Monday, June 22, 2009

WAHAI PEMIMPIN UMNO, BERHENTILAH MEROYAN!

Menyambut cadangan kerajaan perpaduan tajaan PAS dianggap pemfitnah dan jahat?

Apabila PAS menoktahkan cadangan kerajaan perpaduan, UMNO pula yang perlu menanggung ‘dosa dan akibatnya’?

Saya dah kata, tidak payahlah bersungguh-sungguh mahu berbaik-baik dengan PAS melalui kerajaan perpaduan.

Saya ahli UMNO no. 02799189 menentang sekeras-kerasnya jika kepimpinan UMNO masih meroyan atau tergila-gila mahu berbaik-baik semula dengan PAS.

Cukuplah, kenyataan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari sungguh mengguris hati.

UMNO bukan dikatakan sahaja sebagai pemfitnah tetapi jahat apabila menyambut cadangan kerajaan campuran.

Saya tidak tahulah kalau Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau naib-naib presidennya boleh menerima cacian itu atau anggapnya perkara biasa.

Sebagai ahli biasa yang tidak memegang apa-apa jawatan, saya boleh bersabar untuk menerima cacaian tetapi jika ada pemimpin UMNO yang masih meroyan dan ‘tergila-gila’ untuk berbaik dengan PAS selepas ini, saya akan memikirkan semula kedudukan dalam parti, untuk apa berada dalam UMNO sebenarnya.

Memang orang kecil seperti saya tidak ada apa-apa pengaruh tetapi sangat mengharapkan pemimpin UMNO memerangi dengan habis-habisan PAS dan sekutunya.

Kenapa? Mereka mempermain dan menghina niat baik kita. Memang pemimpinnya lidah bercabang.

Sebab itu awal-awal saya sudah meminta Perdana Menteri fokus kepada idea dan perjuangan murninya - 1Malaysia.

Dalam posting saya Ahad lalu (20 Jun 2009) di blog ini saya menyebut bahawa bagi saya, baik lupakan sahaja konsep kerajaan perpaduan.

Saya katakan kita jangan menjadi hipokrit – kerajaan perpaduan asal ialah kerjasama UMNO dan PAS - tidak membabitkan parti lain sama ada dalam BN atau pembangkang.

Apa dikhuatirkan, Barisan Nasional (BN) memang sudah ada track record, jadi buat apa mahu mengambil idea PAS – kerajaan perpaduan – yang mahu akan melalaikan UMNO.

Sebaliknya, kerajaan perpaduan tajaan PAS bukan dengan UMNO tetapi dengan DAP dan PKR.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan peluk orang UMNO. Kalau nak tunjuk sangat ikhlas sekadar pegang tangan turun tangga. Itupun kerana mereka sendiri takut jatuh dan ‘bertangankan’ pemimpin UMNO.

Kerajaan perpaduan tajaan PAS hanya untuk cover kemelut parti mereka sendiri dan ternyata untuk ‘memangsakan’ Timbalan Presidennya – Nasharuddin Mat Isa – kerana menang kerusi itu dan orang kuat Nik Aziz – Datuk Husam Musa berjaya memainkan peranan membunuh idea berkenaan.

Kini tergambar di wajah setiap pemimpin PAS bahawa Nasharuddinlah ‘boneka UMNO’ bukan Hadi Awang atau Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali.

Saya sungguh lega apabila Najib berkata, kerajaan BN tetap mampu untuk meneruskan agenda pentadbiran negara meskipun pakatan pembangkang telah menolak idea kerajaan perpaduan yang dicadangkan PAS.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat hari ini yang menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu.

Nasib baik cepat sedar kalau tidak UMNO akan jadi ‘hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong’.

Pakatan pembangkang - PAS, DAP dan PKR - dalam satu mesyuarat hari ini memutuskan untuk menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan.

Bukan sekadar itu sahaja Majlis Pimpinan pakatan pembangkang juga menyifatkannya suatu fitnah dan tindakan untuk menggugat kekuatan mereka.

Dalam satu kenyataan media yang diedarkan di Parlimen siang tadi, ia menyifatkan idea itu sebagai fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, ia menyatakan pakatan pembangkang mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu yang membabitkan kepentingan negara.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan," menurut kenyataan yang ditandatangani pemimpin tiga parti terbabit iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

Nak bincang apa lagi?

Sudah menuduh UMNO jahat dan terdesak tetapi masih boleh mengatakan mereka terbuka?
Apa ni? UMNO begitu rendah sekalikah kedudukannya?

Kenyataannya, UMNO memiliki paling banyak kerusi di Parlimen berbanding PAS, DAP atau PKR dan UMNO jahat?

UMNO hendaklah sentiasa beringat bahawa banyak cara pembangkang boleh mempemainkannya.

Tidakkah keputusan mereka itu memperlekehkan UMNO dan Presiden serta ahli UMNO semuanya masih menerima cacian dan ejekan sedemikian?

Pemimpin UMNO jangan mudah alpa bahawa pembangkang memang bersifat ‘Telunjuk Lurus, Kelingking Berkait’

Jangan marah dengan PAS sebagai tidak jujur dan apa juga mista terhadapnya.

Memang dari awal lagi sebenarnya ramai pemimpin PAS tidak berminat untuk berbaik-baik dengan UMNO tetapi kita nampak sangat ‘tergila-gila’.

Lupakah kita mereka menuduh UMNO macam-macam seperti penyebabkan pembunuhan di Memalilah, zalim kerana menjatuhkan kerajaan pembangkang di Perak atau juga isu-isu membabitkan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Saya berharap sangat Najib tegas bahawa kerajaan BN masih kukuh dan mampu melaksanakan program pembangunannya.

"Istilah kerajaan perpaduan datang dari mereka (PAS) sendiri. Kita masih tetap dengan pendirian kita, sesuatu yang baik untuk negara mestilah diusahakan bersama walaupun mereka datang daripada parti pembangkang," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di luar negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Sebelum ini Abdul Hadi memang melontarkan cadangan mengenai penubuhan kerajaan perpaduan, bagaimanapun idea tersebut mendapat tentangan daripada Nik Abdul Aziz.
Ditanya adakah penolakan cadangan kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh PAS itu akan menyebabkan kerajaan BN lemah, Najib berkata: "Tidak timbul soal kerajaan BN lemah sehingga perlukan kerajaan perpaduan."

Jelasnya, reaksi yang diberikan oleh kerajaan BN terhadap cadangan itu adalah sekadar memberikan respon positif kerana menganggap ianya (kerajaan perpaduan) sesuatu yang baik untuk negara.

Ketika ditanya sama ada penolakan oleh pakatan pembangkang itu akan merugikan orang Melayu, Najib berkata : "Saya rasa tidak. Saya harap mereka menimbang dengan betul apa saja yang mereka buat.

"Kita pula tidak akan terbawa-bawa dengan persoalan sama ada perbincangan ini diadakan atau pun tidak.

"Apa yang penting ialah kita tangani dengan baik perbezaan kita dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara."

Ditanya sama ada perbincangan mengenai kerajaan perpaduan ini akan diadakan di masa hadapan, Perdana Menteri berkata bahawa dalam politik, apa saja boleh berlaku.

Memang dalam politik apa sahaja boleh berlaku tetapi biarlah yang berlaku tidak akan menjejaskan UMNO, orang Melayu dan Islam.

STADIUM SULTAN MIZAN- MENCARI FAKTA SEBENAR

Bahagian Akhir – ‘JKR vs JKR”?

Dalam Bahagian Kedua mengenai ‘Kos & Kontrak’ saya mengatakan Stadium Sultan Mizan adalah dibawah seliaan Kementerian Kerja Raya.

Sebenarnya dalam konteks pengawasan, ia adalah di bawah bidang kuasa Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu dan wakil Pegawai Penguasa pula ialah Pengurus Kanan Pembinaan Pasukan Pengurusan Projek JKR Terengganu.

Sebelum ini saya sudah menyatakan kontraktor mana dan berapa harga diperuntukkan untuk membina stadium ini. Rasanya tidak lengkap kalau tidak memperkatakan mengenai arkitek stadium ini kerana ia sangat penting untuk didalami peranan sebenar arkitek berkenaan.

Ada yang mengetahui dan kenapa yang tidak mengetahui, arkitek terbabit dengan Stadium Sultan Mizan ini ialah Senibahri Arkitek.

Alamat syarikat ini ialah di 41-2, Jalan 2/27F, Seksyen 4 KLSC, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur selain pejabat cawangan di No.30, PT 3525, Tingkat Satu, Pusat Niaga Paya Keladi, 20100 Kuala Terengganu.

Arkitek, konsultan dan kerja pengawasan atau seliaan kepada projek stadium ini dikatakan tidak begitu berfungsi pada ketika pembinaan stadium berkenaan dijalankan.

Saya mendengar khabar bahawa JKR tidak begitu memberikan ruang kepada syarikat arkitek bertanggungjawab untuk ‘memberikan nasihat’ dan ‘menyelia’ projek ini kerana sebab-sebab tertentu.

Dikatakan JKR bertegas menggunakan kepakaran mereka sendiri kerana menganggap syarikat arkitek ini tiada pengalaman dalam konteks pembinaan.

Sejauh mana benar ataupun tidak belum dapat dipastikan namun, adalah pelik sedikit apabila arkitek yang mereka-bentuk stadium ini disisihkan begitu sahaja.

Selain itu dikatakan ketika masa pembinaan, tiada pihak yang benar-benar menyelia dan menjamin supaya pembinaan dan pemasangan atap atau bumbung dilakukan secara sewajarnya.

Benar kontraktor Korea Selatan yang diberikan tugas dalam konteks membeli peralatan dan sebagainya tetapi siapa pula yang memasangnya?

Apakah mereka dilatih untuk memasang bumbung yang bercirikan ‘Space Frame’ berkenaan?

Dengar khabarnya juga, di pihak kontraktor pula, kerana mahu menjimatkan perbelanjaan, mereka tidak meletakkan pengawas atau penyelia di tapak pembinaan dan menurut pakar pembinaan, cara ini salah kerana projek tidak diseliakan dengan betul.

Persoalannya, bagaimana JKR boleh membenarkan kontraktor berbuat demikian untuk menjamin pengawasan rapi?

Persoalannya, jika JKR tidak mempunyai pakar atau cukup kakitangan, kenapa kerja-kerja seliaan mahu dilakukan sendiri?

Selain itu, apakah seliaan dilakukan secara ‘standing’ atau ‘periodic’?

Wajarkah pengawasan dilakukan tanpa sepenuh masa? Apa jadi jika stadium itu runtuh pada malam perasmian stadium atau pada malam perasmian Sukan Sukma atau perlawanan akhir bolasepak antara Perlis dan Terengganu? Boleh dikatakan pada malam itu seramai 40,000 orang berada dalam stadium berkenaan (pada satu masa).

Mungkin orang terbaik boleh menjelaskan sama ada perkara ini benar atau sebaliknya ialah Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah yang ‘banyak tahu’ mengenai pembinaan stadium ini.

Agak menghairan juga apabila Raja Bahrin ‘tidak bercakap banyak’ – apakah beliau cuba melindungi atau tidak mahu ada pihak yang terbabit – terdedah kepada siasatan dan sebagainya.

Dalam konteks peranan arkitek, penyelia atau juga pengawasan ini rasanya dalam konteks pembinaan stadium ini, realitinya ialah ‘JKR vs JKR’.

Maknanya, JKR yang menjadi pengawai terpaksa menilai penyeliaan yang dilakukan oleh kakitangan JKR sendiri, bukannya ‘JKR vs kontraktor’.

Tidakkah mungkin ini antara faktor menyumbang kepada keruntuhan bumbung stadium berkenaan?

Ada banyak lagi perkara boleh diperkatakan tetapi saya akan menyatakannya secara berasingan kemudian.

Yang pasti keruntuhan itu memberi kesan kepada maruah, nama baik kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, kontraktor Bumiputera dan industri pembinaan negeri seluruhnya.

NASHARUDDIN KUMPUL KEKAYAAN, ABAI PENGUNDI?

Di mana Nasharuddin Mat Isa?

Akan munculkah beliau di Dewan Rakyat hari ini?

Sejak Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meminta supaya beliau melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden dan Ahli Parlimen Bachok kerana dilihat menyokong idea kerajaan perpaduan, Nasharuddin seakan menghilangkan diri.

Mungkin Nasharuddin menghilang bukan kerana takut diserbu wartawan tetapi pedih dengan kata-kata kesat.

Atau mungkin beliau malu dituduh mengumpul kekayaan dan mengabaikan kawasan parlimennya Bachok. Betulkah wahai orang Bachok?

Pada pilihan raya umum lalu Nasharuddin dipilih dan orang Bachok sanggup menolak Datuk Dr Awang Adek yang banyak berjasama di kawasan Parlimen berkenaan.

Ia bukan sumpah seranah orang UMNO tetapi daripada orang PAS sendiri.

“Nasharuddin bersama rakan dalam Pakatan yang cuba ditikam belakang dalam gelap olehnya, ” kata Kickdefella dalam blognya menceritakan gambar ini.

Diketahui umum bahawa Kickdefella ialah ‘budak suruhan’ Datuk Husam Musa. Tidakkah kata-kata di atas yang menuduh Nasharuddin Mat Isa sebagai seseorang yang ‘menikam belakang’ direstui oleh Husam?

Jika tidak benar, kenapa Husam tidak menafikannya?

Nasharuddin juga didedahkan sebagai yang suka mengumpul kekayaan daripada projek kerajaan Kelantan.

Timbalan Presiden PAS itu juga dikatakan mengaut untung atas angin menerusi projek perumahan rakyat.

Selak-menyelak kini mula berlaku dan Nasharuddin akan digambar seburuk-buruknya berbanding Husam.

Yang jelas, Nasharuddin kini tidak lagi selesa datang dan berada di Kelantan.

Apakah beliau akan turut berada di Manek Urai?

Selain disaran menyertai UMNO Nasharuddin dikatakan tidak sewajarnya terus berada dalam PAS.

Lebih jauh Nasharuddin adalah ‘sampah yang mengotorkan PAS’. Begitu hina dan keji sekali kedudukan Timbalan Presiden PAS itu di mata sebilangan penyokong dan pemimpin PAS di Kelantan.

Dalam satu postingnya, bertajuk Selepas Racun Lipas, Najib Sedia Sapukan Gam Tikus, 16 Jun Lalu, Kickdefella berkata memang jelas bahawa PAS tidak akan menjadi boneka UMNO. Yang jelas akan menjadi bahkan sudah lama menjadi boneka UMNO ialah Nasharuddin Mat Isa, begitu juga Mustaffa Ali, Harun Din, Hassan Ali dan kawan-kawan mereka dari Terengganu.

Malah katanya, apabila datang ke Kelantan minggu lepas ternyata Nasha lebih selesa diselimuti hawa dari penghawa dingin di hotel paling hebat di Kota Bharu daripada dibakar bahang melawat kawasan parlimennya di Bachok.

Kickdefella seterusnya membandingkan Nasharuddin dengan sepupu-sepupu beliau dan beliau yakin sepupu-sepupu nya jauh lebih kaya baik dari segi harta maupun wang tunai.

Tetapi mereka tidak memilih untuk hidup di dalam ‘Gated Community” di dalam kawasan esklusif yang hanya menempatkan 30 buah banglow sahaja seperti Timbalan Presiden PAS.

Mereka juga tidak pernah mengumpul kekayaan dengan memohon projek dari Kerajaan Negeri Kelantan seperti Nasharuddin Mat Isa. Apalagi mengaut untung atas angin menerusi projek perumahan rakyat?

Kata Kickdefella lagi, mungkin sebab itulah, sepupu-sepupunya tidak perlu berbaik dengan UMNO dan bercerita pasal agenda Melayu. Kejayaan mereka bukan kerana UMNO dan bukan melaui MARA.

Sebagai warganegara Malaysia, sepupu saya menjunjung Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

Sepanjang hidup mereka, mereka berserah kepada Yang Maha Kuasa dan mereka buktikan bahawa untuk orang Melayu berjaya, orang Melayu tidak perlu berserah kepada UMNO.