkan perkara itu untuk diambil tindakan sewajarnya.

Najib yang juga Pengarah Pilihan Raya parti turut mengingatkan semua ahli MT supaya mengetepikan kepentingan peribadi termasuk mengelak daripada melakukan kempen individu sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan kejayaan parti dalam pilihan raya kecil itu.

Najib dan Muhyiddin, khususnya, sudah mengingatkan calon UMNO supaya soal pemilihan parti perlu diketepikan dulu, kerana tempohnya masih lama iaitu sehingga Mac depan.

Jika berasaskan pepatah Melayu – serampang dua mata – bermakna mengena kedua-dua saranan yang untungnya pada nilai sama rata.

Namun jika pelobi UMNO sebaliknya hanya menekankan kempen untuk MT dan kurang tumpuan kepada pilihan raya kecil, ini boleh memberikan kesan buruk kepada calon BN pada pilihan raya ini.

Pada ketika semua jentera Pakatan Rakyat – PKR, PAS dan DAP – memberikan tumpuan bagi memenangkan calon mereka, menjadi cabaran kepada petugas BN meletakkan tumpuan bagi memenangkan calon mereka.

Lupakan seketika pemilihan UMNO dan tumpukan kepada menjamin kemenangan BN pada pilihan raya kecil ini.

Persoalannya, apakah nasihat Najib dan Muhyiddin akan dipatuhi?

(Bersambung – siapa calon)