Tuesday, May 28, 2013

APAKAH PEMIMPIN UMNO, BN MENDENGAR SARANAN SYED ALI?


Tidak pasti sama ada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya yang kalah dalam pilihan raya mendengar atau mengambil, peduli saranan Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee.

Bagi yang kalah, mungkin mereka masih meratap sayu. Juga mungkin ada yang geram kerana sebab-sebab yang mereka sendiri ketahui. Sementara, bagi yang menang, mungkin sedang bergembira.

Namun kemenangan itu hanya untuk tempoh empat atau lima tahun ini sahaja.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 nanti yang saya jangka dalam tempoh empat tahun dari sekarang, mereka akan ‘sesak nafas’ sekali lagi.

Semalam Syed Ali mencadangkan setiap bahagian UMNO perlu mempertingkat keberkesanan penggunaaan media sosial bagi menolak tohmahan yang dilempar pihak lawan meskipun bahang pilihan raya umum ke-13 sudah berakhir.

Ini kerana perkembangan media sosial mempunyai pengaruh besar serta berupaya mengubah minda dan persepsi rakyat.

Beliau berkata tumpuan atau gerak kerja konvensional harus berubah seiring persekitaran politik pada masa ini.

"Pemimpin parti perlu bergerak seiring dengan perubahan tersebut bagi memastikan kita berupaya menyelami denyut nadi rakyat, termasuk memahami aspirasi golongan muda," katanya dalam blog UMNObahagiancheras.blogspot.com semalam.


Syed Ali berkata sudah tiba masanya kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) melakukan tranformasi lebih komprehensif sejajar perubahan sikap dan pemikiran rakyat negara ini sebelum rakyat mencari pilihan yang sesuai dengan kehendak, cita rasa dan keperluan mereka.

Tidak tahulah sama ada pemimpin UMNO di peringkat Bahagian masih tidak sedar-sedar pentingnya media sosial dalam konteks yang ‘sebenarnya’.

Mungkin mereka menganggap dengan adanya Facebook, Twitter atau laman web itu sudah cukup. Bagi mereka dengan memaklumkan pergerakan mereka seperti menyerahkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia, baucer buku atau membantu mereka yang daif sudah memadai.

Yang lain serah kepada ‘tentera siber’ melaksanakan tugas mereka. Kalau dibayar dan berfungsi seperti diharapkan tidak apa tetapi kalau 2 kali 5 bagaimana?

Selepas diberikan telefon bimbit, komputer atau peralatan media sosial serta habuan, anggota ‘tentera siber’ diharapkan turun ke ‘medan perang’ tetapi apa yang berlaku, mereka pun melakukan perkara yang sama dengan bosnya itu iaitu sekadar memaklumkan pergerakan dirinya.

Lebih teruk ada yang menggunakan kemudahan untuk kepentingan diri seperti menceritakan masalah peribadi, keluarga atau santai yang tidak sudah-sudah.

Saya tidak terkejut sekiranya ada 20 atau 30 kononnya anggota ‘ tentera siber’ tetapi yang benar-benar menjalankan tugas hanya dua atau tiga kerat.

Sedangkan ‘tentera siber’ pembangkang menyerang dan terus menyerang pemimpin UMNO dan BN sesuka hati mereka tanpa adanya penentangan sewajarnya daripada ‘tentera siber’ yang mendapat pelbagai kemudahan dan habuan.

Bukan sedikit wang dibelanjakan untuk membawa mereka berkursus, berbengkel dengan kononnya pakar-pakar ‘media sosial’ pro-UMNO di ibu negara, beberapa negeri dan beberapa tempat lain oleh pelbagai agensi tetapi akhirnya tiada kesan besar atau untungnya kepada UMNO dan BN dalam pilihan raya lalu. 

Malah, lebih mendukacitakan, ada kalangan yang mendapat kemudahan berulang-ulang kerana mereka adalah individu dan kumpulan yang sama pada setiap kursus atau bengkel.

Ucapan ‘ketua tentera siber’ kononnya boleh membantu sesebuah negeri atau pemimpin tertentu sebenarnya kelentong semata-mata sekadar mendapatkan keuntungan peribadi umpama syarikat MNC yang ‘fly-by-night’.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mahu BN melakukan perubahan dari segi strategi, pendekatan, pembaharuan program dan lebih pragmatik untuk terus kekal relevan pada pilihan raya umum ke-14.

Najib, yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi BN, berkata landskap politik negara terus berubah dengan pantas menerusi proses urbanisasi, pendidikan, taraf hidup dan perkembangan teknologi maklumat, memperlihat formula yang diguna pakai BN selama ini mungkin sudah tidak relevan lagi.

Benar sekali apa yang dikatakan oleh Najib. Rasanya pesta ‘media sosial’ (saya sebut pesta kerana ia hanya himpunan beramai-ramai tanpa kesan positif) seperti yang dianjurkan oleh kumpulan tertentu sebelum ini tidak wajar diulangi.

Malah pertandingan blog kononnya untuk mencungkil bakat blogger tidak perlu. Hanya membuang masa dan wang ringgit. Banyak contoh menunjukkan selepas pertandingan itu, tiada blogger atau blog yang aktif yang boleh membantu UMNO dan BN mempertahankan kuasa.

Kita menyambut baik kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Datuk Razali Ibrahim, yang menyokong kenyataan Najib, berkata perkara itu harus diteliti dan dibincang secara mendalam selari dengan asas penubuhan BN yang memberi manfaat besar kepada negara.

"Apa yang ada ketika ini sangat baik, cumanya dari segi pendekatan kita perlu tambah baik. BN sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, perlu terus membuat kerja berbanding pembangkang yang sibuk bermain politik," katanya semalam.

Harapan ialah Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO yang diangotai orang muda sewajarnya menggerakan ‘tentera siber’ mereka setanding dengan yang dimiliki pihak lawan.

Tidak perlulah menggelarkan diri dengan nama yang gah tetapi akhirnya tidak ke mana-mana.

Yang penting bukan nama atau kumpulan kerana tanpa bayaran pun ada penggerak media sosial melakukan lebih baik daripada yang menerima bayaran atau menagih bayaran sehingga berlaku pertelingkahan sesama mereka.

Lebih memburukkan keadaan, ada pihak mendakwa kononnya dia memiliki anggota seakan batalion ‘tentera siber’ tetapi rupa-rupanya kumpulan FB yang posting mereka lebih kepada ajakan keluar makan, cerita peribadi dan keluarga selain menggunakan rangkaian untuk berniaga.

Ketua-ketua Bahagian wajar merancang segera untuk menggerakkan penggunaan media sosial bagi menolak tohmahan yang dilempar pihak lawan dan jika perlu menyerang ‘musuh’ dengan cara berhemah.

Rakyat bencikan maki-hamun dan cerca. Dengan kedudukan di mana media sosial mempunyai pengaruh besar serta berupaya mengubah minda dan persepsi rakyat, nyatakan perkara sebenar, bukan memfitnah dan menjatuhkan maruah orang lain.

Integriti media sosial UMNO dan BN penting kerana keyakinan dan kepercayaan rakyat akan terhakis sekiranya ia disandarkan kepada andaian dan tohmahan semata-mata.

Jangan ikut cara pembangkang yang memfitnah dan membuat andaian semata-mata kerana sebagai kerajaan, BN mempunyai banyak fakta yang boleh diketengahkan.

Mungkin ia nampak tidak gempar, panas atau sensasi tetapi melalui fakta yang jelas, bewibawa dan tepat, akhirnya rakyat akan sedar yang mana PALSU dan yang mana BENAR.

Ini tidak bermakna bahawa media sosial UMNO dan BN tidak boleh sensasi tetapi SENSASI yang ditampilkan biarlah yang bernas dan berintegriti.

Jika media sosial UMNO dan BN bercakap di landasan yang tepat dan berfakta, kita yakin ia akan diikuti oleh rakyat yang cintakan KEBENARAN.

Dan dengan kebenaran itulah UMNO dan BN akan dihormati, bukan melalui kenyataan rekaan dan tohmahan yang menjadikan rakyat MELUAT dan semakin menjauhkan diri daripada media sosial yang dianggap propaganda parti untuk kepentingan pemimpin yang menaja mereka.