Monday, September 19, 2016

PERSEMPADANAN SEMULA - BENARKAH BN AKAN DAPAT MAJORITI 2/3 DI DEWAN RAKYAT?


Benarkah persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan manipulasi terburuk dalam sejarah Malaysia?

Juga apakah langkah SPR itu sebagai usaha untuk mendatangkan keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) semata-mata?

Berikutan itu, SPR bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pertanyaan mengapa persempadanan semula kali ini “lagi tidak adil dan tidak demokratik”.

Malah SPR dituduh mengabaikan prinsip satu pengundi, satu undi, satu nilai.

SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula Khamis lepas (15 September).

Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

SPR akan mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu selama satu bulan bermula 15 Sept hingga 14 Oktober depan.
.
SPR juga akan melaksanakan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi Sabah selaras dengan pindaan Fasal 2 Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang telah diwartakan pada 18 Ogos 2016.

Abdul Ghani...persempadanan semula ikut peruntukan Perlembagaan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan diteliti oleh anggota Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 23 September adalah antara perkara yang akan diberi perhatian oleh UMNO menjelang pilihan raya umum akan datang.

Usul itu akan turut dibawa pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 30 September ini dan sebarang syor atau bantahan yang diputuskan hasil penelitian tersebut kemudiannya diserahkan kepada SPR  yang bertanggungjawab memutuskan perkara berkenaan.

“Pilihan raya berkait tentang bilangan dan kawasan di mana jumlah kerusi mempengaruhi keutuhan sesebuah kerajaan memerintah, jadi proses persempadanan semula antara yang boleh memberi impak kepada perkara itu.

“Ia wajar diambil perhatian oleh parti,” katanya.

Pada ketika BN dan UMNO akan membincangkan perkara itu, dua parti besar pembangkang iaitu PKR dan DAP menyifatkan langkah SPR itu akan merugikan mereka.

Namun, pemimpin utama PAS masih membisu seribu Bahasa mngenai perkara ini. Persoalannya, apakah PAS berpuashati dengan cadangan SPR itu?

Sejauh ini PAS Terengganu ada menyuarakan bantahan mereka yang disifatkan untuk memenangkan UMNO dan BN di negeri berkenaan.

Apa yang menarik, PKR memberi amaran kepada parti komponen BN dan sekutunya bahawa cadangan persempadanan semula oleh SPR itu  merupakan perebutan kuasa oleh Umno.

"Bukan sahaja PKR, DAP, PAS, Amanah, dan BERSATU berjuang menentang proses persempadanan semula ini, saya mahu mengingatkan MIC, MCA, Gerakan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Makkal Sakti, dan apa sahaja parti yang ada, yang mereka sedang lemas dan akan diketepikan," kata ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jeyakumar (gambar kanan)

Menurutnya melalui usaha SPR ini UMNO seperti memberitahu secara langsung bahawa UMNO tidak memerlukan undi mereka dan akan dilantik kemudian. Dengan kata lain, mereka tidak memiliki persamaan lagi dengan UMNO.

"Itulah mesej UMNO mno kepada semua parti komponennya, dan saya rasa parti-parti ini perlu tegas mengenai apa yang berlaku sekarang bagi membolehkan mereka mengambil tindakan, dan lantang bersuara mengenai apa yang berlaku," tegasnya.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berpendapat adalah perlu bagi 13 kawasan Parlimen yang bersaiz “super” yang diwujudkan dalam cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR dipecahkan.

Menurut beliau, kuota kerusi Parlimen untuk Tanah Melayu adalah 68,814, purata jumlah pengundi setiap kawasan Parlimen.

Namun ada 13 kerusi Parlimen saiz “super” yang mempunyai lebih 100,000 pengundi.

Tiga belas kerusi saiz “super” itu adalah Damansara seramai 150,439; Bangi (146,168); Klang (141,275); Petaling Jaya (129,363); Subang (128,330); Gelang Patah (112,081); Kota Raja (121,126); Pasir Gudang (108,156); Kota Melaka (105,067); Kuala Terengganu (101,875); Sungai Petani (101,829); Tumpat (101,318); dan Kapar seramai 100,456 pengundi.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan persempadanan semula itu sebagai “gerimander terburuk antara lima persempadanan semula” dalam sejarah Malaysia.


Contohnya, Damansara (dahulunya Petaling Jaya Utara, kerusi Ahli Parlimen Tony Pua) bertukar menjadi kawasan pilihan raya terbesar dengan jumlah pengundi 150,439 iaitu dua kali ganda kuota 68,814 untuk kerusi Parlimen.

PKR pula mendakwa di bawah cadangan SPR, BN boleh menang hampir 10 peratus daripada 222 kerusi parlimen tanpa mendapat undi tambahan.

Selangor juga akan menghadapi risiko jatuh kepada BN, walaupun Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali menguasai 65 peratus sokongan popular rakyat di negeri itu.

Persempadanan semula ini bukan sahaja menyebabkan BN berada di tampuk pemerintahan selesa, malah dijangka berupaya untuk mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar, dengan mengandaikan tahap sokongan yang sama dan pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang, persempadanan semula baru SPR boleh menyebabkan pembangkang menangung kesan di beberapa kerusi utama.

Malah pembangkang dikatakan mungkin tidak memenangi sebarang kerusi baru sama sekali.

Menurut pengiraan PKR,  persempadanan semula yang baru meninggalkan pembangkang dengan kemungkinan kurang daripada satu pertiga kerusi Parlimen, iaitu kurang daripada 74 kerusi).

"Membiarkan kerajaan yang sedia ada mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen adalah seumpama menyerahkan cek kosong ke dalam tangan BN," tegas Nurul Izzah.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan  tindakan SPR itu  melanggar semangat demokrasi dan prinsip keadilan dalam proses pilihan raya.

“Saya menggesa agar pengundi yang terkesan akibat pemindahan mendadak di kerusi-kerusi Parlimen dan Dun untuk segera memasukkan bantahan mereka. Walaupun ramai yang mungkin bertanya ke mana hala tuju negara selepas ini, atau apakah kita mampu menyelesaikan masalah-masalah besar seperti dialami sekarang, saya percaya ramai juga yang masih menaruh harapan bahawa wujud masa depan yang lebih baik buat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, rakyat harus terus istiqamah dalam perjuangan menegakkan keadilan dan melawan kezaliman.
Beliau percaya dengan iltizam rakyat untuk menentukan masa depan negara yang lebih cerah, sekali gus mengatasi keruncingan yang melanda.

Berikutan itu, PKR akan menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong terhadap cadangan persempadanan semula oleh SPR itu yang didakwa bertentangan prinsip termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Persempadanan semula perlu ditolak sehingga suruhanjaya bebas ditubuhkan seperti dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada tahun 2012.

PKR dan kerajaan Selangor juga akan berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai perkara itu bagi melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang.


Sumber – FMT, Malaysiakini, Sinar Harian