Showing posts with label JKR. Show all posts
Showing posts with label JKR. Show all posts

Thursday, July 1, 2010

ISU STADIUM – AHMAD SAID WAJAR KECEWA DAN MALU

Penolong Setiausaha PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata sepatutnya dalam soal runtuhan stadium, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said tidak perlu kecewa, tetapi sebagai Menteri Besar ‘yang mempunyai kuasa’, beliau sepatutnya menunjukkan wibawa.

“Dato’ Ahmad Said orang Kemaman, saya pun orang Kemaman, sepatutnya beliau menunjukkan kewibawaannya sebagai Menteri Besar orang Kemaman, mengarahkan jentera kerajaan dibawahnya,

“Tapi, sebaliknya, Ahmad mengadu kepada pihak media, bahawa beliau rasa kecewa,”jelas Hanafiah kepada sebuah portal berita pro PAS semalam.

Pada Selasa, Menteri Besar Terangganu Ahmad Said menyuarakan rasa malu dengan keadaan stadium itu, yang sejak bumbungnya runtuh pada 2 Jun tahun lepas sehingga kini masih belum dibersihkan mahupun dibaiki.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana kerja-kerja membersihkan sisa runtuhan bumbung itu masih tertangguh walaupun pihak JKR memaklumkan bahawa tender kerja-kerja itu sudah dibuka.
Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lepas, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina dan menjadi venue utama sukan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 pada 2008.

Persoalannya, Hanafiah faham atau tidak, siapa sepatutnya membersih runtuhan dan membina semula bumbung stadium yang runtuh itu?

Dengan mengatakan , wujud kelemahan urustadbir negeri Terengganu di bawah pimpinan Ahmad Said hanya kerana beliau melahirkan ‘rasa kecewa’ berikutan runtuhan bumbung stadium yang tidak dibersihkan, setelah lebih setahun berada dalam keadaan sedemikian, tidak tepat.

Rakyat Terengganu perlu tahu perkara sebenar (bukan mengiakan sahaja kenyataan atau komen pemimpin PAS yang ‘hentam sajalah’ seperti yang dibuat Hanafiah) bahawa memang kuasa Kerajaan Negeri menentukan kepada siapa tender akan diberikan tetapi laporan penilaian daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) hendaklah didapati terlebih dahulu.

Jika Hanafiah tidak tahu atau memang ‘buta’ dalam isu pembersihan stadium ini, jangan komen sesuka hati.

Jika sekadar mahu memperkecilkan ‘orang Kemaman’ seperti Ahmad Said, Hanafiah jelas menunjukkan ‘kebodohannya’ sendiri!

Seperti ditegaskan oleh Ahmad Said selepas mesyuarat EXCO semalam, Kerajaan Terengganu tidak dapat membuat keputusan untuk membaikpulih bumbung stadium berkenaan yang runtuh selagi tidak menerima laporan penilaian daripada JKR.

"Memang mereka (JKR) serah kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan membaiki stadium itu, tetapi kalau laporan penilaian yang dibuat JKR tidak diterima, bagaimana kami mahu buat keputusan. Kita kena ikut laporan yang mereka (JKR) buat," katanya.

Yang pasti hingga ke hari ini kerajaan negeri belum menerima laporan yang diperlukan untuk membolehkan Lembaga Tender kerajaan negeri bersidang.

Adalah tidak benar tuduhan Hanafiah yang mengatakan Ahmad Said sedang meminta simpati seluruh rakyat.

Hanafiah berpendapat, jangan diambil ringan sikap dan ‘pe’el perangai’ Ahmad Said itu, kerana menurutnya Ahmad orang mengaji ‘Sains Politik’.

Katanya “Semua orang tahu macamana Ahmad berpolitik, sehingga ada sebuah blog yang mengatakan ‘tiada yang pelik dan mustahil pada zaman pemerintahan MB Mat Said ini…”,

“Mungkin dengan ‘melahirkan rasa kecewa’ Ahmad cuba meraih simpati dari rakyat, yang kini dimerata-rata orang memperkatakan tentang kelemahan UMNO dan kerjaan BN Terengganu,”ujar Hanafiah.

Nampaknya spin Hanafiah cetek dan tersasar kerana Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Seri Prof Judin Abdul Karim semalam berkata jabatan itu sedang menyenarai pendek beberapa kontraktor daripada 48 kontraktor yang mengemukakan cadangan masing-masing.

"Oleh kerana kerja-kerja itu sangat rumit, Mei lepas JKR Terengganu merujuk kepada ibupejabat JKR bagi mendapatkan nasihat pakar teknikal yang berkaitan," katanya di Kuala Lumpur semalam.

Judin berkata kerja-kerja pembersihan runtuhan perlu dilakukan dengan teliti dan cermat bagi memastikan keselamatan struktur stadium dan keselamatan pekerja terjamin.

"Prosedur dan turutan kerja pengalihan serta pembersihan adalah sangat kritikal kerana ia boleh menjejaskan kestabilan struktur. Ini memerlukan kontraktor yang berkemampuan, mempunyai kebolehan dan memenuhi syarat-syarat sahaja yang layak dipertimbangkan," katanya.

Selepas meneliti apa yang berlaku sejauh ini, apakah Ahmad Said tidak wajar menyatakan kekecewaannya?

Sebagai pemimpin nombor wahid di Terengganu mana beliau mahu meletakkan muka apabila runtuhan stadium itu kini turut menjadi ‘ejekan’ pihak PAS sendiri yang menggelarkan Terengganu sebagai ‘Darul Runtuh’.

Malah, selepas lebih setahun bumbung stadium runtuh, bukan sahaja pihak yang bertanggungjawab tidak dihadapkan ke muka pengadilan tetapi kelambatan membersihkan keruntuhan itu turut mencalarkan imej negeri.

Lebih memalukan Ahmad Said apabila stadium yang runtuh itu kini menjadi salah satu’ tarikan pelancong’ yang melawat Terengganu, apabila ia dapat dilihat dengan jelas melalui tingkap pesawat – tidak kiralah pesawat penumpang atau sewa.

Lebih memalukan jika tinjauan bandar Kuala Terengganu dibuat dengan pesawat ringan atau helikopter apabila runtuhan bumbung itu bagaikan satu daripada tarikan pelancong ke Terengganu!

Wednesday, November 4, 2009

PERTUKARAN PEGAWAI TINGGI JKR – MELINDUNGI ATAU HUKUMAN?

Jabatan Kerja Raya Terengganu (JKR) banyak diperkatakan selepas beberapa kejadian keruntuhan bumbung stadium, kebocoran pusat akuatik, penutupan stadium tertutup dan masalah atap di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

JKR Terengganu dikatakan terbabit daam pembinaan projek berkenaan, dari kelulusan hinggalah kepada pengawasan.

Malah JKR Terengganu turut dikritik oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kerana isu-isu berkaitan perkara di atas, khususnya dalam masalah pengawasan kepada projek-projek meda yang dibina ketika Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar.

JKR juga dikatakan mahu mengeluarkan laporan siasatan mengenai punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan dan pusat akuatik melalui janji Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor tetapi sehingga kini belum ada pengumumannya.


Amat menarik apabila www.teganuku.blogspot.com melalui entrinya hari ini memetik sumber mengatakan JKR Terengganu mengalami pertukaran besar-besaran.

Tidak diketahui sama ada pertukaran itu proses biasa atau sebagai ‘hukuman’ kepada pegawai atasan JKR Terengganu akibat kejadian yang disebutkan di atas.

Pertanyaan ialah apakah pertukaran itu sebagai kesan siasatan dalaman atau bimbang menjadi sasaran Suruhanjaya Penyiasatan Rasuah Malaysia (SPRM) seterusnya.

Pelik juga kali ini Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur membuat pertukaran drastic kerana sebelum ini ada berita mengatakan ada pegawai rendah ‘boleh menolak pertukaran’ kerana campurtangan ‘orang besar’ Terengganu.

Beberapa pegawai rendah itu dikatakan enggan kerana mengecapi ‘kehidupan mewah’ di Terengganu hasil pembabitan dalam projek-projek mega di negeri berkenaan.

Saya mendapat tahu ada pegawai tinggi JKR Terengganu turut ditukarkan ke Ibu Pejabat akibat surat laying daripada kakitangan di jabatan itu sendiri yang berkaitan isu peribadi – tidak ada kena mengena dengan kes siasatan rasuah atau penyelewengan.

Apa pun, dengan JKR negeri kini tidak ‘dimonopoli oleh rakyat Terengganu dan Kelantan’, kita berharap ia akan berfungsi sebaik-baiknya.

Bagaimanapun, pertukaran itu jangan dijadikan ‘usaha melindungi’ atau sekadar hukuman kepada mana-mana kakitangan jika mereka terbabit dengan sebarang penyelewengan sebelum ini.

Hasil siasatan hendaklah diumumkan dan SPRM juga perlu tampil mengumumkan siasatannya terhadap beberapa individu yang dikaitkan dengan projek mega yang menghadapi masalah.
Untuk lebih lanjut, baca entri daripada www.teganuku.blogspot.com yang dipaparkan ini:
Pertukaran besar-besaran kakitangan JKR Terengganu?

Oleh teganuku on Wednesday, November 4, 2009

(Ekslusif)

Hampir 80 peratus kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu ditukarkan ke luar negeri Terengganu sebagai proses penyusunan semula jabatan itu.

Pertukaran itu dikatakan proses pertukaran biasa walaupun ada yang mengaitkannya dengan beberapa kejadian keruntuhan dan kebocoran bangunan utama di negeri berkenaan sepanjang tahun ini.

Pertukaran dikatakan membabitkan kakitangan pengurusan, termasuk peringkat tinggi yang bekerja lebih 10 tahun di negeri berkenaan.

Menurut sumber, pertukaran yang berkuatkuasa sejak bulan lalu turut membabitkan Timbalan Pengarah Negeri yang kini ditempatkan di Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur.

Sumber itu menambah, JKR Terengganu sebelum ini digambarkan sebagai tempat ‘berhimpunannya kakitangan jabatan berkenaan dari Terengganu dan Kelantan’.

Jawatan Pengarah dan Timbalannya di JKR Terengganu kini belum diisi dan proses melakukannya dikatakan sedang dilaksanakan.

JKR Terengganu menjadi perhatian umum apabila dikaitkan dengan projek-projek mega Terengganu yang mengalamai keruntuhan dan kebocoran.

Ini termasuklah keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan, kebocoran pusat akuatik Majlis Bandaraya KT (MBKT), stadium tertutup yang ditutup beberapa waktu, serta beberapa yang lain.

JKR dikatakan mengawasi beberapa projek besar di Terengganu dan pengurusan tingginya ‘dipersalahkan’ dalam beberapa kes berkenaan.

Bagaimanapun, bagi Pusat Akuatik, difahamkan ia adalah rundingan terus dan Pejabat Kewangan Negeri bertanggungjawab terhadapnya. JKR Terengganu hanya membuat pembayaran untuk projek berkenaan.





Monday, June 22, 2009

STADIUM SULTAN MIZAN- MENCARI FAKTA SEBENAR

Bahagian Akhir – ‘JKR vs JKR”?

Dalam Bahagian Kedua mengenai ‘Kos & Kontrak’ saya mengatakan Stadium Sultan Mizan adalah dibawah seliaan Kementerian Kerja Raya.

Sebenarnya dalam konteks pengawasan, ia adalah di bawah bidang kuasa Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu dan wakil Pegawai Penguasa pula ialah Pengurus Kanan Pembinaan Pasukan Pengurusan Projek JKR Terengganu.

Sebelum ini saya sudah menyatakan kontraktor mana dan berapa harga diperuntukkan untuk membina stadium ini. Rasanya tidak lengkap kalau tidak memperkatakan mengenai arkitek stadium ini kerana ia sangat penting untuk didalami peranan sebenar arkitek berkenaan.

Ada yang mengetahui dan kenapa yang tidak mengetahui, arkitek terbabit dengan Stadium Sultan Mizan ini ialah Senibahri Arkitek.

Alamat syarikat ini ialah di 41-2, Jalan 2/27F, Seksyen 4 KLSC, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur selain pejabat cawangan di No.30, PT 3525, Tingkat Satu, Pusat Niaga Paya Keladi, 20100 Kuala Terengganu.

Arkitek, konsultan dan kerja pengawasan atau seliaan kepada projek stadium ini dikatakan tidak begitu berfungsi pada ketika pembinaan stadium berkenaan dijalankan.

Saya mendengar khabar bahawa JKR tidak begitu memberikan ruang kepada syarikat arkitek bertanggungjawab untuk ‘memberikan nasihat’ dan ‘menyelia’ projek ini kerana sebab-sebab tertentu.

Dikatakan JKR bertegas menggunakan kepakaran mereka sendiri kerana menganggap syarikat arkitek ini tiada pengalaman dalam konteks pembinaan.

Sejauh mana benar ataupun tidak belum dapat dipastikan namun, adalah pelik sedikit apabila arkitek yang mereka-bentuk stadium ini disisihkan begitu sahaja.

Selain itu dikatakan ketika masa pembinaan, tiada pihak yang benar-benar menyelia dan menjamin supaya pembinaan dan pemasangan atap atau bumbung dilakukan secara sewajarnya.

Benar kontraktor Korea Selatan yang diberikan tugas dalam konteks membeli peralatan dan sebagainya tetapi siapa pula yang memasangnya?

Apakah mereka dilatih untuk memasang bumbung yang bercirikan ‘Space Frame’ berkenaan?

Dengar khabarnya juga, di pihak kontraktor pula, kerana mahu menjimatkan perbelanjaan, mereka tidak meletakkan pengawas atau penyelia di tapak pembinaan dan menurut pakar pembinaan, cara ini salah kerana projek tidak diseliakan dengan betul.

Persoalannya, bagaimana JKR boleh membenarkan kontraktor berbuat demikian untuk menjamin pengawasan rapi?

Persoalannya, jika JKR tidak mempunyai pakar atau cukup kakitangan, kenapa kerja-kerja seliaan mahu dilakukan sendiri?

Selain itu, apakah seliaan dilakukan secara ‘standing’ atau ‘periodic’?

Wajarkah pengawasan dilakukan tanpa sepenuh masa? Apa jadi jika stadium itu runtuh pada malam perasmian stadium atau pada malam perasmian Sukan Sukma atau perlawanan akhir bolasepak antara Perlis dan Terengganu? Boleh dikatakan pada malam itu seramai 40,000 orang berada dalam stadium berkenaan (pada satu masa).

Mungkin orang terbaik boleh menjelaskan sama ada perkara ini benar atau sebaliknya ialah Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah yang ‘banyak tahu’ mengenai pembinaan stadium ini.

Agak menghairan juga apabila Raja Bahrin ‘tidak bercakap banyak’ – apakah beliau cuba melindungi atau tidak mahu ada pihak yang terbabit – terdedah kepada siasatan dan sebagainya.

Dalam konteks peranan arkitek, penyelia atau juga pengawasan ini rasanya dalam konteks pembinaan stadium ini, realitinya ialah ‘JKR vs JKR’.

Maknanya, JKR yang menjadi pengawai terpaksa menilai penyeliaan yang dilakukan oleh kakitangan JKR sendiri, bukannya ‘JKR vs kontraktor’.

Tidakkah mungkin ini antara faktor menyumbang kepada keruntuhan bumbung stadium berkenaan?

Ada banyak lagi perkara boleh diperkatakan tetapi saya akan menyatakannya secara berasingan kemudian.

Yang pasti keruntuhan itu memberi kesan kepada maruah, nama baik kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, kontraktor Bumiputera dan industri pembinaan negeri seluruhnya.